
Air mata seorang ibu tidak akan pernah kering apabila kehilangan anak yang dikandung dan dibesarkan penuh kasih sayang. Namun, bagi Fatimah Latiff, 67, deritanya bukan sekadar kehilangan seorang anak, bahkan juga cucu yang baru berusia 11 tahun dengan cara kematian yang paling mengerikan.

Hari ini, di pekarangan Mahkamah Tinggi Melaka, suaranya terketar menahan sebak saat mengungkapkan perasaan.
“Saya reda dengan keputusan Mahkamah Tinggi hari ini tetapi saya tidak akan maafkan dia (tertuduh) sampai mati. Dia kerat anak dan cucu macam seekor ayam…”
Fatimah merujuk kepada tertuduh, Shahrul Nizam Zuraimy, 36, warga Singapura yang juga menantu dan suami kepada Allahyarhamah Norfazera Bidin, 27. Lelaki itu hari ini dijatuhi 72 tahun penjara dan 24 sebatan selepas didapati bersalah membunuh isteri dan anak lelakinya, Muhammad Iman Ashraf Abdullah pada Oktober 2019.
Hakim, Datuk Anselm Charles Fernandis menetapkan keputusan itu diakhir kes pembelaan selepas meneliti hujah dikemukakan oleh pihak defendan dan plantif berhubung pemberat bagi hukuman di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan serta keterangan impak oleh adik, ibu dan kakak mangsa.
Beliau dalam penghakimannya berkata, berdasarkan laporan patologi dan keterangan sepupu tertuduh, tindakan mengerat serta membuang bahagian tubuh kedua-dua mangsa di kawasan berbeza menunjukkan tertuduh tidak mahu identiti mangsa dikenal pasti.
“Tidak diragui bahawa perbuatan tertuduh adalah sangat brutal apabila meletakkan kepala isterinya di atas siling rumah. Namun, pindaan hukuman mati telah dibuat oleh pihak kerajaan pada 2023 dan saya menyifatkan situasi ‘nyawa dibalas nyawa’ tidak memberi justifikasi pada kes ini.
“Mahkamah dengan ini menjatuhkan hukuman penjara 36 tahun dan 12 sebatan bagi setiap pertuduhan serta bersetuju dengan permohonan pihak pendakwaan agar kedua-dua hukuman berjalan secara berasingan bermula tarikh ditangkap 11 Oktober 2019,” katanya.
Berdasarkan dua kertas pertuduhan, tertuduh didakwa menyebabkan kematian terhadap Norfazera Bidin, 27, dan Muhammad Iman Ashraf Abdullah, 11, di sebuah rumah bernombor di Taman Merdeka Jaya, Batu Berendam di dalam daerah Melaka Tengah antara pukul 6 petang pada 6 Oktober 2019 dan pukul 7.30 pagi pada 7 Oktober 2019.

Lebih menyayat hati, kepala Norfazera ditemui disorokkan tertuduh di siling rumah mereka di Batu Berendam, seolah-olah nyawa insan bergelar isteri tiada sebarang nilai.

Masih terbayang saat memandikan jenazah
Dalam linangan air mata, Fatimah masih mengingati detik memandikan jenazah anak perempuannya.
“Saya masih ingat keadaan ketika memandikan jenazah anak, malah sehingga hari ini anggota tangan anak dan cucu masih tidak ditemukan.

Apa yang dia lakukan jauh lebih teruk daripada binatang. Binatang pun tahu sayangkan keluarganya…”
Walaupun reda dengan keputusan mahkamah, keluarga tetap akan membuat rayuan agar hukuman gantung sampai mati dipertimbangkan.

Kisah hitam yang tidak akan padam
Kisah tragis itu pernah menggemparkan negara pada 2019. Norfazera dan anak lelakinya dibunuh dengan kejam, anggota badan mereka dikerat sekurang-kurangnya lapan bahagian, lalu dibuang di beberapa lokasi termasuk kawasan semak dan tong sampah.
Rahsia pembunuhan ini terbongkar selepas kakak mangsa datang ke rumah kerana gagal menghubungi adiknya. Beberapa bahagian tubuh kemudian ditemui oleh seorang pemotong rumput di Kampung Ladang, Krubong.

Tidak lama kemudian, polis menahan tertuduh, suami yang sepatutnya menjadi pelindung, tetapi bertukar menjadi pemusnah. Motifnya dipercayai kerana rasa marah terhadap isu rumah tangga yang dibangkitkan isterinya.
Luka yang tidak mungkin sembuh
Buat seorang ibu, tiada balasan dunia yang mampu mengubat luka hati. Biar apa pun hukuman, Fatimah tahu, nyawa yang pergi tidak akan kembali.
Namun suaranya tetap tegas, penuh dendam yang tidak akan padam:
“Saya tidak akan maafkan dia… sampai mati.”
Follow kami di TELEGRAM, INSTAGRAM, TIKTOK, FACEBOOK, TWITTER dan YOUTUBE
Sumber: https://www.kosmo.com.my/
Lubuk konten tentang inspirasi, rumah tangga dan macam-macam lagi,
MINGGUAN WANITA kini di
download sekarang!
Janji Kahwin Nanti Jemput Rai Sama-Sama, Hakikatnya Bila Sampai Masa Ramai Diam Seribu Bahasa!

Kebanyakan perempuan selepas berkahwin dunianya hanya pada suami dan anak-anak.Sehinggakan terlepas pandang dengan hubungan persahabatan dengan kawan-kawan lama. Tak mudah nak luangkan masa sama-sama dan berkongsi cerita dengan kawan-kawan, tidak kurang ada yang terus menyepi dan ‘hilang’ dari radar selepas mendirikan rumahtangga.
Mungkin ada yang bersetuju dengan luahan yang wanita ini kongsikan dan sedang berada didalam situasi yang sama.
Assalamualaikum dan hai semua. Terima kasih admin sebab siar confession saya.
Semalam cukup 15 majlis perkahwinan kawan-kawan yang aku hadiri sejak tamat belajar ni. Aku cuma nak luah apa yang aku rasa.Aku mula rasa sunyi. Seriously sunyi. Sunyi bukan sebab sorang-sorang dah tamatkan zaman bujang tapi sebab aku mula rasa diorang makin jauh.
Kawan sekolah kahwin, aku pergi, kawan zaman universiti aku kahwin, aku pergi. Utara selatan, timur barat semua aku redah. Macam gigih gila kan aku pergi. Sanggup naik bas lompat. Sanggup pergi jauh-jauh kawasan pedalaman semata-mata nak tengok kawan aku nikah. Walaupun bila dah kerja masing-masing busy. Dah takda masa nak lepak. Main balas whatsApp pun weekend baru meriah. kalau weekday memang sendu tak terkata.. haha.. Masa yang menjarakkan tak jadi penghalang untuk aku hadir majlis kahwin diorang.
Entahlah, waktu tu aku cuma fikir inilah saat terakhir aku akan jumpa kawan aku, gila-gila dengan title bujang. Nanti dia dah kahwin, semua tu dah takda. Sebab tu aku pejam mata duit keluar banyak. Aku pejam mata bila kepenatan. Pernah aku sampai termenung sorang diri dekat stesen bas sebab nak balik tapi tiket dah habis. Hahaha.. Kelakar kalau ingat balik. Pergi dah selamat, tapi aku lupa cari tiket balik.. Hehe. Punyalah kelam kabut.
Nak Tengok Kawan Bahagia
Aku cuma nak tengok kawan aku bahagia bila majlis dia ramai kawan-kawan datang. Lagi-lagi kawan rapat. Aku tau ramai ‘spesis’ macam ni, zaman nak habis belajar nangis-nangis waktu nak berpisah. Siap janji kahwin nanti jemput. Nak datang rai sama-sama. Tapi hakikatnya bila sampai masa, ramai diam seribu. Semua dah busy. Takda maknanya nak ambik cuti sebab kawan yang dah makin jauh. Sebab aku taknak jadi ‘spesis’ macam ni, aku usaha jugak untuk pergi.
Lepas 15 perkahwinan aku pergi, aku makin sunyi. Yang dulu jadi geng pergi majlis kahwin, terus jadi diam bila dia pun dah selamat kahwin. Serius aku rasa sunyi. Waktu dia kahwin, dalam group meriah bincang macam mana nak pergi. Nak pergi awal, spend masa sama-sama before dia selamat jadi milik orang lain. Tapi lepastu, dia pun sama hilang dari radar dalam group tu. Aku syak satu hari nanti aku tanya soalan dalam group aku sendiri yang kena jawab. #foreveralone
Rasa Sunyi
Aku tak salahkan diorang pun. Maybe itulah maksud orang kata perempuan bila dah kahwin dunia dia hanya suami dan anak-anak. Aku pujuk hati nak faham walaupun aku rindu nak baca komen diorang walaupun dengan sepatah perkataan dekat group. Ke memang orang dah kahwin, suami tak benarkan balas whatsapp group kawan-kawan? At least respon lah kalau ada jemputan kahwin. Boleh datang ke, tak boleh ke. Suami tak bagi ke, morning sickness ke, kucing nak beranak ke apa. Haa, terus aku emo bila teringat bab ni.. Hahaha.
Aku tak tau lah aku sorang ke rasa atau ramai rasa macam ni. Makin sunyi bila sorang-sorang kahwin dan hilangkan diri dari radar.
Nasihat aku,
Perempuan ni sensitif. Macam mana dulu-dulu kau nak kawan-kawan datang meriahkan majlis kau, begitu jugak dengan kawan-kawan bila time diorang tiba. Walaupun kau terpaksa bawak suami dan anak-anak datang, percayalah hati kawan kau dah sangat bahagia bila kau dapat raikan mereka walaupun kau tak dapat bermalam, chit chat sama-sama, paksa bride to be stay up semata-mata nak bergosip last before ubah title.. hehe.
Dia dah cukup bahagia bila tengok kau sanggup dukung anak datang nak raikan dia walaupun sekejap. Seriously, aku tengok kawan aku bahagia sangat bila kawan kami sanggup datang jauh-jauh sambil dukung anak semalam. Walaupun dia takda waktu gosip time kami malam sebelum akad nikah.. hahaha
Suami Beri izin Isteri Luangkan Masa Dengan Kawan
Pada lelaki bergelar suami, benarkanlah isteri spend masa last dengan kawan-kawan dia before kawan dia kahwin. Selagi mana isteri pandai jaga batas-batas dan jaga maruah korang sebagai suami, izinkanlah. Dulu kalian kahwin ada kawan-kawan sanggup datang jauh meriahkan majlis korang, gembirakan hati isteri korang. Its time untuk bagi kawan isteri rasa perkara yang sama. Please.. Aku yakin isteri korang pun rindu nak spend time dengan kawan-kawan dia macam waktu bujang dulu.
Yang hadir majlis kahwin, jangan harap kawan yang kahwin layan kau sepanjang masa. Dia busy layan tetamu. At the end kau kena pandai-pandai bawak diri. Sebab tu better pergi awal. Bermalam kat sana, baru boleh jadi gila-gila sama-sama.
Hargai Kawan Datang Majlis
Yang kahwin, tolong hargai kawan kau yang datang dekat ke jauh ke sebab bukan semua orang sanggup susah payah datang majlis kahwin korang.
Dan 8 bulan lagi aku akan kahwin. Dan kawan-kawan aku tak perlu risau. In shaa Allah, aku takkan berkecik hati jika kalian tak dapat datang. Aku memahami kesusahan naik turun bas, badan penat, duit keluar banyak dan macam-macam lagi sebab aku pernah laluinya. Aku faham tak semua orang sanggup buat macam aku buat. Even aku ada kawan, kalau tau susah nak pergi terus tiba-tiba dia ada kerja. Kalau cakap carpool ramai-ramai. Cepat je beratur jadi orang pertama.. haha.
Apa-apa pun aku tetap bahagia hadir majlis korang walaupun sekarang aku rasa makin sunyi.
Semoga kalian semua bahagia hingga ke syurga dan dikurniakan anak yang soleh dan solehah. In shaa Allah, aku yakin Allah akan hantar orang lain untuk meriahkan majlis aku nanti.
– Cik bunga
Semoga perkongsian ini bermanfaat!
MW: Renung-renungkan luahan perkongsian ini.Mungkin betul juga apa yang diluahkan, kebanyakan wanita bila dah kahwin, perhatian akan lebih tertumpu pada keluarga, suami dan anak-anak kadangkala terlepas pandang dengan persahabatan kawan-kawan lama.
Sumber:IIUM Confessions
Lubuk konten tentang inspirasi, rumah tangga dan macam-macam lagi,
MINGGUAN WANITA kini di
download sekarang!
“Kami Perempuan Nak Cakap Tak Puasa Pun Malu” Azza Elite Tegur Faiz Roslan Jangan Buat Main Soal Solat & Puasa

Pengakuan Faiz Roslan di media sosial menyatakan dirinya tidak berpuasa, mengundang rasa marah ramai pihak. Sesetengahnya menyifatkan tindakannya itu melampau dan tidak menghormati bulan puasa. Selebriti Azza Elite atau nama sebenarnya, Nor Azzarima Zawari juga menyatakan kebimbangannya tentang tindakan anak muda itu,
Luahan itu dikongsikan dalam instagram miliknya yang mana ramai selebriti memberikan maklumbalas tentang postingnya itu. Sebelum ini, Faiz Roslan dikenali dengan video parodinya yang viral dan mendapat teguran daripada selebriti dan ahli agama. Yang mana, parodi itu tidak seharusnya dimuat naik kerana tindakannya seolah-olah tidak menghormati bulan Ramadhan.
“Sebelum tu ku minta maaf sebab tegur mu eh Faiz! U watch out ! Allah bagi kelebihan femes ! femes ek ? I don’t understand why people make u femes with idiot behaviour! Adik oh adik ko jangan wat gitu dik! Mana malu ko dengan Allah! Ko bangga ko tak solat .. ko bangga ko tak puasa .. Astaghfirullah! Nape mu gitu ?”
“Jangan sampai Allah tarik nikmat kita dik. Sharnaaz tegur ramai bekap! Padahal apa yang Sharnaaz cakap tu memang benar belaka. Aku dengar ko menjawab ko siap! Ni aku pulok cakap!
“Panas hati aku bila orang permainkan Allah. Kami pun pernah muda. Pernah femes dari ko ok! Tapi kami takut nak permainkan Allah. Kami tegur sebab rasa kamu perlu di tegur! Pe pun aku doa semoga Allah beri hidayah buat kamu semoga kamu menjadi orang baik baik.”
Azza juga mempersoalkan mengapa netizen memberi ruang kepada Faiz Roslan untuk menjadi terkenal.
“Tolonglah gais! Kenapa bagi orang orang macam ni femes! Dia cakap dia tak puasa sebab dia tak solat. Korang nak tegok dia pergi tengok kat fb Azza Rima.
“Kita hamba Allah dik bukan hamba IG.”
“Tolong unfollow dia, kalau tidak lagi menjadi jadi.”

Kami Yang Perempuan Pun Malu Nak Cakap Tak Puasa
Akui Azza dia juga bersependapat dengan pelakon Sharnaaz Ahmad yang menegur Faiz Roslan secara terbuka.
“Cakap baik baik, pujuk tak makan saman budak ini. Berani sangat sangat dah dia. Orang sampaikan, orang tegur, sembunyi sembunyi tak jalan. Bukan suka suka nak marah ko.”
“Tapi bersebab! Kami perempuan if tak puasa pun malu nak cakap tak puasa. Kau? Bangga nau nau. Kalau tak tegur, esok Allah tanya kenapa tak tegur? Al least habis dah bahagian kami.
“Kenapa tegur terang terangan? Sebab dia ni tegur sembunyi tak jalan dah. Kalau ya pun nak femes jangan sampai permainkan puasa dan solat. Kami pun tak baik dik. So sama samalah perbaiki.
Doa Azza untuk Faiz, “Moga Tuhan beri kamu kesempatan. Sebelum ditarik nikmat yang kamu ada sekarang.
“Kamu kan femes. Jika kita tak puasa kita jangan upload video makan di bulan puasa dik. #penghinaan ramadhan.
“Jangan sombong dengan Allah. Kalau dengan ulama pun kamu tak nak dengar. Kamu nak dengar dari siapa.”

Ya.. 22 Tahun Lalu Kehidupan Saya Tak Tentu Arah
Dan teguran Azza ini mendapat bermacam maklum balas ada yang menyokongnya tak kurang juga yang mengecamnya. Mereka yang membidas pandangan Azza mula mempersoalkan kisah silam bekas penyanyi kumpulan Elite itu.
“Yes. Saya seorang penyanyi dan pelakon. 22 tahun yang lalu, kehidupan saya tak tentu arah. Betul.. banyak kejadian yang buat saya berubah.”
“Antaranya Allah hantar teguran dari netizen! Saya risau sebab saya ada mak ayah. Dan teguran netizen buat saya banyak merenung sampai bila saya nak macam tu. Ada satu teguran yang buat saya berubah. Teguran dari Allah. Buat saya terus nak ubah dari segala segi.
“So pada yang cakap Kak Za pun nari lah terkinja.. tu dulu dik! Dan itu adalah pekerjaan! Bukan nari bodoh bodoh! Itu kehidupan Kak Za yang lalu. Kak Za kalau boleh nak ubah masa supaya Kak Za bukan yang itu.
“Tetapi Kak Za yakin. Kehidupan masa lalu adalah pengajaran agar kita ubah diri kita supaya jadi yang lebih baik. Orang tegur jangan sombong! ambil la positif. Kalau awak fikir negatif teguran orang.. hurmm tak tahu la nak cakap macam mana kan.
“Ni kalau dah tak boleh tegur camano! nak bekap tera mana lagi dik. Kita ubah perlahan lahan jujur dan istikhomah ok.”
Bicara Azza Elite dipenghujungnya mendoakan agar Faiz Roslan menjadi lebih baik lagi, “Manalah tahu teguran dari kami yang kecil ni buat kamu jadi lebih baik malah lebih baik.”
Sumber/Foto : Instagram Azzaelite
Lubuk konten tentang inspirasi, rumah tangga dan macam-macam lagi,
MINGGUAN WANITA kini di
download sekarang!
Pakar Kimia Jelaskan “Bahaya” Guna MONOSODIUM GLUTAMAT (MSG) Adalah MITOS

Selama ini mungkin ramai yang ragu-ragu untuk menggunakan Monosodium Glutamat (MSG) sebagai penambah perasa menyedapkan lagi rasa masakan. Ini kerana beranggapan ia boleh ‘membahayakan’ dan tak bagus untuk kesihatan. Rupanya tanggapan tersebut, merupakan satu mitos semata-mata.
Untuk faham lebih lanjut, baca penjelasan daripada CHM Dr Fatimah Salim, Pensyarah Kanan Kimia & Penyelidik UiTM ini.
MONOSODIUM GLUTAMAT (MSG) RACUN YANG SEDAP?
TIDAK Benar!
Saya telah beberapa kali menulis mengenai MSG. Bermula dengan penulisan santai hinggalah ke pengalaman saya sendiri melawat salah sebuah kilang pemprosesan MSG terkemuka di Kuala Lumpur.
Seiring dengan penambahan pengetahuan, kali ini saya kongsikan lagi secara terperinci segala (A-Z) yang anda perlu tahu mengenai MSG. Artikel ini sangat panjang, namun berbaloi baca kerana ianya merangkumi ilmu asas struktur kimia MSG, sejarah penemuannya, cara penghasilannya, pertukaran kimianya dalam badan (metabolisma), ulasan mengenai kesan buruk MSG, kesan sampingan yang bergantung kepada individu, akta peraturan makanan Malaysia dan dunia mengenai MSG, manfaat yang mampu diperolehi daripada MSG.
…Dan yang paling penting ialah MITOS dan momokkan selama berpuluh tahun tentang bahaya MSG yang mana secara KESIMPULANnya tidak disokong secara saintifik.
Apakah itu MSG?
MSG ialah acronym yang digunakan untuk menyatakan MonoSodium Glutamat. Ianya merupakan bahan kimia penambah perasa yang telah digunakan sejak 100 tahun yang lalu untuk memberikan rasa sedap dalam makanan. Dan dalam industri makanan komersial ianya dikenali dengan kod E penambah perasa makanan, E621.
Struktur kimia MSG terdiri daripada komponen glutamat (~78%) dan natrium (~12%) yang terikat secara ionik. Apabila dimakan, MSG akan larut dalam air liur membentuk ion natrium (Na+) dan glutamat (Glut-). Komponen glutamat akan bertindakbalas dengan reseptor umami pada lidah, dan otak kita mentafsirnya sebagai rasa sedap.
Ion natrium pula merupakan komponen kimia sama yang ada dalam garam (natrium klorida, NaCl). Disebabkan kehadiran ion natrium inilah MSG berasa sedikit masin, dan kesinambungan ini perlu untuk mencetuskan persepsi sedap.
Bagaimana MSG ditemui?
Komponen glutamat pertama kali ditemui pada tahun 1908 oleh ahli kimia Jepun iaitu Profesor Kikunae Ikeda semasa menghirup keenakkan sup (broth) yang dibuat daripada rumpai laut. Beliau kemudian menamakan rasa ‘enak’ ini sebagai ‘umami’ yang mana berasal dari perkataan Jepun ‘umai’ (うまい) yang bermaksud ‘sedap’ dan digabungkan dengan ‘mi’ (味) yang bermaksud ‘rasa’.
Beliau seterusnya mempelajari cara memencilkan (isolate) komponen MSG agar dapat digunakan sebagai penyedap pelbagai jenis makanan dengan cepat dan mudah. Contoh sama seperti proses penghasilan vitamin C yang kemudiannya dijadikan tablet ‘berdos’ sesuai untuk keperluan pengambilan kita tanpa perlu lagi mengambil buah oren yang banyak.
Bagaimana MSG dihasilkan?
Pada awalnya MSG diperoleh melalui proses pengekstrakan dan pemencilan. Namun proses ini sangat lambat dan kosnya mahal. Maka, MSG mula dihasilkan melalui proses penapaian oleh bakteria species Corynebacterium dengan bahan-bahan mentah semulajadi berkanji seperti ubi kayu, ubi kentang, tebu atau jagung. Proses ini adalah sama dengan yang digunakan untuk membuat tapai, kicap, cuka dan dadih.
Larutan kanji yang diekstrak daripada bahan mentah tadi ditukar kepada larutan glukosa melalui proses pencairan dan sakarifikasi di bawah pengaruh tindakbalas enzyme. Seterusnya bakteria menukarkan glukosa kepada asid glutamik melalui proses penapaian. Asid glutamik kemudiannya di neutralkan dengan menambah komponen natrium (NaCl) membentuk larutan MSG. Larutan MSG ini kemudiannya melalui proses penghabluran di mana ditukarkan kepada bentuk kristal (seperti yang kita lihat di dapur) dengan penyejatan air yang berlebihan melalui udara panas.

Apakah itu Umami?
Secara saintifik umami merupakan rasa asas kelima yang mampu dikesan oleh lidah kita selain daripada rasa manis, masam, masin dan pahit. Ia merujuk kepada persepsi pelbagai gambaran rasa sedap makanan seperti ‘rasa semacam daging’ (Bahasa Malaysia), ‘savoury’ (English), ‘xian wei’ (Bahasa Cina), ‘sabroso’ (Spanish), ‘gosto’ (Portuguese), ‘lezzetli’ (Turkish), ‘lecker’ (German).
Selain daripada yang dikomersialkan, Komponen MSG ini juga boleh didapati secara semulajadi dalam makanan harian kita yang berasa sedap. Namun hanya glutamat bebas (mempunyai cas) yang efektif dalam memberikan rasa umami dari makanan.
Selain daripada rumpai laut, glutamat bebas juga terkandung secara semulajadi dalam makanan harian kita termasuk tomato, anggur, keju, cendawan, kicap, ubi kentang, ubi kayu, broccoli, kacang pea, kacang badam, daging ayam, ikan, udang, ketam, daging, budu, cencalok, belacan, besou… malahan dalam susu ibu juga (sebab itu bayi mendapati susu ibu ini sedap disamping pelbagai rasa lain yang dipengaruhi oleh diet pemakanan si ibu). Maka pendek kata glutamat ini terdapat dalam semua makanan yang kita rasa sedap. Maka tidak ada istilah #noMSG
Sebenarnya komponen glutamat merupakan bahan kimia semulajadi dari alpha-amino asid yang digunakan oleh hampir kesemua benda hidup dalam protein sintesis. Ianya terikat bersama asid amino yang lain membentuk struktur kimia protein dalam badan. Ianya dikenali sebagai zat tidak perlu dari sumber luar kerana badan kita mampu menghasilkannya dengan banyak secara semulajadi. Peranan utamanya dalam badan adalah sebagai penguja pengutus saraf (excitatory neurotransmitter) utama dalam badan. Komponen glutamat dan reseptornya banyak ditemui pada sistem saraf dan sistem penghadaman kita.
Bagaimana Proses Kimia MSG dalam badan?
Bergantung kepada jumlah pengambilan dalam diet, kajian menunjukkan proses metabolisma (pertukaran kimia) glutamat berlaku di dalam usus di mana kebanyakkannya ditukarkan kepada gas karbon dioksida, digunakan dalam penghasilan ATP (sumber tenaga) atau ditukarkan kepada asid amino lain iaitu arginine, citrulline, alanine, ornithine, dan proline sebelum diserap oleh badan lalu dimanfaatkan dalam pelbagai proses kimia badan.
Komponen natrium pula berfungsi menyeimbang bendalir dalam dan luar sel, juga dikumuhkan daripada badan melalui peluh, air kencing dan juga najis.
Adakah MSG bahaya?
TIDAK. Kebanyakkan dapatan kajian kesan dilakukan terhadap tikus tidak dapat membuktikan sepenuhnya keburukan MSG kerana sistem metabolismanya yang berlainan dengan sistem badan manusia dan juga cara pemberian MSG yang kurang kebersandaran dalam konsumsi manusia. Ini bermaksud kita tidak makan atau suntik MSG begitu sahaja dalam dos yang tinggi, namun diambil dalam makanan.
Dan justifikasi ini dikukuhkan lagi dengan proses kimia MSG yang berlaku di dalam usus dan ditukarkan kepada amino asid lain (bukan dalam struktur kimia MSG itu sendiri) sebelum diserap badan dan bertindakbalas.
Bagaimana pula dengan kesan sampingan MSG yang telah dilaporkan?
Kesan sampingan pertama oleh MSG dilaporkan pada tahun 1968 yang dikenali sebagai Chinese restaurant syndrome (CRS). Ianya dipanggil sebegitu kerana gejala seperti kebas di bahagian tangan dan belakang leher, dan kadar denyutan jantung meningkat dilaporkan setelah memakan masakan Cina. Pun begitu, punca gejala tersebut akhirnya tidak dapat dikaitkan dengan MSG kerana gejala sama juga berkaitan dengan pengambilan natrium, potassium, alkohol dan histamin yang banyak digunakan dalam masakan Cina.
Pengambilan MSG juga dikaitkan dengan SAKIT KEPALA, sakit dada, kebas otot, masalah kulit. Keadaan ini disebabkan oleh sensitiviti individu (alergi) terhadap MSG terutamanya mereka yang mempunyai kelainan genetik mungkin yang berkaitan dengan masalah penghadaman.
MSG juga dikaitkan dengan peningkatan selera makan. Ini sememangnya betul. Sebab makanan sedap, haruslah menambah. Di sini perlunya akal untuk mengawal nafsu dan selera.
Dan tidak dinafikan kesan buruk MSG yang dirasai oleh sesetengah individu adalah disebabkan oleh kesan ‘placebo’ iaitu peranan bahan kimia dalaman badan yang bertindak bersama apa yang kita fikirkan dan harapkan. Kalau orang Sabah bilang, “dari ko saja tu”. Orang putih cakap “you are what you think”.
Masih lagi ragu-ragu dengan MSG?
Mari lihat antara penilaian keselamatan MSG oleh badan-badan bertangungjawab antarabangsa ini:
- Di Malaysia, Akta dan Peraturan Makanan 1985, mengkategorikan MSG sebagai penambah perisa makanan yang dibenarkan, sebaris dengan garam dan lada sulah.
- Pentadbiran Makanan dan Ubatan Amerika Syarikat (USFDA) turut mengklasifikasi MSG di bawah kategori Secara Umumnya Diiktiraf Selamat (GRAS).
- Jawatankuasa Pakar Bersama Memgenai Aditif Makanan Bangsa-Bangsa Bersatu (JECFA), satu badan penasihat saintifik kepada Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO), Pertubuhan Makanan dan Pertanian Sedunia (FAO) dan Jawatankuasa Saintifik Komuniti Eropah untuk Makanan: menklasifikasikan MSG sebagai selamat untuk digunakan dan pengambilan harian yang boleh diterima (ADI) adalah tidak ditetapkan.
- Majlis Pertubuhan Perubatan Amerika Syarikat Mengenai Hal-ehwal Saintifik mengklasifikasikan MSG adalah selamat untuk digunakan.
MITOS Mengenai MSG:
Adakah MSG menyebabkan keguguran rambut?
- Tidak. Tiada bukti saintifik yang menyokong kenyataan ini. Pakar menyatakan keguguran rambut kebanyakkannya diakibatkan oleh faktor genetik, tekanan, perubahan hormon, kecacatan struktur rambut, pengambilan ubat-ubatan dan rawatan kemoterapi.
Adakah MSG mengakibatkan dahaga?
- Tidak ada bukti saintifik yang membuktikan kenyataan ini. Kehausan ialah tindakbalas badan yang berlaku disebabkan oleh kehilangan banyak bendalir dari badan atau pengambilan natrium ion (Na+) yang berlebihan. Benar MSG mengandungi komponen natrium ion ini tetapi jumlahnya jauh lagi sedikit iaitu 12% jika dibandingkan dengan 40% dalam garam. Maka pengambilan garam (NaCl) yang berlebihan adalah penyebab kehausan dan bukan MSG.
Adakah MSG menyebabkan tekanan darah tinggi?
- Tidak terbukti secara saintifik yang boleh disandarkan kepada kenyataan ini. Seperti juga isu ‘kehausan’, natrium ion dalam garam adalah penyumbang lebih besar kepada tekanan darah tinggi dan bukan MSG.
Adakah MSG menyebabkan kanser?
- Tidak. Tiada kajian saintifik yang menyokong kenyataan ini dan MSG tidak bersifat kasinogen (bahan pengaktif sel kanser).
Adakah LEBIH MSG, makanan menjadi lebih lazat?
- TIDAK. Hanya sejumlah kecil MSG diperlukan bagi mencapai rasa optimum. Pengunaan MSG secara berlebihan adalah membazir, malahan menjejaskan rasa ‘sedap’ yang patut dihasilkan. Ini kerana deria rasa umami akan menjadi tepu menyebabkan natrium (daripada garam) lebih dirasai yang mana punca kepada rasa ‘haus’ yang melampau.
- Pengunaan MSG dalam masakan yang manis (seperti kuah kacang) dan pahit (seperti peria) juga tiada fungsi penyedap kerana dominasi rasa. Maka tiada keperluan untuk menambahkan MSG dalam masakan sebegini.
Apakah kebaikan pengambilan MSG dalam makanan?
Selain daripada melazatkan makanan, ianya juga meningkatkan selera makan seterusnya menggalakkan pengambilan nutrisi terutamanya bagi golongan kanak-kanak dan juga warga emas.
Kajian menunjukkan kesan tindakbalas kerjasama (umami sinergi) antara MSG dengan dua lagi struktur kimia protein iaitu necleotides inosinate (IMP) dan guanylate (GMP) yang terdapat dalam makanan berprotein seperti ikan. IMP dan GMP tidak mampu memberikan rasa umami dengan sendiri, namun dengan menambahkan MSG, rasa umami akan meningkat 15 kali ganda.
Memerap makanan berprotein yang mengandungi IMP dan GMP dengan MSG juga mampu mengekalkan rasa sedap makanan untuk jangka masa yang lebih lama. Sebab itu, makanan yang diperap dengan bahan yang mengandungi MSG berasa sangat sedap!
Pengambilan MSG juga akan mengurangkan pengunaan garam sebanyak 30% dan mengelakkan pengunaan gula dalam memberi keseimbangan rasa kepada makanan.
Kajian terkini juga membuktikan pengambilan MSG juga mungkin membaiki penghadaman makanan berprotein dalam perut oleh kerana terdapatnya banyak reseptor glutamat dalam perut.
Namun, berpada-pada juga dalam pengambilan MSG ini untuk mendapatkan kelazatan optimum, mendapat sistem penghadaman yang baik dan yang paling PENTING ialah tidak mengganggu keseimbangan bahan kimia dalaman badan.
Ingat, segala yang BERLEBIHAN itu berpotensi menjadi MUDARAT. Kenali badan anda, jika ada alahan dengan MSG, maka elakkan. Anda sebenarnya unik dari segi genetik.
Sememangnya keburukan mengenai MSG ini telah menjadi mitos yang sukar dibetulkan dalam minda masyarakat. Tulisan ini bukan bertujuan untuk mengalakkan pengambilan MSG, namun lebih bertujuan membetulkan persepsi dan menyampaikan ilmu yang tepat. Pakat-pakatlah sebarkan, betulkan tanggapan buruk terhadap MSG!
Semoga bermanfaat
ChM Dr Fatimah Salim
Ahli Kimia
Rujukan:
1) Kazmi, Z., Fatima, I., Perveen, S., Malik, S.S., 2017. Monosodium glutamate: Review on clinical reports. International Journal of Food Properties 20 (2), 1807-1815.
2) Ghirri, A., Bignetti, E., 2012. Occurance and role of umami molecules in foods. International Journal of Food Sciences and Nutrition.
Mari ikuti group FB Makmal Makanan (MaMa) untuk mendapatkan pelbagai ilmu sains berkenaan Makanan dan Pemakanan agar minda kita lebih bebas daripada mitos sebegini.
Baca Lagi Di Sini:
Kiub Perencah Homemade Guna 6 Bahan, Nak Buat Pun Senang!
Cara BETUL Guna Baja Air Ajinamoto, Siram Dekat Tanah Bukan Pokok Sekali Seminggu!
MW: Semoga perkongsian daripada Pakar Kimia ini bermanfaat. Rupanya “bahaya” guna MONOSODIUM GLUTAMAT (MSG) selama ini adalah satu MITOS.Jadi jangan ragu-ragu guna MSG dalam masakan. Apa yang penting berpada-padalah dalam penggunaannya.
Sumber: Dr Fatimah Salim
JOM SERTAI GRUP TELEGRAM BANGKIT WANITA MW
Kesan pandemik C19, ramai gaji dipotong atau dibuang kerja. Boleh buntu juga sekejap. Namun, ada berita baik untuk para wanita B40 & M40. Mingguan Wanita prihatin dengan nasib menimpa anda dan susulan itu, kami menjemput semua untuk menyertai group Telegram Bangkit Wanita MW sebagai platform untuk mendapatkan info niaga, promosi kursus, tip berbisnes, perkongsian usahawan yang memberi inspirasi dan lain-lain.
Klik link ini untuk menyertainya: https://t.me/bangkitwanitaMW
![]()
Selepas penganjuran Webinar Bangkit Wanita #bisnesdarirumah, Mingguan Wanita menerusi kempen Bangkit Wanita, membuka pendaftaran kepada kursus latihan praktikal jangka pendek.
Kursus-kursus akan bermula hujung Mei hingga Ogos ini dan kemuncak kepada kempen ini ialah penganjuran Konvensyen Inspirasi CEO Bisnes Viral.Kursus latihan yang ditawarkan akan berlangsung selama sehari setiap satu dan orang ramai khasnya wanita B40 dan M40 boleh memilih kursus yang diminati.
Apa yang menarik, kursus-kursus ini memang direka khas untuk mereka yang mahu berniaga sebaik tamat latihan asas kemahiran ini.Sejumlah tujuh kursus asas latihan praktikal dan demo dibuka untuk penyertaan merangkumi sektor makanan, pengurusan, busines kedai online, jahitan dan perkhidmatan.
Nak Jadi Usahawan Viral, Ini Pilihan Antara Kursus Kemahiran Untuk Wanita B40 & M40
JOM PANDAI BAKERI. BUAT DUIT JUAL KEK DAN ROTI
Dibuka dalam dua pilihan tarikh iaitu pada 12 Jun dan 26 Jun 2021. Peserta akan mengadun dan membakar sendiri adunan agar dapat kenal pasti formula menghasilkan satu adunan sempurna bagi kek dan roti. ( https://toko.ideaktiv.com/product/jom-pandai-bakeri-buat-duit-jual-kek-dan-roti/ )
![]()
JOM JAHIT BAJU KURUNG. BUAT DUIT JAHIT DI RUMAH
Orang kata kalau pandai jahit baju kurung, maka nak jahit pelbagai jenis baju lain akan jadi lebih mudah. Kursus dijalankan dalam dua pilihan tarikh iaitu 12 Jun dan 26 Jun 2021 ( https://toko.ideaktiv.com/product/jom-jahit-baju-kurung-buat-duit-jahit-di-rumah/ )
Mingguan Wanita juga boleh diikuti di
YouTube : https://www.youtube.com/c/MingguanWanitaOfficial
Telegram: https://t.me/bangkitwanitaMW
Twitter: https://twitter.com/mingguanwanita
Instagram: https://www.instagram.com/mingguanwanita
#bangkitwanita
#langkahyakinlakarkejayaan
#bisnesdarirumah
#mingguanwanita
Lubuk konten tentang inspirasi, rumah tangga dan macam-macam lagi,
MINGGUAN WANITA kini di
download sekarang!

