Bas Ekspres Terbalik Di Kuala Krai, Bawa 15 Penumpang, Tiga Mangsa Cedera Ringan

Share

Bas ekspres terbalik di Kuala Krai, bawa 15 penumpang, tiga mangsa cedera ringan. Sebuah bas ekspres yang dalam perjalanan dari Kuala Lumpur ke Kota Bharu terbabit dalam kemalangan apabila terbabas dan terbalik di Kampung Batu Balai, Jalan Kuala Krai–Kota Bharu, awal pagi Jumaat. Kejadian itu menyebabkan tiga orang termasuk pemandu mengalami kecederaan ringan.

Bas Ekspres Terbalik Di Kuala Krai, Bawa 15 Penumpang, Tiga Mangsa Cedera Ringan

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kuala Krai, Nik Ahmad Afsham Nik Pa berkata, panggilan kecemasan diterima pada jam 5.30 pagi melalui Sistem MERS 999 sebelum anggota BBP Kuala Krai bersama BBP Sungai Durian digerakkan ke lokasi.

“Bas ekspres jenis Naza Ekspres itu dipercayai hilang kawalan sebelum terbabas dan terbalik, terdapat 15 individu dalam bas iaitu 13 penumpang, seorang pemandu dan seorang pembantu pemandu. Tiga mangsa cedera iaitu dua warga emas masing-masing seorang lelaki dan seorang wanita serta pemandu lelaki berusia 30-an,” katanya kepada pemberita pada Jumaat.

Kredit foto: Sinar Harian

Beliau memaklumkan seramai 11 penumpang lain termasuk pembantu pemandu terselamat tanpa mengalami sebarang kecederaan. “Semua penumpang yang terselamat adalah dewasa berusia sekitar 20-an dan 30-an ke atas,” tambahnya.

Menurut Nik Ahmad Afsham, dua mangsa dilaporkan tersepit dalam bas namun berjaya dikeluarkan sebelum dibawa ke Hospital Sultan Ismail Petra (HSIP) Kuala Krai untuk menerima rawatan lanjut.

Operasi menyelamat yang diketuai Pegawai Bomba Kanan II Mokhtar Che Mah bersama 13 anggota dan tiga jentera itu selesai sepenuhnya pada jam 6.35 pagi. “Siasatan punca sebenar kemalangan masih dijalankan oleh pihak berkuasa,” katanya.

Sumber: Sinar Harian

Artikel lain: Nahas Pelajar UPSI! Pelajar Akui Bas Dipandu Laju, Dakwa Potong Garisan Berkembar

 

Follow kami di TELEGRAM, INSTAGRAM, TIKTOK, FACEBOOK, TWITTER dan YOUTUBE

 

Published by
Has