
Ancam pakar patologi saksi inkues Zara Qairina, bekas guru besar didakwa. Seorang bekas guru besar yang didakwa membuat hantaran berbaur ancaman terhadap pakar patologi forensik yang juga saksi prosiding inkues kematian Zara Qairina Mahathir, Dr Jessie Hiu, didakwa di Mahkamah Sesyen hari ini.
Ancam Pakar Patologi Saksi Inkues Zara Qairina, Bekas Guru Besar Didakwa
Tertuduh, Kamul Kamarudin, 61, mengaku tidak bersalah sebaik pertuduhan terhadapnya dibacakan di hadapan Hakim Marlina Ibrahim.
Dia didakwa di bawah Seksyen 233(1)(a) Akta Komunikasi dan Multimedia 1998, yang boleh dihukum di bawah Seksyen 233(2) akta sama.
Terdahulu media melaporkan tindakan seorang bekas guru menggunakan nama profile “Amung Kamaruddin” mengugut mahu mengupah individu melanggar Pakar Patologi, Dr Jessie Hiu yang merupakan saksi pertama memberi keterangan dalam inkues mencari punca kematian Zara Qairina bermula dari 3 September lalu membawa padah apabila ditahan oleh pihak polis semalam.
Tindakan “Amung Kamaruddin” yang menulis “Mau intai bah ni Dr di mana dia tinggal. Bila dia kerja. Upah bah..mau langgar lari membawa padah apabila ditahan pihak berkuasa selepas Dr Jessie membuat laporan polis selepas dimaklumkan oleh Pengarah Hospital Queen Elizabeth ada ugutan dibuat terhadapnya.
Pesuruhjaya Polis Sabah, Datuk Jauteh Dikun mengesahkan lelaki berusia 61 tahun itu ditahan kira-kira jam 7 pagi susulan kenyataannya termasuk merampas telefon bimbit digunakan lelaki berkenaan.
Hasil semakan terhadap gajet tersebut mendapati suspek merupakan pemilik akaun Facebook ‘Amung Kamaruddin’ yang mengeluarkan kenyataan berbaur ugutan terhadap pakar patologi terbabit,” katanya dalam kenyataan pada Ahad.
“Kes disiasat mengikut Seksyen 507 Kanun Keseksaan kerana melakukan ugutan jenayah dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia Malaysia 1998 kerana penggunaan tidak wajar kemudahan rangkaian.
Polis turut menasihatkan orang ramai agar sentiasa berfikir terlebih dahulu sebelum berkongsi atau memuat naik kandungan di media sosial, selaras dengan prinsip undang-undang serta keharmonian masyarakat.
Memetik perkongsian dari FB Public Health Malaysia masyarakat digesa menghentikan buli atau ugutan di media sosial jika tidak bersetuju dengan pendapat seseorang.
Dr Jessie Hiu bukan nama kecil dalam dunia perubatan. Beliau ialah seorang pakar forensik patologi dengan pengalaman luas, terlibat dalam ratusan bedah siasat, kes jenayah berprofil tinggi, serta menjadi rujukan dalam bidangnya.
Di kalangan rakan sejawatan, beliau dikenali kerana ketelitian, keberanian bersuara, dan komitmen menjaga integriti ilmu.
Bukan sekadar pakar, beliau juga seorang pendidik. Ramai pelajar perubatan dan pegawai muda pernah berguru daripadanya, belajar bagaimana mencari kebenaran melalui sains, bukan sekadar cerita.
Namun hari ini, seorang doktor yang begitu dihormati sedang menjadi mangsa buli netizen.
Hanya kerana penemuan beliau tidak selari dengan “skrip sinetron” yang diinginkan, beliau dihentam tanpa belas kasihan. Ditohmah mengambil wang, dikatakan menjadi alat VIP, malah dihina dengan kata-kata yang langsung tidak mencerminkan adab.
Inilah titik paling rendah apabila seorang profesional yang memikul amanah mencari kebenaran dipijak hanya kerana fakta yang dibawa tidak memuaskan hati sesetengah pihak.
Sumber: Berita Harian
Baca artikel berkaitan: Pakar Patologi Dr Jessie Hiu Diugut, Bekas Guru Juga Seorang Warga Emas Ditahan Polis
Follow kami di TELEGRAM, INSTAGRAM, TIKTOK, FACEBOOK, TWITTER dan YOUTUBE
MINGGUAN WANITA kini di seeNI, download seeNI sekarang!
KLIK DI SEENI