Kemelut rumah tangga penyanyi dan usahawan, Ahmad Nubhan Ahamad, serta isterinya, Dr. Afifah Hidayah Ahmad Tawfek, nampaknya terus hangat diperkatakan apabila muncul pula satu hantaran Facebook tular yang didakwa dimuat naik oleh anak kepada wanita yang dikaitkan sebagai ‘orang ketiga’ dalam perkahwinan mereka.
Dalam hantaran tersebut, lelaki berkenaan tampil menjelaskan bahawa ibunya tiada kaitan langsung dengan isu perceraian antara Nubhan dan isterinya, serta mendakwa sudah membuat laporan polis di IPD Shah Alam, Jumaat lalu, bagi membersihkan nama keluarga mereka daripada tohmahan dan fitnah.
“Saya ingin menegaskan bahawa saya tidak akan berkompromi dengan mana-mana individu yang menyebarkan fitnah serta memanipulasi gambar membabitkan saya dan keluarga.
Segala foto yang tular itu adalah gambar yang dicuri daripada akaun peribadi media sosial saya dan ada juga diperoleh daripada telefon bimbit individu lain tanpa kebenaran,” tulisnya tegas.
Menurutnya lagi, gambar-gambar yang kini menjadi bahan perbualan itu hanyalah foto biasa yang diambil secara beramai-ramai, namun disalah tafsir sehingga menimbulkan persepsi bahawa ibunya menjadi punca kepada keretakan rumah tangga Nubhan dan isteri.
“Ia hanyalah gambar biasa, bukan bukti seperti yang diperkatakan. Mama saya tidak ada kaitan dengan perceraian mereka,” katanya.
Anak kepada wanita berkenaan turut menjelaskan bahawa hubungan mereka dengan Nubhan dan Dr. Afifah masih baik atas dasar kemanusiaan dan persahabatan, dan menafikan sebarang niat untuk menyembunyikan sesuatu.
“Selepas ini, kalau nampak kami bersama Nubhan sekalipun, jangan jadikan ia bahan fitnah baharu. Kami tahu kebenaran, tapi kami tidak akan buka mulut mengenai sebab sebenar perpisahan mereka.
Hentikan gangguan terhadap mama saya. Beliau bukan orang yang sesuai untuk memberi kenyataan, dan kami tidak akan mengaibkan sesiapa,” katanya lagi.
Terdahulu, kemelut rumah tangga Nubhan menjadi perhatian ramai selepas pendedahan bahawa beliau pernah melafazkan cerai terhadap isterinya pada 2017, sebelum kembali rujuk tiga hari kemudian. Namun, pasangan itu disahkan bercerai kali kedua pada 26 Ogos lalu.
Dalam prosiding di Mahkamah Rendah Syariah Sepang baru-baru ini, Nubhan menafikan dakwaan wujudnya pihak ketiga sebagai punca perpisahan mereka, dan berharap agar semua pihak menghormati ruang peribadi kedua-dua belah keluarga.
Follow kami di TELEGRAM, INSTAGRAM, TIKTOK, FACEBOOK, TWITTER dan YOUTUBE