
Bekas Isteri Vokalis Dakwa Jadi Mangsa Keganasan Rumah Tangga
Bekas isteri kepada seorang vokalis kumpulan muzik tampil membuat pendedahan mengejutkan apabila mendakwa dirinya menjadi mangsa keganasan rumah tangga sepanjang tujuh bulan bergelar isteri. Pendedahan itu sekali lagi membuka mata masyarakat bahawa keganasan rumah tangga tidak mengenal status, pangkat atau populariti.
Wanita berkenaan, Suraya Zainal, 41, mendakwa penderitaan yang dialaminya bukan sekadar melibatkan tekanan emosi, malah turut merangkumi penderaan fizikal yang berlaku setiap kali tercetus perselisihan faham dalam rumah tangga mereka.

Hidup Dalam Ketakutan Sepanjang Perkahwinan
Menurut Suraya, sepanjang tempoh perkahwinan, dia hidup dalam keadaan tertekan dan sentiasa dibayangi rasa takut, khususnya apabila sering diugut dengan lafaz cerai setiap kali berlaku konflik.
“Selama tujuh bulan kahwin, dia dera mental dan fizikal saya. Saya hidup dalam ketakutan, takut diceraikan. Saya tak boleh tegur, kecil hati atau bersuara sebab akan jadi pergaduhan,” katanya.
Tambah Suraya, sebarang perbezaan pendapat sering berakhir dengan makian, penghinaan serta ugutan, sekali gus membuatkan dirinya berasa terperangkap dan tidak berdaya mempertahankan diri.
Dihina Dan Dijatuhkan Maruah Sebagai Wanita
Lebih menyedihkan, Suraya mendakwa dirinya sering direndahkan maruah dengan kata-kata kesat serta perbandingan yang menjatuhkan harga diri sebagai seorang wanita.
“Dia panggil saya janda bodoh, tiada pelajaran dan cakap dia boleh dapat lebih baik daripada saya. Dia bangga dengan status artis, sedangkan saya dianggap tidak bernilai,” luahnya.
Menurut Suraya, penghinaan yang berulang kali itu memberi kesan besar terhadap keyakinan diri serta kesihatan mentalnya, sehingga membuatkan dia berasa seolah-olah tidak layak dihormati.

Dakwaan Penderaan Fizikal Dan Laporan Polis
Berdasarkan laporan polis yang pernah dibuat, Suraya mendakwa bekas suaminya bertindak mencekik leher, menendang dada dan muka, memijak wajah serta membantingnya ke lantai ketika berlaku pertengkaran.
Bagaimanapun, Suraya mengakui kesilapannya kerana tidak mendapatkan rawatan perubatan segera selepas kejadian, sekali gus menyukarkan pengumpulan bukti sokongan bagi aduan yang dibuat.
Dakwaan Curang Dan Tinggalkan Rumah
Selain penderaan mental dan fizikal, Suraya turut mendakwa bekas suaminya sering meninggalkan rumah selama beberapa hari setiap kali berlaku pergaduhan, selain menjalin hubungan dengan wanita lain.
“Setiap kali gaduh, dia keluar berhari-hari dan curang. Bila buka telefon, TikTok penuh dengan perempuan separuh bogel. Bila saya tanya, dia kata itu kerja,” dakwanya.
Pendedahan Dibuat Selepas Ugutan
Suraya menjelaskan pendedahan ini dibuat selepas bekas suaminya didakwa mengugut untuk menularkan perkara tertentu susulan keengganannya membayar bil telefon tertunggak.
Difahamkan, Suraya merupakan bekas isteri keenam kepada penyanyi tersebut dan pasangan itu telah berpisah pada 11 Ogos tahun lalu. Dia turut mendakwa dirinya bukan mangsa tunggal, sebaliknya percaya bekas isteri-isteri terdahulu juga pernah melalui pengalaman hampir sama.
Keganasan Rumah Tangga Bukan Isu Peribadi
Pendedahan ini sekali lagi mengingatkan masyarakat bahawa keganasan rumah tangga bukan isu peribadi yang harus disembunyikan. Penderaan emosi, mental dan fizikal merupakan satu bentuk keganasan serius yang tidak boleh dinormalisasikan atas nama perkahwinan.
Mingguan Wanita menyeru agar wanita yang berdepan situasi sama tampil mendapatkan bantuan dan sokongan sewajarnya. Tiada wanita yang layak dihina, disakiti atau hidup dalam ketakutan demi mempertahankan sebuah perkahwinan.
SUMBER : Hib Glam
Lubuk konten tentang inspirasi, rumah tangga dan macam-macam lagi,
MINGGUAN WANITA kini di
download sekarang!




