Setiap kali nak raya, kaum suami kena buat-buat sibuk juga masa isteri kemas pakaian. Jangan bertenang sangat atau paling penting jangan marah. Bila isteri tanya tolong bantu cari. Atau paling kurang buat-buat tanya, bukan tangan asyik pegang phone. Itu pun lebih dari cukup!
Paling takut, kalau masih ada kaum suami yang serah bulat-bulat tugas kemas barang dan hias rumah pada kaum isteri saja. Akhirnya maas nak balik kampung isteri penat dan terlupa bawa barang. Mulalah dia ‘panas enjin’ dan membebel meleret-leret, sudahnya keruhlah keadaan yang awalnya nak gembira pada hari raya. Tetapi andai nak selamat, kaum suami boleh ikut cara saudara Amir Syahir ini…
Kalau Nak Raya…
Ada sekali tu aku pergi shopping barang dapur dengan isteri aku. Aku terpandang suami isteri sedang membeli persiapan raya.
Si isteri dengan dukung anak guna baby carrier, pastu tolak anak dengan stroller lagi sambil belek-belek baju. Mana suami? Si suami sedang berdiri tercegat berhampiran dengan si isteri sambil bermain telefon pintar.
Kesian pun ada. Apa kerja yang penting sangat dibuat oleh si suami. Main telefon sambil tersenyum. Sedang uruskan projek berjuta-juta gamaknya.
Ads
Bila nak raya, si isteri lah paling sibuk. Nak uruskan anak lagi, sediakan baju raya anak lagi, kemas pakaian nak bawa balik kampung lagi, bangun masak sahur, masak untuk berbuka lagi. Penat dan sangat memenatkan.
Kau cuba prihatin sikit. Kesian kalau kau serahkan 100% tanggunganjawab kepada isteri kau je. Kau tak boleh bagi nafkah lepastu suruh dia je uruskan segalanya. Dia pun manusia biasa jugak. Uruskan sama-sama kan manis.
Curi Hari Minggu
Hari minggu hari masa untuk keluarga. Luangkan masa yang berkualiti untuk isteri dan anak-anak. Kalau badan je dengan keluarga tapi jiwa kau di lain, tak guna juga. Ada perkara yang lagi penting ke daripada keluarga?
Ads
Hari bekerja memang kau busy lah. Hari minggu ni lah kau nak bermesra dengan anak-anak. Simpanlah telefon pintar kau buat sementara. Bagi sepenuh perhatian dengan keluarga jika keluar bersama-sama.
Tolonglah isteri bawa barang atau tolong jagakan anak-anak. Jangan pentingkan diri sendiri. Tu anak kau juga. Tak kesian ke kat isteri tu? Dengan nak pilih barang lagi, jaga anak kiri kanan lagi.
Ads
Baik ke teladan macam tu kita tunjuk kepada anak-anak? Kita mungkin fikir anak-anak tak faham. Tetapi mereka memerhati dalam diam. Mereka memerhati apa yang kita lakukan terhadap ibu mereka.
Aku risau nanti. Jika anak kita sudah besar, anak-anak akan ikut sama seperti apa yang kita lakukan kepada mereka. Masa tu jangan pula kita sedih. Kita telah berjaya mendidik anak kita melalui pemerhatian.
Sayangi dan hormatilah isteri kau. Tolong ringankan bebannya. Jangan fikir diri sendiri je. Perkahwinan kan sebuah perkongsian. Jadi, semua perkara mestilah buat bersama-sama.
Semoga raya tahun ini kita sambut dengan lebih rasa bersyukur dan lebih kebahagiaan. Amin.
Lubuk konten tentang inspirasi, rumah tangga dan macam-macam lagi,
MINGGUAN WANITA kini di
download sekarang!
Dalam saat-saat akhir sebelum tibanya Hari Raya, ramai mak ayah yang merebut peluang keluar membeli belah bersama anak-anak. Bila bawa anak-anak kecil membeli belah ni, faham-faham je lah mak ayah memang perlukan kesabaran yang tinggi dalam melayan ragam dan kerenah mereka. Tak habis lagi, beli belah anak dah meragam buat perangai, sudahnya apa pun tak dapat dibeli.
Sebenarnya mak ayah kena faham, ada 6 perkara yang menjadi punca kenapa anak meragam ketika membeli belah.Berikut merupakan perkongsian oleh Puan Noor Afidah Abu Bakar daripada Parent Connect sebagai panduan;
Kelmarin di pusat membeli-belah,
“Mama, nak yang ni!” Anak kecil berusia lingkungan 4 tahun menunjukkan t-shirt bercetak kartun kegemaran kepada ibunya. “Kita tak nak beli baju ni adik. Kita nak beli baju Raya,” balas si ibu yang kelihatan keletihan “Adik tak nak baju Raya, adik nak yang ini. Adik tak nak baju Raya!”
Dan bermulalah drama antara dua-beranak itu.
Di celah-celah gantungan baju dan seluar, anak-anak kecil berlari-lari sambal bersembunyi. Ada juga anak yang menari-nari sambal bernyanyi-nyanyi. Tergambar wajah-wajah kegembiraan anak dan tergambar juga wajah-wajah kegusaran ayah dan ibu yang cuba membahagikan pandangan antara anak dan pakaian yang perlu dipilih.
Dari satu sudut yang lain kedengaran tangisan kanak-kanak yang kuat. Si ayah dengan wajah tanpa perasaan dan tanpa berkata apa-apa laju menyorong keluar anak yang menjerit-jerit itu keluar dari pasaraya. Beginilah suasana di pusat membeli-belah yang meriah dengan kanak-kanak terutamanya menjelang Hari Raya dan apa saja musim perayaan.
Ada yang membawa anak kecil untuk meluangkan masa kualiti dengan anak. Ada yang membawa anak kecil supaya saiz pakaian yang dipilih bersesuaian dengan anak. Ada yang membawa anak kecil kerana tiada siapa yang boleh tengok-tengokkan anak jika ditinggalkan di rumah.
Walau apa pun sebab anda membawa anak-anak untuk membeli-belah,
1) Tumpuan dan keceriaan anak-anak ada hadnya.
2) Kesabaran dan kudrat ibubapa ada hadnya.
Jangan biarkan kedua-dua perkara ini sampai ke tahap maksima sehingga merosakkan ‘mood’ kedua-dua pihak dan mencetuskan konfrantasi. Inilah masa terbaik untuk belajar menghormati had masing-masing.
“Nampaknya adik dah letih. Ayah pun dah letih. Jom kita balik.”
Sebelum anak meragam dan mengamuk, sebelum ayah atau ibu turut lesu dengan kerenah anak, eloklah ditamatkan aktiviti membeli-belah atau tunda ke lain kali saja.
Janganlah membeli-belah pada waktu yang tidak sesuai dengan rutin biasa anak. Kita mungkin suka dan selesa memborong pada lewat malam di gudang yang buka selama 24 jam di musim perayaan ini tetapi adakah waktu tersebut adalah waktu terbaik untuk anak? Salah anakkah jika dia meragam?
Sebelum tiba ke destinasi, beritahu anak tingkah laku yang bagaimana yang anda harapkan daripada anak. Anak kecil tidak suka diberi kejutan. Dia juga perlu persediaan emosi dan mental sebelum sampai ke tempat yang penuh sesak dengan manusia di musim perayaan ini.
Jangan lupa berikan taklimat santai tentang keselamatan. Dalam kelam kabut bersesak-sesak itu keselamatan anak paling utama. Pesan kepada anak perlunya anak sentiasa memegang tangan ayah, ibu atau abang kakak yang lebih dewasa.
Pernahkah anak anda ‘hilang’ di pusat membeli-belah?
Positifkan ‘mood’ anak sebelum sampai. Minta anak tolong anda mencari barang-barang yang hendak dibeli. Kanak-kanak suka menolong dan kanak-kanak suka tugasan dan cabaran. Mereka akan sedia membantu. Apabila anak tahu apa yang kita harapkan daripada mereka, anak akan lebih mudah bekerjasama dengan kita kerana mereka tahu apa had dan batasan mereka terlebih dahulu.
Cuba ukur panjang kaki kita dan panjang kaki anak. Ingatlah satu langkah kita bersamaan dengan 2 atau 3 langkah anak kecil, oleh itu anak berkemungkinan besar untuk lebih letih berbanding dengan orang dewasa.
“Eh! tapi kenapa bila main banyak saja tenaga dia? Sampai tak nak mandi Sampai tak nak tidur?”
Bukankah bermain itu kerja budak-budak. Mereka ada banyak objektif dan motivasi untuk bermain tetapi mereka tidak nampak apa objektif mereka membeli-belah. Selalunya apabila dapat saja apa yang mereka mahu mereka akan terus ajak kita balik dan mula meragam. Ketika membeli-belah, kudrat kita masih banyak kerana kita ada matlamat yang hendak dicapai tetapi anak kecil sudah mula letih, dan mengantuk jika mengambil masa terlalu lama. Kenal pasti isyarat dan bunyi tangisan yang menggambarkan anak yang mengantuk, lapar, letih, bosan, marah, dan sebagainya.
Janganlah di’puasa’kan anak kecil juga bersama-sama kita yang berpuasa. Kenyangkan anak sebelum memulakan perjalanan. Bawalah makanan dan minuman sebagai bekal jika kita merasa segan hendak memasuki mana-mana premis makanan di pusat membeli-belah. Anak-anak yang aktif pada mulanya akan mula kehilangan tenaga dan mula terasa lapar.
Ini adalah salah satu punca anak meragam.
Adakah ‘stroller’ anak anda selesa? Adakah anak perlu juga diberi peluang berjalan sendiri supaya kaki kecil anak boleh bebas seketika? Adakah anak terlampau letih berjalan? Adakah anak kecil lebih selamat dan selesa dengan ‘baby carrier’ berbanding ‘stroller’? Adakah anak panas ataupun sejuk?
Keselesaan anak perlu diambil kira. Janganlah dilabel anak mengada-ngada apabila mereka meragam kerana tidak selesa. Semua ini adalah keperluan asas yang seharusnya difikirkan terlebih dahulu jika anda inginkan pengalaman membeli-belah yang menyeronokkan bersama-sama anak. Jika anak sudah mula menunjukkan rasa tidak selesa, pendekkan eksplorasi anda di pusat membeli-belah tersebut.
Ingatlah anak kecil sangat ‘curious’ sifatnya. Ada anak yang belajar dan meneroka dengan lebih efektif melalui sentuhan. Semua benda hendak disentuh, dipegang, ditarik dan dirasa. Bila berada di tempat barangan kaca atau pinggan mangkuk perlulah diingatkan anak. Bukan salah anak jika mereka menarik apa yang dilihat didepan mata. Menjadi tanggungjawab ibubapa untuk pesan dan pantau anak-anak di tempat awam.
Dulu anak kecil saya menjadi tidak keruan apabila melihat sebarang suis atau soket. Dia tidak dapat mengawal dirinya dari menekan suis-suis yang dilihat. Saya dan suami perlu lebihkan pantauan dari sudut itu kerana bimbang dia akan menimbulkan huru-hara di tempat awam. Tambahan lagi ia membahayakan anak dan orang ramai.
Jika anak anda kuat kecenderungannya terhadap sesuatu objek seperti anak saya, maka persediaan dan kawalan perlu dilakukan. Kadang-kadang halangan secara mendadak akan menjadi punca anak meragam.
Ada anak yang tidak suka berada di tempat yang penuh sesak dengan manusia. Ada anak yang cemas berada di tempat yang terlampau luas, hingar-bingar, terang benderang dan bingit dengan muzik yang kuat. Keadaan sebegitu menakutkan bagi mereka. Jangan membuat andaian mereka ok hanya kerana anda ok.
Jika anak dari awal lagi sudah mula meragam, itu tandanya mereka cemas berada di kalangan ramai manusia. Ada yang risau kiranya mereka terpisah daripada anda atau kiranya anda tidak memberi tumpuan kepada mereka. Anda perlu kenal temperament atau sifat semulajadi anak anda dan cari keseimbangan supaya masing-masing merasa selesa berada dalam situasi yang sebegitu.
Elakkan ruang-ruang yang akan memberi stimulasi berlebihan kepada anak contohnya ruang permainan kanak-kanak yang terlalu luas kerana anak mudah meragam jika diajak pergi. Semakin kurang godaan kepada anak semakin mudah untuk anak bertingkahlaku sebaiknya.
Emosi dan mood ibubapa juga akan terkesan apabila terpaksa bersesak dan beratur panjang di kaunter pembayaran. Ingatlah mood anda juga akan mempengaruhi mood anak-anak.
Jika sepanjang masa anda sekeluarga hanya berada di ruangan pakaian dan keperluan rumah, tentulah bosan anak dibuatnya. Janganlah disuruh anak yang sudah lama bersabar untuk terus bersabar. Keceriaan anak ada hadnya. Bawalah juga anak ke kedai atau ruangan yang disukai anak dan boleh menggembirakannya untuk menghilangkan kebosanan.Tambahkan humor dan ‘fun’ ketika membeli-belah untuk mengambil hati anak yang kebosanan.
Mempunyai ‘shopping list’ yang dikongsi dengan anak-anak juga boleh mengelakkan anak-anak dari merasa bosan. Beri peranan aktif kepada anak untuk turut sama membantu mencari barang keperluan tersebut. Anak-anak akan lebih tenang jika mereka mempunyai matlamat.
‘Shopping list’ ini juga dapat melatih anak dan diri anda juga untuk berbelanja mengikut keperluan. Jika anak inginkan sesuatu yang tidak ada dalam shopping list beritahu anak barangan tersebut boleh dimasukkan ke dalam senarai membeli belah yang seterusnya. Jadikan ini peluang untuk mengajar anak tentang nilai wang.
Ini adalah latihan yang baik untuk mengajar anak tentang ‘delayed gratification’ atau bersabar untuk menerima ganjaran, yang didapati semakin menipis di kalangan anak-anak zaman sekarang yang penuh dengan kemewahan.
Jika anak berkelakuan sebaiknya sepanjang berada di pusat membeli-belah, pujilah anak atau berilah ganjaran yang setimpal kepada anak. Ganjaran yang mengejutkan anak akan meninggalkan kesan positif yang berpanjangan terhadap tingkah laku anak.
Ingatlah apabila membeli-belah di musim perayaan atau bila-bila saja dengan anak, kita perlu lebih peka dengan keperluan anak. Adakah anak letih, lapar, tidak selesa dengan bunyi yang kuat, keliru, perlukan udara segar, perlu lebih bergerak atau perlu lebih pelukan dan pujian.
Dan ingatlah kesabaran dan kudrat kita juga ada hadnya.
Noor Afidah Abu Bakar
Certified Positive Parenting Educator (Parent Practice UK)
Semoga perkongsian ini bermanfaat. Jadi buat mak ayah yang nak bawa anak-anak pergi membeli belah nanti,boleh jadikan tip ini sebagai panduan. OK!
Aidilfitri kali ini tentunya berbeza sekali buat seluruh ahli keluarga Datuk Seri Anwar Ibrahim. Selepas dekat 20 tahun gagal meraikan Hari Raya, berkumpul satu keluarga bersama-sama. Tahun inilah kali pertama buat Nurul Nuha dan adik-beradiknya yang lain.
Sebaik saja ayah anak enam ini dibebaskan dari penjara, ahli keluarga merai setiap momen bersama ayah dengan penuh rasa kesyukuran. Anak kedua, Datuk Seri Anwar Ibrahim, Nurul Nuha ini antara yang rajin berkongsi momen bahagia bersama ibu dan ayahnya.
Bahagia sekali melihat foto kemesraan dan kebahagiaan yang Allah kurniakan untuk keluarga ini. Pastinya ia memberi seribu satu harapan dan semangat perjuangan yang kuat buat sesiapa saja yang pernah mengalami situasi yang sama seperti mereka.
Kata Nurul Nuha dalam instagramnya, “Sesiapa yang kehilangan ibu bapanya akan sentiasa mengingati kemanisan masa bersama. Dan diiringi kerinduan yang teramat.”
Dan kedua orang tuanya berkongsi rasa hati dengan anak kedua ini. Kalaulah mereka punya banyak waktu tentulah apa yang ada di lubuk fikiran mereka adalah mahu meluangkan masa itu dengan anak-anaknya.
“And they will always tell me if they had more time, all they can think about is just to spend more time with them.”
Namun, kita semua sedia maklum betapa sibuknya baik Datuk Seri Anwar Ibrahim sendiri mahupun Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail yang menggalas tanggungjawab sebagai Timbalan Perdana Menteri Malaysia.
Tentunya waktu yang terhad itu, akan digunakan sebaik-baiknya oleh keluarga ini. Dan momen-momen indah sebeginilah yang selalu dikumpul agar ianya terus kekal di hati anak-anak mahupun ibu dan ayah.
Ternyata Datuk Seri Anwar Ibrahim ini berjaya mendidik anak-anaknya dengan sifat-sifat yang mulia. Tidak sekali disimpan rasa dendam pada sesiapa. Kerana memaafkan itu lebih baik dan lebih indah pada penghujung cerita. Dan ia telah pun dapat dilihat kesannya.
Terlalu indah, walaupun ada hati yang terluka. Namun kesyukuran itu lebih mengatasi segala sifat benci dan sakit hati. Dan itulah yang menjadikan keluarga ini sentiasa terlihat kuat. Tidak rapuh jiwa-jiwa mereka.
Akui Nurul Nuha lagi, dirinya membesar tanpa kehadiran ayah dan perasaan ini jadi lebih pedih dan sukar apabila mengetahui keberadaan ayah di satu tempat yang jauh terasing.
“But it showed me a glimpse of what happens if I lose him for good.”
Dengan nikmat kasih yang tuhan berikan ini, Nurul Nuha sentiasa merasakan kesyukuran yang tidak berbelah bagi dengan kehadiran kedua orang tua dalam hidupnya.
“Marilah raikan mereka, peluk mereka selama mungkin dan luangkan waktu dengan mereka.” Itulah harapan yang anak kedua ini inginkan. Kerana berbakti dengan orang tua itu ganjarannya teramat besar.
Sebagaimana firman Allah dalam surah Al-Isra, ayat 24 “Dan hendaklah engkat merendah diri kepada keduanya kerana belas kasihan dan kasih sayangmu, dan doakanlah (untuk mereka, dengan berkata): “Wahai Tuhanku! Cucurilah rahmat kepada mereka berdua sebagaimana mereka telah mencurahkan kasih sayangnya memelihara dan mendidikku semasa kecil.”
Inilah juga doa yang Nuha kirimkan untuk kedua ibu dan ayahnya, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail dan Datuk Seri Anwar Ibrahim. Selain Nuha, adik-beradiknya yang lain adalah Nurul Izzah, Mohd Ehsan, Nurul Ilham, Nurul Iman dan Nurul Hana.
Sebut pasal raya, bukan sahaja mak-mak yang teruja, tapi anak-anak pun sama seronoknya. Malah, bab-bab bawa anak gi berayalah seronoknya sebab dapat kumpul duit. Kadang-kadang ada anak-anak yang datang beraya hanya sekadar minum air sahaja, selebihnya tunggu untuk dapatkan duit raya.
Tak kisahlah berapa yang ada di dalam sampul tu, yang penting tuan rumah ikhlas dananak-anak gembira. Sebut pasal gi beraya, tentu banyak agenda mak-mak nie. Nak jumpa kawan sekolah la, jumpa saudara mara yang setahun sekali dapat berjumpa. Kiranya, aktiviti hari raya memang penuhlah setiap hari.
Namun, dalam mak-mak dok sibuk berborak dengan sanak saudara dan kawan-kawan tu, jangan lupa, perhatikan anak-anak yang ada sama. Ada beberapa panduan tip dan adab-adab yang boleh mak gunakan bila pergi berhari raya nanti.
1. Jangan datang rumah saudara atau jiran awal sangat. Maklum la, orang masih lagi solat raya (kalau hari pertama Syawal). Hari lain pun sama, mana tau tuan rumah masih lagi dok sibuk berkemas sebab semalam dah sakan raya.
2. Pastikan anak-anak tak ambik duit raya samapi 3-4 kali. Jenuh la tuan rumah nak isi duit raya dalam sampul.
3. Jangan pula datang rumah orang pada tengah malam. Masa tu tuan rumah pun nak berehat. Entah-entah, tuan rumah dah siap pakai baju kelawar, tunggu masa nak masuk bilik untuk beradu je.
4. Jangan cakap baju tuan rumah sama dengan langsir. Bukan apa, itu sahaja yang mampu, kenalah berjimat cermat.
5. Jangan sibuk tanya orang bila nak kahwin terutamanya yang ditujukan pada yang bujang. Kalau yang dah kahwin, jangan sibuk nak tanya bila nak ada anak.
6. Jangan pandai-pandai nak tukar ‘channel’ televisyen rumah orang. Tengok ajelah apa yang dipasang oleh tuan rumah.
7. Jangan pakai baju sedondon ramai sangat, nanti orang ingat macam kumpulan dikir barat.
8. Jangan nak terus masuk ke dapur rumah orang. Dah tentu-tentu bila musim raya nie dapur macam tongkang pecah.
9. Jangan biarkan anak-anak buka sampul duit raya depan tuan rumah. Nanti merah pula tuan rumah, kalu warna merah dalam sampul tu oklah jugak.
10. Orang hidang, air terus minum tak payah nak cakap banyak.
12. Kalau termakan kuih basi or berkulat, telan ja. Jangan cuba nak selit kuih tu kat sofa atau pasu rumah orang?
13. Jangan mintak password wifi rumah orang.
14. Jangan sibuk tanya kuih raya tuan rumah beli ke buat.. makan je sudah.
15. Dah tu jangan tanya kuih tu beli kat mana.. berapa ringgit..
16. Jangan tinggal pampers anak dalam bilik air rumah orang. Ambik dan buang kat dalam tong sampah terus.
17. Jangan duduk lama sangat bila beraya rumah orang. Orang lain pun nak datang beraya jugak.
18. Jangan biarkan anak-anak tepuk cermin Aquarium rumah orang.
19. Jangan biarkan anak-anak panjat kerusi dan jangan nak usik barang yang ada dalam rumah orang.
20. Kepada menantu-menantu, jangan asyik tahu nak selfie sampai lupa nak tolong mak mertua… jenguk-jenguk kerja dapur dan bantu mana yang patut.
Lubuk konten tentang inspirasi, rumah tangga dan macam-macam lagi,
MINGGUAN WANITA kini di
download sekarang!