Bas ekspres terbalik di Kuala Krai, bawa 15 penumpang, tiga mangsa cedera ringan. Sebuah bas ekspres yang dalam perjalanan dari Kuala Lumpur ke Kota Bharu terbabit dalam kemalangan apabila terbabas dan terbalik di Kampung Batu Balai, Jalan Kuala Krai–Kota Bharu, awal pagi Jumaat. Kejadian itu menyebabkan tiga orang termasuk pemandu mengalami kecederaan ringan.
Bas Ekspres Terbalik Di Kuala Krai, Bawa 15 Penumpang, Tiga Mangsa Cedera Ringan
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kuala Krai, Nik Ahmad Afsham Nik Pa berkata, panggilan kecemasan diterima pada jam 5.30 pagi melalui Sistem MERS 999 sebelum anggota BBP Kuala Krai bersama BBP Sungai Durian digerakkan ke lokasi.
“Bas ekspres jenis Naza Ekspres itu dipercayai hilang kawalan sebelum terbabas dan terbalik, terdapat 15 individu dalam bas iaitu 13 penumpang, seorang pemandu dan seorang pembantu pemandu. Tiga mangsa cedera iaitu dua warga emas masing-masing seorang lelaki dan seorang wanita serta pemandu lelaki berusia 30-an,” katanya kepada pemberita pada Jumaat.
Beliau memaklumkan seramai 11 penumpang lain termasuk pembantu pemandu terselamat tanpa mengalami sebarang kecederaan. “Semua penumpang yang terselamat adalah dewasa berusia sekitar 20-an dan 30-an ke atas,” tambahnya.
Ads
Menurut Nik Ahmad Afsham, dua mangsa dilaporkan tersepit dalam bas namun berjaya dikeluarkan sebelum dibawa ke Hospital Sultan Ismail Petra (HSIP) Kuala Krai untuk menerima rawatan lanjut.
Operasi menyelamat yang diketuai Pegawai Bomba Kanan II Mokhtar Che Mah bersama 13 anggota dan tiga jentera itu selesai sepenuhnya pada jam 6.35 pagi. “Siasatan punca sebenar kemalangan masih dijalankan oleh pihak berkuasa,” katanya.
Dabra Sia buktikan cinta mendalam & mahu martabat budaya indah sabah ke mata dunia. Begitu mulia dan teguhnya cinta penyanyi wanita yang berasal dari Sabah, Dabra Sia, yang bekerja keras atas dasar cinta mendalam terhadap budaya di Sabah.
Pernah melakar pencapaian bermakna apabila dijemput membuat persembahan dalam dua acara berprestij di Singapura, iaitu Pesona Anggerik: Truly Asia Orchids dan Sabah Fest 2025 baru-baru ini. Paling penting dalam dirinya mahu mengangkat budaya Sabah lebih megah bukan setakat di Malaysia, tapi seluruh pelusuk dunia.
Dabra juga turut mengangkat kebudayaan di Sabah sebagai antara tarikan yang disampaikan di dalam lagu-lagunya. Malah Debra Sia telah menghiburkan pengunjung di Matta Fair, Lembaga Pelancongan Sabah baru-baru ini.
Dirinya juga telah membuat persembahan lagu-lagu popularnya di Matta Fair Kuala Lumpur sambil mengajak pengunjung menari bersama sebagai langkah mempromosi pelancongan di negeri dibawah bayu itu.
Salah satu lagunya yang dikenali ialah “Hanya Di Sabah” merupakan antara lagu popular yang memperkenalkan keindahan Sabah dalam usaha menarik orang ramai datang ke negeri itu. Lirik lagu ini menyebut pelbagai lokasi dan budaya Sabah seperti Bosou, Tuhau, Tawau, Keningau, serta perkataan serumpun seperti “Bah”. Lagu ini menonjolkan rasa bangga terhadap Sabah.
Dalam masa sama, Debra Sia turut mengangkat kebudayaan di Sabah sebagai antara tarikan yang disampaikan didalam lagu-lagunya.
Sabah sekali lagi mengukuhkan kedudukannya sebagai “Destinasi Kegemaran Malaysia” apabila menerima sambutan yang amat menggalakkan daripada pengunjung di Matta Fair Kuala Lumpur, sebuah pameran pelancongan pengguna terbesar yang berlangsung pada 5 hingga 7 September yang lalu.
Penyertaan 40 pengendali pelancongan dan penginapan dari Sabah telah mencatat jualan memberangsangkan sebanyak RM5.1 juta, sekaligus mencipta rekod baharu. Ini menunjukkan peningkatan sebanyak 14.2% berbanding penyertaan pada April 2025, dan 46.8% lebih tinggi berbanding tempoh yang sama pada September 2024.
Acara dwi tahunan ini menyaksikan Sabah mengambil 94 ruang pameran di Dewan MITEC, Kuala Lumpur.
Delegasi utama Sabah diketuai oleh YB Datuk Joniston Bangkuai, Pembantu Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar Sabah merangkap Pengerusi Lembaga Pelancongan Sabah (STB).
Dalam acara tersebut, Datuk Joniston telah melancarkan tiga pakej percutian baharu iaitu: Pakej Percutian Keluarga, Pakej Percutian Kudat, dan Pakej Percutian Tawau. Majlis pelancaran tersebut turut dihadiri oleh Surrendren Sathasivam, Timbalan Ketua Setiausaha Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya; Nigel Wong, Presiden MATTA; Datuk Tan Kok Liang, Pengerusi Penganjur Matta Fair dan Timbalan Pengerusi STB; Julinus Jeffery Jimit, Ketua Pegawai Eksekutif STB; serta Mohd Amirul Rizal Abdul Rahim, Pengarah Kanan Tourism Malaysia merangkap Ketua Sekretariat Tahun Melawat Malaysia 2026.
“Kami amat berpuas hati dengan sambutan luar biasa terhadap penyertaan Sabah di Matta Fair Kuala Lumpur. Acara ini membuktikan tarikan destinasi serta minat yang semakin meningkat terhadap kepelbagaian tawaran pelancongan negeri Sabah. Dengan pelancaran pakej baharu ini, kami teruja untuk menawarkan lebih banyak peluang kepada pelancong untuk meneroka keindahan semula jadi, dan menyelami kekayaan budaya dan warisan Sabah yang penuh warna-warni,” kata Julinus Jeffery Jimit, Ketua Pegawai Eksekutif Lembaga Pelancongan Sabah.
“Lembaga Pelancongan Sabah juga berbangga untuk mengukuhkan komitmen kami terhadap pelancongan lestari melalui penyertaan dalam Pavilion MATTA Eco & Sustainable Tourism Initiative (MESTI). Di reruai ini, kami telah menampilkan pelbagai tarikan destinasi serta inisiatif Sabah, sekaligus menunjukkan komitmen kami terhadap pemuliharaan alam semula jadi, pemeliharaan warisan, dan amalan pelancongan mampan. Usaha ini penting untuk memastikan generasi akan datang dapat terus menikmati keindahan dan kekayaan budaya Sabah melalui pendekatan bertanggungjawab terhadap pelancongan,” tambah beliau.
Pelbagai aktiviti menarik turut diadakan di Pavilion Sabah, termasuk permainan tradisional, cabaran tarian tradisi, dan pengalaman Realiti Maya (VR). Sepanjang pameran, Lembaga Pelancongan Sabah turut menghiburkan pengunjung dengan persembahan kebudayaan oleh kumpulan tarian Era Budaya. Turut diumumkan dalam pameran itu ialah penganjuran Flamewave Music Festival, sebuah acara muzik yang akan berlangsung di Kota Kinabalu pada 25 hingga 26 Oktober 2025, yang dianjurkan oleh Olumis Consulting and Technology Sdn Bhd.
Tarikan ikonik Sabah seperti Kundasang, Semporna dan Kota Kinabalu kekal menjadi pilihan utama pelancong. Negeri ini terus menjadi destinasi pilihan bagi mereka yang mencari keindahan alam semula jadi yang luar biasa, kepelbagaian budaya yang kaya, serta pengalaman yang tidak dapat dilupakan. Para pelawat digalakkan untuk terus meneroka, merasai dan menikmati Sabah bukan hanya sekadar sebagai destinasi, tetapi sebagai satu pengalaman.
“Seram naik flight musim hujan ribut, tiga kali cuba baru boleh landing” – Khairul Aming kongsi pengalaman cemas. Perjalanan menaiki pesawat sememangnya menjadi pilihan ramai kerana lebih cepat dan selesa, namun cabaran ketika cuaca buruk boleh mengundang detik mencemaskan.
Itulah yang dialami personaliti media sosial popular, Khairulaming, apabila penerbangan yang dinaikinya terpaksa berdepan dengan ribut ketika menuju ke Kota Bharu.
Beliau berkongsi pengalaman itu di media sosial, menceritakan bagaimana penerbangan dari Subang ke Kota Bharu berdepan cuaca tidak menentu sehingga gagal melakukan pendaratan pertama. Pesawat terpaksa berlegar di udara hampir setengah jam sebelum mencuba kali kedua, namun percubaan itu juga tidak berjaya.
Disebabkan bahan api semakin berkurang, pesawat akhirnya terpaksa membuat lencongan ke Pulau Pinang untuk mengisi minyak sebelum mencuba kembali ke Kota Bharu. Hanya pada percubaan kali ketiga, pesawat tersebut akhirnya berjaya mendarat dengan selamat. Keseluruhan perjalanan mengambil masa kira-kira empat jam di dalam pesawat, jauh lebih lama daripada tempoh asal.
Khairulaming menzahirkan rasa syukur kerana semua penumpang selamat, malah beliau mengingatkan pentingnya aspek keselamatan didahulukan berbanding perkara lain. Walaupun pengalaman itu mendebarkan, hakikatnya ia membuktikan kecekapan juruterbang dalam mengutamakan nyawa penumpang ketika berdepan situasi mencabar di udara.
Zack X-Factor sanggup jadi suri rumah demi anak-anak, isteri bertugas sebagai tentera darat. Sudah agak lama menyepi daripada dunia hiburan, pelakon dan penyanyi Zack X-Factor membuat keputusan berani dengan memberi tumpuan penuh sebagai suri rumah sejak dua tahun lalu.
Zack atau nama sebenarnya Zachery Francis Abu, 48, menjelaskan, beliau dan isterinya yang bertugas dalam tentera darat perlu membuat pilihan penting berkaitan penjagaan dua anak mereka berusia 10 tahun dan dua tahun.
“Saya pernah hantar anak ke pusat asuhan. Tetapi bila balik rumah saya lihat ada lebam sana sini. Jadi selepas berbincang kami sepakat bahawa salah seorang perlu berhenti kerja dan menjaga anak-anak.
“Jadi saya buat keputusan untuk mengalah dan mengambil alih tugas menjaga anak. Biarlah saya merasa bagaikan rasanya menjaga anak-anak.
“Selepas menjaga anak-anak apa yang boleh saya katakan bukan satu tugas yang mudah. Jika diberi pilihan antara bekerja dan menjaga anak-anak saya akan pilih bekerja,” katanya ketika ditemui di konsert Elite Live ’25 baru-baru ini.
Mengulas lanjut, pelakon drama Si Capik itu menegaskan, pasangan yang bergelar suri rumah wajar dihargai kerana tanggungjawab tersebut sangat mencabar.
Katanya lagi, beliau tidak mengambil peduli tentang pandangan orang terhadap pilihannya.
“Saya tak peduli apa orang nak kata. Inilah peluang saya untuk menjaga anak-anak,” ujarnya.
Sepanjang tempoh itu, Zack mengakui banyak menolak tawaran lakonan kerana tidak mahu menjejaskan komitmen produksi.
“Saya tak mahu kelancaran penggambaran terganggu disebabkan saya. Jadi lebih baik tolak daripada membebankan pihak produksi dan diri saya sendiri. Biarlah saya berkorban.
“Awal-awal dulu saya rasa agak berat juga untuk menggalas tugas menjaga anak-anak sepenuh masa kerana tidak tahu bagaimana perjalan hidup. Tak tahu taraf kewangan macam mana sama ada kukuh atau tidak.
“Tetapi saya bernasib baik kerana isteri saya seorang tentera. Soal tempat tinggal tiada masalah kerana kami tinggal di dalam kem. Saya sudah biasa tinggal dalam kem sejak kecil kerana bapa saya merupakan seorang tentera udara,” kongsinya.
Selepas kembali bertemu rakan-rakan lama di pentas konsert Elite baru-baru ini, Zack kini terbuka hati untuk kembali aktif dalam bidang seni.
Penampilan semula Zack bersama empat anggota X-Factor lain iaitu Danny, Fendi, Shah dan Jim turut mencuri perhatian ramai. Walaupun lama tidak muncul, mereka masih tampil bertenaga dan menghiburkan peminat dengan vokal mantap serta gaya yang segak.