Sedih seorang bapa apabila anaknya yang hilang tiga hari lalu masih belum ditemui, apatah lagi mengenangkan nasib menantu yang sedang hamil tiga bulan.
Oleh itu, bapa ini berharap dan meminta semua orang berdoa agar anaknya, Rajihin ditemui segera kerana menantu tak mahu pulang ke rumah selagi tak jumoa suami yang masih hilang.
Bapa Berdoa Anak Ditemui Segera
“Saya berdoa Rajihan (anak) ditemui semula sama ada dalam keadaan selamat atau sebaliknya,” ujar Junaidi Arjo,71, yang turut menyertai operasi mencari dan menyelamat anaknya, Md Rajihan, 28, yang dilaporkan hanyut bersama kereta dinaiki kira-kira jam 5.30 petang Sabtu lalu di Kluang, Johor.
Menurut Junaidi, doanya tidak pernah putus mengharapkan anaknya itu berjaya ditemui sebaik mengetahui kejadian yang menimpa itu.
Katanya, sudah dua hari mereka sekeluarga menunggu di lokasi pencarian dengan harapan usaha dilakukan pasukan penyelamat disertai anggota Bomba dan Penyelamat Kluang serta anggota balai Polis Kahang membuahkan hasil.
“Saya memohon orang ramai turut sama berdoa supaya Md Rajihan dapat ditemui walau dalam apa juga keadaan keadaan,” katanya.
Ads
Sementara itu, abang ipar kepada Md Rajihan, Zullailaly Roslan, 40, berkata, dalam kejadian petang Sabtu lalu, kereta dinaiki Md Rajihan dan isteri, Khairunnisa Ibrahim,24, dihanyutkan arus deras banjir berhampiran Batu 18, Jalan Kluang-Mersing.
Difahamkan, Md Rajihan yang sedang melalui jalan berkenaan bersama isterinya Khairunnisa dihanyut arus ke sebelah kanan jalan.
Dalam kejadian malam itu, Rajihin hanyut selepas berjaya menyelamatkan isterinya. .
Bagaimanapun, Md Rajihan sempat memecahkan cermin kereta untuk menyelamatkan isterinya yang kemudiannya berjaya diselamatkan orang awam sebelum dia sendiri hanyut dibawa arus bersama keretanya.
Menurutnya, pasangan terbabit baharu sahaja mendirikan rumah tangga pada bulan Julai lalu dan kini Khairunnisa sedang mengandung tiga bulan anak pertama mereka.
Ads
Katanya, pasangan berkenaan tinggal di Parit Nipah di Parit Raja dan ketika hari kejadian, pasangan itu sedang dalam perjalanan pulang dari Mersing selepas isterinya mahu melihat pantai di sana.
Menantu Tak Mahu Pulang Selagi Tak Jumpa Suami
“Kami amat berharap dia akan ditemui segera kerana isterinya tidak mahu pulang ke Parit Raja selagi suaminya itu tidak ditemui,” katanya.
Khairunnisa Ibrahim bagaimana tidak dapat ditemui kerana terlalu sedih dan masih trauma dengan kejadian yang berlaku pada mereka berdua tempoh hari.
Kereta telah ditemui, namun Rajihin masih hilang dan belum dijumpai.
Operasi mencari dan menyelamat yang memasuki hari ketiga kejadian itu disertai oleh 32 orang pegawai dan anggota dari Pasukan Bomba dan Penyelamat, Pasukan Mencari dan Menyelamat Khas Malaysia (SMART), Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) dan Polis DiRaja Malaysia (PDRM) dengan menggunakan lima bot serta tiga lori.
MW: Semoga pencarian Rajihin segera berakhir secepat mungkin. Sedih hati mengenangkan ahli keluarga mangsa apabila sehingga hari ini Rajihin masih belum ditemui apatah lagi isterinya sedang hamil anak pertama, tentu sahaja emosinya amat terganggu.
Tiada insuran perlu jelaskan bil RM11k, jemaah umrah pengsan dalam pesawat ditahan di hospital di India. Malang tak berbau begitulah yang dialami oleh seorang jemaah yang dalam perjalanan pulang dari Jeddah ke Kuala Lumpur.
Ketika dalam pesawat jemaah itu pengsan dan kapten kapal terpaksa lakukan pendaratan kecemasan di India. Namun paling menakutkan apabila penumpang pesawat tersebut tidak mempunyai insurans dan waris perlu membayar jumlah tersebut.
Tiada Insuran Perlu Jelaskan Bil RM11k
Menerusi perkongsian di Twitter, pemilik akaun Roman Akramovich@SyedAkramin memuat naik tentang hal tersebut.
“Semalam flight dari Jeddah ke KL ada penumpang pengsan dan kapten buat pendaratan cemas di India.
“Dia ditahan di hospital dan perlu jelaskan bil RM11k.
“Malangnya dia tiada insuran dan waris perlu bayar.
“Insuran ketika keluar negara sebenarnya amat penting tapi ramai tak ambil,” begitulah perkongsian Syed Akramin.
Bil Meningkat Ke RM18k
Menerusi perkongsian terbaru Syed Akramin, memberitahu jumlah terkini bil naik sebanyak RM18k.
“Maklumat terkini yang saya terima dari mutawwif umrah, kos hospital telah meningkat ke RM18k.
“Dengan rendah hati saya memohon rakan-rakan yang ada lebihan rezeki, agar sama-sama bantu jemaah umrah ini.
“Semoga sumbangan anda diberkati Allah SWT” luah Syed Akramin.
Semoga dipermudahkan segala urusan penumpang yang juga jemaah umrah itu. Malah bersama-samalah kita menyumbang bagi membantu urusan beliau.
Menerusi perkongsian ini ternyata masih ramai yang tidak mengetahui betapa pentingnya insuran apabila ke luar negara. Insuran perjalanan atau travel insurance penting untuk anda miliki bagi menjamin perlindungan dan keselamatan diri serta keluarga daripada musibah semasa anda berada di luar negara untuk bercuti atau urusan kerja.
Kira-kira 100 jemaah Masjid Sultan Yussuf Rapat Setia menunaikan solat jenazah ghaib selepas sembahyang zuhur hari ini untuk Allahyarham Megat Ashman Aqif Megat Irman Jefni, pelajar Malaysia yang terkorban dalam nahas jalan raya di Tasik Tekapo, New Zealand Sabtu lepas.
Solat Jenazah Ghaib Untuk Megat Ashman
Solat itu diimamkan oleh Imam Masjid Sultan Yussuf, Muhammad Shamsuddin dan turut dihadiri datuk Allahyarham, Megat Khashusaini Megat Abd Rahman, 85, dan ahli keluarga yang lain.
Megat Khashusaini ketika ditemui berkata, pihaknya bersyukur Allahyarham cucunya selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam di Bromley, Christchurch kira-kira 9 pagi tadi waktu tempatan.
Megat Khashusaini (kanan) dan Nor Hanita Meor Mohd Nor, 62, datuk dan nenek Megat Ashman Aqif, pelajar Malaysia yang terkorban dalam kemalangan jalan raya di Tasik Tekapo, New Zealand menunjukkan potret keluarga ketika ditemui di kediaman mereka di Gunung Rapat pada Ahad. Foto Bernama
“Syukur, alhamdulillah urusan pengebumian jenazah Allahyarham cucu saya telah selamat dan selesai semuanya kira-kira 9 pagi tadi waktu New Zealand.
Disempurnakan 100 Jemaah Masjid Sultan Yussuf Rapat Setia, Ipoh
“Terima kasih kepada semua yang mendoakan dan yang mengutus ucapan takziah.
“Semoga roh cucu saya dicucuri rahmat oleh ALLAH SWT,” katanya.
Megat Khashusaini berkata, beliau sekeluarga reda dengan keputusan jenazah cucunya dikebumikan di New Zealand.
“Saya reda dia dikebumikan di sana walaupun sebelum ini bapanya berhasrat untuk membawa pulang jenazah anaknya untuk dikebumikan di Perak.
“Semoga roh cucu saya dan juga seorang lagi yang turut terkorban dicucuri rahmat dan ditempatkan dalam kalangan orang yang beriman dan beramal soleh,” katanya.
Dalam kejadian Sabtu lepas, selain Megat Ashman Aqif, seorang lagi pelajar Malaysia, Wan Nur Adlina Alisa dari University of Canterbury turut terkorban dalam kemalangan yang berlaku pada 1.45 tengah hari waktu tempatan.
Tiga lagi pelajar cedera dalam nahas sama iaitu Nur Firas Wafiyyah dan Lya Issable Anak Walton dari universiti sama serta Muhamad Faris Mohd Fairusham dari Victoria University of Wellington.
Wanita ini pernah jadi viral gara-gara aksinya memandu lori kontena dengan berbaju kurung. Masyarakat terperanjat kerana ada orang perempuan yang memilih kerjaya yang cukup sinonim dengan lelaki. Apatah lagi kerjaya sebagai pemandu lori dikaitkan dengan kerja yang lasak, tak glamor dan tak sesuai dengan keperibadian wanita yang lemah lembut
Selesa Berbaju Kurung
Menurut Rokiah bt Salim, 52, atau mesra dengan panggilan Ekka, dia tidak pernah menyangka akan menjadi viral dan dikenali satu Malaysia. Yang pasti, dia cukup berbangga dengan kerjayanya sebagai pemandu lori kontena di Syarikat HL Super Sdn Bhd di Seberang Prai, Pulau Pinang.
“Saya tiba-tiba saja terkenal kerana aksi saya yang membawa lori dengan berpakaian baju kurung tersebar. Masyarakat memandangnya sebagai sesuatu yang pelik. Tapi secara peribadi, saya tak rasa pelik pun bila memandu lori dengan berbaju kurung. Pakaian tak pernah mengganggu saya melakukan kerja. Malah saya bangga dan selesa mengenakan pakaian itu kerana ia pakaian tradisi kita. Di bahagian dalam saya tetap mengenakan seluar jeans untuk menjaga aurat.
” Walau bagaimana pun saya gembira kerana kisah saya sedikit sebanyak dapat membuka mata masyarakat terutamanya wanita supaya lebih yakin untuk menceburi bidang yang di luar kebiasaan. Banyak cabang kerja yang boleh kita lakukan, asalkan rajin dan sanggup sahut cabaran. Jangan takut pilih kerja yang tak glamor, asalkan mampu beri pulangan yang lumayan. Malah saya bangga kerana dengan kerja ini, saya berjaya membesarkan dan menanggung pengajian dua anak saya hingga memperoleh ijazah di dalam bidang biotech dan pendidikan,” ujar wanita gemarkan aktiviti lasak ini.
Sahut Cabaran Rakan
Mengimbau keterlibatannya di dalam kerjaya ini, Ekka sebelum itu bekerja di sebuah kilang sehinggalah dia ditawarkan VSS.
” Selepas berhenti kerja dan ditawarkan VSS pada tahun 2014, saya tercari-cari pekerjaan untuk menyara dua anak lelaki saya memandangkan saya ibu tunggal. Ketika itu pula saya aktif di dalam dunia permotoran dan menyertai sebuah kelab motosikal. Rakan-rakan bikers yang menyarankan saya mencuba kerjaya sebagai pemandu lori. Lantas saya sahut saranan mereka itu. Lagi pun, saya banyak mengembara ke luar negara dan wanita yang bekerja sebagai pemandu lori bukan perkara yang asing di sana. Jadi, apa salahnya jika saya cuba kerjaya itu.
” Terus terang, pada mulanya banyak syarikat yang menolak permohonan saya. Sehingga akhirnya syarikat tempat saya bekerja sekarang, HL Super Sdn Bhd, membuka peluang pada saya. Sejak itu saya bekerja memandu lori kontena untuk dihantar ke pelabuhan Prai. Saya hanya buat local trip sahaja dan tidak minat untuk membuat long distance. Tempat kerja saya juga hanya 15 minit daripada rumah yang terletak di Tasik Gelugor.
“Dua anak lelaki saya sangat menyokong keputusan saya tetapi ada ahli keluarga saya yang menentang. Mereka beranggapan kerja itu susah dan tidak sesuai untuk wanita. Namun kini mereka dapat terima. Saya sedar mereka melarang sebab mereka sayangkan saya. Alhamdulillah, saya berjaya buktikan pilihan saya tepat. Namun sebenarnya kerja ini taklah begitu susah bagi saya. Hanya duduk di dalam lori dan pandu. Bukan kena angkat barang berat. Tapi, sudah tentu perkara pertama adalah mendapatkan lesen GDL bersendi untuk melayakkan saya memandu lori kontena,” tambah Ekka lagi.
Pecah Tradisi Kerjaya
Ujar Ekka, dia seronok berada dalam bidang yang dimonopoli oleh lelaki. ” Seronok dan bangga kerana kita melakukan kerja yang orang lelaki selalu buat. Tak ada masalah bergaul dengan rakan-rakan sekerja kerana mereka suka menolong,” jelas Ekka yang ingin menjadi inspirasi kepada wanita-wanita di luar sana agar tidak memilih kerja.
“Bagi anak-anak gadis, jangan terlalu memilih kerja. Konon nak bekerja di dalam pejabat saja, sedangkan masih banyak peluang yang ada. Kerjaya sebagai pemandu lori mendatangkan pendapatan yang lumayan. Cuma, kalau nak gaji lebih, kenalah kerja lebih masa. Semuanya terpulang pada diri sendiri.
” Anggaran pendapatan yang boleh diperoleh antara RM3000-RM5000 sebulan. Waktu kerja juga fleksibel. Saya bekerja antara jam 8.30 pagi hingga selewatnya 10.30 malam. Purata antara tujuh ke lapan trip sehari. Kalau nak pergi bercuti ke luar negara, saya akan buat target. Saya akan kerja lebih panjang dan kemudian akan ambil cuti panjang selepas itu. Saya pernah bercuti hingga 12- 20 hari. Yang penting, kena cukupkan 150 trip sebulan.
“Untuk ibu tunggal, kita perlu bangkit. Tiada gunanya bersedih terlalu lama. Fikir anak-anak tersayang dan jangan harapkan bantuan orang saja. Diri sendiri yang perlu berusaha.Peluang dan ruang ada, terpulang pada diri masing-masing. Walau bagaimana pun, saya ingin nasihatkan ibu-ibu tunggal di luar sana, perpisahan adalah di antara kita dan bekas suami. Jangan libatkan anak-anak. Jangan jadikan bekas suami musuh anda kerana dia tetap ayah kepada anak-anak anda selamanya,” nasihat Ekka.
Minat Aktiviti Lasak
Wanita bertubuh kecil molek ini sememangnya berjiwa kental dan minat dengan aktiviti lasak seperti mendaki gunung, camping dan maraton. Sebelum ini, dia terlibat di dalam dunia permotoran namun setelah kehilangan motosikal CBR hilang pada tahun 2008, dia mula beralih ke aktiviti mendaki gunung.
” Saya seorang yang aktif dan lasak. Saya gemar mendakI, kebanyakan gunung di Malaysia ini sudah saya tawan. Selain itu, saya sanggup ke luar negara untuk mendaki. Antara puncak yang pernah saya jejaki ialah Anapurna Base Champ dan Everest Base Champ. Di Filipina saya pernah mendaki Mount Pulag dan lebih banyak mendaki gunung-gunung di Indonesia. MisalnyaGunung Rinjani, Gunung Selamet, Gunung Sibayak dan banyak lagi.
“Selain mendaki, saya juga gemar bercuti ke luar negara untuk menimba pengalaman di tempat orang. Paling jauh saya pernah ke Rusia. Hujung tahun ini pula, saya akan ke Mongolia bersama anak sulung untuk melawat tempat-tempat menarik di sana. Anak sulung saya itu juga berkongsi minat mendaki dengan saya manakala si bongsu sebaliknya,” ulasnya lagi.
Walau pun berkerjaya lasak, namun sebagai wanita, dia tetap menitik berat soal kecantikan dan penampilan diri. Buktinya, walau pun bekerja sebagai pemandu lori kontena, Ekka tetap mampu kelihatan cantik.
“Siapa kata kerjaya sebagai pemandu lori kontena tak membolehkan kita kelihatan cantik? Saya tetap menjaga kecantikan dan penampilan diri sebagai seorang wanita. Bahkan terus terang, saya sangat mengambil berat soal pemakanan. Mungkin ada wanita yang takut hendak ceburi kerjaya sebagai pemandu lori kerana takut tak boleh jaga kecantikan. Itu tak betul. Terpulang pada diri sendiri. Sekarang ini di tempat kerja saya sudah ada lima pemandu lori wanita dan saya tumpang bangga kerana kerjaya itu mula diterima masyarakat. Cuma kami tidak lagi dibenarkan memakai baju kurung ketika memandu lori,” akhirinya yang akan mendaki gunung sekurang-kurangnya sekali seminggu.
Lubuk konten tentang inspirasi, rumah tangga dan macam-macam lagi, MINGGUAN WANITA kini di seeNI, download seeNI sekarang!
Mas Idayu bersyukur bekas suami lepaskan secara baik. Tiada pasangan berkahwin yang inginkan perpisahan namun jika ditakdirkan jodoh tidak panjang pastinya kena reda dengan...