
Salah seorang daripada tiga bayi kembar perempuan kepada pasangan Mejar Ir. Ts. Mohd Fikry Amri Abdul Halim, 40, dan isterinya, Sabrina Hakiem Zaini, 40, dilaporkan dalam keadaan membimbangkan selepas dilahirkan pramatang di Hospital Melaka pada usia kandungan 31 minggu. Keadaan ini menarik perhatian ramai selepas berita mengenai bayi kembar tiga pramatang tersebut tular di media sosial.
Keadaan Bayi Kembar Tiga Pramatang Di Hospital Melaka
Menurut Mohd Fikry, ketiga-tiga bayi kini berada di bawah pemantauan pakar perubatan. Namun, seorang daripadanya, Mariam Al Kawla, ditempatkan di Unit Rawatan Rapi Neonatal (NICU) bagi pemerhatian lebih rapi berikutan keadaan kesihatannya yang agak lemah.
Sementara itu, dua lagi bayi mereka, Mariam Al Lubna dan Al Arwaa, ditempatkan di wad Special Care Nursery (SCN) atau Wad Rawatan Khas Bayi dan menunjukkan perkembangan positif selepas kelahiran secara pembedahan caesarean yang dilakukan kerana risiko tinggi kandungan kembar tiga.

Keputusan Percepatkan Kelahiran Dan Pemantauan Rapi
Menurut Mohd Fikry seperti yang dilaporkan Kosmo online keputusan untuk mempercepatkan kelahiran dibuat selepas doktor mendapati ruang rahim semakin padat dan boleh menjejaskan keselamatan ibu serta bayi jika dibiarkan sehingga tempoh matang.
“Bayi kami dilahirkan pada usia 31 minggu kerana keadaan kandungan kembar tiga yang menyebabkan ruang rahim menjadi terlalu padat dan berisiko kepada ibu serta anak-anak. Alhamdulillah, isteri saya selamat dan dua daripada bayi kami kini menunjukkan perkembangan baik.
“Namun, seorang lagi, Al Kawla masih dalam pemantauan rapi, bergantung kepada ubat yang doktor bagi,” katanya kepada pihak media ketika ditemui di Hospital Melaka.

Berat Dan Perkembangan Bayi
Tambah beliau, Al Kawla mempunyai berat paling rendah berbanding dua kembarnya, iaitu sekitar 1.78 kilogram. Menurutnya lagi, setiap bayi menerima penjagaan rapi bagi memastikan kesihatan mereka stabil dan berkembang dengan baik.
“Sebagai ibu bapa, sudah tentu hati kami risau tetapi emosi isteri saya stabil dan kami reda serta percaya kepada ketentuan Allah. Kami berterima kasih atas sokongan dan doa rakyat Malaysia, dan memohon agar semua terus mendoakan kesemua anak kami supaya membesar dengan sihat dan kuat,” ujarnya lagi.

Perjalanan Hidup Penuh Dugaan
Untuk rekod, pasangan ini pernah menjadi perhatian ramai apabila anak sulung mereka, Muhammad Al Fateh Amri, meninggal dunia pada usia lapan bulan selepas dihantar ke sebuah taska di Kelemak. Kisah duka itu kini kembali mengundang simpati ramai apabila bayi kembar tiga pramatang mereka berdepan ujian besar seawal kehidupan.
Semoga ketiga-tiga bayi ini terus kuat berjuang dan diberi kesihatan yang baik. Doa orang ramai amat diharapkan agar keluarga ini diberi kekuatan menghadapi ujian ini dengan tabah dan penuh kesabaran.
Artikel berkaitan: Mejar Mohd. Fikry & Isteri Mohon Doakan Tiga Puteri Kembar Doakan Kesihatan Anak-anak Triplet Kami Yang Masih Di NICU
Follow kami di TELEGRAM, INSTAGRAM, TIKTOK, FACEBOOK, TWITTER dan YOUTUBE
Lubuk konten tentang inspirasi, rumah tangga dan macam-macam lagi,
MINGGUAN WANITA kini di
download sekarang!




