
Tragedi tembakan rambang terhadap jemaah solat Jumaat di Masjid Al Noor & Linwood cukup memberi kesan kepada masyarakat dunia. Kejam! Tak berperikemanusiaan.
Namun, masyarakat dunia mulai berkempen, bersolidariti, menyatakan rasa setia kawan kepada umat Islam yang lain. Terkesan sungguh dengan ucapan-ucapan non Muslim yang rela menemani, berjaga ketika Muslim bersolat di masjid, mengajak teman Muslim bersolat di rumahnya.
Itulah hikmah yang perlu dilihat di sebalik kejadian yang cukup menyayat hati ini.
Terkesan dengan impak yang sebegitu besar, tabung kecemasan #Sinar4NZ49Martyrs dilancarkan sejak semalam.

Bantuan Untuk Ringankan Beban Keluarga Mangsa
Pengerusi Kumpulan Media Karangkraf, Datuk Dr Hussamuddin Yaacub berkata, “Kita ikut berdukacita dengan serangan kepada jemaah solat Jumaat di Masjid Al Noor & Linwood Masjid di Christchurch New Zealand pada 15 Mac 2019 bersamaan 8 Rejab 1440H, sehingga mengakibatkan 50 jemaah terbunuh dan 20 orang cedera serta 2 masjid terkena kesan tembakan.”
“Mari bersama kita hulurkan bantuan sebagai tanda kita bersama-sama dalam detik sedih ini, meringankan beban umat dan menyantuni dengan kasih sayang terutama kepada keluarga mangsa yang meninggal dan cedera serta masjid yang terjejas.”
Sumbangan segera boleh disalurkan melalui:
TABUNG Sinar4NZ49Martyrs
MBB: 5642 7652 9068
SINAR KARANGKRAF SDN BHD
*** Slip/Tanda sumbangan, sila whatsapp ke handphone : 013-3124164

Penderma Sedekah RM100 Walau Cuma Berbaki RM400 Dalam Bank
Mulianya hati penderma ini, Biarpun duit bakinya di bank cuma RM400, beliau tetap memberikan sumbangan sebanyak RM100 kepada keluarga mangsa tembakan rambang Christchurch.
Berita ini dikongsikan Ketua Perancang Strategik Sinar Harian, Naquiah Muhamad Noor.
Setakat pagi ini jam 11.35 pagi, jumlah sumbangan sebanyak RM16,405.10 berjaya dikumpul dengan 242 transaksi sejak semalam.
“Ada yang derma RM10, RM20, RM30, RM40, RM100 dan paling tinggi adalah RM1,00 iaitu 10 minit selepas perkongsian mengenai tabung ini tersiar di media sosial.”

Moga dengan sumbangan ini menyampaikan rasa hati kita bahawa dunia peduli dan bersama-sama mereka. Semoga mereka segera bangkit dari tragedi ini.
Semoga peristiwa ini bakal menjadi momentum besar untuk solidariti umat di seluruh dunia untuk terus bangkit menyebarkan Rahmah.
Salam solidariti.
Sumber/Foto : Sinar Harian, nst (gambar)
Lubuk konten tentang inspirasi, rumah tangga dan macam-macam lagi,
MINGGUAN WANITA kini di
download sekarang!
“Saya Mahukan Keadilan Buat Along!” Tolonglah Ibu Sakit Kanser Ini

Ketika kisah ini ditulis, sudah lebih 70 hari anaknya meninggal dunia. Allahyarham anaknya juga telah selamat dikebumikan. Namun Wan Hasmiza Wan Ismail masih dalam keadaan tertanya-tanya. Siapakah yang melanggar anaknya pada malam 18 Oktober 2018 lalu?
Ditambah pula, sebagai penghidap kanser Limfoma tahap 2B, Wan Hasmiza berharap selagi dia masih hidup dia mahu kematian anaknya itu ada titik noktahnya. Dia mahukan keadilan buat anaknya.
Wan Hasmiza merayu agar saksi kejadian yang melihat kemalangan maut melibatkan anak sulungnya Nor Hafiz Hafizan Raja Nor Azuan, 19 tahun di Lebuhraya Damansara Puchong (LDP) berhampiran susur keluar ke Lebuhraya Persekutuan tampil dengan segera bagi meredakan pertanyaan yang membelenggu jiwa raganya.
Ketika ditemui di kediamannya yang terletak di Mentari Court, Petaling Jaya, Selangor, ternyata ibu kepada empat orang anaknya ini masih bersedih dengan tragedi yang menimpa keluarganya.

“Sebagai ibu, saya mengharapkan keadilan buat anak saya. Perkataan pertama yang saya dengar adalah anak saya dilanggar lari. Cuma saya mahu keadilan untuk anak saya. Saksi atau si pelaku, kalau tengok atau terbaca cerita saya ini, tolonglah.
“Tolonglah letak anda di tempat saya. Kalau saya sihat seperti orang lain, mungkin saya tidak terdesak seperti ini. Hafiz tunggak keluarga kami dan jadi semangat saya. Apabila dia sudah tidak ada, saya mahukan keadilan buat dia.
“Dia banyak berjasa dekat saya. Saya mahu seandainya si pelaku atau saksi yang nampak kejadian berlaku pada malam itu, tolong tampil bagi keterangan dekat saya. Kalau takut hendak pergi ke Balai Polis, anda boleh datang bertemu saya di rumah. Boleh hubungi nombor telefon saya, 018-4675768,” katanya dengan nada cukup sedih.
Wan Hasmiza bersungguh-sungguh mahu mengetahui cerita sebenar yang berlaku pada malam Jumaat itu.
“Saya sudah beri masa yang teramat panjang. Sekarang ini tidak ada sebarang berita yang saya terima. Saya mahukan keadilan buat dia. Minta tolong sangat. Siapa sahaja. Tidak kira bangsa apa sekalipun, siapa yang rasa dia yang terlanggar, maknanya bukan saya kata dia yang langar tetapi terlanggar anak saya, tolonglah jumpa dengan saya.Kalau tidak mahu malu, boleh datang secara personal ke rumah dan jumpa saya.
“Tolong beritahu cerita sebenar sebab sekarang ini saya dalam keadaan teka-teki sama ada betul anak saya dilanggar lari atau terbabas. Saya redha dia pergi. Tetapi saya hendak betul-betul cerita itu perkara yang sebenar,” katanya bersungguh-sungguh.
Rindu Tidak Terhingga
Rindu. Hanya mereka yang bergelar ibu sahaja tahu akan perasaan Wan Hasmiza. Anaknya sudah tidak ada di hadapan mata. Sekadar gambar yang disimpan di dalam telefon bimbit jadi kenangan tatkala rindu menjelma. Sesekali jatuh juga air mata melihat senyuman manis anak sulungnya itu.
“Sebagai emak, saya amat rindu pada Hafiz. Ya Tuhan. Hanya Dia sahaja yang tahu. Di atas dunia ini, dialah semangat saya apabila saya disahkan sakit kanser. Dialah yang banyak membantu saya selain daripada anak nombor dua dan suami saya.
“Dia yang banyak membantu saya. Daripada tidak boleh masak, dia yang tolong masak. Dia tolong suapkan saya. Sekarang ini saya mengharapkan dia berada dalam syurga Firdaus di kalangan orang soleh lain. Cuma sekarang ini saya mahu keadilan.
“Saya harap sangat agar dia datang dalam mimpi saya. Namun, hanya sekali sahaja dia datang dalam mimpi sahaja. Itu pun masa saya dalam keadaan bukan betul-betul sedar. Ketika itu saya seperti hilang arah. Mungkin dia datang untuk memberi tahu bahawa dia tidak senang di ‘sana’.
“Jadi, saya ubah hidup saya. Saya ubah cara saya. Saya banyak buat solat taubat, solat tahajud dan solat hajat untuk dia. Selepas itu dia tidak datang lagi dalam mimpi saya sehingga ke hari ini,” katanya yang ingin sangat bertemu anak kesayangannya di alam mimpi.
Tidak Sempat Sambut Hari Lahir
Menurut wanita berusia 40 tahun yang terpaksa berhenti kerja Februari 2018 lalu berikutan kesihatannya semakin lemah kerana kanser, dia begitu terkilan kerana tidak sempat untuk menyambut ulang tahun ke 19 anak sulungnya itu.
“Semuanya sudah saya sediakan termasuk membeli makanan, penyediaan permainan malah pemilihan tema baju yang bakal disambut pada hari Ahad. Saya ingatkan untuk maklumkan pada anak hari Jumaat itu tetapi Allah lebih sayangkan dirinya,” ceritanya lagi.

Mengimbas semula kisah malam tersebut, kata Wan Hasmiza sekitar jam 11 lebih, pihak polis memaklumkan kepadanya bahawa anaknya kemalangan di Jalan Klang Lama dan kini berada di Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM).
“Saya baru sahaja masuk tidur ketika itu ditambah rasa tidak sihat akibat kanser. Bila ketukan di pintu, pihak polis memaklumkan kejadian ini. Awalnya saya menyangka bahawa anak kemalangan biasa sahaja.
“Tapi selepas pihak polis pulang, saya ternampak seorang lelaki seperti mencari-cari rumah seseorang. Saya tegur dia, katanya dia mencari rumah Nor Hafiz. Bila saya kata saya emak Along, dia maklumkan anak kemalangan di Lebuhraya LDP dan mayatnya ada di lokasi kejadian.
“Mulanya saya tak percaya kerana pihak polis baru maklumkan lain tapi dia cakap dia bawa bukti iaitu kad pengenalan anak, ketika itulah saya mula rebah sehingga perlu dipapah. Kami bergegas ke lokasi kejadian dan benar Along sudah terbujur kaku,” katanay dengan nada sedih.
Jelas Wan Hasmiza lagi, dari cakap penunggang motosikal, mereka mengakui sudah mengalihkan motosikal Along dari lorong tengah ke tepi sementara mayat anak masih berada di lorong laju. Wan Hasmiza menjelaskan lagi akibat kemalangan, bahagian kepala anaknya cuma ada sedikit luka. Tak ada patah di bahagian tubuhnya.
Bantu Gelandangan Dan Wakafkan Al-Quran Untuk Keluarga
Pada hari kejadian, Wan Hasmiza terkilan kerana anaknya tidak sempat makan lauk kari makanan kesukaannya.
“Biasa lepas balik dari Politeknik Shah Alam, arwah akan makan nasi dahulu tapi pada hari itu, dia solat dulu. Makan pun tak sempat sebelum bergegas ke tempat kerja. Sebab itulah saya begitu terkilan kerana anak tak sempat jamah makanannya.
“Selepas kemalangan barulah saya dapat tahu bahawa anak saya disayangi ramai. Dia juga aktif dalam kerja dakwah dan kebajikan Islam dengan memasuki Persatuan Pelajar Islam Selangor,” katanya lagi.
Daripada kawan-kawannya juga barulah Wan Hasmiza mengetahui bahawa duit gaji kerja sambilan anaknya itu telah banyak dihabiskan membantu gelandangan dan mewakafkan Al-Quran untuk keluarganya. Sebab itulah dia selalu tidak ada duit.
“Betapa mulianya hatimu anak !” ujar Wan Hasmiza mengakhiri perbualan.
Lubuk konten tentang inspirasi, rumah tangga dan macam-macam lagi,
MINGGUAN WANITA kini di
download sekarang!
Pagi Hantar Bernyawa Balik Tinggal Jasad Jer, Bukan Mudah Baizura & Nain Nak Terima Kehilangan Anak

Bukan suatu perkara yang mudah menelan sebuah kehilangan. Apatah lagi kehilangan seorang anak. Mendapatkan perkhabaran gembira usai sepurnama melafazkan ijab dan kabul, menambahkan sinar bahagia buat pasangan Siti Nur Baizura Kamaruddin, 28 tahun dan Abu Nain Umar, 29 tahun. Biar pun pasangan ini langsung tidak sangka mendapatkan cahaya mata secepat mungkin, tetapi sudah tertulis rezeki, mereka berdua menerima dengan hati yang terbuka.
Tiada Masalah
Ternyata sepanjang kehamilan Siti NurBaizura atau mesra dengan panggilan Jojo tidak berhadapan dengan masalah kehamilan yang kronik. Seperti ibu-ibu lain, dirinya tidak terlepas daripada fasa alahan di trimester pertama. Dirinya agak lesu dan lelah melalui tiga bulan pertama. Namun tidak lama, memasuki trimester kedua segalanya berjalan seperti biasa.
Begitu juga ketika proses bersalin, segalanya berjalan lancar. Tanggal 24 May 2017, lahirlah puteri yang diberi nama Abu Zea Ophelia seberat 2.3 kilogram. Setelah menjalani proses berpantang, tibalah masanya Jojo kembali bekerja. Biar pun pedih hatinya untuk meninggalkan cahaya mata yang baru berusia dua bulan bersama pengasuh, dia tetap keraskan hati.
Baginya situasi ini pastinya turut dirasai oleh ibu-ibu lain yang terikat dengan kerjaya masing-masing. Lagi pula pengasuh anaknya telah dicari sejak awal lagi, ketika belum melahirkan sebagai persiapan awal. Segalanya bermula tanpa dirancang apabila Jojo yang menjalani rutin pemeriksaan bulanan di Klinik Kesihatan tanpa sengaja berjumpa dengan pengasuhnya.
Selidik
Hanya sekadar berbual kosong, akhirnya janji termateri yang sebaik sahaja bersalin nanti, Jojo akan menghantar anaknya kepada pengasuh tersebut yang tinggal tidak jauh daripada kediaman mereka. Sebelum kembali bekerja, Jojo dan suaminya ada berjumpa beberapa orang pengasuh sebelum memilih untuk menghantar kepada pengasuh tersebut.
“Awal-awal lagi saya dah selidik dengan dia bila dapat tahu dia juga menjaga empat orang anak orang lain. Risau juga sebab semuanya bayi di bawah umur setahun, yang dijaganya seorang diri. Tetapi kami tetap hantar seperti biasa. Tetapi selepas sebulan, mula berlaku beberapa kejadian yang buatkan kami seperti ingin mencari pengasuh lain.
‘Pernah sekali anak saya Opie lebam di bahagian telinga, alasan digigit semut. Ada pula satu ketika, bibir Opie macam ada kesan luka sebab terkena botol susu. Macam-macam telah berlaku dan dalam diam kami usahakan untuk mencari pengasuh lain tetapi ada sahaja halangan. Sebelum kejadian itu berlaku pun, kami sedang menunggu seorang pengasuh lain untuk menjaga anak kami.
‘Hati saya memang risau bila nampak pengasuh ini macam cuai dalam menjaga anak kami dan anak-anak orang lain di bawah jagaan dia. Tetapi kami masih tidak dapat mencari pengasuh lain hinggalah kejadian yang meragut nyawa anak kami berlaku,” ungkap Jojo sebak.

Terima Jasad kaku
Masih segar lagi di ingatan, di satu pagi Jumaat yang hening. Seawal pagi dalam kesibukan bersiap ke tempat kerja, Opie bereaksi seperti biasa. Dia tersenyum apabila dipanggil sambil ralit menonton video kegemarannya di kaca televisyen. Segala telatahnya seperti biasa, seperti hari-hari lain. Jadi ia langsung tidak menimbulkan kemusykilan di hati pasangan suami isteri ini.
Setelah menghantar Opie ke rumah pengasuh, Abu Nain menghantar isterinya ke pejabat. Lewat tengah hari, Jojo mendapat panggilan daripada pengasuh yang Opie asyik menangis sejak pagi, tidak mahu tidur dan tidak mahu minum susu. Dalam masa yang sama pengasuhnya meminta izin untuk menidurkan Opie dalam buaian kerana selama ini bayinya hanya tidur di tilam.
“Saya cuba fahami situasinya, kita tahu kalau bayi asyik menangis pasti kita risau. Lagi pun dia ada jaga anak-anak lain. Jadi saya izinkan dia untuk letakkan anak saya dalam buaian jika itu memudahkan tugasnya. Selepas beberapa jam, saya hubungi dia dan dia katakan Opie makin baik. Jadi saya pun tiadalah banyak bertanya. Tetapi petang itu ketika suami datang jemput untuk pulang kerja, sekali lagi pengasuh saya telefon dan beritahu Opie sudah berada di hospital.
“Ketika itu memang kami tak boleh nak fikir apa, terus ke Hospital Shah Alam. Lihat anak kami di zon merah, hati kami jadi tidak keruan. Saya cuba dapatkan anak saya dan doktor yang berada di situ beritahu anak saya diserang sawan. Doktor sudah beri ubat dan mereka sedang menunggu respons daripada anak kami. Tetapi malangnya anak kami berulang kena sawan ketika itu.
“Jadi doktor ambil keputusan untuk lakukan CT scan dan daripada situlah baru diketahui bahawa ada pendarahan pada otak Opie. Pengasuh yang berada di situ bermati-matian jelaskan yang Opie tidak pernah jatuh,” cerita Jojo satu persatu.

Terdapat Kesan Retak
Komplikasi yang dilalui Opie memerlukan dirinya untuk melalui pembedahan segera dan seterusnya dirinya dirujuk ke Hospital Kuala Lumpur kerana terdapat pakar. Pembedahan ini perlu dilakukan untuk mengeluarkan darah beku yang terdapat pada otak anak mereka.
Selepas tiga jam pembedahan berlangsung, doktor berjumpa pasangan ini dan menyatakan keadaan anak mereka dalam keadaan 50-50. Segalanya bergantung kepada Opie dan juga takdir, sekiranya dia kuat, dia akan pulih, begitu jugalah sebaliknya. Doktor juga terkejut dengan keadaan otak Opie yang seolah-olah menerima tekanan yang amat kuat.
Biar pun pedih untuk menelan kenyataan, Jojo dan Abu Nain berdoa agar keajaiban berlaku. Sejak pembedahan itu sehinggalah di hari terakhirnya, permata hati mereka berdua tidak sedarkan diri dan hanya bergantung kepada mesin bantuan pernafasan dalam berjuang meneruskan hayatnya.
Ketika ditempatkan di dalam Unit rawatan Rapi, Opie berada di ruang khas dan rupa-rupanya kes Opie paling kritikal pada ketika itu. Sedih mengenangkan situasi tatkala berada di wad, apatah lagi melihat jasad kecil yang baru berusia tujuh bulan berselirat wayar. Baik Jojo atau Abu Nain, masing-masing tidak mampu menahan sebak.
“Ada ketika saya bisik pada telinga Opie agar dia terus kuat untuk teruskan hidup. Tetapi ada ketikanya saya juga hampir putus asa apabila berjumpa ramai pakar, mereka pula berbeza pendapat. Kami sendiri keliru, tetapi dalam masa yang sama tidak putus berdoa agar Allah panjangkan umur Opie.
“Malam sebelum Opie pergi, ada ketua pakar berjumpa kami dan memberi pilihan sama ada kami memilih untuk meneruskan agar mesin oksigen dan ubat tidur Opie diteruskan atau tidak. Biar pun berat, kami akhirnya memilih untuk berserah pada takdir yang telah Allah tentukan.
“ Lebih-lebih lagi dengan keadaan Opie yang lemah, jadi bukan mudah untuk dia teruskan hidup,” celah Abu Nain yang akhirnya tidak mampu menahan air mata setelah anaknya pergi buat selamanya pada 14 Januari 2018.

Bukan Mudah Terima Takdir
Sebenarnya amat berat untuk menerima sebuah kehilangan, apatah di saat sedang ralit membesarkan anak yang telah mula berkeletah. Senyumnya, tawanya, tangisannya menjadi setiap momen terindah buat pasangan ini. Berat mata memandang, lagi berat bahu yang memikul.
Jojo sendiri hingga saat ini, dirinya terasa belum mampu untuk menerima segala yang berlaku. Tipulah jika dia mampu melupakan apa yang terjadi. Setiap masa bila terkenang Opie, pasti berjuraian lah air matanya. Begitu juga Abu Nain, kehadiran Opie banyak mengajar dirinya untuk bergelar seorang bapa yang bertanggungjawab, belum puas mengecap nikmat, pinjaman Allah ditarik balik.
Tetapi sebagai manusia biasa, baik Jojo atau Abu Nain sendiri, mereka perlu reda jika ini ujian yang perlu mereka hadapi. Bukan mudah tetapi perlu jua telan biar pedih, biar sakit. Ternyata kejadian yang menimpa kanak-kanak yang senasib Opie amat mengguris perasaan pasangan ini. Semoga pasangan ini dikurniakan kebahagiaan dan kekuatan dalam meneruskan hidup.
Menurut pegawai polis yang mengendalikan kes ini, katanya kecederaan yang dialami Opie mungkin disebabkan oleh kesan benda tumpul. Mereka berdua tidak mampu memberi komen lanjut kerana segalanya masih dalam proses siasatan.
Tetapi hati ibu dan bapa mana yang tidak pedih melihat pesalah yang menyebabkan kematian anak mereka tidak diadili. Dirinya hanya tidak dibenarkan untuk menjaga budak lagi buat masa ini, tetapi dia masih bebas di luar sana. Pasangan ini berharap agar pengasuh mereka mendapat balasan yang setimpal dengan kesalahan yang dilakukan.
Lubuk konten tentang inspirasi, rumah tangga dan macam-macam lagi,
MINGGUAN WANITA kini di
download sekarang!
Kanser Saraf Annur Qisya Umaira Makin Parah, Bantulah Dari Segi Duit & Kongsilah Cerita Ini Agar Sampai Pada Yang Sudi

Baru berusia 4 tahun, kanser saraf sudah mula jadi ‘kawannya’. Allahurabbi… berat mata kita yang tiada kaitan ini memandang, berat lagilah bahu empunya diri yang menanggung rasa kesakitan. Moga perkongsian Natipah Abu kali ini boleh mengurangkan beban yang ditanggung anak kecil ini, mohon panjangkan bila anda sudah selami cerita ini…
Neuroblastoma relapse (kanser saraf).
Genap setahun yang lalu … Kak Pah pernah melawat Annur. Waktu itu Annur masih mampu tersenyum dalam pelukan Kak Pah biarpun dia sedang menderita.
Setelah setahun berlalu…
Kak Pah menerima perkhabaran yang menyedihkan . Dia dalam keadaan yang sangat menderita.
Tanpa berfikir panjang lagi … Kak Pah memandu di tengah hujan yang lebat mencurah menuju ke wad C3 Hospital Pulau Pinang.
Hiba sekali menatap wajah Annur. Tiada lagi senyum tawa di bibir munggil itu. Tiada lagi sapa mesra seperti setahun yang lalu.
Wajahnya yang sayu benar-benar meruntun hati. Jelas tergambar… dia sedang menderita yang amat sangat.
Kemeo sedang berjalan serentak dengan morfin yang baru saja ditambah dosnya . Biarpun morfin sedang dialirkan ke sesegenap urat nadinya namun sentuhan halus walau seinci ditubuhnya sudah cukup untuk menimbulkan rasa sakit yang amat sangat.
Tidak mampu menangis lagi bahkan tidak mampu lagi untuk merintih …. begitulah betapa dia sedang kesakitan yang amat sangat.
Perutnya kelihatan bengkak. Khabarnya … ada ketumbuhan yang sedag membesar di dalamnya sudah mencapai saiz 10 cm.
Cecair hijau bagaikan air lumut pula mengalir keluar dari perut melalui satu tiub yang dimasukan ke dalam perut dari mulut dan masuk ke dalam satu tabung di sisinya.
Di hujung kaki … ada mesin untuk membaca degupan nadi .Jika bacaan kurang baik … kemoe akan dihentikan buat seketika.
Air liurnya mengalir di hujung bibir … nafasnya turun naik. Sesekali kedengaran rengekan kecilnya sayup di telinga.
Sebak dan pilu hanya Allah yg tahu melihat betapa anak sekecil itu hebat diuji namun semua itu rahsia Yg Maha Kuasa.
Kasihan pada ayah yg terpaksa bercuti dr kerjanya di sebuah kilang utk menjaga anak-anak termasuk yang baru berusia lebih kurang setahun.
Ibunya sedang sarat hamil anak ke empat itu pula terpaksa menjaga Annur yg setiap detik inginkan ibu ada di depan mata.
Barangkali … hanya dgn menatap wajah ibu tercinta itu saja dpt mengurangkan segala perasaan yg ditanggung tubuh anak yg tidak berdaya itu.
Tabung kebajikan kita di sini ada menyumbang RM1K untuk melapangkan sesak keluarga ini.
Sama-samalah kita doakan agar keluarga ini tabah dengan dugaan ini dan diangkat segala kasakitan dari tubuh insan terpilih ini dan dia kembali pulih seperti sediakala.
Untuk mereka yang ingin membantu boleh salurkan ke:
Maybank siti solehah 157091391639
Cimb siti solehah
7620670003
atau hubungi 012 565 8572 siti solehah (ibu)
Lubuk konten tentang inspirasi, rumah tangga dan macam-macam lagi,
MINGGUAN WANITA kini di
download sekarang!

