Anak mengamuk, libas bapa dengan rotan, pisau sebelum bakar rumah, kereta. Seorang lelaki berusia 32 tahun bertindak di luar kawalan apabila menyerang bapanya menggunakan rotan serta melibas pisau sebelum membakar rumah dan kenderaan milik keluarga dalam kejadian di Kampung Tengah, Jalan Bakri.
Insiden yang berlaku sekitar jam 9.43 pagi itu menyebabkan bapa suspek berusia 70 tahun mengalami kecederaan dan kini dirawat di Hospital Pakar Sultanah Fatimah (HPSF), Muar.
Ketua Polis Daerah Muar, Asisten Komisioner Raiz Mukhliz Azman Aziz berkata, siasatan awal mendapati suspek terlebih dahulu memukul serta melibas bapanya sebelum kejadian kebakaran tercetus.
“Siasatan mendapati sebelum kejadian kebakaran itu, suspek memukul dan melibas bapanya dengan rotan dan pisau sehingga menyebabkan warga emas tersebut cedera.
“Kejadian turut menyebabkan sebuah kereta dan motosikal musnah dengan anggaran kerugian RM100,000 sehingga RM150,000. Suspek ditahan dan ujian saringan air kencing mendapati lelaki itu positif methamphetamine,” katanya.
Menurut Raiz Mukhliz, suspek yang turut mengalami kecederaan dibawa ke HPSF dan dipercayai menghadapi masalah mental. Kes kini disiasat di bawah Seksyen 436 Kanun Keseksaan kerana khianat dengan api serta Seksyen 324 kerana mendatangkan kecederaan.
Sementara itu, Ketua Balai Bomba Muar, Timbalan Penguasa Bomba II Shahrizal Mokhtar memaklumkan kebakaran melibatkan sebuah rumah teres, kereta Perodua Kancil dan motosikal Honda EX5.
“Kebakaran memusnahkan 70 peratus struktur rumah, manakala kereta dan motosikal musnah 90 peratus. Api berjaya dikawal pada pukul 10.10 pagi dan dipadamkan sepenuhnya pukul 11.06 pagi,” katanya.
Sumber: Kosmo dan Sinar Harian
Baca artikel lain juga: Isteri Maut Dikelar Suami, Suspek Cuba Bakar Rumah Ibu Mentua
Kes Suami Kelar Leher Isteri, Bakar Kenderaan Mentua, Penganggur Layak Dibicara
Follow kami di TELEGRAM, INSTAGRAM, TIKTOK, FACEBOOK, TWITTER danciao YOUTUBE