
Bapa Nurly Sahirah – “Walaupun lebih 100 hari, saya masih terasa seperti arwah masih ada. Itulah yang dikatakan oleh bapa kepada arwah Allahyarham Nurly Sahirah, Azman Mohamad.
Bapa Nurly Sahirah – “Walaupun Lebih 100 Hari, Saya Masih Terasa Seperti Arwah Masih Ada”
Menurut Azman, perhatian dan keprihatinan yang ditunjukkan pihak Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) membuatkan dia seolah-olah masih merasakan anaknya masih menuntut di universiti berkenaan. Hal ini kerana sebelum pemergiannya, kebanyakan masa Nurly banyak dihabiskan di kampus.
“Namun sesekali teringat rutin harian saya menjemput arwah di Bandar Jertih sekiranya Allahyarham pulang menaiki bas dari universiti ke kampung, tetapi semua itu kini hanya tinggal kenangan,” katanya ketika ditemui di rumahnya di Kampung Gong Pasir, Kerandang, hari ini.
Azman berkata lagi, beliau bersama isterinya, Kamariah Abdul Latif, 60, akan naik ke pentas konvokesyen nanti untuk menerima ijazah anumerta mewakili anak mereka.
Difahamkan, Nurly Sahirah antara dua penuntut yang akan diberikan ijazah anumerta pada majlis konvokesyen UPSI pada 11 November depan, selain Allahyarham Fatin Nasrien Fadli. Kedua-duanya merupakan mangsa tragedi bas yang meragut 15 nyawa di Gerik, Perak, pada 9 Jun lalu.
“Kami bercadang untuk bertolak lebih awal ke UPSI untuk menghadiri istiadat berkenaan bagi ‘meraikan’ kejayaan Nurly walaupun arwah sudah tiada.
“Peluang menjejakkan kaki semula ke UPSI akan kami guna sebaiknya untuk melawat tempat belajar arwah Nurly sepanjang menuntut di sana,” tambah lelaki yang berusia 63 tahun itu.
Menurut Azman, rumah mereka sehingga kini masih menerima kunjungan orang ramai yang mahu melihat mushaf al-Quran tulisan tangan peninggalan Nurly.
Sementara itu, ibunya Kamariah turut berkongsi, sebelum ini beliau dan suami yang mendorong arwah menyambung pelajaran dalam bidang pendidikan.
“Namun Allahyarham sendiri menentukan jurusan apa yang dia inginkan dan arwah memilih melanjutkan pengajian dalam bidang Pendidikan Khas.
“Biarpun arwah tidak sempat menunaikan impiannya untuk menjadi seorang pendidik, namun saya sebagai ibu berasa bangga dapat melihat hasil usahanya sepanjang menjadi mahasiswa bidang pendidikan,” katanya.
Tambah Kamariah lagi, meskipun anaknya itu tidak sempat bergelar guru, namun Allah mengangkatnya seperti seorang pendidik untuk masyarakat melalui amalannya memuliakan al-Quran.
“Saya bersyukur apabila ramai mendapat inspirasi daripada kisah arwah untuk kembali belajar serta mendekatkan diri dengan al-Quran,” katanya.
Sumber: Harian Metro dan Harian Metro
Baca artikel lain juga: Tragedi Bas UPSI, Nurly Shahirah Meninggal Dengan Al-Quran Erat Dalam Pelukannya
Naskhah Al-Quran Tulisan Tangan Nurly Shahirah Tarik Perhatian Ramai
Follow kami di TELEGRAM, INSTAGRAM, TIKTOK, FACEBOOK, TWITTER danciao YOUTUBE
MINGGUAN WANITA kini di seeNI, download seeNI sekarang!
KLIK DI SEENI