Kes acu gunting kemaluan kanak-kanak berusia 7 tahun di sebuah sekolah tahfiz beberapa hari lepas tidak hanya berlaku kepada seorang budak tetapi rupanya lima orang kanak-kanak jadi mangsanya, malah salah seorang daripadanya dicabul oleh penjaga tersebut.
Namun pasangan suami isteri ini mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen atas pertuduhan melakukan penganiayaan terhadap lima kanak-kanak berusia tujuh hingga 12 tahun sejak tahun lalu.
Tertuduh Uji Che Mat, 43, dan suaminya Mohd Zamzuri Abdul Manap, 42 tahun, masing-masing membuat pengakuan itu selepas pertuduhan dibacakan terhadap mereka di hadapan Hakim Dazuki Ali.
Cukup sedih bila memikirkan nasib anak-anak, Uji berdepan dengan tujuh pertuduhan melakukan penganiayaan terhadap lima kanak-kanak termasuk mencabul seorang daripadanya manakala Mohd. Zamzuri berdepan lima pertuduhan.
Ads
Kedua-dua tertuduh didakwa melakukan kesalahan tersebut sejak Januari 2017 hingga Ogos lalu di Ribath Tahfiz Asyirazi di Tok Sira, Jalan Tengku Muhammad, Kuantan.
Mengikut kertas pertuduhan, Uji didakwa menganiaya seorang kanak-kanak berusia tujuh tahun dengan cara menyalakan pemetik api pada kemaluan mangsa dan mengacukan gunting pokok berulang kali sambil menggugut mahu memotong kemaluannya.
Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001 yang memperuntukkan hukuman denda sehingga RM50,000 atau dipenjarakan sehingga 20 tahun jika sabit kesalahan.
Ads
Tarik Kemaluan Mangsa
Selain itu, dia juga didakwa mencabul kehormatan mangsa yang sama pada tempat dan masa yang sama dengan cara memegang dan menarik kemaluan mangsa.
Bagi kesalahan itu, didakwa mengikut Seksyen 354 Kanun Keseksaan yang boleh dihukum penjara maksimum 10 tahun atau denda atau sebatan atau mana-mana dua hukuman itu, jika sabit kesalahan.
Ads
Uji dan Mohd Zamzuri didakwa bersama-sama atas empat pertuduhan menganiaya empat kanak-kanak yang berusia antara tujuh hingga 12 tahun di bawah jagaan mereka dengan cara merotan berulang kali sehingga mereka mengalami kecederaan fizikal.
Hakim menetapkan kedua-dua tertuduh membayar jaminan yang keseluruhannya berjumlah RM45,000 dan 4 Oktober sebagai tarikh sebutan semula kes itu.
Sumber: Astro
Lubuk konten tentang inspirasi, rumah tangga dan macam-macam lagi,
MINGGUAN WANITA kini di
download sekarang!
Dalam kehidupan kita, sebenarnya adalah penting untuk menghargai diri sendiri dahulu barulah mengutamakan dan menghargai orang lain.Rasa seperti mementingkan diri sendiri, namun ada alasan tersendiri kita perlu bertindak demikian.
Perkara ini dikongsikan oleh Ustaz Pahrol Mohamad Juoi yang merupakan seorang pendakwah dan penulis buku-buku motivasi. Berikut merupakan perkongsian beliau yang wajar dijadikan renungan.
Apakah petunjuk, seseorang itu mempunyai harga diri yang tinggi?
Pertama, dia mudah menghargai orang lain. Sebab itu kalau kita lihat dalam kehidupan seseorang ini yang mana mereka ini mudah mesra, menghormati orang lain, boleh bergaul dengan baik dengan orang lain, itu petanda bahawa dia mempunyai harga diri yang tinggi.
Sebaliknya kalau kita lihat ada orang suka meremehkan orang lain, mengejek-ngejek orang lain, selalu memandang kecil kepada orang lain, itu petanda bukan orang lain yang diremehkan itu rendah, tetapi dirinya yang rendah.
Analoginya mudah. Hanya orang yang ada wang boleh memberi wang kepada orang lain. Begitu juga hanya orang yang punya harga diri sahaja yang boleh menghargai orang lain. Sebab itu hanya apabila kita menyayangi diri kita sendiri, barulah kita boleh menyayangi orang lain.
Kedua, mempunyai ‘self talk’ yang positif. Dalam masa 24 jam, sebenarnya kita lebih banyak bercakap dengan diri kita berbanding kita bercakap dengan orang lain. Petanda orang yang mempunyai harga diri yang tinggi ialah percakapan dirinya terhadap dirinya sendiri ialah percakapan-percakapan yang positif.
Bila dia dengar sahaja kuliah atau dengar sahaja tazkirah atau membaca tulisan yang bermotivasi seperti ini, ‘self talk’nya sentiasa positif;
“Input ini adalah yang terbaik untuk aku. Aku boleh amalkan dan insyaallah aku akan sampaikan kepada orang lain. Motivasi atau input-input yang baik ini akan menyinari hidupku dan aku akan buat satu perubahan yang akan memberi inspirasi kepada orang lain.”
Begitulah orang yang mempunyai harga diri yang tinggi. ‘Self talk’nya, percakapan dirinya ialah yang positif.
Tetapi malangnya ramai orang yang punyai ‘self talk’ yang negatif. 90 % yang dicakap terhadap dirinya adalah negatif. Kalau dia membaca buku motivasi suara hatinya akan berkata:
“Ala aku boleh dengar sahajalah, mana boleh aku amalkan.” Sehinggakan sampai satu tahap dia berkata; “Entah-entah orang yang menulis ini pun tidak amalkan apa yang dia tulis.”
Akibat self talk yang negatif, ramai manusia yang gagal untuk membuat perubahan ke arah kebaikan. Dia bukan didorong ke hadapan, sebaliknya sentiasa digeser ke belakang.
Oleh itu, penting sekali kita mendapat keyakinan, hasil daripada percakapan-percakapan yang positif daripada dan kepada diri kita sendiri. Sebab itu misalnya, dalam ibadah solat kita juga sebenarnya sedang mengingatkan diri kita sendiri melalui bacaan-bacaan di dalam rukun solat.
Dalam rukun qauli, bacaan surah al fatehah yang kita baca… wajib didengar oleh telinga kita sendiri. Ini satu selftalk yang positif yang mengingatkan bahawa kita hamba Allah, yang meminta pengampuna-Nya, kekuatan-Nya. Dalam duduk antara dua sujud, kita minta sihat dan kita minta hidayah dan sebagainya. Insya-Allah ‘selftalk’ ini positif, dan akan membentuk diri kita yang positif juga.
Sebaliknya, orang yang punya harga diri yang rendah, dia akan sentiasa melakukan sabotaj terhadap dirinya sendiri. Ya, kegagalan itu bermula di dalam diri kita sendiri, sebab itu kita gagal ‘menakluki’ diri kita sendiri. Justeru, sering diperingatkan bahawa kita sebenarnya perlu bertanding dengan diri kita sendiri.
“What happen in you is more important then what happen to you…” Begitu kata-kata ahli-ahli yang bijaksana. Apa yang berlaku di dalam diri kita sebenarnya lebih penting daripada apa yang berlaku di luar diri kita.
Sebab itu kita kena hapuskan sikap ‘self sabotaging habit’ ini. Kalau dibiarkan berterusan kita akan menjadi “Toxic people”, manusia beracun yang melemahkan diri sendiri dan orang lain.
Mula-mula kita sabotaj diri kita, kemudian akhirnya kita jadi ‘toxic people’ yang mensabotaj orang lain.. Kita boleh menghasut, kita boleh mengumpat dan kita boleh memfitnah orang lain hasil daripada perasaan negatif yang ada di dalam diri kita.
Orang yang memfitnah, mengumpat ialah orang yang penuh dengan racun. Orang yang sebegini tidak akan berjaya di dalam hidupnya. Dia tidak akan menyelamatkan dirinya dan dia tidak akan mampu menyelamatkan orang lain. Dia ‘membunuh’ dirinya sendiri, keyakinannya sendiri, harga dirinya sendiri dan dia tidak akan pernah membina aspirasi kepada orang lain.
Ketiga, mampu menyayangi orang lain hasil dia menyayangi dirinya sendiri.
Bagaimana keadaan itu?
Saya pernah menonton satu filem tentang hari ibu. Yang mana seorang wanita tua telah ditinggalkan oleh anak-anak dan suaminya di rumah orang tua. Pada waktu itu ibu itu mengeluh, lalu berkata, “Yang paling malang dalam hidup ini apabila tidak disayangi.” Dia tidak disayangi oleh suami dan anak-anaknya.. Tetapi kawannya di sebelah menepuk bahunya dan berkata bagi membetulkan persepsi ibu tadi dengan berkata, “yang paling malang dalam hidup ini bukan tidak disayangi tetapi apabila kita tidak menyayangi.“
Punca kita tidak disayangi ialah apabila kita tidak menyayangi diri kita sendiri. Hanya orang yang menyayangi dirinya mampu menyayangi orang lain. Kalau kita tidak mampu untuk menyayangi diri kita yang paling dekat, mana mungkin kita boleh menyayangi orang lain yang ‘jauh’?
Kelihatannya seperti kita terlalu mementingkan diri?
Sebenarnya, tidak! Kita tidak mementingkan diri sendiri sekiranya kita menyayangi diri kita terlebih dahulu sebelum menyayangi orang lain.
Tamsilannya begini. Ketika kita menaiki kapal terbang, pramugari selalunya memberi panduan sekiranya oksigen dalam kapal terbang itu berkurangan, maka akan keluar corong yang berwarna kuning. Arahannya ialah kita perlu bernafas dahulu barulah kita membantu anak kita yang masih kecil untuk bernafas. Walaupun kita sayang anak kita, malah sanggup mati untuk mereka, tetapi aturannya ialah kita perlu ambil corong oksigen itu dan bernafas terlebih dahulu baru kita bantu anak kita bernafas.
Apa maksudnya?
Hanya orang yang hidup sahaja boleh memberi kehidupan. Hanya orang selamat sahaja yang mampu menyelamatkan. Dan hanya orang yang menyayangi dirinya dahulu boleh menyayangi orang lain.
Sayangnya, ramai kaum ibu yang kadangkala oleh kerana terlalu sayang anaknya…dia jaga anaknya sampai mengabaikan kesihatan dirinya sendiri. Ini salah. Kita perlu menjaga kesihatan diri kita untuk menjaga kesihatan anak kita. Ini bukan mementingkan diri… tidak! Tetapi untuk menyayangi orang lain perlu terlebih dahulu menyayangi diri kita.
Justeru, pada saya orang yang tidak menjaga kesihatan dirinya ialah orang yang mementingkan diri. Kenapa? Kerana jika dia jatuh sakit, orang lain terpaksa menjaga dirinya. Tetapi bagi orang yang sihat, dia yang mahu menjaga orang yang sakit. Jadi orang yang menjaga dirinya agar tidak sakit ialah orang yang tidak mementingkan diri!
Kunci katanya ialah, “Kita tidak boleh menyayangi orang lain tanpa terlebih dahulu menyayangi diri kita sendiri dan kita tidak mampu menyayangi diri kita sendiri kalau tidak terlebih dahulu menyayangi Allah SWT. “
Sebab itu dalam kehidupan ini, kita perlu sentiasa meningkatkan keimanan kepada Allah SWT dengan menyedari bahawa diri kita hakikatnya adalah amanah Allah terhadap diri kita sendiri.
Justeru dalam Islam, kita tidak boleh menjatuhkan diri kita kepada kebinasaan. Contohnya, kita tidak boleh membunuh diri. Kalau dipersoalkan, apa salahnya kalau saya membunuh diri saya sendiri, saya bukan membunuh orang lain?
Ingatlah bahawa menurut Islam, diri kita pun bukan kita yang empunya. Diri kita hanyalah amanah daripada Allah SWT. Sebab itu kalau orang itu sayang yang benar-benar kepada Allah, dia akan sayang kepada dirinya sendiri. Dan orang yang menyayangi dirinya sendiri insya-Allah, akan boleh menyayangi orang lain.
Derita wanita yang mahukan cahaya mata, tiada siapa yang dapat menebak emosinya. Sungguh baik isteri mahupun suami, kedua-duanya saling mengharapkan rezeki anak dariNya. Bermacam ikhtiar mereka cuba untuk hamil. Termasuklah menjalani pembedahan yang menyakitkan demi memulihkan keadaan diri.
Apabila diuji dengan kesakitan yang menghalang kehamilan, pastinya kekentalan diri mereka semakin berganda-ganda. Jadi jangan dipunahkan harapan dan impian mereka dengan kata-kata yang menghiris kalbu.
Cerita yang dikongsikan Ustaz Mujahidin Al Banjari kali ini berkisar tentang kiriman whatsapp dari pesakitnya yang menyatakan berita gembira. Tentang dirinya yang tak perlu dibedah untuk membuang rahim.
Dah lama saya tak up status cerita tentang pesakit. Minggu ini saya merawat pesakit dari Johor Bharu. Puan Haslina datang untuk rawatan ikhtiar hamil. Dalam masa yang sama beliau mengalami masalah cyst.
Katanya, keesokan hari beliau akan berjumpa doktor untuk menjalani pembedahan membuang ketumbuhan cyst yang berukuran dalam 5 cm. Sebelum ini pun dah dua kali Puan Haslina jalani pembedahan membuang cyst.
Semua pembedahan itu berjaya, cuma kali ini cystnya tumbuh semula. Dan paling sedih, cyst kali ini betul-betul tumbuh di rahimnya.
Disebabkan dah beberapa kali lalui pembedahan, doktor menyarankan agar dibuang cyst itu dengan rahim sekali. Doktor bimbang masalah lain akan timbul jika rahim tak dibuang sekali. Boleh mengakibatkan penyakit lain pula.
Hati seorang wanita mana yang sanggup bila tahu rahimnya kena buang. Sedangkan beliau belum lagi mendapat cahaya mata.
Beliau terlihat facebook saya, terus datang berjumpa saya. Beliau ceritakan masalah yang dihadapi.
Apa yang mampu saya katakan ketika itu, hanya bantu yang mana mampu. Selebihnya serah kepada Allah.
Puan Haslina redha dengan apa yang saya katakan. “Ustaz tolonglah sedaya yang mampu ya.”
Macam biasa saya terus ruqyah ditubuh belakang badan beliau. Ketika di ruqyah ternyata ada gangguan dalam badan. Menjerit beliau kesakitan ketika dibaca ayat suci Al Quran.
Alhamdulillah izin Allah dapat keluarkan apa yang menumpang di tubuh beliau. Selepas itu saya suruh beliau baring. Saya letakkan tapak tangan saya di perut beliau. Kali ini saya ruqyah lagi sekali di perut beliau.
Ternyata ada gangguan dalam perut juga. Menjerit kesakitan apabila di ruqyah di perut beliau. Sehingga beliau tertendang suami beliau di hadapan beliau ketika itu kerana tidak tahan sakit yang di alami ketika di ruqyah.
Syukur semuanya dipermudahkan Allah izin Allah dapat keluarkan semua yang berada di dalam tubuh beliau.
Keesokkan harinya beliau terus pergi ke hospital untuk jalani pembedahan. Beliau cerita dah siap pakai baju hendak dibedah… Doktor siap godek dari bawah, tak puas hati scan tiba-tiba dapat keputusan dah kecut.
Doktor siap tanya, “Awak makan ubat apa ya?”
Masa itu gembira hati beliau bukan kepalang. Dari rasa sakit di godek, terus hilang sakit. Mahu taknya gembira sebab tak jadi pembedahan dan buang Rahim.
Dalam usia yang muda, Puan Haslina nak kena buang rahim. Wanita mana yang kuat? Tambah lagi beliau belum dikurniakan cahaya mata.
Selalunya bila keluar dari bilik pembedahan beliau menangis kesakitan, tetapi kali ini beliau keluar dari bilik pembedahan dengan linangan air mata. Lagi-lagi melihat wajah suami, air mata kegembiraan yang hadir.
Beliau terus peluk suami. Teringatkan saya, terus suaminya call saya beritahu berita gembira tersebut. Ternyata semua yang dipinta dimakbulkan Allah. Semua atas izin Allah.
Malam itu juga beliau gerak dari JB ke Melaka. Esok petangnya terus buat rawatan susulan.
Selepas rawatan susulan kali kedua kini beliau semakin pulih.
“Saya doakan agar puan Haslina terus kuat, cepat sembuh dan cepat mendapat cahaya mata yang pertama inshaaAllah Aamiin Ya Allah.”
Rupanya Ahmad Aqil Akbar Zaid, 10, yang dilaporkan hilang ketika berbasikal dekat rumahnya di Persiaran 5/2, Bandar Baru Putra, Ipoh, awal pagi hari ini sebenarnya merajuk dengan maknya.
Kehilangannya diviralkan orang ramai dan syukur alhamdulillah dia ditemui selamat oleh orang awam di Kuala Kangsar.
Murid Sekolah Rendah Agama Al Hidayah di Ampang, dekat sini, itu ditemui di Taman Harmoni, Kuala Kangsar, kira-kira 50 kilometer dari rumah keluarganya.
Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Perak, Senior Asisten Komisioner Yahya Abd Rahman berkata, siasatan awal polis mendapati kanak-kanak itu keluar sendiri dari rumah dengan membawa pakaiannya.
Sementara itu, bapa kanak-kanak itu, Zaid Mohamed Hashim, 38, berkata, dia dihubungi seorang wanita pada 2 petang yang mengaku menemui kanak-kanak lelaki menyerupai Ahmad Aqil di kawasan perumahan di Kuala Kangsar.
“Wanita itu menghubungi saya bertanyakan sama ada saya ada kehilangan anak.
“Dia kemudian mengirim gambar kanak-kanak berkenaan dan apabila melihatnya, saya pasti itu anak saya.”
Wanita itu memaklumkan dia menempatkan anak saya di rumah jiran berdekatan dan menghubungi saya untuk mendapatkan kepastian.
Menurutnya, dia dan isteri, Ainun Zaharah Ismail, 36, lega dan bersyukur anak mereka sudah ditemui.
“Dari tadi saya memang sudah tidak dapat berfikir kerana terlalu bimbang anak saya hilang.
“Dialah satu-satunya anak kami dan hati saya lega bila anak saya ditemui.”
Zaid mengucapkan terima kasih kepada penduduk dan orang ramai yang menyebarkan berita kehilangan itu di media sosial sehingga anaknya berjaya ditemui.
Dia dimaklumkan anaknya akan dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah Ipoh di sini.
Sebelum itu, hasil kerjasama penduduk menemukan basikal anaknya kira-kira 200 meter dari rumahnya pagi tadi sebelum dia membuat laporan kehilangan anaknya itu itu di Ibu Pejabat Polis Daerah Ipoh pada 9.30 pagi.
Lubuk konten tentang inspirasi, rumah tangga dan macam-macam lagi,
MINGGUAN WANITA kini di
download sekarang!