
“Berehatlah di syurga. Ketua jururawat Hospital Ampang meninggal bersama anak dalam kandungan. Tidak pernah cepat sesaat atau terlewat seminit. Takdir yang sudah tertulis buat semua.
Kemalangan motosikal yang berlaku di Ampang semalam meragut nyawa Ketua Jururawat Hospital Ampang, Rabiatul Adawiyah binti Che Hamid pada jam 2 petang semalam membawa kesedihan mendalam kepada warga kesihatan. Arwah yang sedang hamil disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian bersama anak dalam kandungannya menjadikan tragedi ini kehilangan dua nyawa serentak.

Lebih memilukan, seorang lagi anak arwah yang turut bersama ketika kejadian dilaporkan cedera parah dan kini dirawat secara kritikal di Jabatan Kecemasan Hospital Ampang. Keadaan itu menambah pilu buat rakan-rakan setugas yang masih sukar menerima hakikat bahawa insan penyayang itu pergi dalam sekelip mata.
Disifatkan rakan sekerja sebagai insan yang baik hati, pemergiannya amat ditangisi rakan yang mengenali arwah.
“Takputus-putus sahabat datang menziarahi kau, Adda. Dari hujan lebat yang mencurah tanpa henti, sampai ke tanah perkuburan. Ramai yang menghantar kau pulang. Ramai yang menjadi saksi perjalanan duniamu.
Kau memang orang yang baik, Adda. Allah permudahkan setiap urusan akhir hidupmu.
Semua orang mendoakanmu, semua bercerita tentang kebaikanmuyang tak pernah putus disebut. Allahuakbar… berat rasa hati melihat kasih yang mengiringi pemergianmu,”tulis rakan sekerja arwah.
Dalam satu kenyataan Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr. Dzulkefly Ahmad yang turut hadir merakam ucapan takziah buat keluarga yang bersedih dengan ujian ini.
“Dengan hati yang amat sedih dan hiba, saya bagi mewakili keluarga besar KKM menyampaikan ucapan takziah kepada keluarga Allahyarhamah Rabiatul Adawiyah binti Che Hamid, Ketua Jururawat Hospital Ampang, yang telah dijemput kembali ke Rahmatullah pada hari ini jam 2.00ptg, akibat kemalangan jalan raya.
Lubuk konten tentang inspirasi, rumah tangga dan macam-macam lagi,
MINGGUAN WANITA kini di
download sekarang!
Rezeki Anak Ramai, Usahawan Terima Cahaya Mata Ke-13 – “Sebagai Suami, Saya Sentiasa Doakan Isteri Jadi Ibu Terbaik”

“Rezeki anak ramai ini Allah SWT yang atur jadi siapa kita nak menidakkan pemberian-Nya…” Itulah ungkapan penuh syukur Shamsuri Shafie, 40, seorang bapa kepada 13 cahaya mata, yang melihat setiap kelahiran anaknya bukan beban, tetapi amanah dan kurniaan yang membuka pintu rezeki.
Dalam masyarakat hari ini, tidak semua mampu melihat anak ramai sebagai nikmat. Ada yang mempersoal kemampuan, ada yang bimbang dengan masa depan. Namun bagi Shamsuri, setiap kelahiran adalah tanda kasih sayang Allah SWT kepada dirinya dan isteri, Rosnaida Ismail, 39, yang baru melahirkan bayi lelaki mereka pada 23 November lalu dinamakan Muhammad Uwais Al Abbas, membawa maksud pemberian, pemimpin, berani serta sahabat Nabi. Baginya, rezeki anak ramai bukan sekadar ungkapan, tetapi sesuatu yang benar-benar dirasai dalam kehidupan seharian.

Anak Ramai Bukan Beban, Tetapi Sumber Kekuatan
Menurut Shamsuri, keluarga besar bukan perkara asing baginya kerana dia sendiri datang daripada keluarga yang mempunyai 13 adik-beradik. Maka menguruskan rumah tangga besar bukan sesuatu yang menggusarkan, malah sudah sebati. Beliau melihat bahawa setiap anak membawa karakter dan keunikan tersendiri yang menambah warna dalam kehidupan mereka sebagai keluarga besar.
Kini isterinya dalam tempoh berpantang, dan seperti selalu, Shamsuri mengambil alih hampir semua urusan rumah serta anak-anak. Katanya, tiada istilah kekok kerana pengalaman membesarkan 12 anak sebelum ini menjadikannya lebih cekap dan matang. Anak-anak yang lain dengan yang sulung berusia 20 tahun turut ringan tulang membantu menjaga adik mereka, mencerminkan nilai kebersamaan yang menjadi akar kekuatan keluarga berprinsip rezeki anak ramai.
Warga Maya Bising, Tetapi Isteri Bahagia
Mengulas komen warganet yang ‘simpati’ terhadap isterinya, Shamsuri menjelaskan bahawa apa yang dilihat di media sosial tidak menggambarkan kehidupan sebenar mereka. Sering kali, persepsi luar dipengaruhi oleh tekanan hidup zaman moden, yang membuatkan sesetengah orang menganggap keluarga besar sebagai beban.
Hakikatnya, isterinya sendiri gembira memiliki anak ramai, malah sifat keibuan dan kasih sayang yang Allah kurniakan padanya menjadikan setiap kelahiran itu disambut dengan rasa syukur, bukan tekanan. Baginya, setiap anak melengkapkan kehidupan mereka, dan keyakinan terhadap rezeki anak ramai memberi kekuatan emosi sepanjang proses membesarkan keluarga besar.
Sebagai suami, Shamsuri sentiasa memastikan isterinya tidak pernah melalui proses kehamilan dan bersalin sendirian. Mereka sentiasa bersama ke mana pergi sekalipun, keluarga tetap nombor satu. Sokongan ini bukan sekadar kata-kata, tetapi diamalkan sejak anak pertama hingga anak ke-13.

Tidak Menolak Rezeki Dari Allah SWT
Bagi Shamsuri, anak adalah sumber keberkatan hidup. Setiap kelahiran membawa rezeki tersendiri, dan dia serta isteri tidak menolak jika Allah ingin mengurniakan cahaya mata lagi pada masa depan. Prinsip menerima rezeki anak ramai ini menjadi asas kekuatan keluarga mereka yang sentiasa memandang kehidupan dengan hati yang lapang.
“Orang kata nanti dapat anak ke-14, saya ambil itu sebagai doa,” katanya sambil berharap rezeki keluarganya terus diluaskan dengan kelahiran mujahid kecil mereka. Bagi Shamsuri, setiap doa yang baik adalah simbol harapan bahawa keluarga besar ini akan terus hidup dalam keberkatan.
Anak Adalah Amanah, Bukan Penghalang Rezeki
Kisah Shamsuri dan Rosnaida mengajar kita bahawa rezeki setiap manusia sudah ditentukan oleh Allah. Ramai atau sedikitnya anak bukan ukuran, kerana yang paling penting ialah kesyukuran, usaha dan saling membantu dalam keluarga. Nilai ini bukan sahaja membina hubungan kasih sayang, tetapi juga membentuk kekuatan mental dalam menghadapi cabaran hidup.
Dalam dunia yang semakin materialistik, kisah keluarga besar ini mengingatkan kita bahawa bahagia tidak semestinya datang daripada kesempurnaan, tetapi daripada redha, kasih sayang dan keyakinan bahawa Allah tidak pernah silap dalam aturanNya. Konsep rezeki anak ramai memberi perspektif bahawa setiap kelahiran membawa peluang, keberkatan dan ruang untuk membina masa depan yang lebih bermakna.
Sumber: Harian Metro
Follow kami di TELEGRAM, INSTAGRAM, TIKTOK, FACEBOOK, TWITTER dan YOUTUBE
Lubuk konten tentang inspirasi, rumah tangga dan macam-macam lagi,
MINGGUAN WANITA kini di
download sekarang!
Elisya Sandha Tunangan Anak Sheila Rusly “Sebagai Ibu Saya Gembira, Mereka Saling Melengkapi & Memahami”

Tahniah diucapkan buat pelakon yang juga adik kepada Fasha, Elisya Sandha, 21 yang baru saja bertunang dengan anak kepada penerbit dan pelakon hebat, Sheila Rusly.
Beberapa hari lalu, Sheila telah menyunting Elisya buat anakandanya, Uzair Haqimy atau lebih mesra dengan pagilan Haq, 25 sebagai bakal suaminya.

Elisya Sandha Bakal Menantu Sulung Sheila Rusly
Elisya dan anaknya sudah lama berkawan dan sebagai ibu dia berasa sangat gembira dengan keputusan anaknya itu.

“Mereka sudah lama berkawan sejak Elisya tamat belajar lagi. Cuma, hubungan tidaklah begitu serius seperti hari ini.
“Sebagai ibu, sudah tentu saya gembira dengan keputusan ini. Mereka berasakan sudah bersedia melangkah ke fasa seterusnya
“Majlis merisik, hantar tanda dan bertunang diadakan. Mengikut perjanjian, mereka akan disatukan awal tahun depan,” ungkap Shiela.
Seperti mana dilaporkan menerusi Portal BH Online juga, Sheila turut menyatakan majlis pertunangan tersebut telah diadakan secara sederhana dan dihadiri 15 tetamu itu berlangsung di kediaman Fasha Sandha.

Yakin, Elisya Mampu Membahagiakan Anak Lelakinya
Sebagai ibu kepada anak jejaka, Sheila mengorak langkah awal dan merancang majlis pertunangan.
“Bila Haq dan Elisya sudah bersedia, pihak lelaki kenalah mulakan langkah. Perancangan bertunang pada Januari sudah diputuskan lebih awal. Ini kerana kami kena fokus untuk menyambung kerja penggambaran yang tertangguh selepas ini.
“Apabila bertunang, ia akan memudahkan lagi urusan kami membuat persediaan seperti mencari lokasi dan persiapan lain,” ungkapnya yang turut menyatakan Elisya diyakini mampu membahagiakan anak sulungnya itu. 
Sheila juga amat memahami jiwa bakal menantunya dan akui Elisya begitu memahami Haq.
“Dia sangat memahami Haq, manakala Haq pula pernah berkata yang jika ingin berkahwin, bakal isterinya mestilah Elisya. Pada awalnya, saya sangka ia hanyalah perbualan biasa.
“Namun, saya anggap ia adalah perkara yang serius apabila Haq sebut perkara ini berulang kali. Mereka saling melengkapi dan saling memahami antara satu sama lain,” kongsi Sheila lagi.
Baca Disini Juga:
‘Baik Single Daripada BERSAMA Orang Yang Salah’ Padu Pesan Fasha Sandha
Rezeki Mudah Hamil, Pesan Fasha Sandha “Percayalah Pada Keajaiban Doa..”

Sumber: BH Online
Sumber Foto: Instagram Elisya Sandha
Follow kami di :
Facebook Mingguan Wanita
Instagram Mingguan Wanita
Twitter Mingguan Wanita
Lubuk konten tentang inspirasi, rumah tangga dan macam-macam lagi,
MINGGUAN WANITA kini di
download sekarang!
Doa Asmaul Husna Selamatkan Ustazah Shadiya Dan Ustaz MK Azman Sekeluarga

Pada bulan April 2018 lalu masyarakat telah dikejutkan dengan kemalangan yang menimpa penceramah agama ustaz Muhammad Khairul Azman Md Daud atau lebih dikenali dengan nama MK Azman bersama isterinya ustazah Shadiya Abbas dan dua orang anak mereka, Ahmad Al’Izz dan Ana Soffya.
Mengimbas kembali kemalangan tersebut, ustaz MK Azman berkata musibah itu berlaku pada pagi Rabu, 11 April 2018.
“ Malam sebelumnya selepas kuliah di Gombak, saya mengambil kereta di bengkel yang terletak di Rawang. Lebih kurang pukul 2.00 pagi kami bergerak balik ke Kedah. Keadaan dari segi fizikal masa itu saya memang tidak cukup rehat. Tetapi kami mengejar masa untuk balik ke kampung mengambil emak yang mahu mengerjakan umrah.
“Kami singgah sebentar di Tg Malim untuk berhenti minum dan makan. Isteri mencadangkan agar saya tidur terlebih dahulu jika tidak larat. Tetapi saya tidak mahu. Dalam perjalanan itu, apabila kami sampai di Hentian Rawat dan Rehat Tapah, kami berhenti minum. Saya tidur seketika dan bangun semula untuk solat subuh.
“ Selesai solat kami meneruskan perjalanan. Sepanjang perjalanan, kami terserempak dengan lori-lori. Dua kali terserempak dengan lori dan hampir-hampir jugalah kemalangan. Entah bagaimana pada kali ketiga, ketika saya hendak memotong sebuah lori itu, lori itu masuk ke arah kanan. Tidak sempat saya hendak brek, terus terlanggar belakang lori. Kejadian itu berlaku lebih kurang pukul 6 pagi,” ujar ustaz MK Azman.
Hentaman itu menyebabkan Ustaz MK Azman dan keluarga yang terdiri daripada Ustazah Shadiya Abbas dan kedua anak mereka iaitu Ahmad Al’Izz dan Ana Soffya tidak sedarkan diri.
“ Selepas perlanggaran saya tidak sedar tetapi saya mendengar panggilan daripada anggota Bomba yang datang menolong. Masa itu keadaan saya itu pejam mata tetapi mampu mendengar suara-suara di sekeliling. Ada yang beri salam dan suruh kami bersabar.
“ Saya jawab salam. Anggota Bomba itu tanya hendak telefon siapa ini. Saya minta dia telefon mak mentua saya kerana telefon isteri saya tidak dikunci. Anak saya yang berumur 7 tahun berada di bahagian belakang kereta manakala anak yang berumur setahun lebih berada di pangkuan isteri. Anak sedang menyusu ketika kemalangan berlaku.
Alhamdulillah setakat ini anak-anak kami itu tidak mengalami sebarang kesan daripada kemalangan yang telah berlaku. Anak saya sedar selepas kemalangan dan beritahu saya pemandu lori yang menolong dia keluar daripada kereta,” sambungnya lagi.
Akibat kemalangan itu juga telah menyebabkan ustaz MK Azman patah Sembilan tulang rusuknya. Dia juga mengalami pendarahan di kepala. Nasib baik tidak serius pendarahan tersebut. Manakala isterinya ustazah Shadiya cedera teruk di wajah dan lengan tangan kanannya patah. Keluarga mereka ini telah dihantar ke Hospital Tuanku Ampuan Bainon, Ipoh, Perak.
“ Saya masuk hospital pukul 3.00 pagi dan kemudian ditidurkan di ICU. Isteri juga di ICU. Kami berada dalam keadaan separa kritikal. Anak-anak pula selepas kemalangan itu telah dimandikan oleh jururawat. Mereka berdua kemudian telah ditidurkan,” tambah Ustaz MK Azman lagi.

Nampak cahaya putih
Daripada penceritaan anggota Bomba, ustazah Shadiya dan anak yang dipangku berada dalam kedudukan terperosok di bawah ketika mahu menyelamatkan mereka. Anggota Bomba terpaksa memotong kereta untuk mengeluarkan mereka. ustazah Shadiya tersepit manakala anaknya tidak.
Menurut ustazah Shadiya keadaan itu berlaku berkemungkinan kerana ketika kemalangan itu dia sedang menyusukan anaknya. Dia bersyukur dengan keadaan tersebut.
“ Saya bersyukur kerana ketika kemalangan itu saya memakai tali pinggang keledar. Akibat hentakan saya menggelongsor ke bawah. Anak saya ikut sekali menggelongsor. Dalam keadaan tersebut saya tidak dengar bunyi tangisan bayi. Saya Cuma dengar orang bagi salam. Selepas itu dia suruh sabar. Masa itu saya hanya mampu panggil suami. Saya dengar respons dia. Dia hanya mampu jawab ‘huuh’. Dua kali saya tanya dua kali dia jawab begitu.
“ Semasa kemalangan itu saya tidak begitu yakin yang kami sedang telah mengalami kemalangan. Tidak rasa sakit Cuma rasa tangan tidak boleh bergerak. Ketika itu saya dalam keadaan tertanya-tanya apa yang berlaku. Masa minda dalam keadaan bercelaru itu terlintas satu doa dalam fikiran. Saya hanya ingat doa Asmaul Husna.
“ Saya teringat kalau sesiapa baca doa ini Allah akan makbulkan doa mereka walaupun hanya terlintas dalam hati. Saya baca doa dan minta pada Allah agar semua dalam kereta ini hidup selamat. Selesai baca doa, terus pandangan saya gelap. Saya tidak sedar apa-apa,” imbaunya lagi.
Akibat kemalangan lengan kanannya patah. Mukanya koyak. Hidungnya terbelah. Urat darah hidung putus. Daging bibir sudah tanggal. Doktor telah melakukan pembedahan plastik memperbaiki wajahnya. Kini sesiapa sahaja yang bertemu dengan dirinya sudah pasti akan dapat melihat parut pada wajahnya.
Cerita ustazah Shadiya lagi, selepas beberapa hari kejadian, dia dan suaminya pergi ke balai polis untuk membuat laporan. Anggota polis berkata sewaktu mereka menerima panggilan pertolongan ketika kemalangan itu ingat keluarga ini telah meninggal dunia.
“ Polis berkata lokasi kejadian kemalangan itu adalah lokasi kejadian berdarah. Di situ jugalah di mana mendiang Karpal Singh meninggal dunia. Jadi bila mengetahui kami hidup mereka terkejut sebab dua hari sebelum kejadian kemalangan kami itu, telah ada kemalangan lain yang melibatkan kematian.
“ Saya masih ingat lagi sebaik sedar daripada kemalangan saya perasaan tubuh kami telah diselaputi kaca. Persamaan kami ketika itu adalah kami terpaksa menelan serbuk kaca. Sewaktu di hospital apabila jururawat tanya bagaimana keadaan, saya tidak boleh kata apa-apa. Cuma pada masa itu saya rasa fikiran ini agak lapang sahaja. Saya sudah reda.
“ Masa itu saya sudah sedar yang saya telah mengalami kemalangan. Saya bertanya pada doktor adakah suami dan anak-anak selamat. Anak-anak saya hidup tak? Doktor risau kerana saya asyik bertanya soalan-soalan sama. Selepas itu jururawat memberitahu bahawa suami saya sedang dirawat di bilik sebelah. Manakala anak-anak telah dimandikan dan sedang tidur.
“ Terus saya senyap mendengar penjelasan jururawat. Doktor pula asyik bertanya nama saya siapa dan sebagainya. Dia bertanya begitu untuk melihat sama ada saya berada dalam keadaan waras. Daripada situasi itu saya banyak dapat pengajaran.
“ Semasa dibawa masuk ke hospital saya berada dalam keadaan Nampak dan tak Nampak sahaja. Semasa berada di ICU saya Nampak cahaya putih sahaja. Saya Nampak orang dalam bentuk bayang-bayang. Mujurlah walaupun kaca penuh di muka, kaca itu tidak masuk ke mata. Itu yang membuatkan doktor hairan,” jelasnya.
100 Jahitan Di Muka

Sehingga sekarang, ustaz MK Azman dan ustazah Shadiya masih menjalani proses penyembuhan. Pembedahan plastik memperbaiki wajah membuatkan ustazah Shadiya menerima 100 jahitan pada muka.
Parut di mukanya jelas kelihatan dan mengambil masa untuk sembuh. ustazah Shadiya berharap bengkak pada mukanya akan surut dan kembali seperti biasa.
“ Kami berdua kena reda sepanjang tempoh penyembuhan. Sekarang ini saya perlu melakukan rawatan fisio untuk tangan kanan yang patah. Saya yakin semua yang berlaku ini ada kebaikannya. Ujian ini datang daripada Allah.
“ Saya tidak rasa dukacita atau murung. Kita yakin benda itu berlaku sebab Allah hendak beri satu benda yang lebih baik. Saya yakin selain daripada itu faktor doa daripada orang lain sangat penting. Doa mak ayah, kawan-kawan, adik-beradik dan doa orang yang mendapat manfaat daripada kita.
“ Doa orang yang mengenali kita tetapi kita tidak mengenali mereka. Doa sebab mereka berasa kasihan pada kita. Doa-doa ini sangat penting dalam hidup kita. Nasihat saya pada semua buatlah baik pada semua orang sebab kita tidak akan tahu siapa yang akan menyantuni kita,” pesannya.
Akhir kata, ustaz MK Azman dan ustazah Shadiya menasihatkan semua umat Islam agar mengamalkan doa membaca naik kenderaan setiap kali keluar rumah.
“ Kalau kelalaian itu daripada kita atau daripada faktor ketiga yang tidak disangka, doa itu penting. Sebagai orang Islam doa itu senjata kita kerana ia mampu menghalang benda yang kita tidak boleh kawal,” akhirinya.
Foto: Azfarina Sulaiman dan koleksi peribadi Ustazah Shadiya Abbas
Lubuk konten tentang inspirasi, rumah tangga dan macam-macam lagi,
MINGGUAN WANITA kini di
download sekarang!

