Bapa Terkilan Tak Peluk Anak Tunggal, Sempat Buat Video Call 5 Minit Sebelum Kemalangan

Share

Bapa terkilan tak peluk anak tunggal, sempat buat video call 5 minit sebelum kemalangan. Suasana di pekarangan Unit Forensik Hospital Tengku Ampuan Afzan (HTAA) pada Isnin bertukar pilu apabila seorang bapa, Azizi Abd Karim, 32, rebah dalam tangisan selepas memeluk dan mencium jenazah anak tunggalnya, Chempaka Alara Azizi.

Bapa Terkilan Tak Peluk Anak Tunggal, Sempat Buat Video Call 5 Minit Sebelum Kemalangan

Kanak-kanak berusia tiga tahun itu, mesra digelar ‘Bunga’, disahkan meninggal dunia selepas terbabit dalam kemalangan di Kilometer 142 Jalan Keratong–Bahau, berhampiran Bukit Serok, Muadzam Shah pada petang Ahad.

Azizi mendukung jenazah arwah anaknya keluar dari Unit Forensik Tengku Ampuan Afzan (HTAA) bagi menjalankan upacara pengebumian. Foto Sinar Harian

Dalam kejadian kira-kira jam 5.30 petang itu, sebuah kereta Perodua Myvi dinaiki enam individu dipercayai hilang kawalan lalu terbabas masuk ke laluan bertentangan sebelum bertembung dengan pacuan empat roda jenis Isuzu D-Max.

Ketua Polis Daerah Rompin, Superintenden Sharif Shai Sharif Mondoi berkata, nahas itu mengorbankan pemandu Myvi, Aida Asmalia Abu Samah, 46, yang meninggal dunia di tempat kejadian. Dua penumpangnya, iaitu anaknya Siti Auni Syafiqa Sheikh Ali, 18, serta Chempaka Alara, 3, pula disahkan meninggal dunia ketika menerima rawatan di Hospital Muadzam Shah.

Tiga termasuk seorang kanak-kanak maut dalam nahas di Jalan Muadzam Shah – Bahau, dekat Bukit Serok, di Rompin petang tadi. Foto Ihsan JBPM

Empat lagi mangsa cedera parah dikenali sebagai Adam Wafiy Muqri Jaslihardi, 14, (anak Aida Asmalia), Adawiya Syauqina Sheikh Ali (adik kepada Siti Auni), Amelia Kartika Mappatata, 32, (ibu kepada Chempaka Alara), serta pemandu Isuzu D-Max, Mohd Faizal Sukardi, 32.

“Jenazah semua mangsa dihantar ke Hospital Tengku Ampuan Afzan (HTAA), Kuantan untuk proses bedah siasat. Empat lagi mangsa parah turut dirawat di hospital sama,” jelasnya.

Beliau berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Sementara itu, bapa kepada Chempaka Alara, Azizi yang bekerja sebagai jurulatih renang, menceritakan detik terakhir bersama puteri kesayangannya. Menurutnya, hanya lima minit sebelum tragedi, dia sempat membuat panggilan video bersama isteri dan anak tunggalnya itu.

Azizi menunjukkan wajah anak tunggalnya, Chempaka Alara yang maut dalam kemalangan pada Ahad. Foto Sinar Harian

“Saya tak sangka itulah perbualan terakhir dengan Bunga dan dia kelihatan ceria pada ketika itu. Tidak lama selepas itu, saya terima panggilan daripada nombor tidak dikenali memaklumkan isteri saya kemalangan,” katanya sebak.

Azizi berkata, kali terakhir dia berjumpa arwah ialah pada pagi Khamis sebelum isteri dan anaknya bertolak ke Melaka untuk menghadiri majlis kenduri rakan. Namun dia terkilan kerana tidak sempat memeluk anak kecilnya itu sebelum berangkat.

“Kali terakhir saya jumpa dia pagi Khamis. Sepatutnya mereka balik ke Kuantan semalam (Ahad) tetapi berlaku sebaliknya. Saya cakap kepada anak sabar, sekejap lagi ayah datang ambil Bunga kita jumpa,” katanya lagi.

Azizi menambah, lebih meruntun jiwa apabila anak kecilnya itu sempat meluahkan rasa rindu kepadanya dalam panggilan video terakhir tersebut.

Sumber: Sinar Harian 1 dan Sinar Harian 2

Baca artikel lain juga: Gadis Mangsa Disimbah Cuka Getah Jalani Pembedahan Hidung, Tak Pernah Berdendam Perbuatan Bapa

Genap Setahun Tragedi Tanah Mendap, Anak Buat Upacara Kenang Pemergian Ibu Di Jalan Masjid India

Kes Zara Qairina: Pelajar SMKA TDML Trauma Diejek ‘Pembunuh’ & ‘Pembuli’

 

Follow kami di TELEGRAM, INSTAGRAM, TIKTOK, FACEBOOK, TWITTER dan YOUTUBE

 

Published by
Has