Dalam hati mak-mak selalu mengharapkan anak-anaknya jadi yang terbaik di kalangan rakan sebaya anaknya. Masuk saja darjah satu, mak-mak dah mula percaya anaknya perlu pandai membaca. Tapi tak semua anak, sama perkembangan pembelajarannya.
Ada sebab kenapa mak-mak tak boleh mendesak jika anak-anak belum pandai-pandai lagi membaca walaupun dah masuk usia 7 tahun. Nor Azura Ismail, Childcare Practitioner ini terangkan dengan lengkap jawapannya…
SETUJUKAH ANDA, anak-anak yang bakal berumur 7 tahun, yang akan memasuki tahun 1 di sekolah rendah perlu dipastikan telah pandai membaca?
Sebagai seorang pengiat industri pendidikan awal kanak-kanak, jawapan saya ialah sangat tidak bersetuju sama sekali.
Jawapan yang sering tak terjawab di minda saya, aduhai mengapa perlu menekan dan memaksa anak-anak di bawah 7 tahun ini belajar beria-ria dan buat latih tubi membaca seperti anak-anak yang telah bersekolah? Kenapa nak marah pada anak memasuki umur 7 tahun yang belum dapat membaca lagi?
Sebenarnya, kita sebagai pendidik dan ibu bapa belum memahami anak-anak. Dan paling parah, kita tidak memahami konsep pendidikan awal kanak-kanak.
Suatu ketika dulu, saya pernah membuat kesilapan dalam merealisasikan pendidikan awal kanak-kanak ini kepada anak-anak berumur 4, 5 dan 6 tahun. Ketika itu saya mengusahakan perniagaan TADIKA saya sendiri. Matlamat akhir saya dan juga bagi memenuhi harapan tinggi ibu bapa ialah di akhir tahun pembelajaran nanti, anak-anak ini mesti sudah boleh membaca.
Maka, saya akan sedaya upaya memastikan matlamat tersebut tercapai.
Apa Yang Saya buat? Antaranya
Saya perkenalkan kepada ibu bapa program membaca dengan cepat
Adakan sesi belajar ‘one to one’ dengan anak-anak kecil ini
Adakan kelas tambahan membaca
Saya beri latih tubi membaca setiap hari
Hakikatnya SAYA PAKSA EMOSI ANAK-ANAK INI UNTUK BELAJAR.
Hasilnya, kerana anak-anak ibarat span yang mudah menyerap apa sahaja, lalu ramailah anak-anak keluaran TADIKA saya boleh membaca dengan baik. Malah, bukan sekadar bacaan dalam Bahasa Malaysia bahkan bacaan dalam bahasa Inggeris juga. Itulah yang diimpikan ibu bapa.
Aduh, bangganya saya kerana dapat melahirkan anak-anak yang boleh baca di awal usia. Anak-anak itu terus dilabel sebagai anak yang cerdik dan pintar yang boleh membaca di awal usia sebelum 6 tahun. Itu yang kebanyakan TADIKA akan cuba capai. TADIKA yang dapat mengeluarkan anak-anak yang boleh baca, itulah TADIKA yang terbaik pada pandangan dan persepsi ibu bapa. Secara tidak langsung inilah perkara utama yang dapat mempromosi TADIKA supaya ramai lagi ibu bapa yang menghantar anak ke situ.
Tetapi, SAYA MULA PERASAN, anak-anak yang boleh baca awal usia biasanya adalah anak-anak yang kurang keyakinan diri, penakut, pemalu, pendiam, kategori anak-anak yang tak banyak bermain malah kurang pandai bergaul dan berkomunikasi. Mereka mempunyai emosi yang kurang sihat dan self esteem yang rendah. Saya perasan itu semua.
Ads
Saya juga perasan, anak-anak yang tak pandai baca pada usia 5@6 tahun adalah anak-anak yang tak boleh duduk diam, aktif dan banyak bermain serta banyak meneroka dan banyak keinginan serta perasaan ingin tahu.
Kredit: rocksfull
Saya Mula Tertanya Mengapa?
Bila saya terjun ke bidang pendidikan awal kanak-kanak yang lebih muda sedari 0 hingga 4 tahun, saya mula sedar akan kesilapan saya. Saya mula belajar mengenai tahap demi tahap perkembangan kanak-kanak. Saya korek pelbagai potensi awal yang boleh dibentuk di peringkat awal usia anak-anak.
Dan apa yang penting saya mula belajar memahami tingkahlaku, kerenah serta sikap semulajadi kanak-kanak.
Saya teruja untuk mengetahui bahawa antara sikap atau tabiat semulajadi anak-anak ialah BERMAIN. Kerja hakiki anak-anak di bawah umur 7 tahun ialah BERMAIN dan bukannya belajar.
Selama ini persepsi saya dan juga kebanyakan ibu bapa di luar sana terhadap pendidikan awal kanak-kanak adalah salah.
Pendidikan awal bukan bermaksud memberi pelajaran formal seperti membaca kepada anak-anak. Pendidikan awal bermakna mengenalpasti tahap perkembangan dan memberi galakan untuk anak mencapai tahap perkembangan yang tertentu. Pendidikan awal juga bermakna mengenalpasti potensi diri anak dan membantu mengilap potensi tersebut.
Justeru itu, saya dan anda sebagai pendidik mahupun ibu bapa perlu tahu dan faham akan setiap aspek tahap perkembangan kanak-kanak supaya kita dapat beri galakan,sokongan dan dorongan untuk anak.
Kredit: muzikrbtpsikologi.blogspot.com
Apakah Aspek Perkembangan Awal Kanak-kanak?
Perkembangan sosiemosi – bentuk emosi yang positif pada anak seperti yakin diri, berani.
Perkembangan bahasa – galak anak menggunakan bahasa yang betul dan bijak berkomunikasi.
Perkembangan kognitif – galak anak berfikir, menggunakan deria untuk meneroka dan belajar pelbagai dari alam dan persekitaran.
Perkembangan kerohanian- terapkan nilai moral, akhlak dan ketuhanan.
Perkembangan fizikal – galak anak tingkatkan moto halus dan moto kasar.
Perkembangan kreativiti dan estetika – galak anak supaya kreatif dan mempunyai imiginasi pelbagai.
Malah mengikut kurikulum PERMATA yang menjadi panduan perkembangan pembelajaran di TASKA, antara perkembangan lain yang turut perlu dibentuk pada anak ialah perkembangan sahsiah – belajar bergaul dan komunikasi serta literasi awal.
Ads
Bagaimana pula cara terbaik menggalakkan semua aspek perkembangan ini? Adakah melalui pembelajaran formal seperti di sekolah? Adakah dengan memberi anak-anak kecil ini latih tubi dan pelbagai tugasan atau kerja rumah.
Tahukah anda sebenarnya setiap aspek perkembangan ini boleh diterapkan kepada anak-anak dengan mudah hanya melalui bermain sahaja.
Bukankah bermain kerja hakiki anak? Mereka memang bermain tetapi secara tak langsung mereka banyak belajar menyuburkan pelbagai aspek perkembangan tersebut hanya melalui bermain. Jadi, biarkan anak-anak bermain.
Anak main blok, mereka berfikir bagaimana susun blok menjadi tinggi
Anak main pasir, bina istana, mereka cuba merealisasikan imiginasi mereka.
Anak berlari sekeliling rumah@ taman, mereka belajar meneroka persekitaran.
Anak main olok-olok dengan kawan sebaya, mereka belajar bersosial dan bergaul serta berkomunikasi dengan bahasa yang betul.
Anak yang suka usik itu ini, mereka mempunyai perasaan ingin tahu yang tinggi.
Anak yang aktif berlari, mereka membina kecergasan diri.
Jadi, mengapa perlu dipaksa anak duduk sebelah anda dengan keadan anda marah dan tinggi suara untuk ajar mereka membaca. Mengapa pula masih ada TADIKA yang menyusun ruang susunatur dalam kelas sama seperti belajar di sekolah? Mengapa pihak TADIKA perlu stress ajar anak-anak membaca dan beri pula kerja rumah yang banyak.
Entah kenapa saya memang tak boleh terima kalau dengar seorang cikgu di TADIKA cuba menakutkan dan mengingatkan ibu bapa supaya memastikan anak-anak boleh baca dengan baik sebelum masuk tahun 1.
Mereka terangkan pada ibu bapa betapa hebatnya persaingan akademik anak-anak di tahun 1. Kalau kebetulan jika anak 6 tahun itu tak boleh baca, cikgu cadangkan pula ibu bapa hantar anak ke kelas tambahan.
Bagi saya, memadai sajalah kalau anak yang tak boleh baca itu telah kenal huruf dan boleh menyebut dua sukukata. Mereka bukan tak pandai, mereka cuma belum bersedia. Percayalah.
Ini Cerita Anak Saya Yang Berumur 6 Tahun
Saya hanya hantar dia ke TADIKA sebaik umurnya 6 tahun. Baru ni, saya baca ‘whatapp group’ dari guru TADIKAnya. Cikgu post jadual peperiksaan akhir tahun dan pesan ibu bapa pantau anak-anak belajar di rumah.
Ads
Kalau ibu bapa lain, mungkin akan rasa cikgu TADIKA sangat prihatin. Aduhai kesian anak-anak, tahun-tahun di mana kerja hakiki mereka sepatutnya bermain tetapi mereka perlu pula duduk menelaah seperti kakak abang yang akan menghadapi peperiksaan di sekolah.
Sekali lagi, ingin saya ingatkan, hakikatnya anak-anak memang perlu bermain. Hakikatnya anak-anak ini tidak perlu dipaksa untuk belajar. Percaya tak bahawa apa yang perlu diterapkan terlebih dahulu ialah ilmu mengenai kehidupan disamping membentuk anak dalam setiap aspek perkembangan yang telah saya nyatakan tadi.
Keinginan untuk belajar akan datang sendiri bila anak telah bersedia menerima pembelajaran formal. Masanya pasti akan muncul juga. Yang pasti setiap anak adalah berbeza pencapaiannya.
Kredit: hyunjinmoon.com
Pendidikan Awal Anak Di Jepun
Teringat saya pernah terbaca bahawa pendidikan awal anak di Jepun bermula dengan mendidik akhlak. Pendidikan berteraskan peperiksaan bermula hanya bila anak berumur 10 tahun sahaja.
Berbeza dengan sistem pendidikan kita yang telah diwarisi begini, bila nak masuk tahun 1 sebolehnya anak mesti dah boleh membaca dengan baik. Cikgu di tahun 1 suka kalau anak-anak sudah boleh membaca. Lalu kasihan anak-anak yang dikelompokkan dalam kumpulan belum boleh membaca.
Seawal usia 7 tahun anak-anak telah mula dinilai tahap pencapaian akademiknya. Bukahkah sebenarnya dalam silibus pembelajaran tahun 1 anak-anak perlu diajar semua huruf dan gabungan sukukata hingga boleh baca. Akan tetapi, anak-anak ini pula dikategori sebagai anak-anak yang ketinggalan.
Lain orang mungkin lain pandangan. Mungkin ada ibu bapa tidak setuju dengan pandangan saya bahawa anak tidak perlu dipaksa untuk belajar membaca.
Tapi saya membuktikan salah seorang anak saya yang tidak boleh membaca di awal usia dan yang kurang penonjolan akademik ketika di sekolah rendah (kini dia berusia 19 tahun), dia merupakan pelajar terbaik SPM di sekolahnya. Bakal menduduki STPM tahun ini dan dia akan membuktikan dia bakal pelajar terbaik STPM di sekolahnya juga. Satu ketika dulu, ketika di sekolah rendah dia tidak pernah dapat nombor 1 dalam kelasnya.
Apa yang penting, biarlah anak-anak kecil yang di bawah 7 tahun ini belajar kerana minat dan kesediaan mereka. Tugas kita beri dorongan dan galakan bukan paksaan. Apa yang penting, kejayaan anak-anak bukanlah hanya diukur dari kejayaan akademik sahaja. Lihatlah kejayaan anak pelbagai aspek. Setiap anak mempunyai potensi diri yang berbeza. Apa sahaja potensi yang berjaya digilap dan diserlahkan oleh anak, itulah kejayaan buat anak-anak.
Jangan lupa juga doa kita sebagai pendidik dan juga ibu bapa.
Sumber: Nor Azura Ismail, Childcare Practitioner – Mingguan Wanita
Lubuk konten tentang inspirasi, rumah tangga dan macam-macam lagi,
MINGGUAN WANITA kini di
download sekarang!
Sesekali pulang dari mencari rezeki, pernah tak anda melepaskan amarah pada anak-anak yang mahukan perhatian, sampai dipukul atau dimarah? Ingat, jangan sampai buat silap sebab anak adalah pinjaman bernilai dari Allah yang harus dibelai dan dididik.
Macam mana penat pun, cubalah layankan emosi si kecil, yang dahagakan kasih sayang. Namun andai ditakdirkan anak kecil itu pergi meninggalkan kita, redhalah moga ada hikmah disebalik ujian itu. Buat renungan bersama, hayatilah kisah dari saudara Halim Ali ini…
Kisah ini kusimpan hampir 10 tahun untuk dikongsi, kerana mungkin aku tak mempunyai kekuatan untuk menulis sebelum ini. Aku harap apa yang akan ku kongsikan ini dijadikn iktibar untuk kita sama sama muhasabah diri.
HARI KEJADIAN 14 SEPTEMBER 2006.
Jam 8 pagi aku membuat rutin harian ku menghantar anak syurgaku yg kami beri nama AIMAN AKIF yang pada masa tu berusia 5 tahun ke sekolah ABIM. Pagi tu dia agak gembira berbeza dgn hari hari yang di lalui sebelum ni.
Keluar je dari rumah dgn pakaian putih dan songkok hijaunye terus menyanyikan lagu dr kumpulan V.E yang agak popular masa tu. Lagunya lebih kurang macam ni.
“oh ooh..pop Oh ooh..pop Oh ooh…pop ye yeh
Gerakkan badan kiri ke kanan, ikut irama pop ye yeh”.
Aku hanya senyum jer melihat keletah si kecil ni. Lepas hantar kesekolah tiada apa2 yang luar biasa dan aku pun meneruskan rutin harian ku ke showroom tempat aku bekerja. Masa tu aku bekerja sebagai Sales Advisor di Perodua Nilai.
Hari tu aku pun tak tau sebab apa tapi aku sentiasa gelisah dan rasa macam rindu sangat2 kat arwah ni. Aku tak dapat nak bayangkan rindu yang macamana tapi memang rasa cam tak sabar nak bawak dia balik.
Untuk pengetahuan semua, lepas kelas ABIM anak aku akan diambil oleh van sekolah untuk dihantar kerumah pengasuh yang berada dikawasan yang berdekatan, dan dikawasan rumah pengasuh ni juga ada kolam renang. Anak aku ni pula baru dijaga oleh pengasuh ni dalam 10 hari gitu.
Pada waktu zohor aku terus balik kerumah dan bercadang lepas solat terus nak ambil anak aku ni dan adiknya pada masa tu umur 8 bulan balik kerumah. Kebetulan masa tu aku bukan duty showroom pun.
Perancangan Allah mengatasi segala galanya. Abang aku yang kebetulan bertugas di showroom call aku minta gantikan tempat dia, sebab dia ada hal katanya. Aku tanpa banyak soal kata ok dan perancangan untuk ambil anak terpaksa dibatalkan.
Dari jam 2.30 petang aku sentiasa berdebar tanpa aku ketahui sebabnya. Dalam pukul 5.30 ptg phone aku berbunyi. Isteri aku yang call rupanya. Tanpa mensyaki apa apa aku angkat call.
“Bang! Jiran kita kata anak kita Akif jatuh kolam!”.
Tangan aku menggigil tiba tiba dan dada aku berdebar debar.
“Dia ok tak?”
Aku tanya balik.
“Tak tau la bang, tapi orang dah hantar ke klinik.”
“Insyaallah takde apa la tu.”
Aku cuba tenangkan keadaan.
“Abang pegi tengok ye”
Pesan isteriku.
“Ye lah”
Aku jawab dalam keadaan dengar tak dengar. Tapi dalam hati hanya Allah yang tahu perasaan aku masa tu. Rasa nak pitam pun ada.
Tanpa membuang masa aku terus start motor dan terus ke klinik Nilai untuk melihat keadaan anak aku. Sampai kat klinik aku tengok ramai orang berkerumun. Aku mula tak sedap hati tapi aku gagahkan juga untuk jumpa anak aku.
Salah sorang yang berkumpul datang menghampiri aku dan bertanya adakah aku ni ayah kepada kanak kanak yang jatuh dalam kolam renang tu. Aku jawab “ye saya”. Dia suruh aku bertenang dan bersabar dan dia bagitau yang anak aku dah ‘Tak De’.
Terus aku rasa gelap macam nak pitam dan rasa macam sesak nafas. Ada sorang abang tu bawak aku ke kerusi dan tenangkan aku dan dia suruh duduk kejap. Aku rasa kosong sangat sangat masa tu.
Selepas 5 minit aku terus bangun dan menuju ke stracher tempat mayat anak aku dibaringkan dengan di tutupi kain putih.
Bila aku selak kain putih tu, aku nampak muka anak aku seolah tersenyum je. Subhanallah. Aku cium dahi arwah yg masih basah dan ku lihat seluruh badannya masih basah. Aku tak sanggup tengok dia kesejukan.
Phone ku berdering. Isteri aku call bertanyakan keadaan anaknya. Ya Allah, aku memang tak sampai hati nak bagitau yang anaknya dah tak de. Aku jawab “ Dia tak de apa apa, doctor tengah check.”
Aku terus call jiran aku bagitau dia suruh pegi rumah aku dan bawak dua tiga orang jiran yang lain bagitau yang anak dia dah tak de, dan aku pesan tolong bawak kain batik sebab anak aku sejuk.
JUMAAT 15 SEPTEMBER 2006.
Sebelum solat jumaat jenazah arwah selamat sampai di rumah ayahku di rumah rakyat kampung Sawah Port Dickson.
Perkara yang paling mengharukan sebaik sahaja jenazah di letakkan di ruang tamu, adiknya yang berumur 8 bulan merangkak untuk memeluk jenazah abangnya.
Arwah ni memang sangat rapat dengan adiknya. Part yang ni memang aku kalah. Air mata aku mengalir tanpa henti henti melihat kejadian tu. Aku sebolehnya memang cuba sedaya upaya untuk menahan air mata ni dari tertumpah sebab aku kene kuat.
Selepas solat Jumaat jenazah selamat dikebumikan. Alhamdulillah segalanya berjalan lancar. Malam tu kami adakan kenduri tahlil dan keesokkannya kami kembali ke rumah kami di Nilai.
Rupanya segala bermula selepas kami berada dirumah sendiri. Perasaan rindu menerjah apabila melihat segala barang arwah dirumah.
Baru ku tahu,inilah rupanya rasa ‘SABAR’. Orang mungkin boleh menasihatkan kita sabar tetapi orang yang di uji sahaja tahu bagaimana perasaan sabar itu.
Kepada yang pernah rasa kehilangan anak seperti kami, bertabahlah sebab kita adalah orang yang bertuah dipilih Allah untuk di uji. Insyaallah dia menunggu kita di sana.
Kepada anda yang masih mempunyai anak anak kecil juga bertabahlah kerana anda juga sedang di uji dengan keletah dan kenakalan masing masing yang membuat kadang kadang kita hilang sabar.
Saya mohon janganlah anak anak ini dipukul atau dimarah kerana anda bertuah mereka masih bersama anda.
Kalaulah masa boleh diundur apa yang abah nak cakap kat Akif “ Abah mintak maaf jika abah pernah marah atau terpukul Akif tanpa abah sengajakan. Abah nak Akif jadi orang yang berguna untuk agama bangsa dan Negara”.
Tapi aku tahu ianya tak kan berlaku.
Anda yang masih ada anak, sayangilah mereka sebab kita tak tau bila mereka akan meninggalkan kita.
SEKIAN.
Lubuk konten tentang inspirasi, rumah tangga dan macam-macam lagi,
MINGGUAN WANITA kini di
download sekarang!
Setiap wanita diuji dengan cara yang berbeza. Ada yang mengalami kesukaran untuk mendapatkan zuriat sendiri walaupun pelbagai usaha telah dilakukan dan usia perkahwinan menginjak bertahun-tahun lamanya. Peritnya yang perlu dilalui, kesedihan dalam hati hanya tuhan sahaja yang tahu.
Namun atas kuasa yang Maha Esa serta tidak pernah putus asa, tidak mustahil impian untuk memiliki cahaya mata daripada darah daging sendiri akhirnya menjadi kenyataan.
6 Kali Keguguran, 16 Kali Rawatan
Raja Permaisuri Agong, Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah,60 tidak dapat menahan sebak ketika mengimbau keperitan dilalui dalam usaha mendapatkan zuriat. Tunku Azizah bertitah walaupun enam kali keguguran dalam tempoh hampir sedekad, semua itu tidak menghalang baginda daripada berputus asa atau berhenti untuk berusaha memiliki waris sendiri.
“Bukan senang untuk seorang wanita menjalani rawatan kesuburan kerana mereka perlu kuat selain memerlukan banyak usaha dan pengorbanan wang ringgit.
“Saya memahami apa yang dilalui dan dirasai seorang ibu yang berusaha keras serta sanggup berkorban apa sahaja demi mendapatkan zuriat.
“Selama sembilan tahun setengah saya mencuba mendapatkan anak, menjalani 16 kali rawatan di Singapura, England dan Amerika Syarikat, Tuanku (Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah) sentiasa berada bersama saya memberi sokongan dan semangat.
“Tanyalah Tuanku berapa kali saya menangis dan macam-macam yang perlu dilalui untuk mendapatkan anak tetapi Tuanku tetap bersabar,” titah baginda pada sambutan Hari Keluarga 2019 Yayasan Fertiliti Tunku Azizah (TAFF), semalam.
Dengan nada sebak, Tunku Azizah berkata, rawatan mendapatkan anak bukanlah murah dan Baginda bersyukur kerana Sultan Abdullah sentiasa ada bersamanya selain menanggung segala perbelanjaan rawatan termasuk persenyawaan tabung uji (IVF).
Kredit Foto: Istana Negara
Idea Penubuhan TAFF
Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah turut berkenan menghadiri sambutan sempena ulang tahun ke-15 yayasan berkenaan.Turut mengiringi baginda berdua ialah puteri bongsu, Tengku Puteri Jihan Azizah ‘Athiyatullah Al-Sultan Abdullah.
Kredit Foto: Istana Negara
Tunku Azizah yang juga Pengasas dan Presiden seumur hidup TAFF bertitah bukan mudah bagi wanita yang diduga untuk mendapatkan zuriat terutama ketika menjalani rawatan persenyawaan tabung uji (IVF).
Titah baginda, pengalaman sukar yang dilalui itu memberi idea kepada baginda untuk menubuhkan TAFF terutama bagi membantu mereka yang memerlukan sokongan kewangan.
Taja 60 Pasangan Buat Rawatan IVF
Dalam majlis itu, Yang di-Pertuan Agong turut mengurniakan surat tawaran penajaan kepada 60 pasangan bagi membolehkan mereka mendapatkan rawatan IVF di sembilan pusat perubatan di seluruh negara. Pengurniaan itu juga adalah sempena Hari Keputeraan baginda yang ke-60 baru-baru ini.
Kredit Foto: Istana Negara
Pada majlis yang sama Tunku Azizah turut mengurniakan loket kepada empat anak yang juga dua pasangan kembar dilahirkan hasil bantuan TAFF.Pengurniaan loket berkenaan adalah sebagai identiti kepada anak yang dilahirkan menerusi bantuan TAFF.
Sejak ditubuhkan pada Ogos 2004, TAFF membantu pembiayaan IVF kepada 94 pasangan yang melahirkan 116 anak melalui rawatan itu.
MW: Memang bukan mudah apabila wanita diuji kesukaran untuk mendapat anak. Dalam hati hanya tuhan sahaja yang tahu. Paling penting pesanan buat wanita yang diuji sebegini, jangan pernah berputus asa, berhenti berharap serta teruskan berdoa. Tuhan Maha Mendengan setiap permintaan hambanya.
Sedih sungguh setelah dua tahun PJJ (perhubungan jarak jauh) dan menanti zuriat, suami pergi sehari selepas tahu bakal bergelar ayah. Ternyata berat sungguh ujian ini.
Setelah mendirikan rumah tangga, setiap pasangan tentu saja menantikan kehadiran cahaya mata. Namun begitu tidak semua direzekikan zuriat cepat, ada setengah pasangan perlu berusaha bertahun-tahun sebelum dikurniakan anak.
Itulah yang dialami oleh sepasang suami isteri yang terpaksa berjauhan kerana mempunyai tugas dan tanggungjawab dek kerana pekerjaan masing-masing.
Dua Tahun PJJ & Menanti Zuriat
Sebelum ini, pasangan ini hidup PJJ selama dua tahun dan baru sahaja menetap bersama selama dua bulan.
Tentu saja bila berita kehamilan diketahui, pada suamilah paling teruja si isteri ingin berkongsi. Apatah lagi zuriat ini adalah penantian dua tahun.
Namun, pedih apabila keesokan harinya suami pergi buat selamanya setelah mengetahui berita gembira ini. Kongsi Shaa Ibrahim:
Suami Pergi Sehari Selepas Tahu Bakal Bergelar Ayah
’Pagi tadi saya hantar gambar ini dekat awak sayang. Rupanya awak tak sempat tengok . Allah panggil awak balik . Dua tahun awak tunggu sayang.
Saya kuat sebab anak ini. Ini juga last Whatapps saya sempat hantar dekat awak . Lepas ini tidak akan ada lagi orang yang hendak hantar emoji lucu-lucu dekat saya.”
Bekal Tak Sempat Jamah
Manakala di posting yang lain, Shaa Ibrahim turut berkongsi tentang permintaan terakhir suaminya iaitu meminta dia menyiapkan bekal.
Tetapi malangnya, bekalan itu tidak sempat dijamah kerana terkorban dalam kemalangan jalanraya. Kini pasangan ini menetap di Sungai Lembing, Pahang. Jadi setiap hari suaminya berulang-alik dari Sungai Lembing ke Kemaman, Terengganu kerana arwah bertugas di sana.
“Bekal awak tak sempat jamah. Pagi tadi awak request hendak nasi goreng dan udang goreng kunyit.
“Saya tanya awak nak sambal belacan tak. Awak kata nak. Ceria saja suara awak sayang.
“Macam biasa breakfast roti bakar favourite awak cuma pagi tadi saya minta tolong awak sapukan butter.”
Di samping itu, jelas Shaa Ibrahim, ramai kawan-kawan arwah suaminya datang menziarah arwah untuk kali terakhir dan mereka turut mengalirkan air mata kerana sedih kehilangan seorang kawan yang baik.
Arwah suami Shaa Ibrahim telah selamat dikebumikan di kampung halamannya di Pasir Mas, Kelantan.
“Saya minta maaf tak mampu tengok awak tadi dekat tempat kejadian.”
Demi Allah awak terlalu baik. Tidak sekalipun awak marah saya. Tidak sekalipun kata-kata kasar keluar dari mulut awak. Allah sayang awak.
Respon Netizen:
Ramai kenalan serta netizen bersimpati dengan apa yang berlaku pada Shaa Ibrahim dan mendoakan dia terus kuat menempuhi hari mendatang demi anak yang dikandungnya.
Mingguan Wanita : Semoga Shaa Ibrahim tabah dan terus kuat berdepan dengan ujian berat ini. Tentu apa yang berlaku ada hikmah di sebaliknya. MW merakamkan ucapan takziah kepada seluruh keluarga arwah Wan Muhamad Hasruldin bin Wan Mustapa. Al-Fatihah.
kami officialy dihalau dari rumah bersama 2 orang anak dan tengah sarat mengandung. Sehelai sepinggang dapat bawa apa adanya sahaja. Tanpa duit sebab kad bank dan barang yang lain disuruh tinggal.