“Ayah Hidap Angin Ahmar, Ibu Kanser” Anak Tunggal Tak Fikir Langsung Nak Kahwin. Besar tanggungjawab dan pengorbanan yang perlu dipikul oleh anak tunggal ini, apabila menjaga mak ayah yang sakit.
Sejak enam tahun lalu, kehidupan Mohd. Yusri Haiqal Mohd. Yusop, 33, mengurus dan menjaga bapa, Mohd. Yusop Sulaiman, 63, yang menghidap angin ahmar sementara ibu, Mahani Saleh, 58, pula pesakit kanser sejak dua tahun lepas.
Tak Fikir Nak Kahwin
Menurut Mohd. Yusri, ketika ini dia tidak langsung memikirkan masa depannya termasuk berumah tangga selain memastikan kedua ibu bapanya gembira di sebalik kesakitan dihadapi.
“Dulu saya kerja kilang di Kulim dan apabila ayah sakit, saya terpaksa pulang. Sebagai anak tunggal inilah tanggungjawab saya menjaga kerana dahulu mereka jaga saya sejak lahir, kini tugas itu saya pikul.
“Tak fikir langsung nak kahwin. Lagipun siapalah yang mahukan orang seperti saya,” katanya ketika ditemui di rumah mereka di Kampung Chegar di sini semalam.
Ayah Hidap Angin Ahmar, Ibu Kanser
Katanya, bapa diserang angin ahmar setelah terjatuh di rumah akibat penyakit darah tinggi sebelum ujian keluarga itu berterusan apabila ibunya pula disahkan menghidap kanser payudara tahap tiga dan terpaksa menjalani pembedahan pada Oktober tahun lepas.
“Mak jalani kemoterapi di Hospital Lama Alor Setar sebanyak enam kali dan kemudian radiografi di Hospital Pulau Pinang. Saya perlu bagi semangat kepadanya,” katanya.
Ads
Jelasnya, dia kini bekerja sebagai pembantu am di sebuah kedai besi di Jalan Langgar, di sini untuk menanggung keluarga dan memerlukan pekerjaan yang fleksibel kerana perlu membawa ibu dan bapa ke hospital.
Sementara itu menurut Mahani, dia disahkan menghidap kanser itu setelah mengesan ketulan di payudara kanan.
“Tahun lepas saya ambil keputusan untuk buang payudara dan sekarang sedang kemoterapi. Rawatan ini memang melemahkan tetapi saya kena kuat. Alhamdulillah saya ada seorang anak yang sentiasa berada di sisi,” katanya.
Ads
Katanya, perbelanjaan mereka seharian adakalanya bergantung kepada bantuan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) sebanyak RM500 sebulan.
Bagi mereka yang ingin membantu keluarga ini boleh menyumbang kepada akaun Bank Islam, 02084020262878 (Mahani Saleh).
Usia tak jadi halangan buat 3 lelaki Kelantan ini, tunai impian umrah di kota suci Mekah dengan menempuh perjalanan bermotosikal kapcai saja. Diami Yusoff, 58, Mohamad Fadhli Ab Rashid, 40 dan Mohd Zalani Zulkifli, 64 buktikan tiada yang mustahil untuk menyahut panggilan umrah.
Di sebalik kisah tular ini, ada catatan indah yang dicoretkan oleh Najmi Farisham, yang berpeluang bertemu dengan geng ‘Gi Mekah Nga Mutor’ hujung Januari lalu.
Perjalanan mereka bermula 3 November 2018 dari Masjid Muhammadi, Kota Bharu. Setelah dirasmikan oleh Exco Belia dan Sukan Negeri Kelantan, mereka bertolak ke Thailand diiringi konvoi rakan bikers sejauh 600 kilometer.
Dengan hanya menunggang motosikal jenis Yamaha 135LC, mereka merentasi 6 buah negara seperti Thailand, Myanmar, India, Pakistan, Iran dan Emiriah Arab Bersatu (UAE) sebelum tiba di Arab Saudi. Kira-kira 8 buah negara semuanya dengan jarak sejauh 14,000 kilometer lebih. Fuh, sangat jauh woih. Mereka membuat jangkaan memakan masa selama 60 hari.
Pelekat setiap negara yang mereka rentas.
Namun rintangan sentiasa ada walaupun rancangan sudah diperkemas. Bak kata pak imam ketika kuliah maghrib, “Kita merancang, Allah juga merancang. Dan semestinya perancangan Tuhanlah yang terbaik.” Ada sesetengah kawasan yang mereka lalui tersangatlah teruk sehingga mengganggu perjalanan.
“Bayangkan jalan raya sepanjang 40 kilometer, kami terpaksa redah selama 8 jam. Fuh!” ujar salah seorang daripada mereka ketika kami makan bersama.
Mereka juga tersadai di sempadan Dubai selama 2 minggu bagi menunggu keputusan visa untuk membolehkan menunggang masuk ke Arab Saudi. Kalau tak memang kena patah balik ke Malaysia dan masuk melalui kapal terbanglah jawabnya. Begitulah yang dilalui oleh kebanyakan konvoi sebelum ini.
Nah tengoklah barang dagangan yang mereka jadikan bekal. Dengan cawan besi, ada gula disangkut dekat belakang motosikal. Siap ada pakej bunyi lagi masa atas jalan. Dah besi-besi itu duk berlanggar sesama sendiri. Kahkah.
Mulanya Ajak-ajak Ayam, Lepas Setahun Impian Jadi Nyata
Akhirnya pada hari ke-80, mereka berjaya sampai ke Bumi Madinah. Terus ke Masjid Quba untuk tunaikan solat dan menyantap hilangkan rasa lapar. Selesai saja, mereka langsung ke Masjid Nabawi. Seterusnya check-in hotel yang berdekatan untuk rehatkan diri.
“Macam mana abang boleh terfikir nak datang ke mari dengan motosikal?” soal aku.
“Asalnya kami duk main ajak-ajak ayam ja. Lama-kelamaan semua pakat bersungguh-sungguh nak buat. Jadi kita rancanglah, setahun juga ambil masa. Kita memang dah main motor di Kelantan. Terdetik dalam hati nak datang ke Mekah ini dengan apa yang kita minat, hobi kita,” jawab Abe Li sambil meneguk teh adunan orang Yaman.
Mereka ada cerita betapa banyaknya cabaran dan dugaan sepanjang 80 hari perjalanan. Motor rosak, terbalik, eksiden. Kena redah ribut pasir di padang sahara. Sampaikan pernah sekali mereka terpaksa tidur dalam balai polis ketika di Pakistan.
Ini sarung tangan yang mereka beli di Pakistan sebab sejuk sangat. Siap turun salji lagi. Ikat terus di tempat pemegang. Nanti masukkan tangan ja dalam sana. Kira hangatkan tanganlah begini.
“Namun syukur, Allah tolong kami. Saat tengah susah, ada masyarakat sekitar yang datang hulurkan bantuan. Hulurkan lampu spotlight masa nak baiki motosikal di malam hari. Ada yang jemput ke rumah untuk tidur rehatkan badan. Ada yang hulurkan air dan makanan untuk disantap. Padahal berlainan agama, bahasa pertuturan dan budaya,” sambung Abe Mat di hujung meja sana.
“Pernah sekali masa dah masuk Arab Saudi, motosikal kami rosak di tepi jalan. Tengah nak baiki, terdetiklah dalam hati yang hari ini tak makan apa lagi. Minum kopi Radix ja awal pagi.
Tiba-tiba datang sebuah kereta parkir sebelah kami. Keluar seorang Arab bersama karpet. Dihamparnya di tanah, disusunnya beberapa bantal dan meja. Dikeluarkannya seteko teh dan kopi Arab bersama kurma. Lalu pak Arab itu ajak kami makan sekali. Allahu Akbar, betul-betul Tuhan dengar rintihan kita…”
Belum sempat Abe Li habiskan ceritanya, Abe Lani segera menyampuk dengan mimik muka, “Rupanya pak Arab itu bergaduh dengan bini. Hihihi.”
Kami semua ketawa. Syukurlah Tuhan mudahkan semuanya.
Motosikal tunggangan mereka ketika parkir di depan hotel. Ramailah yang datang bergambar.
Diserbu Penduduk Kampung Sebaik Parkir Motor Di India
Abe Li duk cerita antara pengalaman menarik ketika di India, mereka baru ja sampai di stesen minyak usang di sebuah kampung. Masa parkir motosikal tak ada orang pun. Tiba-tiba ramai betul rakyat depa keluar dari kedai-kedai di sekitar, berlari menyerbu ke arah mereka bertiga.
Punyalah takut ingatkan ada rusuhan apa dah, nak pukul ke apa kan. Rupanya mereka teruja dengan kedatangan orang asing. Nasib baik tak lari, kalau tak memang tak cukup tanah dah. Kahkah. Sampaikan masa kita tengah jalan pun, mereka masih lagi duk kejar dari belakang.
“Penat tak?” tanya aku spontan. Masih tak dapat nak bayangkan 80 hari perjalanan woih. Kita yang naik kapal terbang 8 jam pun dah sakit-sakit badan.
“Penat memang penat, cuma kita seronok buat. Dalam kepala nak sampai ke Mekah ja. Masa tengok papan tanda Madinah lagi 600 kilometer, lagilah kami bersemangat nak pulas minyak. Lagipun kita tak bawa laju, dalam 90 ja. Malam hari kita tidur, rehat kena cukup. Siang sajalah kami pulun,” balas Abe Li ringkas.
Kita buat lawatan ke parkir bawah hotel.
Sudahlah perjalanan ambil masa 80 hari. Umur mereka bertiga juga buatkan aku termenung sejenak. Abe Li umurnya 40 tahun. Abe Mat, 60 dan Abe Lani 64. Yang Abe Li itu aku fikir okeylah dengan kudrat orang muda lagi. Ini yang sudah masuk 6-series ini woih. Masih gagah perkasa. Haih.
Namun walaupun merentas 7 buah negara, makanan yang paling sedap apabila ditanya adalah, nasi putih lauk ikan cicah budu. Masak sendiri dekat bilik, makan dekat bilik. Fuh. Mereka memang bawa bekal tumis dan alat masak lain. Periuk nasi elektrik pun ada woih, disangkut atas motor.
Siap sedia nak naikkan motosikal atas lori. Kali ini ja kena pos sebab nak jaga ihram.
Macamanalah Gayanya Tunggang Motor Pakai Ihram
Pada hari ke-83 perjalanan, barulah mereka bertolak ke Mekah dengan menaiki teksi. Ramai yang ternanti-nanti macam mana rupa mereka menunggang dengan memakai ihram. Mesti jadi sangat rare nanti. Kahkah.
“Haa ikutkan hati, nok gi Mekoh naik motosikal terus, doh 400 kilometer jah lagi. Kito larat lagi. Tapi risau ko ihram lah. Namo kea nya cabut, geger habislah,” kata Abe Li setelah selesai membuat urusan pos motosikal ke Jeddah melalui lori.
Cekal betul mereka ini. Hampir 3 bulan lamanya merentas negara berbeza untuk sampai ke Mekah. Mungkin orang kata, alah naik kapal terbang sajalah mudah. Namun sebenarnya, Tuhan dah aturkan cantik perjalanan ini. Dan mereka telah membawa kelainan yang tersendiri.
Selamat bertolak ke Mekah untuk tunaikan umrah dengan menaiki teksi.
“Habis tu nanti balik Malaysia naik motosikal juga ke?” tanya aku sebelum kami meninggalkan kedai.
“Eh tak dah. Balik dengan kapal terbanglah, kang nak sampai rumah makan masa 80 hari lagi. Sebab itu page kami namanya GI MEKOH NGA MUTOR ja. Bukannya Gi Balik Mekoh Nga Mutor. Haha,” balas Abe Li sambil ketawa.
Teringat kata-kata Abe Lani yang akan aku pegang, “Pengalame ni kito keno cari. Buke dio hok mari sendiri.”
Itulah.
Kita bawa pi makan-makan. Kalau ada budu memang puas hati.
Diserbu peminat ketika sedang makan di Rumah Makan Indonesia. Dah lama mereka tunggu ketibaan riders kita di Madinah.
Kerjaya sebagai pemandu lori treler bukanlah satu kerja yang mudah dan ia biasanya ia dipelopori oleh golongan lelaki, memandangkan pekerjaan ini lasak dan agak ekstrim. Namun kini, memandu treler seberat puluhan tan juga menjadi pilihan golongan wanita berbanding memilih kerja dalam bidang lain.
Tarikan pendapatan lumayan yang boleh mendapat purata gaji mencecah RM5,000 sebulan, membuatkan wanita muda ini nekad meneruskan kerjaya dalam bidang yang penuh mencabar ini. Meskipun mendapat ‘tentangan’ keluarga pada mulanya dan kritikan daripada masyarakat.
Pandu Treler Scania Seberat 36 Tan
Nurul Amira Razali, 25, berasal dari Sungai Petani, Kedah, berkata, dia mula berminat dengan dunia lori itu sejak berusia 22 tahun apabila sepupunya mengajar ‘selok belok’ berkaitan lori.
“Tidak lama kemudian, saya mengambil keputusan mengambil lesen E bagi membolehkan saya memandu semua jenis lori,” katanya.
Dia yang memandu treler Scania seberat 36 tan memberitahu tugas mengendali jentera berat itu bukanlah perkara mudah tambahan lagi kerjayanya itu ditentang kedua ibu bapanya.
“Bukan semua orang boleh bawa lori atau treler. Malah ramai lelaki yang tidak mampu mengendali jentera berat ini.
“Apa yang utama adalah perlu ada keyakinan dan kepercayaan pada diri kalau tak macam mana nak bawa jentera seberat ini.
“Ibu bapa saya mulanya menentang keputusan saya menjadi pemandu lori. Hampir setahun mereka memujuk saya menukar kerjaya sebagai kerani atau kerja di pejabat. Bagi mereka, perempuan tidak sesuai membuat kerja lasak dan ekstrim,” katanya.
Nekad Jadi Pemandu Lori
Dia turut menerima kritikan netizen di media sosial yang mempertikaikan pilihan kerjayanya itu.
“Bagaimanapun, saya nekad meneruskan kerjaya sebagai pemandu lori apatah lagi tarikan gaji lumayan diterima.
“Saya mampu memperolehi purata gaji sehingga RM5,000 sebulan. Tidak seperti pemandu lori lain, saya tidak mengejar ‘trip’ dan hanya melakukan sekadar terdaya,” katanya yang ditugaskan menghantar muatan gula dari Shah Alam, Selangor ke Batu Pahat, Johor.
Mesti Baca:Kerja Driver Lori Tak Glamor, Tapi Masyukk! Akak Ni Buktikan Wanita Pun Boleh Bawa lori Kontena!
Baca Lagi Di Sini:Jangan Fikir Wanita Lembut Tak Boleh Buat Kerja Lasak!
Artikel Menarik:3 Tahun Jadi Pramugari, Hilang Kerja Kini Jual Tong Gas
Mingguan Wanita: Memang hebat, usia masih muda namun cukup yakin dan mahir dalam mengendalikan jentera berat seperti lori treler ini. Terbaik!
Dalam diam membina legasi perniagaan dengan penuh kasih dan dedikasi, penyanyi dan usahawan tersohor Noraniza Idris tidak menyangka produk muruku viral keluarannya, Che Ani Premium, menjadi mangsa peniruan oleh pihak tidak bertanggungjawab.
Menyifatkan tindakan itu sebagai satu pengkhianatan terhadap nilai usaha dan integriti, Noraniza meluahkan rasa kecewa apabila mendapati produk tiruan berlabel ‘Cik Annie’ meniru hampir sepenuhnya identiti jenama asal miliknya daripada reka bentuk pembungkusan, warna, tipografi hinggalah kepada nama yang sengaja dipesongkan sedikit.
“Saya berusaha membina jenama ini dengan penuh kasih dan komitmen. Bila ada yang meniru secara terang-terangan, ia bukan sekadar menciplak rupa produk .tapi menciplak perjuangan saya sebagai wanita yang gigih mencari rezeki halal,” ujarnya tegas.
Tau tau je ada “Cik Annie”.. mungkin takda idea lain dah kot. Ikit Che Ani Premium sebijik sebijik pulak. Apa patut kami buat ya? #fyp#fypシ#trending#viral#cheanipremium#fake
“Kalau Nak Ikut Jejak, Ikutlah Dengan Cara Yang Betul”
Lebih memeritkan, produk tiruan tersebut didapati dijual secara runcit di kedai-kedai kampung dengan harga jauh lebih rendah, menimbulkan kekeliruan dalam kalangan pelanggan setia Che Ani Premium.
Perkara ini terbongkar selepas satu video tular di TikTok memaparkan pengarah urusan Che Ani Premium, Afiq Haikal, membuat tinjauan ke sebuah kedai yang menjual produk tiruan itu.
“Saya dapat panggilan daripada kenalan, katanya ada muruku seakan-akan jenama kami dijual RM5 sepek. Bila kami buat tinjauan sendiri, ternyata hampir sebiji rekaannya. Tapi pemilik kedai enggan beri kerjasama,” kata Afiq dalam nada kecewa.
Perjuangan Diteruskan, Rasa Tetap Dijaga
Walaupun terpalit isu peniruan, Noraniza tidak berundur. Malah, beliau komited untuk memperbaiki kualiti produk dan merancang perubahan besar dalam pembungkusan dan bentuk muruku keluarannya.
“Kami sedang merancang tukar bentuk muruku dan rekaan pembungkusan baharu. Tapi buat masa ini, kami perlu habiskan dahulu baki 10,000 unit stok sedia ada,” katanya.
Beliau memberi jaminan bahawa meskipun bentuk asal iaitu jejari panjang dikekalkan buat sementara waktu, rasa dan kualiti tetap unggul seperti selalu.
“Kami akan pastikan rasa lebih sedap dari sebelumnya. Rezeki yang datang dengan cara yang bersih dan jujur, insya-Allah akan terus diberkati,” tambah Noraniza.
Sempena ulang tahun kedua Che Ani Premium yang bakal disambut pada Julai ini, syarikat tersebut akan mengadakan promosi istimewa untuk para pelanggan setia. Antaranya, pembelian Set Kotak Warisan akan menerima 1 pek percuma perisa kari, terhad kepada 100 pembeli terawal sahaja.
Follow kami di TELEGRAM, INSTAGRAM, TIKTOK, FACEBOOK, TWITTER dan YOUTUBE
Lubuk konten tentang inspirasi, rumah tangga dan macam-macam lagi, MINGGUAN WANITA kini di seeNI, download seeNI sekarang!
Pelajar tingkatan tiga trauma dipercayai Dirogol dua pelajar senior di dalam kelas dan dirakam video. Seorang pelajar perempuan Tingkatan Tiga di sebuah sekolah menengah di Alor Gajah dilaporkan mengalami trauma teruk dan enggan ke sekolah selepas dipercayai menjadi mangsa rogol bergilir-gilir oleh dua pelajar lelaki senior.