Berita

Anak Dirempuh Van Langgar Lampu Merah Di Senawang, Raungan Ibu Undang Sebak

Share

Anak dirempuh van langgar lampu merah di Senawang, raungan ibu undang sebak. Tangisan dan raungan seorang ibu memecah keheningan pagi di persimpangan lampu isyarat Persiaran Senawang 1, Matahari Heights, lokasi sama yang sebelum ini meragut nyawa tiga sahabat dalam satu tragedi ngeri ketika Ramadan, kini sekali lagi menjadi saksi pilu kehilangan nyawa seorang anak muda yang tidak bersalah.

Insiden yang berlaku kira-kira jam 12.16 pagi Ahad menyaksikan seorang penunggang motosikal, Muhammad Annas Iskandar Mohd Khairi, 21, meninggal dunia di tempat kejadian selepas motosikal ditunggangnya dirempuh van jenis Toyota Hiace dipandu lelaki berusia 44 tahun bersama penumpang wanita berusia 20 tahun yang dilihat melanggar lampu isyarat merah yang bergerak dari arah Senawang menuju ke Bahau.

Anak Dirempuh Van Langgar Lampu Merah Di Senawang

Dalam pada itu menurut bapa tirinya,Rosli Mohd Yusof, 52, ketika kejadian arwah dalam perjalanan pulang ke rumah selepas membantu bapa saudara berniaga di Taman Panchor Jaya.

“Anak beritahu ‘abang kemalangan’ dan kepalanya teruk, tetapi dia tidak maklumkan sudah meninggal dunia. Saya dan isteri dari rumah bergegas ke lokasi, namun tidak sempat ‘jumpa’ arwah,” katanya.

Jelasnya,  Muhammad Annas sedang menyambung pengajian di Kolej Poly-Tech Mara (KPTM), Bangi, Selangor dan bekerja sambilan setiap hujung minggu.

“Dia anak kedua dari empat beradik dan seorang yang baik serta tidak pernah buat masalah. Sehari sebelum kejadian, kami ada pergi makan bersama dan waktu itu arwah tidak menunjukkan sikap pelik. Tapi saya boleh cakap, dia memang anak yang baik,” katanya yang ditemui selepas pengebumian anaknya itu.

Raungan Ibu Undang Sebak

Dalam satu video dikongsi orang awam, kelihatan ibunya meraung dan hanya mampu menyebut Ya Allah sambil dipeluk suami yang cuba menenangkannya selepas dimaklumkan anaknya terlibat dalam kemalangan tersebut  di mana ketika itu arwah Anas sudah tidak bernyawa lagi.

Rakaman daripada kamera papan pemuka kenderaan di lokasi turut jelas menunjukkan sebuah kenderaan melanggar lampu isyarat merah sebelum merempuh motosikal yang baru sahaja bergerak keluar dari simpang terbabit.

Salah seorang adik Allahyarham terpaksa ditenangkan oleh ahli keluarga ketika di Unit Perubatan Forensik Hospital Rembau
Rosyu, ibu arwah (berkaca mata) bersama anak-anak dan ahli keluarganya di Unit Perubatan Forensik Hospital Rembau

Ketua Polis Daerah Seremban, Asisten Komisioner Mohamad Hatta Che Din berkata, kemalangan terbabit membabitkan sebuah van yang menghala ke Paroi dengan sebuah motosikal.

“Siasatan awal mendapati kemalangan berlaku apabila pemandu van dipercayai gagal berhenti di lampu isyarat merah lalu melanggar sebuah motosikal yang datang dari arah sebelah kiri,” katanya dalam satu kenyataan.

Akibat kemalangan, beliau berkata, penunggang motosikal jenis Yamaha Y15ZR berumur 20 tahun yang parah di kepala disahkan meninggal dunia di lokasi.

“Pemandu dan penumpang van tidak cedera. Mayat penunggang motosikal yang maut dibawa ke Jabatan Forensik Hospital Rembau,” katanya.

Mohamad Hatta memaklumkan pemandu van ditahan untuk siasatan lanjut dan ujian kandungan alkohol dalam badan mendapati keputusan negatif.

Insiden ini menyerupai  kemalangan maut melibatkan pamandu Honda Jazz melanggar isyarat lampu merah dan meragut nyawa tiga sekawan  di Persiaran Senawang 1, Matahari Heights, Negeri Sembilan.

TONTON VIDEO MENARIK DI SINI :-

“Biarlah hukuman mati itu dikekalkan. Tak ada kekhilafan dalam hukuman sebelum ini. 8 tahun kami sekeluarga menderita menantikan keenam-enam tertuduh melalui detik itu.

Demikian luah Hawa Osman ibu kepada arwah Zulfarhan yang didera kejam ditekap dengan seterika wap sebanyak 90 kali termasuk di kemaluan.

Published by
Almaswa Haji Che Ros