Bapa kongsi kisah anak perempuan jadi mangsa buli emosi gara-gara enggan benarkan rakan meniru. Seorang pelajar Tingkatan Tiga di sebuah sekolah di Rembau didakwa menjadi mangsa buli emosi oleh rakan sekelas selepas enggan membenarkan rakannya meniru jawapan ketika peperiksaan.
Bapanya, Mohd Anas Sudin, berkata anak perempuannya memaklumkan bahawa sejak kejadian itu, dia sering dihina dan diejek dengan panggilan ‘kacip’, sehingga membuatkan dia enggan ke sekolah.
“Saya pelik juga sebab dia selalu beritahu tidak mahu pergi ke sekolah dan minta ditukarkan ke sekolah lain.
“Anak pada awalnya tidak mahu menceritakan sebabnya, namun selepas dipaksa beberapa kali, dia akhirnya mengaku sering diganggu rakan sekelas sejak tidak membenarkan meniru kertas peperiksaannya,” katanya.
Menurut Mohd Anas, anaknya pernah membuat aduan kepada guru disiplin, namun tiada sebarang tindakan diambil, menyebabkan gangguan itu berterusan. Beliau tidak menolak kemungkinan guru terbabit menganggap perkara itu sebagai hal biasa, sedangkan ia memberi kesan mendalam kepada emosi anaknya.
“Anak saya jadi tidak bersemangat untuk belajar dan saya sebagai bapa turut terkesan dengan keadaan itu.
“Jadi saya berbincang dengan isteri untuk membuat permohonan memindahkan anak ke sekolah lain, tetapi prosesnya agak sukar kerana tidak mendapat kerjasama daripada pihak sekolah yang memberi alasan guru besar tiada,” katanya.
Bagi memastikan keselamatan anaknya, Mohd Anas meminta anak membuat laporan polis, selain bertujuan mempercepatkan proses pertukaran sekolah. Tidak lama kemudian, permohonan tersebut diluluskan dan anaknya dilihat lebih ceria.
“Anak saya sangat gembira apabila dapat berpindah ke sekolah lain dan saya kembali melihat semangatnya untuk belajar bersungguh-sungguh.
“Bila terjadinya kes Allahyarham Zara Qairina Mahathir itu, saya teringat kembali apa yang terjadi kepada anak saya.
“Walaupun anak hanya menjadi mangsa buli emosi, jika saya tidak bertindak awal mungkin ia akan memberi kesan yang lebih buruk,” katanya.
Sumber: Sinar Harian
Baca artikel lain juga: Peguam Sahkan Wujud Kecederaan Pada Tubuh Allahyarham Zara Qairina – Ada Patah, Memang Ada Cedera”
Kes Zara Qairina: Laporan Forensik Mungkin Ambil Masa Sehingga Dua Bulan- Peguam
Dr Khairul Anuar Zainun, Ketuai Bedah Siasat Jenazah Zara Qairina Bukan Kaleng-kaleng Orangnya
Follow kami di TELEGRAM, INSTAGRAM, TIKTOK, FACEBOOK, TWITTER dan YOUTUBE