Dunia sekarang nie, semua orang lebih suka membayar barang yang dibeli dengan kad kredit atau kad debit. Malah, tidak keterlaluan apabila rata-rata daripada kita ini tidak membawa wang yang banyak, cuma, ada beberapa keping kad debit atau kad kredit.
Kad kredit diberi pada isteri. Mungkin ini salah satu nafkah zahir yang diberikan oleh suami pada isteri? Mampukah isteri menggunakan dengan cara yang betul. Kalau isteri yang boros, memanglah susah untuk dikawal. Lebih baik suami berikan duit tunai sahaja. Tapi, bagi isteri yang pandai habiskan duit melalui kad kredit yang diberikan suami untuk membeli barang keluarga. Itu tidak menjadi persoalan.
Malah, isteri pun tidaklah ingin menyeksa suami dengan membeli barang sesuka hati sampaikan penyata bil berjelar-jelar. Bergantung kepada kemampuan suami. Biasanya, isteri beli barang untuk keperluan rumah sahaja. Betul tak?
Ada cara yang betul kalau nak beri kad kredit pada isteri. Ikuti perkongsian daripada Bijen Mohd tentang suami yang bagi kad kredit pada isteri. Tak perlu takut pun wahai suami….
Menguruskan Nafkah
Saya belajar tip ini daripada orang lama yang berpengalaman. Maklum saja, saya baru nak berjinak-jinak membina rumah tangga. Memang banyak kena belajar dengan orang lain yang dah menempuhinya, terutama di era modenisasi dan liberalisasi ini.
Saya tanya bagaimana beliau menguruskan perihal nafkah untuk isteri sesuai dengan arus pemodenan semasa. Isteri beliau tu bekerja sebagai guru. Waktu itu saya tengah mencari mekanisma terbaik untuk menyalurkan nafkah supaya saya tidak termasuk dalam golongan suami yang mengabaikan tanggungjawabnya.
Ads
Jawabnya, beliau memberikan kad kredit tambahan (supplementary) kepada isterinya untuk digunakan. Ikut pandai dialah nak belanja macam mana.
Maka lepas buat kaji selidik, analisa risiko dan sebagainya, saya pun berilah hadiah sekeping kad plastik kepada isteri. Kini dah nak masuk 6 tahun dah kot saya masih belum tarik lagi nikmat yang tak dapat didustakan itu.
Hadkan Limit
Kawan-kawan,
Tak payah risau sangatlah bila bagi kad kredit kepada isteri. Kita boleh saja tetapkan limit untuk mereka berbelanja. Katakan gaji kita RM2,500 sebulan, buatlah limit kad isteri sebanyak RM500-RM1,000 sahaja.
Serius, mereka tak akan guna lebih pun. Nak beli apalah sangat? Shampoo, minyak rambut, deodoren? Semua tu bukannya setiap bulan kena restock. Beli baju raya? Setahun sekali saja. Baju kelawar pun tak adalah sampai setiap masa nak membeli. Beli bra, rasanya tunggu sampai dawai terkeluar baru nak ganti.
Last-last beli barang dapur juga. Itu pun kita sendiri yang tumpang makannya. Cuma yang isteri suka beli; sabun anak, losyen anak, pampers anak, baju anak, kasut anak, spender anak, mainan anak. Nak buat macam mana, suami sendiri malas nak beli.
Pakai kad kredit ni ada baiknya. Isteri akan guna bila perlu saja. Berbanding kalau kita bagi cash di tangan, tak adanya isteri nak pulangkan kalau ada lebih. Kan bagus macam tu? Pay per use.
Ads
Itu satu perkara. Perkara lain yang best adalah setiap perbelanjaan isteri akan muncul dalam penyata. Tak payah suami susah-susah nak teka isteri ini habiskan duit kat mana.
Macam saya, bila hujung bulan, saya akan verify balik setiap baris item dalam penyata. Waktu tu, isteri mulalah gelabah cari resit letak kat mana, check akaun Shopee beli barang apa. Dalam masa yang sama, kita boleh didik mereka apa must have thing dan nice to have thing.
Malam-malam pula jangan lupa panjatkan doa. “Ya Allah, tutuplah pintu hati isteriku dari boros berbelanja. Janganlah bagi dia mudah terpesona dengan tipu daya dunia. Kurangkanlah nafsunya bershopping sini-sana.”
Alahh, isteri berbelanja pun murah rezeki untuk kita juga. Apa nak susah hati sangat?
MW: Lepas ini, suami bolehlah bagi kad kredit untuk isteri. Cara sekarang bagi nafkah untuk isteri.
Madu itu manis, tapi bermadu itu pahit bagi wanita bergelar isteri! Kadangkala tertanya-tanya, apa kesilapan mereka hingga diri dimadukan dalam diam?
Ikuti luahan hati seorang wanita yang telah dijawab oleh kaunselor dan penulis bebas, Puan Hajah Maimunah Mohamad. Beliau juga salah seorang penulis tetap di dalam Majalah Mingguan Wanita.
Assalamualaikum puan. Saya berusia awal 40-an. Memiliki empat orang cahaya mata, dua lelaki dua perempuan. Saya beryukur kerana mempunyai suami yang penyayang, anak-anak yang sihat dan boleh dikatakan cemerlang di dalam pelajaran.
Yang sulung kini di Ireland mengikuti jurusan kedoktoran; kedua di UiTM di dalam jurusan Mechanical Engineering, ketiga di UIA di dalam jurusan Undang-Undang dan keempat sedang menunggu keputusan SPM (ketika e-mel ini dihantar).
Dulu Suami Isteri Hidup usah
Suami seorang ahli perniagaan dan saya pula tidak lagi bekerja selepas anak kedua lahir. Soal duit tak jadi masalah dan kami mampu hidup selesa. Namun, kami bukan sesenang sekarang. Awal kahwin, saya bersusah payah bersama suami yang baru nak membina perniagaan. Sehinggalah akhirnya dia memiliki beberapa buah syarikat.
Saya jenis isteri yang tak pernah campur urusan kerja suami dan fokus saya pada anak-anak. Sejak anak-anak kecil, saya yang uruskan segala-galanya tentang mereka; pelajaran dan sebagainya. Suami hanya akan berikan duit. Tapi saya tak kisah kerana faham tanggungjawab masing-masing.
Banyak Urus Anak
Walau pun ada bibik, tapi saya selesa bab memasak, saya tak lepas tangan kerana suami dan anak-anak cerewet soal makan. Kami jarang makan di luar kecuali nak meraikan hari-hari tertentu seperti hari jadi dan sebagainya.
Saya juga bersyukur, dua anak gadis saya rajin membantu mengemas dan memasak. Mungkin kerana saya dah didik mereka sejak kecil. Yang lelaki juga sama, malah mereka pandai masak walau pun tak lah sehebat chef. Bolehlah masak untuk mereka makan. Jadi, saya tak risau bila anak-anak belajar jauh kerana bab makan, mereka akan masak sendiri.
Jika suami cuti lama, kami akan curi masa untuk melawat anak sulung di Ireland. Kalau dia sibuk, kadangkala saya pergi bercuti bersama anak-anak atau rakan-rakan saya. Tak Pernah merungut kalau suami sibuk kerana faham nak uruskan bisnes bukan mudah.
Isteri Aktif NGO
Di kala anak-anak sudah besar, saya punya banyak masa luang dan itu yang membuatkan saya menyertai beberapa NGO. Dapatlah saya hilangkan kebosanan bila anak-anak sibuk dengan pelajaran dan suami juga sibuk dengan kerjanya.
Saya seronok bila dapat menyumbangkan tenaga untuk badan-badan tersebut. Itu juga bagi saya, salah satu cara untuk saya mencari sedikit pahala untuk amalan. Kadangkala saya turut menyertai misi ke luar negara menerusi badan-badan sukarelawan tertentu.
Selain itu, saya banyak menyertai kelas pengajian bagi menimba ilmu agama dan saya ada ‘geng road to jannah’. Kadangkala kami akan ronda-ronda, sambil makan-makan, kami cari masjid untuk ‘merasa’ pengalaman solat di situ. Rasa seronok yang sukar digambarkan.
Suami Buat Perangai
Menuju ke usia emas, saya inginkan kehidupan yang tenang. Bersama suami dan anak-anak. Namun, ternyata dugaan hebat muncul di penghujung usia.
Sejak tahun lalu, saya perasan suami bersikap pelik tapi saya cuba bersangka baik. Namun akhirnya terjawab semua apabila dia pergi menunaikan umrah awal tahun ini. Saya tak ikut serta kerana saya baru saya menunaikan umrah hujung tahun lalu. Ketika itu suami tak boleh pergi kerana banyak kerja katanya.
Kuasa Tuhan, ada salah seorang sahabat ‘ Road To Jannah’ saya turut menunaikan umrah pada waktu yang sama dan terserempak dengan suami ketika di Madinah. Sekembali ke Malaysia, rakan itu terus berjumpa saya. Katanya, puas dia berfikir namun demi sayangnya pada saya, dia rasakan dia patut luahkan. Dia pulang beberapa hari lebih awal.
Madu Kenalkan Dirinya
Rupanya di Mekah, dia terserempak dengan suami dengan seorang wanita muda. Bila ditanya, suami mulanya hanya diam namun wanita itu yang menjawab yang dirinya adalah isteri kepada suami!
Tuhan saja yang tahu apa yang saya rasa ketika itu. Tiada air mata yang mengalir kerana saya sangat terperanjat. Dalam diam, suami memadukan saya rupanya! Dia menunaikan umrah bersama isteri muda.
Saya memohon kekuatan daripada Yang Esa dan akhirnya saya tekad untuk berterus terang dengan suami sebaik dia kembali ke tanah air. Dia seolah dapat menduga saya akan bertanya hal tersebut. Dia mengaku, dia telah berkahwin dengan seorang janda anak tiga, hujung tahun lepas ketika saya menunaikan umrah.
Waktu inilah air mata saya tumpah. Sebelum ini hati saya cuba menafikan berita yang disampaikan oleh rakan saya itu tapi bila keluar daripada mulut suami sendiri, ia adalah satu hakikat.
Lepas Tau Dimadu, Perasaan Tak Keruan
Saya masih keliru dengan apa yang terjadi. Hati saya sakit dan marah tapi tak mampu saya luahkan. Memang benar suami mampu berpoligami. Tapi sebagai isteri, ia teramat pedih untuk saya telan. Rasa diri ini dikhianati. Wanita itu masih muda, baru berusia 32 tahun.
Saya sedaya upaya melayan suami dengan baik jika giliran dia di rumah. Namun saya tak dapat membohongi kedukaan hati saya. Sikap saya berubah. Jarang berbual dengannya lagi. Walau pun pelbagai cara dilakukan untuk mengambil hati saya, tapi hati saya seolah-olah sudah layu.
Saya tak tahu sampai bila saya mampu bertahan dalam keadaan ini. Saya cuba reda untuk terima namun hati saya amat sakit.
Luahan Hati: Isteri Terluka, Melaka.
Jawapan Kaunselor:
Dengan Nama Allah Yang Maha Pengasih Lagi Maha Penyayang. Poligami adalah perkara yang tidak disukai oleh isteri, tetapi disukai oleh ramai suami. Ada suami yang mampu dan mahu berpoligami. Ada yang tidak mampu tetapi mahu berpoligami.
Tanggungjawab
Ada yang mampu tetapi tidak mahu berpoligami kerana tidak mampu menjalankan tanggungjawab yang lebih berat. Kepada seorang isteri ia adalah suatu kecurangan terhadap kesetiaan dan kasih sayang yang telah diberikan sepanjang perkahwinan.
Tiada wanita yang mahu dimadukan oleh suaminya. Kepada suami diberikan kasih sayang, layanan yang baik, dijaga makan dan pakaiannya, diberi asuhan yang sempurna kepada anak-anak , namun kenapa suami mencari wanita lain selain dia. “Apa salah saya” adalah soalan yang biasa diajukan oleh isteri apabila suaminya ada wanita lain, sama ada dalam alam percintaan dengan wanita lain, mahupun suami telah berkahwin dengan wanita lain. Rasa dikhianati, rasa tertipu, rasa keliru dan kecewa bermain dalam emosi yang remuk redam.
Isteri Tak Mudah Terima
Puan yang dirahmati Allah. Saya dan pembaca memahami situasi yang puan alami. Bukan mudah untuk menerima hakikat dan berhadapan dengan hakikat suami telah ada seorang lagi wanita lain yang disayangi suami.
Tidak dinafikan untuk menerima dan menyayangi suami seperti sebelumnya teramatlah sukar. Ada kebenarannya yang puan sebut, tidak mampu berbohong dengan diri. Namun, kehidupan perlu dilalui bersama suami. Apa yang perlu dilakukan?
Pertama, ambil masa untuk menerima suami. Luka yang teruk pastinya memerlukan rawatan yang lama. Malah luka itu perlu ubat yang kuat untuk menyembuhkannnya. Antara ubat itu adalah banyak mengingati Allah melalui solat, doa, zikir, membaca al-Quran. Kerap mengikuti kuliah agama juga antara penawar untuk sembuhkan luka.
Luka ini pula kalaupun sembuh pastinya meninggalkan parut yang boleh memberi sedikit kecacatan. Malah setiap kali pastinya akan terkenang apabila melihat parut itu. Namun parut tidak boleh hilang bukan? Maka apa yang suami lakukan terhadap puan mungkin sukar untuk dilupakan.
Tidak mengapalah jika hati masih rasa berat untuk menerimanya. Puan boleh melayan perasaan itu. Kita tidak mampu berbohong apabila kepercayaan dicalari. Namun membiarkan perasaan sebegitu dalam tempoh yang lama juga memberi kesan buruk kepada puan. Aktiviti seharian tidak terfokus, emosi tidak gembira, kecewa dan sebagainya.
Lihat Apa Yang Dimiliki
Sebagai manusia kita perlu meneruskan kehidupan. Cuba puan lihat sekeliling dan lihat kehidupan yang puan miliki. Puan punya anak-anak yang berjaya, punya harta, punya masa dan hobi yang puan boleh lakukan, puan juga mampu menjalankan kerja-kerja amal dalam hidup yang ramai orang belum dapat melakukannya.
Puan juga punya suami yang bertanggungjawab.Tiada apa pun kekurangan yang puan miliki. Namun, Allah hanya beri sedikit ujian ini. Ujian suami ada wanita lain. Jika ditakdirkan puan dilanda ujian yang lebih besar bagaimana? Ujian pastinya ada dalam hidup bagi meningkatkan keimanan kita. Bila ingin mengubat hati, pasti kita bermunajat dan lebih banyak memohon kepada Allah agar hati kita tidak kecewa dengan begitu lama.
Isteri Kena Luahkan Dan Jangan Simpan
Daripada apa yang puan nyatakan, saya dapat memahami bahawa puan tidak dapat membohongi diri puan untuk menyayanginya. Untuk meringankan kekecewaan yang puan hadapi, terus terang katakan kepada suami bahawa hati puan tidak dapat menyayanginya walaupun telah cuba. Puan ada menyebut tidak mampu luahkan.
Jangan biarkan ianya tersimpan dalam hati. Perlu luahkan kepada suami. Lihat responsnya. Kalau dia tidak respon bermakna dia tidak kisah kepada persoalan hati dan perasaan. Maka tidak perlu puan menjeruk rasa terhadapnya. Puan boleh memilih sama ada puan belajar dan berusaha menyayanginya atau pun puan kekal untuk perasaan biasa-biasa terhadapnya.
Perasaan kasih dan sayang terhadapnya boleh diagihk-agihkan kepada aktiviti-aktiviti kemasyarakatan yang puan terlibat. Ini adalah salah satu cara bagaimana puan boleh mengubat hati yang duka kerana puan tidak memfokuskan kasih itu kepada suami sahaja. Banyak ruang dan peluang untuk menyebarkan kasih sayang dan dengan sendirinya hati puan akan terubat.
Banyakkan sedekah, menyantuni asnaf dan anak yatim. Insya-Allah, lagi banyak kebaikan yang puan lakukan untuk manusia lain dan untuk agama Allah, suatu hari Allah akan “campakkan” ketenangan dan kebahagiaan dalam diri puan. Wallahuallam.
Isteri memang dilahirkan dengan kebolehan mengimbas otak dan tingkah laku suami. Sekali suami berubah laku, isteri secara automatik dapat kesan kesalahan suami. Apatah lagi rahsia-rahsia yang suami cuba sorokkan.
Oleh sebab itu, isteri pantang jika suaminya menipu apabila dia bertanya. Menjawab soalan teragak-agak memang membuatkan isteri bertambah curiga. Oleh itu suami kena berhati-hati sebelum terfikir nak menipu isteri.
Sebenarnya sikap orang perempuan ini, bila dia tanya itu bukan bermaksud dia tak tahu… Kebanyakan soalan-soalan yang ditanya itu jawapannya sudah ada, dia dah tahu… Cuma cara dia nak uji kejujuran kita adalah melalui sebuah pertanyaan…
“Lewat abang balik, kerja banyak ke dekat pejabat?”
Kalau betul banyak kerja, maka YA kita itu bunyi confidence… Kalau tak banyak kerja, kita balik awal then melencong sebelum sampai rumah, maka YA kita itu bunyi teragak-agak dan gagap sedikit…
Kita takut untuk bertentangan mata, peluh mula membasahi dahi dan kita cuba untuk mengalihkan topik dengan bertanya,
“Anak-anak mana? Makanan sudah siap?”
Lalu kita cepat-cepat masuk ke bilik dan menguruskan diri…mungkin kita ingat sudah selamat, walhal sebenarnya tidak…
Belum Selamat
Dia mungkin sudah tahu ke mana yang kita tuju sebelum sampai ke rumah, cumanya atas asbab tidak ingin menimbulkan pergaduhan, maka dia layan… Terima jawapan si suaminya seolah-olah dia tidak tahu apa-apa…
Orang perempuan ini pelik sebab dia boleh membuatkan lelaki gelabah biawak dengan cara pandangan, pertanyaan atau pun riak mukanya…
Kalau jawapan itu tidak memuaskan hati atau tidak seiringan dengan naluri, apa yang dirasakannya, maka akan ada pertanyaan kedua, ketiga dan seterusnya sehinggalah dia berpuas hati dengan jawapan yang diberi…
So, please avoid daripada bercakap bohong dan berselindung… Lebih baik berterus terang dan bagi dia tahu daripada menipu…
Ini lebih menjaminkan ketenangan dan kesejahteraan hidup kita sebagai seorang suami…
MW: Wahai suami, demi kesahteraan hidup bersama berlakulah jujur terhadap isteri. Jika anda ingin menipu untuk kebaikan sekali pun janganlah buat selalu kerana isteri dapat menghidu sama ada anda bercakap benar atau berbohong.
Lubuk konten tentang inspirasi, rumah tangga dan macam-macam lagi, MINGGUAN WANITA kini di seeNI, download seeNI sekarang!
Ketika suami mahupun isteri, masih lagi ada di sebelah usahlah kedekut menzahirkan kata-kata cinta. Kerana apabila dia sudah tiada, kebaikan pasangan cuma mampu kita kenang-kenangkan saja.
Kisah harian yang dilalui Bonda Norini benar-benar mencuit rasa. Biarpun cuma berkisar tidur malam anak-anak dan suami. Bila anak-anak masih terlajak manja, mahu tidur malam sama-sama mak ayah, salah seorang perlu mengalah.
Abang, Naik Atas Katil..
Jam 3 pagi, tersedar, tengok dia tiada di sebelah. Hmmm.. Dah boleh agak dia di mana.
“Abang tidur atas katil ya. Takpe. Saya dah bangun dah ni. Nak solat dan menulis jap.”
Barulah dia bangun lalu melipat tilam nipis yang menjadi alas tidurnya. Simpan.
Saya tahan sebak. Sudah berkali-kali melihat pemandangan yang sama, masih ditemani rasa yang sama.
Bukan sekali dua begini. Selalu!
Bila Anak-anak Masih Terlajak Manja
“Abang, biarlah dia tidur dengan Hanis dan Imran je. Kita tidur satu katil sampai 4 orang, sempit! Kalau sehari dua, okey lagi. Tapi kalau setiap hari, takut jadi penyakit je nanti.”
Saya bantah. Najma masih menyusu badan. Memang perlu tidur bersama kami. Tapi Hadif?
Ah.. Hadif dah umur 4 tahun. Dah ada adik pun. Tapi masih terlajak manja. Masih merengek mahu tidur dengan mama dan abah.
Dan suami.. seperti biasa memang akan tewas dengan rengekan anak kecil.
“Ayang teman Hadif dan Nona tidur atas katil. Abang tidur bawah saja.”
“Tak nak! Saya masih ada suami. Biarlah suami yang tidur sebelah saya. Anak-anak kena ada limit juga!”
Ketika Hadif terus merengek, saya terus bertegas. Tetap mahu tidur berbantalkan lengan suami!
Lalu, demi memenuhi permintaan Hadif dan mahu isterinya tidur lebih selesa, yang selalu berkorban ialah dirinya.
Tilam Nipis Itulah Akhirnya Tempat Suami Merebahkan Lena
Ketika saya sudah terlelap, perlahan-lahan dia bangun, bentangkan tilam nipis di lantai dan tidur di situ.
Bila saya marah, katanya dia tak mahu saya sakit badan tidur bersempit-sempit macam tu. Padahal dia tidur di lantai begitu, tentu lagi….
Allahu Akbar. Pengorbanan seorang suami.
Hal-hal seperti ini yang selalu menyentuh hati seorang isteri.
Justeru, sesekali bila hati isteri ini merajuk, mengingati pengorbanan seperti ini pun sudah cukup buat hati saya terpujuk.
Teringat kata-kata mak satu ketika dahulu. Mengadukan sesuatu.
“Hari-hari dia cerita tentang arwah suami dia. Kadang mak terasa nak tegur juga.”
“Biarlah mak. Kalau itu yang buat dia lega.”
Ketika Pasangan Telah Tiada, Cuma Kerinduan Datang Menyapa
Saya senyum saja mendengar luahan rasa mak. Tentang sahabat mak yang sudah kehilangan suami. Hari-hari bercakap tentang kebaikan arwah suami. Tentang kerinduannya yang tak bertepi.
Walhal ketika arwah masih hidup, dia selalu merintih tentang kerenah buruk suaminya. Pening kepala!
Tapi lihatlah.. sebaik saja arwah meninggalkannya, lupa segala yang buruk, yang dikenang hanyalah yang indah-indah saja!
Allahu Akbar. Kita ambil iktibar.
Suami kita, biar berjujuk pun kelemahannya, pamerkanlah penghargaan kita kepadanya ketika dia masih ada.
Tak guna kita tabur bunga dan jirus air mawar ke pusaranya kalau ketika dia masih hidup, yang kita buat hanyalah memanaskan hatinya.
Tak guna kita tulis satu buku khas untuk menzahirkan kasih sayang kita kepadanya sedangkan ketika dia masih hidup, kita kedekut mahu mencoretkan kata-kata cinta buatnya.
Masa tidak boleh diputar.
Kalau Dia Pergi Dulu..
Bagi sesetengah orang, saat telah kehilangan, terpaksa mengharung kenangan dengan penuh penyesalan.
Bagi sesetengah yang lain, kisah-kisah beginilah yang harus dijadikan iktibar.
Belajar.
Kalau kita pergi dulu, apa yang akan dia ingat tentang kita?
Kalau dia pergi dulu, apakah kenangan bersama kita yang akan dia bawa bersama?
Perpisahan itu pasti.
Mati itu juga pasti.
Tepuk dada tanya hati. Apa yang sepatutnya kita lakukan ketika ini?
Sudah-sudahlah merajuk berlama-lama. Kita pendekkan saja cerita. Terima pasangan kita seadanya. Bertolak ansurlah pada kekurangan dan kelemahannya.
Pasangan Itu Bahan Ujian Allah Pada Kita
Dia adalah bahan ujian Allah pada kita. Kita juga adalah bahan ujian Allah padanya. Lalu jika sebut tentang ujian, apakah yang patut kita bayangkan?
Bukan tawa saja setiap masa. Kita juga harus bersedia untuk kuatkan jiwa bermain airmata!
Allahu Akbar. Kalau kita benar-benar buka mata dan hati kita, pasti banyak sebenarnya kita temui kebaikan pasangan kita.
Justeru, saat ujian tiba, cubalah pujuk hati kita dengan mengenangkan yang baik-baik saja tentangnya. Ya Allah.. Takkan langsung tak ada!