Bawa BEKAL Bukan Sebab Jimat Tapi Itulah BUNGKUSAN HATI Untuk Orang Kita Sayang

Share

Masa kecil, kita sering dibekalkan dengan makanan yang mak kita masak. Seronok bukan main lagi, pulak tu mak pula yang masak. Bangga. Bukan itu sahaja, duit belanja bolehlah simpan. Kalau boleh tiap-tiap hari nak mak bekalkan makanan untuk kita bawa ke sekolah.

Bila besar dan punyai pekerjaan tetap, bekalan tetap bawa. Tak kira masa masih bujang dan tinggal bersama mak atau sudah berkahwin, isteri pula yang bekalkan makanan. Bukan nak berjimat, tapi itulah air tangan orang yang kita sayang. Tiada langsung perasaan malu, malah rasa bangga lagi.

Betullah apa yang dikongsikan oleh Khairul Hakimin Muhammad tentang apa yang dikatakan iaitu bungkusan yang mak atau isteri sediakan adalah bungkusan hatinya untuk kita bawa bersama dan ingat.

Baca Artikel Menarik Lain Di Sini: Mak-Mak Kena Rajin Kalau Nak Sediakan Bento Sebagai Bekal Anak Ke Sekolah

Ibu Ini Kongsi Cara Uruskan Dapur Sampai Dia Boleh Bekalkan Makanan Untuk Anak Setiap Hari

Info Lebih Menarik DI SINI

Bawa Hati Bersama

Jika emak kita bungkuskan makanan setiap hari untuk kita pergi sekolah, pergi kerja, ketahuilah dia sedang bungkus hatinya juga bersama.

Begitu juga bila isteri kita siapkan makanan dan pakaian untuk kita setiap hari, ketahuilah dia juga siapkan hati dia untuk kita keluar berusaha.

Jika ayah kita keluar dari rumah cari rezeki untuk keluarga, kena tahu yang dia keluar itu dengan tinggalkan hatinya di rumah. Suruh isterinya jaga baik-baik supaya pulang nanti isterinya sambut dan pulangkan semula hatinya.

Letak baik-baik di dadanya, perlahan-lahan penuh santun dan lemah lembut.

Tetapi apabila kita keluar rumah tanpa siapa pun bekalkan makanan, tanpa siapapun kita tinggalkan di rumah, kena tahu juga yang emak ayah jauh di kampung itu sentiasa melihat pintu dan jendela. Setiap pagi tak pernah jemu memandang anak-anak yang pernah berlari membesar melalui pintu tersebut.

Jika kita dah bawa bungkusan hati itu hari-hari, nanti bawalah pulang kepada emak kepada ayah kepada isteri kepada suami kepada anak kepada semua sebuah baik budi.

Senyum walau penat.
Tenang walau lelah.
Relaks walau gagal.

Sungguhnya yang dah beri hati menanti mahu lihat kita pulang. Tidaklah kita sampai di pintu rumah dengan dahi penuh kerut, mulut masam selori mangga muda, mata merah seiras udang yang dimasak digoreng garing.

Resahlah hati yang dipulangkan. Diberi dihulur sambil darah menitik-nitik. Hendak ubat tak pandai hendak rawat tak reti.

Ditanya kena marah, ditegur kena herdik. Lalu diamkan sahaja.

Lalu emak, ayah, isteri, suami, anak, diam sahaja. Ajak makan sama-sama, diam belaka di meja yang pagi tadi kita duduk sama-sama. Hati yang dibungkus awal subuh tadi kemas-kemas disimpan dalam peti.

Sampai sejuk, sampai beku. Pagi esok keluarkan lagi. Panaskan dan beri bekal lagi hari-hari. Sampailah satu hari kita sedar yang bekal makanan itu adalah hati yang kita sayang-sayang.

Rindu Mak Ayah

Terus rasa nak pulang. Rasa mahu balik awal, mahu lihat wajah itu semula. Mahu serah balik hati yang diberi, dengan salam, dengan sentuh, dengan cium. Selagi ada nyawa, baliklah. Pulanglah.

Hati yang kita dapat setiap hari kena dihantar semula. Bukan hati kita. Kita hanya dipinjamkan sahaja buat teman takut lupa diri, takut tinggi diri takut-takut jadi sombong jadi bodoh jadi jahat jadi hina.

Itulah pendinding itu juga yang bawa berkat. Suruh rezeki datang mendekat dan sentiasa iring rapat-rapat. Suruh banyak bersyukur dapat pinjaman banyaknya hati setiap pagi. Supaya balik petang malam nanti masih pegang dan dapat pulangkan hati tersebut sampailah kita mati.
Begitulah.

Khairul Hakimin Muhammad,
Bekalkan hati pagi.

MW: Tak perlu malu atau segan dengan bekal yang kita bawa sebab itulah bungkusan hati daripada orang yang kita sayangi.

Sumber: Khairul Hakimin Muhammad

IKLAN