Uncategorized

“Anak & Menantu Saya Tak Pernah Abaikan Cucu” – Datuk Allahyarham Zayn Rayyan Luah Rasa

Share

Dalam suasana perbicaraan yang penuh emosi dan menjadi perhatian seluruh negara, satu suara penting tampil mempertahankan kasih seorang ibu dan ayah. Datuk kepada Allahyarham Zayn Rayyan Abdul Matin, iaitu Zahari Mohd. Reba, 57 tahun, berdiri teguh mempertahankan anak dan menantunya.

Bapa kepada Zaim Ikhwan dan bapa mentua kepada Ismanira Abdul Manaf itu menyatakan dengan yakin bahawa kedua-duanya adalah ibu bapa yang bertanggungjawab, dan tidak pernah sekalipun mengabaikan cucu sulung mereka yang kini menjadi nama yang disebut-sebut di bibir rakyat Malaysia.

“Saya kenal anak dan menantu saya. Mereka sangat sayangkan Zayn… Layanan mereka sama rata antara Zayn dan adiknya, Zahin. Tak pernah berbeza,” ujar Zahari dalam nada sebak ketika memberi keterangan di Mahkamah Sesyen Petaling Jaya, semalam.

Cinta Seorang Datuk Terhadap Cucu

Zahari turut berkongsi bahawa dirinya sangat rapat dengan Zayn Rayyan, dan saban minggu akan memastikan cucu-cucunya datang ke rumah untuk meluangkan masa bersama.

“Setiap Sabtu atau Ahad, bila ibu dan ayah Zayn tidak bekerja, saya akan pastikan mereka datang ke rumah… Bermesra, duduk bersama. Zayn sangat manja dengan saya,” kongsinya dengan nada hiba.

Pernyataan ini bukan sekadar membela, tetapi menunjukkan betapa ikatan keluarga ini kuat dan penuh kasih sayang. Jauh daripada bayangan pengabaian seperti yang didakwa sebelum ini.

Juga Baca: https://www.mingguanwanita.my/nafi-tukar-baju-tak-mengaku-terserempak-dengan-jiran-pada-hari-zayn-rayyan-hilang/

Dalam perbicaraan bela diri yang masih berlangsung, Ismanira diperintah membela diri, manakala suaminya, Zaim Ikhwan Zahari telah dilepas dan dibebaskan atas pertuduhan mengabaikan anak mereka sehingga menyebabkan kecederaan fizikal.

Bela Diri

Peguam bela Ismanira, yang terdiri daripada Haresh Mahadevan, Ramzani Idris dan Lavanesh Haresh, sedang giat membuktikan bahawa Ismanira bukanlah ibu yang culas, tetapi ibu yang sedang bergelut mempertahankan dirinya  dan nama baik seorang wanita yang sudah pun kehilangan anak.

Perbicaraan yang dijalankan di hadapan Hakim Dr. Syahliza Warnoh akan bersambung lagi esok.  Bagi Zahari, tuduhan ini bukan sahaja mengguris hati seorang datuk, tetapi juga mencabar kekuatan seorang keluarga yang sedang diuji.

“Saya percaya pada anak dan menantu saya. Mereka bukan pembunuh. Mereka adalah ibu bapa yang pernah saya lihat menitiskan air mata kerana rindu dan sayang pada arwah Zayn.”

Mengikut pertuduhan pindaan Zaim Ikhwan Zahari dan Ismanira Abdul Manaf yang kedua-duanya berusia 30 tahun itu sebagai orang yang mempunyai pemeliharaan terhadap anak mereka Zayn Rayyan Abdul Matin yang berusia enam tahun (ketika kejadian) didakwa bersama-sama mengabaikannya dengan cara yang mungkin menyebabkannya mengalami kecederaan fizikal.

Kesalahan itu didakwa dilakukan di sekitar kawasan Blok R, Apartment Idaman, Damansara Damai sehingga ke kawasan sungai berdekatan Apartment Idaman, Damansara Damai di sini antara pukul 12 tengahari, 5 Disember dan pukul 9.55 malam pada 6 Disember 2023.

Justeru mereka didakwa mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001 dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman maksimum penjara 20 tahun atau denda RM50,000 atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Ismanira diperintah membela diri manakala suaminya Zaim Ikhwan dilepas dan dibebaskan atas pertuduhan itu.

Sumber: https://www.kosmo.com.my/

Follow kami di TELEGRAMINSTAGRAMTIKTOKFACEBOOKTWITTER dan YOUTUBE Mingguan Wanita untuk dapatkan info dan artikel-artikel terkini serta menarik.

Published by
Rosmah Idayu