Dalam Negara

Bekas Finalis MasterChef Dan Bekas Suami Dipenjara 34 Tahun, Dera Amah Hingga Maut

Share

Bekas finalis MasterChef dan bekas suami dipenjara 34 Tahun, dera amah hingga maut. Seorang bekas peserta akhir rancangan realiti MasterChef Malaysia bersama bekas suaminya dijatuhi hukuman penjara selama 34 tahun oleh Mahkamah Tinggi Kota Kinabalu selepas disabitkan bersalah membunuh pembantu rumah mereka empat tahun lalu.

Bekas Finalis MasterChef Dan Bekas Suami Dipenjara 34 Tahun, Dera Amah Hingga Maut

Tertuduh lelaki, Mohammad Ambree Yunos @ Unos, 44, turut dikenakan 12 sebatan. Manakala, bekas isterinya, Etiqah Siti Noorashikeen Mohd Sulong, 37, dikecualikan daripada hukuman sebat secara mandatori kerana faktor jantina sebagaimana diperuntukkan dalam Seksyen 289 Kanun Tatacara Jenayah.

Hakim Datuk Dr Lim Hock Leng ketika membacakan keputusan menyatakan kedua-dua individu tersebut didapati bersalah atas tuduhan membunuh Nur Afiyah Daeng Damin, 28, yang bekerja sebagai pembantu rumah mereka di sebuah kondominium di Penampang dalam tempoh antara 8 hingga 11 Disember 2021.

Kredit foto; Sinarplus

Menurut beliau, pihak pendakwaan berjaya membuktikan kes itu melangkaui tahap keraguan munasabah, manakala pihak pembelaan gagal menimbulkan sebarang keraguan terhadap pertuduhan yang dikenakan.

Dalam penghakiman tersebut, mahkamah menekankan bahawa elemen penting dalam pertuduhan telah dibuktikan secara jelas termasuk fakta bahawa kematian mangsa berpunca daripada kecederaan fizikal, kecederaan itu dilakukan oleh tertuduh dengan niat seperti diperuntukkan dalam Seksyen 300(c) Kanun Keseksaan, dan kedua-duanya bertindak secara bersama.

Walaupun kedua-dua peguam bela mengemukakan rayuan secara bersungguh-sungguh bagi meringankan hukuman, mahkamah tetap menekankan bahawa kekejaman yang dialami mangsa tidak boleh diketepikan.

Faktor-faktor seperti jenis kecederaan dan cara ia dilakukan dalam jangka masa yang panjang turut diambil kira dalam penetapan hukuman.

Kedua-dua tertuduh disabitkan kesalahan di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman mati, atau penjara minimum 30 tahun dan maksimum 40 tahun. Sekiranya tidak dihukum mati, pesalah lelaki wajib dikenakan sekurang-kurangnya 12 sebatan.

Mohammad Ambree diwakili oleh peguam Datuk Ram Singh, manakala Etiqah diwakili oleh Datuk Seri Rakhbir Singh.

Sumber: Sinar Harian

Baca artikel lain juga: Warga Emas Tegur Remaja Main Motosikal Maut Dipukul Besi Cota

 

Follow kami di TELEGRAM, INSTAGRAM, TIKTOK, FACEBOOK, TWITTER dan YOUTUBE

Published by
Has