“Bertarung Nyawa Seorang Diri, Tak Dapat Iring Ke Kubur.” Ingat Pesanan Isteri Jaga Anak

Share

Sebagai suami, tak dapat dia bayangkan isterinya bertarung nyawa seorang diri, tak dapat iring ke kubur kerana sedang kuarantin. Namun dia masih ingat pesan isteri jaga anak walau apapun terjadi padanya.

Kehilangan isteri kerana Covid-19 bukanlah sesuatu yang mudah diterima, apatah lagi isteri pergi bersama dengan bayi yang dikandung.

Bukan sehari, dua dapat menerima dan melupakan kesedihan ini apabila kehilangan orang tersayang. Sungguh berat ujian ini. Allahuakbar.

Masih Sedih

“Sehingga hari ini, saya masih sedih dan cuba untuk menerima pemergian isteri serta anak dalam kandungan yang turut meninggal dunia,” kata Mohd Fadli Abd Wahab, 35.

Mohd Fadli berdepan ujian berat apabila isterinya, Umaisarah Azmi, 25, dijemput Ilahi pada 17 Julai lalu selepas dijangkiti Covid-19.

Lebih menyedihkan Umaisarah yang menghembuskan nafas terakhir pada jam 1.28 tengah hari meninggal dunia ketika hamil tujuh bulan dengan anak dalam kandungannya juga gagal diselamatkan.

Hanya Alami Sesak Nafas

Berkongsi kisah pilu itu, Mohd Fadli yang menetap sementara waktu di Ladang Sungai Tekai Naka, Pokok Sena, di sini, berkata, isterinya tidak menunjukkan simptom Covid-19 dan tiada penyakit kronik atau mengalami alahan sepanjang tempoh kehamilan.

“Bagaimanapun, isteri saya tiba-tiba bangun daripada tidur dan mengadu sesak nafas serta sakit kepala kira-kira jam 4 pagi pada hari dia meninggal dunia.

“Melihat keadaan isteri yang lemah, saya bergegas membawanya ke Hospital Sultan Abdul Halim, Sungai Petani dan dia kemudian dimasukkan ke zon merah sebaik tiba di situ.

“Tidak lama kemudian, doktor keluar dan beritahu isteri meninggal dunia dan disahkan positif Covid-19,” katanya ketika dihubungi.

Bertarung Nyawa Seorang Diri, Tak Dapat Iring Ke Kubur

Mohd Fadli berkata, dia hilang kata-kata dan terkejut apabila diberitahu isterinya meninggal dunia akibat dijangkiti Covid-19 kerana tiada ahli keluarga mereka dijangkiti wabak itu.

Segalanya berlaku dengan pantas namun Mohd Fadli reda dengan ketentuan Ilahi walaupun sedih kerana tidak dapat menguruskan dan menatap jenazah isterinya buat kali terakhir sebelum dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kampung Pokok Asam, Sungai Petani.

“Arwah isteri tidak sempat diintubasi kerana meninggal dunia tidak lama selepas dimasukkan ke zon merah.

“Namun, pemergiannya tetap memberi kesan kerana anak dalam kandungan itu adalah zuriat kedua kami dan ketiga buat isteri kerana dia mempunyai seorang anak hasil perkahwinannya yang terdahulu.

“Saya tidak dapat bayangkan saat akhir arwah bertarung nyawa memandangkan tiada di sisinya dan paling menyedihkan apabila tidak dapat mengiringinya ke tanah perkuburan kerana perlu menjalani kuarantin,” katanya.

Baca Juga Di Sini:

‘Dalam Wad Uwan Paling Sihat..’ Umur 95 Tahun Diuji Positif Covid-19

Sekeluarga Positif, Isteri Saja Kritikal Hingga Akhir Hayatnya. “Saya Perlu Kuat Demi Anak.”

Ujian KEHILANGAN Ajar Kita Untuk Terima, Syukuri & Hargai Apa Masih Ada

‘Bergembiralah Di Syurga Bidadariku Siti Sarah’ Rezeki Solat Ghaib Di Makkah

‘The Other Half’, TIADA LAGI Isteri Yang Sentiasa Ada Saat Jatuh, Bangun Bersama

Ingat Pesanan Isteri Jaga Anak

Meskipun masih berduka, Mohd Fadli bersyukur kerana dia dan dua anak, Muhammad Danish, 6, dan Muhammad Adam Rykal, 3, bebas jangkitan Covid-19.

Katanya, mereka juga sudah selesai menjalani kuarantin pada 31 Julai lalu.

“Buat masa ini, saya tinggal di rumah keluarga dan mereka yang membantu menguruskan anak.

“Sebelum meninggal dunia ketika dalam perjalanan ke hospital, arwah isteri sempat berpesan supaya saya menjaga anak walau apa pun berlaku terhadapnya.

“Sebagai suami, saya akan cuba tunaikan permintaan terakhirnya untuk menjaga dan membesarkan anak kami selagi hayat dikandung badan,” katanya.

Mingguan Wanita : Al-Fatihah untuk arwah dan kepada suamiya, harapnya dapat meneruskan hidup serta menunaikan amanah allahyarham untuk menjaga anak-anak.

Sumber : myMetro

Mingguan Wanita juga boleh diikuti di

YouTube : https://www.youtube.com/c/MingguanWanitaOfficial

Telegram: https://t.me/bangkitwanitaMW

Twitter: https://twitter.com/mingguanwanita

Instagram: https://www.instagram.com/mingguanwanita

IKLAN