Anak bertarung nyawa retak tempurung kepala ditolak di sekolah, ibu rayu doa orang ramai. Seorang murid perempuan dilaporkan berada dalam keadaan tidak sedarkan diri selepas mengalami kecederaan parah di kepala akibat dipercayai ditolak rakan ketika berada di sekolah.
Mangsa, Aisyah Sofia Binti Rohaizan kini tidak sedarkan diri selepas disahkan mengalami retak pada tempurung kepala, berlaku pendarahan dalam kepala dan tidak sedarkan diri. . Hal ini dikongsikan ibunya, Zalinda Lin di media sosial yang meminta doa dari orang ramai untuk keselamatan anak perempuannya itu.
Menurut ibunya, kejadian tragis ini berlaku secara tiba-tiba dan dia sendiri tidak dapat membayangkan kekuatan tolakan yang menyebabkan anaknya mengalami kecederaan sebegitu serius.
“Saya tak tahu dan tak dapat fikir sekuat mana kawan dia tolak sampai jadi begini. Namun saya redha dan cuba berlapang dada atas apa yang berlaku,” katanya.
Ibu kepada Aisyah turut merayu orang ramai, ahli keluarga dan kenalan untuk bersama-sama mendoakan kesembuhan anak ketiga dari empat beradik ini untuk kembali sembuh.
“Semoga Allah mengurniakan kesembuhan yang sempurna, memudahkan urusan rawatan, melindunginya dari sebarang komplikasi, serta mengembalikan senyum dan cerianya seperti dahulu. Semoga ada di antara kalian yang doanya diangkat Allah. Amin,” ujarnya.
Lubuk konten tentang inspirasi, rumah tangga dan macam-macam lagi,
MINGGUAN WANITA kini di
download sekarang!
“RM2 juta tak boleh beli tiket ke syurga” – wanita pesakit barah tolak tawaran jadi duta produk. Demi menjaga maruah dan prinsip hidup, seorang wanita yang pernah melalui detik perit melawan barah sanggup menolak tawaran bernilai RM2 juta daripada pihak tidak bertanggungjawab yang mahu mempergunakan dirinya sebagai duta produk.
Sarlinawati Abdul Mues, 49, mendedahkan bahawa individu terbabit memintanya membuat pengakuan palsu seolah-olah dia pulih selepas menggunakan ubat dan makanan tambahan kononnya berkesan merawat barah.
Bekas pesakit barah payudara tahap empat itu, yang kini disahkan bebas daripada penyakit berkenaan sejak lebih empat tahun lalu, tegas menyatakan wang sebanyak itu tidak mampu membeli prinsipnya.
“Saya tanya balik kepada pihak yang menawarkan itu, duit RM2 juta boleh beli tiket masuk syurga ke? Bolehkah jamin saya masuk syurga dengan membohongi pesakit barah lain?
“Kalau tak boleh, saya tak mahu. Saya lebih rela hidup susah daripada hidup senang dengan cara menipu,” katanya.
Sarlinawati yang juga pengasas Himpunan Kanser Semalaya berkata, sepanjang tempoh rawatan dahulu, dia sering menjadi sasaran ejen produk yang cuba memaksanya memberi testimoni palsu.
Katanya, pesakit barah sering dipergunakan oleh pihak tertentu kerana ramai dalam kalangan mereka berada dalam keadaan terdesak dan mudah terpedaya.
“Mereka tahu pesakit barah ini ada yang terdesak. Jadi, mereka datang dengan janji palsu, kononnya ada produk ajaib boleh menyembuhkan,” jelasnya.
Selepas pulih, Sarlinawati memilih untuk memberi semangat kepada pesakit lain dengan menjelajah seluruh negara. Dengan menunggang motosikal secara solo, beliau telah menemui lebih 450 pejuang barah bagi memberikan sokongan moral.
“Sepanjang jelajah, saya jumpa ramai pesakit barah, ada yang hampir bunuh diri kerana tertekan dengan penyakit, beban kewangan dan ditinggalkan keluarga.
“Malah ada yang tunjukkan parut kelar di tangan kerana tidak tahan diuji,” katanya.
Sarlinawati turut menegaskan cabaran sebenar pesakit barah bukan hanya rawatan seperti kemoterapi dan radioterapi, sebaliknya tekanan mental dan kewangan yang lebih menghimpit.
“Ramai yang saya jumpa, isteri ditinggalkan suami, suami ditinggalkan isteri, anak-anak ditinggalkan ibu bapa. Barah bukan sekadar penyakit, ia merosakkan institusi keluarga dan memusnahkan emosi jika tiada sokongan,” ujarnya.
Atas keprihatinan itu, beliau menubuhkan Himpunan Kanser Semalaya sebagai wadah untuk membantu pesakit barah, bukan sekadar melalui motivasi tetapi juga menyediakan keperluan harian hasil sumbangan orang ramai.
Foto tular di media sosial, cubaan fitnah berniat jahat, peguam ibu Zara Qairina tak akan tunduk sebarang tekanan. Salah seorang peguam yang mewakili ibu kepada Allahyarham Zara Qairina Mahathir, Shahlan Jufri, menegaskan bahawa beliau tidak akan sama sekali tunduk pada sebarang bentuk tekanan atau cubaan untuk memesongkan perjuangan menuntut keadilan terhadap kematian pelajar berusia 13 tahun itu.
Penegasan tersebut dibuat selepas tersebarnya di media sosial foto beliau bersama Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Hajiji Noor, dan Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup, Datuk Armizan Mohd Ali.
Menurut Shahlan, gambar berkenaan sebenarnya adalah rakaman lama pada bulan Jun lalu, dan langsung tiada kaitan dengan kes yang sedang dibicarakan.
“Cubaan pihak tertentu mengaitkannya adalah fitnah berniat jahat untuk mengelirukan masyarakat.
“Saya tegaskan komitmen saya hanya kepada keadilan untuk Zara (Qairina). Sebagai peguam, saya bertindak tanpa takut atau pilih kasih, menegakkan proses adil serta integriti undang-undang.
“Saya tidak akan tunduk pada sebarang tekanan atau cubaan memesongkan dan mengganggu perjuangan ini yang berlaku sejak daripada hari pertama saya dilantik sebagai peguam Zara (Qairina),” katanya.
Sebelum ini, penularan foto tersebut turut mengundang perdebatan apabila ia memaparkan kehadiran seorang lagi peguam, Datuk Ram Singh, yang mewakili remaja didakwa membuli Allahyarham Zara Qairina.
Mengulas lanjut, Shahlan menegaskan komitmennya jelas apabila penggalian semula kubur serta proses bedah siasat terhadap jenazah Zara berjaya dilaksanakan hasil usaha beliau.
“Selain itu, (saya) juga berada di bilik bedah siasat selama lebih kurang lapan jam atas kehendak anak guam, memohon pelaku dikenakan hukuman yang lebih berat iaitu maksimum 10 tahun dan permohonan inkues dibenarkan serta sedang berjalan,” tambahnya.
Untuk rekod, Allahyarham Zara Qairina, pelajar Tingkatan 1 Sekolah Menengah Kebangsaan Agama (SMKA) Tun Datu Mustapha di Sabah, ditemui tidak sedarkan diri di kawasan longkang asrama pada jam 3 pagi, 16 Julai lalu, sebelum disahkan meninggal dunia pada keesokan harinya.
Jasad Syamsul Haris masih utuh, ibu mahu lihat proses bedah siasat. Ibu kepada Allahyarham Syamsul Haris Shamsudin, 22, yang juga pegawai kadet Pasukan Latihan Pegawai Simpanan (PALAPES), tetap berpegang dengan keputusan untuk berada di lokasi ketika proses bedah siasat kedua anaknya yang dijadualkan berlangsung hari ini.
Peguam keluarga, Datuk Naran Singh Ara Singh memaklumkan bahawa proses pengecaman jenazah yang digali semula pagi tadi telah pun dijalankan pada sebelah petang.
“Ibunya, Ummu Haiman Bee Daulatgun, 45, sudah mengenal pasti mayat berkenaan sebagai anaknya.
“Ummu Haiman juga diberi pilihan sama ada mahu hadir untuk proses bedah siasat esok. Namun, dia bertekad dengan pendiriannya untuk melihat keseluruhan proses bedah siasat itu,” katanya.
Menurut Naran Singh, hasil pemerhatian sewaktu proses pengecaman, keadaan jasad masih utuh.
“Dari segi jangka masa proses bedah siasat yang dijalankan esok, kami tidak pasti ia akan mengambil masa berapa lama.
“Namun, kami yakin ia berjaya diselesaikan esok memandangkan terdapat tiga pakar daripada IPFN HKL terbabit dalam proses itu,” jelasnya.
Terdahulu, beliau bersama Ummu Haiman berada di Tanah Perkuburan Islam Kampung Rinching Hulu, Semenyih, pagi tadi untuk menyaksikan kerja penggalian semula kubur penuntut Universiti Teknologi Malaysia (UTM) berkenaan.
Permohonan untuk membolehkan proses ini dijalankan telah difailkan oleh Ummu Haiman pada 19 Ogos lalu. Dalam permohonan itu, beliau turut mencadangkan agar prosiding inkues diadakan bagi menyiasat punca sebenar kematian anak bongsunya.
Mahkamah Tinggi Shah Alam kemudiannya memerintahkan supaya kubur Syamsul Haris digali semula pada Selasa lalu.
Untuk rekod, Allahyarham Syamsul Haris meninggal dunia pada 28 Julai di Hospital Kota Tinggi, Johor ketika menjalani latihan di Lapang Sasar Imunisasi Tempur, Pusat Latihan Tempur Tentera Darat (PULADA), Ulu Tiram. Jenazahnya telah dikebumikan sehari selepas itu di Tanah Perkuburan Islam Kampung Rinching Hulu.
Antara barangan yang terlibat ialah produk mandian dan penjagaan diri, termasuk satu unit Carrie Junior Hair and Body Wash, dua unit Selsun Shampoo 2-in-1, satu unit Lifebuoy Body Wash serta sehelai singlet jenama Byford.