
Kehilangan Isteri Tercinta
Awalnya diuji kehilangan isteri, kemudian bersambung pemergian anak tunggalnya secara tiba-tiba ketika berada di sekolah.
Inilah ujian yang Allah bungkuskan kepada saudara Fendi dalam hidupnya, moga terus kuat dan tidak terduduk terlalu lama atas kehilangan orang tersayang.
Kalau ikutkan info, pada 2 September tahun lalu, anak kecil ini kehilangan insan paling disayanginya, ibunya, Allahyarhamah Siti Aishah Che Hasan.
Namun belum pun reda rindu seorang suami dan anak terhadap pemergian itu, bulan Mei 2026 takdir sekali lagi menyinggah membawa khabar duka dalam keluarga kecil ini.
Anak tunggalnya pula pergi menyusul ibunya buat selama-lamanya. Fahim Darwisy kini kembali bertemu bondanya di sisi Ilahi.
Pemergian adik Fahim begitu menyentuh hati ramai. Difahamkan, dia pengsan ketika mengikuti bacaan Yasin di sekolah sebelum dikejarkan mendapatkan rawatan. Namun Allah lebih menyayanginya.
Siapa sangka keluhan kecil yang pernah diucapkan seorang anak kepada bapanya dua minggu lalu rupa-rupanya menjadi petanda kepada sebuah perpisahan yang tidak pernah dijangka.
Bimbang dengan keadaan anak tunggal kesayangannya itu, si ayah segera membawa Muhammad Fahim Darwisy Yusmafendi ke klinik untuk pemeriksaan. Ketika itu, doktor memaklumkan keadaannya baik dan sihat. Mereka pulang dengan rasa lega, tanpa menyedari takdir yang bakal menanti.
BACA ARTIKEL: Bahagia Dengan Berita Kelahiran Orang Baru Tetapi Diuji Kehilangan Isteri
Namun pada pagi Jumaat, suasana ceria di sekolah bertukar pilu apabila murid Tahun Enam itu tiba-tiba rebah ketika menghadiri perhimpunan bulanan di dewan sekolahnya di Klang sekitar jam 8.30 pagi.
Lebih meruntun jiwa, Fahim merupakan anak tunggal kepada seorang anggota polis yang selama ini menjaga keselamatan orang lain, namun kali ini tidak mampu menghalang takdir meragut insan paling disayangi.
Bayangkan bagaimana sunyinya rumah selepas ini…
Tiada lagi suara kecil Fahim, tiada lagi gelak tawanya yang mungkin selama ini menjadi penguat hati seorang ayah yang sedang belajar menerima kehilangan.
Sesungguhnya Allah memilih insan-insan baik untuk kembali lebih awal.
Semoga Allah SWT mengampuni segala dosa Allahyarhamah Kak Siti dan adik Fahim Darwisy, melapangkan kubur mereka, menerangi pusara mereka dengan cahaya rahmat, dan mempertemukan kembali anak beranak ini di syurga tanpa lagi perpisahan.
Al-Fatihah.
Gambar: Fendi Yahaya