Ego suami tinggi melangit, langsung tak mahu jejak rumah mentua setiap kali tiba hari raya. Selepas anaknya kau nikahi, kau ambil dia hinggakan hari besar Aidilfitri pun kau tak bawa isteri ke rumah ibu ayahnya.
Dari mula kahwin sampailah beranak pinak, isteri terpaksa rela ikut suami di rumah mentua. Susah sangatkah nak bawa isteri ke rumah ibu ayahnya sendiri? Ibu ayah yang pernah membesarkan isteri mu wahai suami?
Nasihat Ustazah Asma Harun ini untuk para suami yang sejenis tidak mahu memahami. Ketahuilah suami yang meraikan kebahagiaan hati isterinya, Allah akan ganjarkan hati yang tenang lagi bahagia.
Suami Bahagiakan Hati Isteri, Bawa Beraya Di Rumah Ibu Ayahnya
Duhai para Suami, bahagiakanlah isteri kalian, insan yang paling setia meredah susah perit jerih bersama.
Bahkan sanggup menggadaikan nyawanya demi melahirkan zuriat kalian, sebaik lahir si anak nama kalian yang di bin atau di bintikan.
Ads
Saya mendoakan kepada para suami yang mengenepikan perasaan isteri setiap kali eidulfitri, yang sengaja membutakan mata hati daripada melihat air jernih mengalir di pipi. Namun tetap tega hanya membiarkan, malah kalian tetap senyum bahagia di eidulfitri.
Saya doakan tahun ini, setelah bertahun-tahun, bahkan sepanjang pernikahan, kalian bawalah si isteri menikmati bahagia. Mendengar alunan takbir raya pertama di rumah ibu ayahnya.
Di rumah itulah dia diasuh dibesarkan sehingga akhirnya diserahkan kepada kalian untuk dicurahkan keringat baktinya.
Tetapi sejauh mana kalian menjaga amanah yang Allah berikan, memimpin isteri ke Syurga dunia dan akhirat, kebajikannya dijaga dan perasaannya dihargai.
Ads
Bertahun Kahwin, Suami Tak Pernah Beraya Rumah Mak Ayah Isteri
Saya rasa sedih bila menerima banyak mesej luahan rasa yang dipendam sekian lama. Sepanjang pernikahan belasan tahun, bahkan ada yang lebih lama.
Sehingga telah pergi selamanya si ayah atau si ibu. Suami tidak pernah mahu menyambut eidulfitri hari pertama kedua di rumah si isteri. Tidak ada istilah giliran tidak ada rasa kasihan.
MW : Semoga tahun ini ada kesedaran di hati suami, turunkan egomu itu dan raikanlah hari bahagia ini dengan membahagiakan hati isteri yang banyak berkorban jiwa raga.
Susah sangat ke suami nak dengar cerita biasa biasa isteri itu? Sampai bila isteri call, bukan niat nak ‘search and check’ suami kat mana pun, cuma nak ajak sembang je. Itu pun suami tak sudi nak angkat dan dengar.
Hadamkan perkongsian Saiful Bahari ini. Kalau ada suami yang dapat faham, gembira betul hati isteri tu. Nanti suami pun gembira sama.
“Bang nak tahu tak harinie kan ada kucing gaduh kat belakang.”
“Bang tadi kan masa saya masak saya boleh terlupa letak garam.”
“Bang harinie anak taknak tidur langsung, main jee.”
Itulah kadang lontaran lontaran kata ketika kau muncul depan si isteri.
Rimas eh bang? Nampak remeh kan bang?
Sabar bang. Tahu kau penat balik kerja. Konon kau nak rehat tanpa diganggu. Kau ada terfikir tak bang kenapa isteri kau nak bersembang walaupun topik remeh?
Sebab dia seharian bang tunggu kau balik, dia sorang sorang je dalam rumah takde kawan nak berbual. Memang tertunggu tunggu kau balik.
Whatsapp kau tak balas, call tak angkat. Kalau balas message pun sepatah dua. Yelah. Kau busy kan. Nak buat kerja lain. Nak sembang dengan officmate lain. Jumpa client lain. Yelah waktu kerjakan.
Jadi kau dapat bayangkan bertapa rasa “sendirinya” isteri kau dalam rumah tu. Dia nak berbual takde kawan. Dia nak buat apa apa pun buat sorang sorang. Paling tidak pun dia bercakaplah dengan diri dia sendiri.
“Eh aku tadi dah masukkan garam ke belum?”
“Eh kain jemur dah kering tak tu?”
“Lepas nie sapu sampah, boleh masak pulak lah”
Kau kena faham juga situasi mereka bang. Tak boleh dibiarkan. Apa yang mereka perlukan seorang pendengar yang baik je. Itu je. Bukan di suruhnya kau buat pun kerja kerja tu.
Jadilah pendengar yang baik bang. Kau kan suami. Memang mulut orang perempuan nie suka bercakap. Jadi tugas kau pulak kena mendengar. Barulah orang kata ada “keadilan” di situ.
Percayalah bang, kau tak perlu mengunakan tenaga yang banyak pun. Kau hanya fokus je pada apa yang isteri kau nak cakap. Tengok muka dia. Tengok cara dia bercakap. Tengok reaksi dia. Ini pun sebenarnya ciri ciri pendengar yang baik. Mudah kan?
Tak perlu pun kau menyangkal ke, membidas ke. Cerita cerita biasa tu kau iyakan je. Kau tak perlu serius sangat pun. Bukan dia nak kau perah otak untuk fikir apa perlu ke tak dia buat tu. Si isteri nie hanya nak kau dengar je bang. Kau layan je dengar tu.
Tambahan, sebenarnya dia rindu kau bang. Sebab tu dia beriya iya cerita dengan kau. At least bila dia nampak kau bersungguh untuk dengar cerita dia. Kau rasa dia boleh tidur ke malam tu? Silap silap tersenyum puas sampai ke pagi. Lepas tu sepagi yang mungkin dia dah siapkan sarapan untuk kau bang. Kikiki.
Jadi bang, elakkan untuk kita abaikan apa yang isteri cuba bercerita. Sebab dari situ kau dah membuatkan si isteri rasa “down”. Buat dia memendam rasa, makan hati.
Benda macam tu nampak remeh, tapi lama kelamaan boleh jadi penyakit bang. Tak kesian ke? Kau nak ke isteri kau kemurungan, meroyan, atau tekanan. Hanya sebab dia tak dapat luahkan apa dia rasa je. Hanya sebab kau taknak dengar dia bercerita. Kau rasa berbaloi ke?
Jadi mulai harinie kau cubalah ubah bang dari orang “malas dengar” kepada “suka mendengar”. Insyallah ada putik putik kebahagian akan muncul. Orang perempuan nie kalau dia rasa bahagia, kau akan dapat sesuatu yang unexpected.
Tak percaya kau cubalah bang.
Sumber/Foto : Saiful Bahari yang suka menulis hal bisnes, motivasi, dan isu isu kekeluargaan.
Lubuk konten tentang inspirasi, rumah tangga dan macam-macam lagi,
MINGGUAN WANITA kini di
download sekarang!
Ramai yang sensitif bila menyebut isu poligami. Sukar untuk menemui keluarga yang bahagia dan harmoni dalam menyatukan kesemua anak-anak dan isteri-isteri.Lebih-lebih lagi sama-sama meraikan sambutan Aidilfitri.
Namun bagi Mohd Fazil Mohd Dali, 44, setiap tahun, keluarga besarnya merayakan Hari Lebaran secara beramai-ramai tanpa timbul sebarang masalah.Malah begitu seronok dapat meraikannya bersama-sama 4 orang isteri dan 14 orang anak serta menganggapnya ia rezeki yang dikurniakan Allah SWT.
“Memang seronok dapat beraya dengan empat isteri dan 14 anak, dan saya menganggap ia rezeki diberikan Allah SWT.”
Mohd Fazil bersyukur menyambut Aidilfitri bersama empat isteri, iaitu Harlinda Suparman, 44; Suhana Mokhtar, 40; Nur Izzati Mad Wazi, 33; dan Khairatul Azwa Khairul Anwar, 36, serta 14 anak berusia antara dua hingga 18 tahun daripada enam perkahwinannya.
Beliau berkata, mereka lazimnya berkumpul di rumah isteri pertama pada malam raya untuk membuat persiapan menyambut Aidilfitri, selain memenuhi amalan akhir Ramadan dengan pengisian keagamaan yang menjadi kunci kebahagiaan.
“Selepas bertakbir raya, kami berkumpul di ruang tamu untuk membaca kitab taalim fadilat amal selama 90 minit sebelum mula membuat persiapan menyambut Aidilfitri dan saling bermaafan,” katanya yang juga pemilik gimnasium ketika ditemui di rumahnya di Kampung Pandan, di sini.
Mohd Fazil berkata, persiapan wajib seperti baju raya untuk semua isteri dan anak sudah dibuat dari awal Ramadan bagi membolehkan ahli keluarganya memberi tumpuan kepada amalan 10 malam terakhir Ramadan.
“Ramai yang bertanyakan rahsia kebahagiaan saya dan jawapannya ialah bergantung pada sejauh mana amalan serta tanggungjawab ditunaikan sebagai seorang ketua keluarga dan bapa.
“Saya menyatukan semua isteri dan anak bukan melalui kekerasan atau paksaan tetapi secara berhemah serta kasih sayang, selain mengerjakan suruhan Allah SWT dan meninggalkan larangan-Nya.
“Selain solat berjemaah dan membabitkan semua isteri serta anak dengan majlis ilmu agama di masjid, amalan makan di dalam talam dan saling menyuap juga antara rahsia pengikat kasih sayang kami sekeluarga,” katanya.
Setiap tahun, Mohd Fazil berkata, mereka sekeluarga akan beraya di rumah mentua secara bergilir-gilir di Perak, Melaka, Kuala Lumpur dan Negeri Sembilan.
“Walaupun kami beraya bersama, saya tidak mewajibkan isteri atau anak berpakaian sedondon. Mereka bebas memilih warna mengikut cita rasa masing-masing.
“Biasanya, kami akan berkonvoi ke masjid untuk menunaikan solat sunat Aidilfitri sebelum berkunjung ke rumah saudara terdekat selepas bersarapan,” katanya.
Sementara itu, Harlinda berkata, beliau seronok beraya bersama tiga madu dan semua anak, malah mereka saling membantu dalam segala urusan keluarga.
“Setiap anak dilayan sama rata dan isteri juga tiada iri hati terhadap satu sama lain kerana keutamaan kami ialah muafakat, kerjasama dan saling menghormati serta membahagiakan.
“Kami bertuah kerana dianugerahkan seorang suami yang rajin berusaha mencari rezeki untuk keselesaan keluarga, terutama anak, tetapi pada masa sama tidak mengabaikan tanggungjawab mencurah kasih sayang kepada kami,” katanya.
MW: Bukan mudah untuk sepakat dan hidup dalam keadaan harmoni apabila berpoligami. Tanpa pegangan agama yang kukuh, sikap suami yang bertanggungjawab dan adil dalam mengemudi rumahtangga.
Raya kan sebulan! Sepanjang Syawal ini pasti ramai yang ambil kesempatan untuk mengadakan rumah terbuka buat rakan-rakan dan saudara mara. Kata orang, sambil bersilaturahim, boleh juga menambah pahala berkongsi rezeki dengan orang lain.
Bila sebut tentang rumah terbuka, pernahkah anda melihat situasi ini (atau terjadi pada diri sendiri?), si suami sibuk makan itu ini sambil berborak riang dengan rakan taulan. Sebaliknya isteri pula sibuk menguruskan anak-anak sendirian; suap makan anak dan pantau kelakuan anak-anak. Akhirnya diri sendiri pun makan ala kadar saja. Sedih kan bila melihat situasi ini.
Bila dah sepakat nak memenuhi undangan ke rumah terbuka, pasangan suami isteri itu kena faham situasi mereka. Jika memiliki anak-anak yang masih kecil, bermakna tanggungjawab untuk uruskan anak-anak di sana nanti perlu dibahagi sama rata. Kalau anak empat, seeloknya suami jaga dua, dan isteri jaga dua. Tidaklah nanti tanggungjawab terletak di bahu isteri saja.
Walau pun mungkin sudah terbiasa membiarkan isteri yang uruskan anak-anak terutamanya bab menyuap anak makan, apa salahnya suami bersikap lebih prihatin dan bertimbang rasa. Minta isteri dan anak-anak duduk di satu tempat dan suami yang bawakan makanan.
Bukankah itu lebih mudah? Taklah isteri terkejar-kejar, nak pergi ambil makanan dan masa yang sama, mata memandang anak-anak takut anak ke mana-mana pula. Atau suami boleh bantu jaga anak-anak dan isteri ambil makanan. Taklah anak-anak dibiarkan tanpa pengawasan.
Ya, memang teruja bila dapat bersembang dengan rakan-rakan tapi kena ingat tanggungjawab, iaitu anak-anak yang dibawa sama. Lainlah jika anak-anak sudah remaja dan boleh menjaga diri masing-masing.
Seeloknya, suami isteri kena saling memahami situasi diri mereka bila membawa anak-anak yang masih memerlukan jagaan dan perhatian. Seeloknya, makan secara bergilir-gilir. Bila suami makan, isteri jaga anak-anak dulu sambil beri anak makan. Setelah itu, isteri pula yang makan.
Ketika itu, anak-anak pun dah kenyang, jadi suami hanya perlu jaga saja. Ha..waktu ini, nak sembang dengan kawan-kawan pun boleh juga sebab anak dah kenyang, mungkin mereka dah tak meragam sangat. Lagi afdal, bila suami makan, tolong suapkan isteri sama. Sanggupkah suami? Takkan suap isteri sendiri pun nak malu? Masa bercinta dulu bukan main…
Dalam situasi rumah terbuka, tentunya ramai tetamu lain yang diundang, jadi kena sentiasa pantau anak-anak kecil. Selain risau akan keselamatan anak-anak, kita juga tak mahu tuan rumah ‘risau’ dengan kelakuan anak-anak kita yang terlalu bebas ke sana ke sini.
Jadi, seeloknya pantau anak-anak sebaiknya agar tidak berlaku sebarang ‘tragedi di bulan Syawal’. Misalnya merosakkan harta benda tuan rumah dan sebagainya. Mereka memang masih kecil, tapi tugas ibu bapa untuk memantau demi menghindari kejadian tak diingini.
Ada suami yang hanya tahu menyalahkan isteri bila terjadinya sesuatu sedangkan dia sibuk makan dan bersembang saja. Semua anak isteri yang kena kawal dan pantau. Memang tak patut!
1. Jangan berlama-lama berada di sesebuah rumah terbuka, kerana semakin lama, ditakuti anak-anak makin hilang kawalan bila rasa bosan.
2. Nama pun budak-budak, walau sudah puas dipesan, dah jumpa kawan-kawan, memang sukar nak kawal mereka. Tapi seeloknya mak ayah sentiasa pantau pergerakan anak-anak agar mereka tak melakukan sesuatu yang keterlaluan. Setakat menumpahkan kuih raya atau minuman ke atas karpet, itu masih ‘biasa’. Tapi kalau sampai masuk ke bilik tidur atau merosakkan harga benda tuan rumah, itu ‘luar biasa’!
1. Ibu bapa kena ingat ni! Anak anda, tanggungjawab anda untuk mendidiknya. Kalau anak lasak, anda kena lebih banyak pantau dan tegur anak bila nampak mereka melakukan sesuatu yang tak sepatutnya. Jangan sekadar tegur ala kadar tapi tetap membiarkan anak melasak sana sini. Nanti bila tuan rumah atau orang lain yang tegur, anda pula sentap!
2. Jalan terakhir, kalau anak tak dapat dikawal lagi dan anda pula masih belum makan, cepat-cepat bawa masuk anak ke dalam kereta dan suami atau isteri sila tunggu anak di dalam kereta. Kadangkala anak pun penat juga dan mula buat perangai bila tengok mak ayah mereka asyik lagi berborak hingga mereka rasa bosan.
3. Anak lasak tak bermakna anda tak boleh bawa mereka ke rumah-rumah terbuka, tapi terpulang kepada anda untuk mengawal, mendidik dan mendisiplinkan mereka agar lebih ‘bersopan’ bila berada di rumah orang. Jangan buat rumah orang macam rumah sendiri.
1. Sebagai persediaan, sila pastikan barangan berharga disimpan dahulu sebelum para tetamu tiba, terutama barangan yang mudah rosak. Niat anda adalah untuk mengeratkan silaturahim dan berkongsi rezeki dan bukannya nak tunjuk kemewahan anda kan?
2. Jika rumah penuh dengan pelbagai hiasan kaca dan mahal, seeloknya sediakan khemah makan di luar rumah. Jadi para tetamu tidaklah tertumpu di dalam rumah. Bahkan mungkin ada yang lebih selesa berada di khemah saja kerana memikirkan anak-anak mereka yang lasak. tetamu selesa, anda pun lega.
3. Jika ada bajet lebih, seeloknya adakan aktiviti untuk anak-anak agar anak-anak rasa gembira. Misalnya menjemput ‘clown’ dan sebagainya. Jadi mereka ada aktiviti yang membuatkan mereka seronok. Mak ayah pun boleh berbual ria dengan tuan rumah dan tetamu yang lain bila lihat anak-anak seronok ada aktiviti. Taklah risau anak-anak buat ‘aktiviti’ sendiri nanti.
Lubuk konten tentang inspirasi, rumah tangga dan macam-macam lagi,
MINGGUAN WANITA kini di
download sekarang!
Astro, Home of Drama, sekali lagi mengangkat semangat Ramadan dengan tema “kebangkitan wanita” melalui naskhah megahit Siti Rosmizah, Andai Itu Takdirnya 2, lakonan Hanna...