
Isi Kandungan
ToggleKetika anak-anak lain seusianya sibuk dengan permainan dan dunia remaja, Nur Amna Qaleesya sudah pun mengukir nama di pentas dunia.
Anak kepada penyanyi terkenal, Lan Solo dan Nur Sheila Hassim ini baru berusia 14 tahun, namun telah mencipta sejarah sebagai juara kategori tarian kuartet dalam pertandingan berprestij “Etoiles De Paris” UAE-England-France 2025 yang berlangsung di Paris baru-baru ini.
Lebih membanggakan, Amna bukan hanya membawa pulang trofi untuk dirinya, tetapi juga mengharumkan nama Malaysia di mata dunia bersama tiga lagi rakan sepasukan dari Sekolah Seni Malaysia Kuala Lumpur (SSEMKL). Mereka berjaya menewaskan wakil dari tujuh buah negara lain termasuk Ukraine, Indonesia dan Armenia, sekaligus merangkul hadiah utama Grand Prix.
Pastinya kejayaan ini menjadi kebanggan keluarga, malah peluang mengharumkan nama Malaysia di persada antarabangsa malam tadi cukup mengharukan Lan Solo atau nama sebenarnya Muhammad Razlan Mohamed Yusof.
Alhamdulillah.. hadiah hari Jumaat yg indah utk team tari Sekolah Seni Malaysia KL 😍
Tahniah buat semua yg terlibat! Ddy tak tau nak tulis apa sbb ddy takdak kat sana..😅 nanti korang balik korang story2 la k!Apa2 pon tahniah buat seluruh kontinjen Malaysia 🇲🇾!
Kami bangga 🫶🏼!
Penyanyi itu sememangnya yang tidak menyangka anak perempuan sulungnya itu mampu meraih kemenangan setinggi itu. Tetapi Lan Solo mengakui Amna telah berjaya mengatasi pelbagai cabaran untuk sampai ke tahap ini.
Hadiah Hari Ibu
“Saya tak pernah bayangkan dia akan sampai sejauh ini. Dia memang berbakat dan ini adalah hasil kerja keras dan komitmennya dalam dunia seni,” ujar Lan dengan penuh rasa bangga.
Sejak kecil, saya tahu Amna berbeza. Dia ada cahaya semangat bila menari. Minatnya pada tarian moden dan K-Pop bukan sekadar suka-suka — dia belajar, dia latih diri, dan paling penting, dia tak pernah kenal erti putus asa. Bila saya dan Lan nampak kesungguhannya, kami tahu, sokongan kami adalah kunci kepada sayap impiannya.
Dan benar, setiap langkah kecil yang kami iringi dulu kini membawa dia ke pentas dunia. Amna bersama tiga lagi pelajar dari Sekolah Seni Malaysia Kuala Lumpur (SSEMKL) berjaya menewaskan wakil dari tujuh negara lain termasuk Ukraine, Indonesia, Kyrgyzstan dan Armenia, sekaligus membawa pulang Grand Prix – hadiah utama yang tak ternilai!
“Mak Selalu Percaya, Anak Mak Mampu Terbang Jauh…”
Sebagai seorang ibu, tiada kata yang mampu menggambarkan perasaan melihat anak sendiri berdiri megah di pentas antarabangsa, apatah lagi pada usia 14 tahun.
“Saya masih ingat lagi, waktu Amna mula-mula tunjuk minat menari — umur dia baru 6 tahun. Bukan di pentas gah atau kelas tari profesional, tapi depan cermin bilik tidur, meniru gerak tari K-Pop dari YouTube.
Masa tu, saya cuma senyum. Dalam hati saya terdetik, “anak mak ni, lain macam semangat dia,”ujar Sheila yang turut menemani anak gadisnya di kota Paris.
Saya dan suami, Lan Solo, tak mampu tahan air mata. Bukan sebab bangga semata, tapi sebab kami tahu apa yang telah dikorbankan untuk sampai ke titik ini.
Amna bukan anak yang dilahirkan terus dengan kelebihan. Bakatnya memang ada, tapi yang lebih besar adalah usaha kerasnya dan segala pengorbanan yang dia lalui dalam diam”.
Ditanya kepada Sheila perasaanya sebagai seorang ibu yang menyaksikan perjalanan anaknya untuk menyertai pertandingan tersebut, isteri kepada Lan Solo ini sempat menitipkan pesanan untuk ibu bapa meletakkan kepercayaan kepada anak-anak dalam apa jua bidang atau minat mereka
“Percayalah pada anak kita walaupun orang lain belum nampak sinarnya. Kita mungkin bukan jurulatih mereka, bukan guru tari mereka, tapi kita adalah sistem sokongan terbesar mereka. Kata-kata kita, pelukan kita, dan doa kita, itulah tenaga yang akan bawa mereka lebih jauh daripada yang kita bayangkan.
Kejayaan Amna bukan hanya milik dia, tapi milik semua ibu yang tak pernah berhenti memberi ruang dan semangat pada anak-anak yang sedang mengejar mimpi, “ujarnya seraya mengakhiri perbualan.
Lubuk konten tentang inspirasi, rumah tangga dan macam-macam lagi,
MINGGUAN WANITA kini di seeNI, download seeNI sekarang!
MINGGUAN WANITA kini di seeNI, download seeNI sekarang!
KLIK DI SEENI
Mak Ayah Bukanlah Sempurna Tapi Cara Didikannya Jadikan Kita ‘Manusia’ Berguna

Isi Kandungan
ToggleCara didikan mak ayah dulu dengan sekarang boleh dikatakan jauh berbeza. Mungkin juga disebabkan keadaan sekarang yang semakin moden, malah tidak keterlaluan ada anak-anak yang menjadi ‘raja’ dalam rumah.
Kalau nak dibandingkan kita dulu cukup takut dengan mak ayah, baik dari segi menjaga tingkah laku, pembelajaran dan sebagainya. Ada mak ayah hanya tunjuk riak muka sahaja, kita sebagai anak pun dah takut lain macam.
Sebab itu, bila kita tengok kejayaan anak-anak waktu itu cukup membanggakan. Cara didikannya yang berbeza dengan sekarang.
Walau bagaimana pun, tidak bermakna mak ayah sekarang lepas tangan dalam menjaga keperibadian anak. Mungkin ada sesetengah mak ayah sekarang masih mengamalkan apa yang diajar oleh kedua ibu bapa mereka dahulu. Tapi, tidaklah semua bergantung kepada keadaan sekarang juga.
Perkongsian daripada Hanis Athirah Rosli cukup menarik dan boleh jadikan panduan untuk mak ayah sekarang. Tip keibubapaan oleh mak ayahnya turut dipaktikkan kepada cucunya. Nasiihat dan teguran itulah menjadikan kita sebagai seorang manusia yang berguna.
Baca Artikel Menarik Lain Di Sini: Mak Ayah Tak Suruh Ikut Tapi Anak MESTI Tiru, Tunjuklah Yang Baik-Baik
Baca Istighfar, Cara Mudah Sedekahkan Pahala Buat Mak Ayah Yang Telah Tiada
Info Lebih Menarik DI SINI
Mak Ayah Aplikasi Pula Pada Cucu
9 tip keibubapaan yang ‘Umi dan Abah’ sya buat dan saya cuba aplikasikan kepada cucu mereka.
Saya adalah anak pertama kepada pasangan guru yang sweet dalam gambar ini. Merekalah insan pertama yang mendidik, mengasuh dan membesarkan saya dengan penuh kasih sayang.
Saya juga masih struggle dalam dunia parenting dan kadang-kala ulangi kesilapan yang sama walaupun saya sendiri tahu perkara itu tak patut dilakukan. Sebab saya ialah manusia, jadi saya tidak akan pernah sempurna, sebab itu Allah hantar pelbagai jenis manusia untuk perbetulkan diri ini dari melalukan kesilapan yang berterusan.
Insan yang selalu menegur saya dalam mendidik anak ialah Umi dan Abah. Saya terima dengan hati terbuka, hadam dan perbaiki diri. Memang secara peribadi saya sangat mengagumi cara Umi dan Abah mendidik kami enam beradik.
Walaupun saya membesar menjadi orang yang biasa saja, tapi saya bahagia dengan didikan Umi dan Abah yang dapat memanusiakan saya. Jadi, hari ini saya ingin kongsi beberapa perkara dan peristiwa yang masih saya ingat bagaimana Umi dan Abah mendidik kami, dan saya juga cuba aplikasi perkara yang sama untuk cucu-cucu mereka pula.
PERKATAAN BAIK-BAIK
Pertama, Umi Abah menggunakan perkataan baik untuk menegur kesalahan kami adik beradik. Mereka tidak pernah sumpah seranah atau menggunakan perkataan kesat walaupun perangai kami memang boleh tahan nakalnya. Tapi perkataan yang Umi Abah guna untuk tegur sangat deep dan berkesan sampai ke tua! Kalau buat salah pula di hadapan saudara mara, Umi Abah akan panggil kami datang dekat dengan mereka dan menegur kami secara terus dan tidak terpekik. Memang mereka sangat menjaga aib anak-anak.
TIDAK BERGADUH DEPAN ANAK
Kedua, Umi Abah tidak pernah bergaduh atau bertekak di hadapan anak-anak. Saya pun ada bertanya adik-adik, tapi ternyata kami semua tidak mempunyai memori yang mengingatkan Abah Umi bermasam muka sesama mereka. Membebel sambil mengusik tu ada, tapi bergaduh memang tiada dalam kotak memori kami.
Perkara ini saya masih belajar dan komited untuk aplikasi dalam rumah tangga saya dan suami. Sebab setiap rumah tangga ada ujiannya dan bukanlah ibarat fairy tale yang indah-indah belaka. Mahu atau tidak, kita tidak dapat lari daripada dugaan dan saat-saat genting yang perlu dihadapi bersama. Tapi, jika ada masalah Umi Abah akan berbincang di dalam kamar tidur peribadi tanpa didengari kami anak-anak. Ini kerana pertelagahan antara suami dan isteri yang disaksikan anak-anak akan membawa impak tidak sihat kepada mereka kelak.
TEGUR DI BELAKANG ADIK BERADIK LAIN
Ketiga, sebagai anak sulung, sewaktu kecil saya selalu mencabar kesabaran Umi dan Abah. Setiap kali Allah kurniakan adik baharu, saya ingat saya akan buat perangai untuk menarik perhatian Umi dan Abah. 5 orang adik, macam-macam perangai pelik saya buat. Apa yang saya boleh puji, Umi Abah tak marah saya kuat-kuat depan adik-adik. Kalau saya salah Umi Abah akan tegur saya di belakang adik-adik. Sebab mereka sangat menjaga maruah saya sebagai anak sulung dari tercalar dan tidak mahu adik-adik kurang menghormati saya.
Semasa menegur Umi Abah akan semaikan benih tanggungjawab dalam diri saya. Mereka selalu beritahu saya harapan mereka terhadap saya sebagai contoh terbaik untuk adik-adik. Jika saya berperangai buruk, adik-adik akan mengikut buruk juga. Jika Umi Abah tiada, saya yang harus menjadi orang pertama jaga adik-adik. Teguran yang dibuat memang meresap masuk dalam minda ini tanpa sedar dan sehingga saya dewasa. Memang anak sulung kebanyakkan mempunyai ciri kepimpinan dan sampai hari ini saya cuba akan penuhi harapan dan impian Umi Abah supaya menjadi insan yang boleh dicontohi adik-adik.
HAK ANAK TERTUNAI
Keempat, sesibuk mana pun Umi Abah, mereka terus pastikan hak-hak anak tertunai. Hak anak-anak untuk mendalami agama, belajar, bermain, fisiologi dan kasih sayang mereka akan usahakan untuk penuhi. Umi Abah menyediakan kami adik beradik persekitaran pembelajaran kondusif di rumah dan masa sama mereka sangat meraikan fitrah kami sewaktu kanak-kanak untuk bermain. Selain itu, Umi Abah juga menujukkan teladan dalam mendalami ilmu. Saya ingat, saya banyak belajar melalui pemerhatian terhadap sikap, sifat dan tingkah laku mereka.
TEGAS DALAM PERATURAN DI RUMAH
Kelima, Umi dan Abah juga sangat tegas dalam melaksanakan peraturan di rumah. Tegas tapi sayang, dah hasilnya Alhamdulillah kami enam beradik menjadi insan yang lebih berdisiplin dan peraturan yang diamalkan menjadi rutin yang sebati dalam diri kami. Sebagai contoh, masa kecil sebelum Maghrib kena balik rumah dan mandi. Masa Maghrib tak boleh buka tv kecuali dah solat dan mengaji baru boleh tonton cerita Doraemon. Itu pun satu hari tu je boleh excuse.
Selain itu, Umi Abah juga terapkan rutin sampailah rutin itu menjadi kebiasaan dan kekok jika kami tidak ikuti. Contohnya setiap hari rutin solat berjemaah, mengaji bersama, waktu makan bersama dan waktu borak luah perasaan tiap hari terutamanya selepas solat Maghrib sambil menunggu waktu Isya’.
SUKA BERSEDEKAH
Keenam, saya juga selalu perhatikan dari jauh Umi dan Abah suka bersedekah dan saya akan meniru perbuatan mereka. Masa kecil pun semasa pergi pasar tani Abah selalu bagi kami duit, dan Abah akan minta kami masukkan duit ke dalam tabung sedekah yang dihulurkan dekat makcik pakcik.
Selain itu, Umi Abah akan lorongkan kami ke jalan sedekah. Baju, buku, permainan yang masih boleh guna dan elok lagi, kami bersama-sama akan menyumbang kepada yang memerlukan. Betul, dengan perbuatan sedekah kami anak-anak berasa lebih lembut hati dan empati kepada insan yang memerlukan. Jadi, apa yang Umi Abah ajar dari kecil kami pegang supaya menjadi roh dan isi.
TIDAK MENGELUH
Ketujuh, Umi Abah juga satu lagi yang saya kagumi, Umi Abah tidak mengeluh tiada duit di hadapan anak-anak mereka. Walaupun kadang-kala saya Nampak Abah Umi struggle masa saya kecil, tapi kami adik beradik tidak pernah berlapar. Umi ajar bila dapat rezeki jangan lupa cakap Alhamdulillah. Jadi, bila diri ini yang dewasa dikurniakan rezeki yang murah, saya ingatkan diri ini jangan sesekali bersikap kedekut dengan mereka.
Memang Umi Abah tak pernah minta wang ringgit, tapi tak salah membalas jasa mereka dengan menghulur wang ringgit ataupun hadiah kegemaran mereka. Jasa mereka memang tidak dapat terbalas, cuma saya niatkan di hati untuk membahagiakan mereka.
RAI MINAT DAN PILIHAN ANAK
Kelapan, Umi Abah juga sangat meraikan minat dan menyokong pilihan kami adik beradik. Sekiranya kami tersilap dalam membuat pilihan, itu sebenarnya adalah sebahagian daripada proses belajar dan pendewasaan. Namun, mereka sesekali tiadak menyekat malah menghormati pendirian kami selagi tidak melanggar fitrah agama.
Dalam masa yang sama, mereka juga turut beri pandangan dan menasihati kami dalam membuat keputusan. Dan ada keputusan yang dahulu saya argue, tapi bila saya ikuti rupanya ada hikmah di sebaliknya. Contohnya dulu saya tekad tidak mahu menceburi profesion perguruan, namun atas nasihat dari Umi, saya teruskan walaupun pada awalnya saya rasa terpaksa. Tapi, hikmahnya, saya jatuh hati dalam profesion ini dan sangat mencintai ilmu pendidikan.
TIDAK IKUTI KEMAHUAN ANAK
Kesembilan, Umi Abah juga tidak semudahnya menuruti kemahuan kami. Kalau masa kecil dulu serius saya tak faham, kenapa kawan – kawan saya senang saja dapat mainan baru. Tapi saya perlu usaha macam-macam baru boleh dapat. Rupa-rupanya Umi dan Abah ingin mendidik saya supaya berusaha sendiri untuk dapatkan sesuatu. Contohnya saya perlu mengumpul duit dulu untuk membeli sesuatu barangan. Bila saya belajar susah dan senang mengumpul duit dapatkan sesuatu, ternyata saya lebih menghargai barangan tersebut. Jadi saya dapat disini untuk anak-anak they need to feel the struggle. Saya pun dapat belajar untuk bersabar dan lebih faham.
Kebaikan Dituruti, Kelemahan Jadikan Teladan
Sekali lagi diulangi, apa yang Umi Abah saya lakukan memang dah tipikal dalam dunia parenting. Tapi bila saya refresh dan refleks rupanya sudah banyak ilmu parenting yang Umi Abah amalkan dalam membesarkan kami adik beradik. Umi Abah saya bukan sempurna, tapi sebagai seorang anak kebaikan mereka saya perlu turuti, dan kelemahan mereka untuk dijadikan teladan. Kerana hakikatnya mereka tetap insan biasa bukannya para Nabi.
Sukar untuk melafaz rindu ini kepada dua insan penyeri kehidupan ini. Walaupun boleh dikatakan hampir setiap hari hubungi mereka, tapi kadang-kala rasa macam 10 hari tak hubungi. Ya Allah, syukur kerana Engkau panjangkan usia mereka, limpahkan mereka dengan kesihatan sehingga diri ini dapat merasakan kasih dan sayang Umi dan Abah. Alhamdulillah.
Abah dan Umi,
Restuilah kami dengan doa kalian,
Iringilah kami dengan kasih sayang kalian,
Berkatilah kami dengan ayat-ayat azimatmu,
Agar kami takkan leka dengan dunia yang sementara,
Agar kami takkan terlupa tanggungjawab mendidik amanah Allah ini
#tipsparentinghanis
#tipsparenting
#hanisathirah
MW: Bagaimana kita tengok mak ayah kita buat dan lakukan, itulah yang kita ikutkan. Ingat, yang baik kita ikut dan kelemahan itu kita jadikan teladan.
Sumber: Hanis Athirah Rosli
Follow kami di :
Facebook Mingguan Wanita
Instagram Mingguan Wanita
Twitter Mingguan Wanita
MINGGUAN WANITA kini di seeNI, download seeNI sekarang!
KLIK DI SEENI
Awas Dengan Virus Sindrom “Rich Kids”

Budaya kehidupan luar biasa mewah sudah menjadi satu budaya baru dalam dunia keibubapaan dewasa ini. Di luar negara, budaya memakaikan pakaian berjenama mewah sudah menjadi kebiasaan sebaik bayi masih lagi dalam kandungan. Bukan saja kelompok selebriti mahupun VVIP yang diketahui sememangnya mewah, lazimnya majlis sambutan meraikan bakal ibu contohnya menjadi medium mempamerkan hadiah mewah buat bayi mahupun si ibu.
Terbiasa mewah dari kecil, menjadikan anak-anak ini sudah terbiasa dengan situasi wang sentiasa ada dan apa yang diingini pasti ada dalam sekelip mata. Budaya ini mula menular di Malaysia, dengan adanya pengaruh selebriti, popularity personality media social menjadikan ia satu scenario baru yang menimbulkan situasi “sindrom rich kids” sebagai satu gaya hidup baru.
Sejauh mana konsep hidup sebegini memberi kesan dan membentuk sahsiah anak-anak ini sebaik dewasa nanti. Adakah mereka mampu berdikari dan punya empati apabila berada di dalam kelompok masyarakat yang dating dari pelbagai latar belakang. Ikuti kupasan selanjutnya Dr Rosmawati Mohamad Rasit; Pengerusi Pusat Kesejahteraan Insan dan Komuniti, Fakulti Pengajian Islam Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) berhubung isu ini.
Kitaran kehidupan berulang
Isu mengenai anak-anak dan kemewahan ini sebenarnya antara isu yang sering dibincangkan khususnya dalam pendidikan anak-anak. Malah, kita didedahkan dengan kisah filem dan drama tentang anak-anak daripada golongan bangsawan yang menunjukkan perangai dan akhlak yang buruk. Filem-filem Melayu Klasik memperlihatkan watak antagonis adalah dari golongan anak bangsawan yang jahat dan berkuasa. Kisah-kisah drama Melayu juga masih klise mengenai perkara ini apabila anak-anak hartawan diberi watak sebagai playboy atau sebagai anak yang bermasalah.
Sindrom rich kids ini pada pendapat saya, sebagai kitaran kehidupan yang sering berulang-ulang. Cuma mungkin sekarang impak media sosial jauh lebih besar dan mudah tular dalam kalangan masyarakat untuk dibincangkan secara lebih terbuka. Kita kerap dipaparkan dengan cerita golongan anak hartawan yang gemar bergaya mewah, bercuti di kota-kota elit seperti kota London dan Dubai serta majlis sambutan hari jadi yang luar biasa mewah.
Anak-anak diberi kemewahan material yang berlebihan serta gaya hidup orang kaya yang mewah. Ibu bapa terlalu memanjakan anak dengan memberikan segala-galanya sehingga mereka tidak dapat membezakan di antara keperluan dan juga kehendak. Isunya juga menjadi budaya dan membentuk gaya hidup bermewah-mewahan apabila anak dihadiahkan hadiah yang mewah dan mahal seperti kereta Ferrari, beg tangan Dior dan sebagainya.
Kemewahan bukan asbab untuk meninggi diri
Ibu bapa yang berbelanja mewah untuk anak-anak sehingga mereka tidak pernah dididik dengan kehidupan yang susah, ini adalah salah bagi saya. Walaupun ibu bapa memang dari golongan yang mampu dan berharta sekali pun namun, itu tidak menjadi asbab untuk anak-anak tidak diajar tentang kepentingan duit dan saling menghormati orang lain.
Dikhuatiri jika budaya sebegini berterusan, kita mendidik anak-anak kita sebagai anak yang tidak tahu menghargai kehidupan orang lain yang lebih susah daripada mereka. Bukan salah mereka akhirnya tiada empati dalam diri kerana mungkin mereka tidak tahu bahawa ada sebenarnya golongan manusia yang susah dan memerlukan kerana mereka tidak diajar untuk memandang ke bawah.
Sisi buruk disebalik layanan ‘super’ mewah
Isu ini seharusnya diberi perhatian yang penting terutama peranan ibu bapa sebagai faktor utama kenapa anak-anak dididik dengan gaya hidup sebegini. Hakikat ini sememangnya amat pahit untuk ditelan dan kita bukan niat untuk menuding jari kepada mana-mana pihak tetapi mendidik anak-anak dengan kemewahan yang berlebihan ini memberi kesan yang besar kepada pembawaan karakter anak-anak apabila mereka meningkat dewasa kelak.
Bayangkan jika anak-anak dididik dengan terlebih manja dan demand untuk mendapat layanan yang super istimewa, apabila mereka berada dalam persekitaran sekolah, mereka tidak boleh susah dan menolak peraturan yang ditetapkan oleh pihak sekolah. Sedangkan kita tahu dalam institusi pendidikan di negara kita tidak seharusnya wujud pilih kasih dan layanan double standard di antara pelajar yang berada dengan pelajar yang miskin. Begitu juga dalam kumpulan masyarakat, akan wujud jurang sosial di antara kelas tinggi dan kelas bawahan.
Generasi anak-anak ini seringkali beranggapan mereka seharusnya dapat apa yang mereka mahupun tanpa mempedulikan perasaan orang lain. Malah sikap dan pandangan mereka juga bias dan wujud kurang hormat. Mereka terlebih manja dan terlalu bergantung kepada ibu bapa yang kaya serta mahu dilayan sebagai seorang raja.
Kita akan nampak kesan jangka panjang hasil didikan sebegini, generasi yang akan lahir adalah generasi yang tidak boleh membuat keputusan sendiri dan tidak akan wujud wibawa kepimpinan. Jika tidak ditangani dengan baik, mereka akan membesar menjadi generasi yang nakal dan kurang adab.
Anak-anak ini sangat rapuh jiwa dan tidak tahu membuat keputusan yang rasional dengan akal fikir, agama dan iman. Bayangkan jika mereka ada masalah, tindakan bagaimana yang mereka akan ambil. Kerana apa? Sebab dari kecil tidak dididik dan diajar dengan betul bagaimana untuk survive dalam dunia hari ini yang sangat mencabar.
Cabaran generasi milenia
Ya, ini cabaran kita dalam zaman teknologi perkembangan gajet dan media baharu. Masing-masing sudah biasa berkongsi hidup di media sosial apatah lagi perkongsian kebahagian dan kemewahan yang biasanya akan digemari oleh follower. Sekarang sangat popular dengan instafamous. Semua berusaha untuk menjadi popular dan mendapat followers yang ramai. Bahkan terdapat dalam kalangan anak-anak selebriti yang masih kecil namun mempunyai follower yang ramai di akaun Instagram.
Budaya ini semakin menular dalam insitusi kekeluargaan di Malaysia rentetan daripada pengaruh media sosial. Apa sahaja perlu dilaporkan. Masing-masing berlumba-lumba untuk memberikan laporan yang terbaik kepada netizen. Bahkan sindrom rich kids ini juga memperlihatkan budaya tidak malu apabila soal-soal peribadi turut ditayangkan kepada khalayak netizen. Sudah tidak ada privasi lagi dalam hidup mereka.
Hal yang berkaitan dengan peribadi setiap detik dikongsi bersama. Kisah percutian, mereka makan apa, mereka beli apa bahkan perkara yang memalukan seperti gambar seluar dalam turut dikongsi bersama. Anehnya perkara sebegini mendapat sokongan dan like yang ramai daripada netizen seolah-olah ia suatu perkara yang biasa. Padahal perkara sebegitu sangat memalukan. Akibat daripada pengaruh media sosial yang digunakan tanpa had dan peraturan, masyarakat kita hari ini berada pada tahap yang sudah tenat.
Begitu juga kemewahan anak-anak elit ini yang dipertontonkan kepada semua. Hati-hati sebenarnya. Kadang-kadang memang ia mengundang bahaya tanpa kita duga dengan apa yang kita kongsikan. Kita bimbang akan munculnya penyakit ‘ain daripada apa yang kita kongsikan segalanya di media sosial secara berlebihan dan lebih bersifat peribadi sebagai contohnya memuji kelebihan anak sendiri.
Ibu bapa moden yang gemar berkongsi cerita peribadi di media sosial bahkan meletakkan gambar anak secara berlebihan dibimbangi akan terkena penyakit ‘ain yang menimbulkan pandangan hasad dan takjub orang lain. Panahan penyakit ‘ain ini menyebabkan mudarat dan penyakit terutama kepada anak-anak kecil yang baharu lahir kerana mereka masih lemah serta belum dapat melindungi diri sendiri daripada pengaruh jahat dalam persekitaran mereka.
Seimbang duniawi & ukhrawi
Tidak salah menggunakan media sosial sebenarnya. Berkongsilah mesej kebaikan dan usaha dakwah. Apa yang telah kita buat untuk agama dan masyarakat. Kurangkan perkongsian peribadi dan perkara yang tidak berfaedah.
Namun pada masa yang sama kita seharusnya juga mengimpikan anak-anak kita cemerlang adab dan akhlaknya. Anak-anak yang baik adalah yang boleh menjadi asbab untuk kita masuk ke syurga Allah kelak. Ibu bapa seharusnya memberi didikan yang seimbang di antara duniawi dan ukhrawi. Paling utama bagi ibu bapa Muslim ialah seharusnya sentiasa memerhatikan solat anak-anak. Didikan untuk memahami tarbiah solat sangat penting kepada anak-anak sejak kecil kerana solat yang difahami dengan baik akan menyempurnakan akhlak dan keperibadian muslim.
Oleh itu, Islam menekankan kesederhanaan dalam gaya hidup sebagai muslim. Budaya memberikan kemewahan yang berlebihan kepada anak tanpa kawalan akan merosakkan mereka. Walaupun Allah rezekikan harta kekayaan dan status pangkat elit di dunia namun, itu semua pinjaman sementara yang pada bila-bila masa sahaja Allah boleh tarik.
Kesimpulannya kita semua perlu kembali kepada agama fitrah. Apa kita nak jawab pada Allah nanti tentang amanah anak yang dikurniakan kepada kita jika kita mengabaikan didikan agama anak-anak. InsyaAllah jika kita semua memahami untuk apa kita hidup dan semua orang akan mati, kita tidak akan mampu melakukan perkara-perkara yang menyebabkan Allah murka dan menghilangkan peluang kita untuk bertemu dengan Allah dan Rasulullah SAW di syurga kelak.
MINGGUAN WANITA kini di seeNI, download seeNI sekarang!
KLIK DI SEENI
Ketika Diuji Covid-19, Amalan Solat Sunat Kekalkan Kekuatan Jiwa

Isi Kandungan
ToggleSetiap orang merasai getirnya musibah Covid-19. Duduk di rumah itu bukan sekadar duduk, tetapi ada individu yang dicengkam emosinya. Dengan bermacam ujian stress kehidupan. Bonda Nor berkongsi catatan, pesanan untuk mereka yang berdepan depresi dalam kekalutan ujian ini.
Ujian Wabak Covid-19
Seawal jam 5 pagi tadi, masuk satu mesej bertulis, “Depressed.”
Saya terkedu seketika. Tahu masalah besar yang sedang teruji ke atasnya. Tahu dia seorang yang kuat semangat. Dari dulu, satu persatu ujian hidupnya ditempuhi senyap-senyap tanpa meributkan orang lain.
Tapi kali ini, saya boleh rasakan, dia benar-benar sedang tertekan. Bukan kecil anak ujian yang sedang dihadapinya. Antara hidup dan mati!
Cuma… saya tahu itu hanya stres. Dia bukan depresi. Saya tahu dia cuma penat tapi semangatnya masih kuat. Dan dia akan berjaya lepasi juga ujian yang satu ini!
Nampaknya, ujian wabak COVID-19 yang melanda dunia ketika ini memang benar-benar telah mengasak minda dan emosi kita.
Ada yang terbaring dengan masalah kesihatan. Ada yang terduduk dengan masalah kewangan.
Masa ini pula ujian lain datang bertalu-talu. Bergaduh dengan majikan, dengan pasangan, dengan anak-anak.
Masa ini pula fitnah berleluasa hingga ada yang rasa macam nak gila cuba menepisnya!
Ini apa? Sudah jatuh ditimpa tangga!
Allahu Akbar!
Kaabah Sampai Ditutup, Ini Bukan Sembarangan Krisis
Betul. Mungkin ini ujian paling hebat dalam sejarah dunia.
Kalau sampai Kaabah pun terpaksa dikuarantin, rumah-rumah Allah pun terpaksa ditutup hingga Solat Jumaat yang selama ini jadi simbolik kekuatan umat juga terpaksa dibatalkan, ini bukan sembarangan krisis. Ini petanda akhir zaman sudah terlalu hampir!
Dan kita, masihkah mahu membuang masa melayan krisis remeh temeh emosi dan persepsi?
Sudah-sudahlah.
Tuan puan,
Ketika ini, bukan saja virus COVID-19 yang sedang menular, bahkan pelbagai aura negatif juga sedang pantas tersebar.
Sebijak mana pun kita cuba menutup kemaraannya dengan lawak jenaka media sosial kita, tetap juga kita tidak boleh nafikan betapa tempias derita ini pelan-pelan sedang menyusup masuk ke jiwa masyarakat kita dan meranapkannya!
Ketika ini, miskin atau kaya, sihat atau sakit, bujang atau berkahwin, ada anak atau tiada anak, semua tetap teruji!
Saya terima mesej daripada seorang wanita yang kaya raya dan berpangkat dalam masyarakat. Gigih melawan stres. Terlalu sunyi! Suami sudah meninggal. Anak cucu tak boleh balik. Dan di rumah, cuma dia. Ketika ini, harta dan pengaruh tidak lagi membawa makna!
Saya terima mesej daripada seorang sahabat yang bergaji besar, berpengaruh. Juga stres. Teruji dengan masalah kesihatan. Terkurung macam banduan.
Saya terima mesej daripada seorang kenalan. Stres. Struggle berdepan masalah kewangan.
Saya sendiri?
Aduhai. Saya sendiri tak lepas daripada teruji di musim wabak COVID-19 ini! Siapa tahu di sebalik lajunya saya update status Facebook setiap hari, hakikatnya lebih banyak saya terbaring saja di katil sendiri?
Tuan puan,
Stres tak sama macam depresi atau juga disebut sebagai kemurungan. Stres datang singgah sekejap-sekejap. Depresi, hampir menetap!
Tapi Insya-Allah kita boleh lawan kedua-duanya dan terus kekal positif berdepan ujian hidup kita.
Bagaimana?
PERTAMA :
Fokus pada rasa syukur. Apa nikmat paling besar yang kita masih ada hari ini? Peluang membuka mata. Nyawa! Ramai yang sudah kehilangan nyawa tapi kita masih ada. Syukuri itu! Besar sangat nikmat tu!
KEDUA :
Faham bahawa ini ujian. Faham bahawa Allah sedang melihat dan malaikat sedang mencatat. Dalam satu hadis Qudsi, Allah bagitau yang Dia suruh malaikat hantar ujian ni pada kita dan catatkan respons kita.
Kalau kita sabar, maka layaklah kita ke syurga. Kalau kita mengeluh, melayankan stres, tak redha dengan pilihan ujian tersebut, maka kita kena sedar ada natijahnya – neraka.
Sekarang, check kondisi hati dan respons kita. Kalau kita ada rasa tak redha, kita mengeluh, istighfar cepat! Perbaiki segera respons kita. Biar Allah suka dan mudah-mudahan layak terima apa yang kita harapkan – syurga.
KETIGA :
Akui segala dosa dan kesilapan kita selama ini. Cuba untuk gunakan musibah yang sedang melanda ini sebagai peluang besar untuk hapuskan dosa-dosa tersebut.
Dalam banyak hadis, Rasulullah selalu sebut pasal ni. Musibah menghapuskan dosa. Musibah menghapuskan dosa! Maka, rebut cepat peluang ini dengan asbab sabar dan redha kita. Mudah-mudahan Allah segera redha pula kepada kita dan hapuskan dosa-dosa yang tak terkira banyaknya!
“Tak seorang pun muslim yang tertimpa kesusahan berupa sakit atau lainnya, kecuali Allah menggugurkan kesalahannya sebab hal itu seperti halnya pohon yang menggugurkan daunnya.” (HR Muslim)
KEEMPAT :
Bertenang. Ini aset yang sangat penting dalam mendepani ujian. Hanya orang yang tenang saja mampu rasional dalam membuat apa-apa pun keputusan!
Macam mana nak dapatkan ketenangan?
Tuan puan, semalam saya dengar sepotong petikan daripada Pengasas Funnel Evo, Tuan Fadi Ghazali.
“Seketika nanti, dunia yang nyata ini akan jadi dongeng. Dan akhirat yang dongeng itu akan jadi nyata.”
Faham tak maksudnya?
Ini… semua yang kita sedang lalui ketika ini ibarat salah satu plot dalam drama saja. Ia akan berlalu dan akan tiba pula episod baharu. Maka, jangan stressing sangat jiwa kita.
Fokuskan pemikiran kita pada realiti sebenar yang akan berlaku – akhirat. Itu alam yang kekal selama-lamanya dan kita sedang menuju ke situ!
Kalau kita dapat fokus pada perjuangan untuk ke syurga, maka akan lebih tenang. Bahkan kita akan sangat berhati-hati meniti setiap plot yang kita lalui ini.
Kita akan jaga persepsi. Kita tak akan buang masa memberatkan fikiran kita melayan musibah yang sedang melanda sebaliknya, kita akan lebih tenang dengan persepsi, ‘Ah, ini cuma satu lagi plot yang ada dalam hidup aku dan ia akan berlalu!”
Enjoy the plot! Nikmati kasih sayang Allah dalam setiap plot yang kita lalui. Fokus persiapan untuk hidup sesudah kematian. Itu yang lebih real!
“Semua manusia sedang tidur. Mereka hanya akan terjaga apabila mereka mati.”
Allahu Akbar. Deep! Mendalam sangat kata-kata Saidina Ali ini. Takkan tak terkesan langsung di hati? Takkan tak terasa yang kita sedang buang masa dengan mimpi dan sedang gagal mempersiapkan diri untuk sesuatu yang lebih REAL?
Tuan puan,
Pagi tadi, saya bangun solat Taubat, solat Hajat dan solat Witir. Ini amalan biasa saya untuk mengekalkan saluran kekuatan jiwa. Tak susah pun! Hanya perlukan masa sekitar 15 minit saja setiap hari.
Cubalah buat setiap hari. Tuan puan akan rasa magiknya.
Amalan ini mungkin tak mampu menghalang ujian daripada menimpa kita.
Kita mungkin akan tetap rasa sedih dan marah.
Kita juga mungkin akan tetap stres, tapi stres kita tak akan sempat menjadi depresi.
Kita marah, kita menangis tapi tak sempat berlarutan. Tak sempat jiwa dikuasai syaitan, kita dah kembali beroleh kekuatan!
Teruji. Tapi kita akan bangkit dengan sangat cepat!
Teruji. Tapi kita akan segera ‘nampak’ Allah dalam gelap gelita jiwa kita lalu kembali tersuluh berdepan ujian hidup.
Kita nampak ini peluang Allah nak beri kekuatan jiwa pada kita.
Kita nampak keresahan ini adalah peluang yang Allah bagi sebab nak hapuskan dosa-dosa kita.
Lalu kita tak jadi marah. Kita tak layan kecewa. Bahkan kita akan terus berjuang untuk merebut peluang-peluang ini!
Tuan puan,
Kita nak masuk syurga, kan?
Inilah jalannya!
Terus kuat ya!
“Sesungguhnya orang yang menegaskan keyakinannya dengan berkata: Tuhan kami ialah Allah, kemudian mereka tetap teguh di atas jalan yang betul, akan turunlah malaikat kepada mereka dari semasa ke semasa (dengan memberi ilham): Janganlah kamu bimbang (dari berlakunya kejadian yang tidak baik terhadap kamu) dan janganlah kamu berduka cita, dan terimalah berita gembira bahawa kamu akan beroleh syurga yang telah dijanjikan kepada kamu.”
(Surah Fussilat, ayat 30)
MW : Semoga ujian Covid-19 ini menjadikan kita manusia yang dekat dengan penciptaNya.
Baca sini : Dalam wad isolasi pesakit terasing sunyi, tiada pelawat, tiada penjaga
Sumber/Foto : Bonda Nor
MINGGUAN WANITA kini di seeNI, download seeNI sekarang!
KLIK DI SEENI