
Anggota Polis Maut
Meruntun jiwa, kisah perjalanan seorang anggota polis maut sewaktu keluar rumah untuk menjalankan amanah kepada negara berakhir dengan satu tragedi berdarah.
Ketika kebanyakan orang masih lena dibuai mimpi, Norshairul Subkri Salim, 40, keluar seperti biasa untuk menjalankan tugas. Namun siapa sangka, itulah perjalanan terakhir buat dirinya.
Dalam kejadian sekitar jam 5.55 pagi di Kilometer 140.6 Lebuhraya Utara-Selatan (PLUS) arah utara, motosikal yang ditunggang arwah dipercayai melanggar sebiji tayar lori yang tercicir di tengah jalan.
Sebelum itu, sebuah kereta yang melalui laluan sama dipercayai terlebih dahulu melanggar tayar berkenaan sehingga hilang kawalan dan terbabas ke bahu jalan. Beberapa saat kemudian, arwah yang datang dari arah belakang tidak sempat mengelak lalu melanggar tayar tersebut.
Namun impak pelanggaran menyebabkan arwah tercampak dan terseret di atas permukaan lebuh raya. Beliau disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian akibat kecederaan parah di bahagian kepala.
Jenazah Allahyarham kemudiannya dibawa pulang ke kampung halamannya di Kampung Bukit Chabang, Padang Besar, Perlis, sebelum selamat dikebumikan petang tadi dalam suasana penuh hiba.
Semoga Allah mencucuri rahmat ke atas roh Allahyarham.
Al-Fatihah.
Sumber Gambar: Perlis Permai