Kebanyakan anak-anak lelaki pastinya sukakan watak superhero seperti Superman, Ultraman, Batman, Spiderman dan sebagainya. Sebagai mak ayah, layankan sahaja imaginasi anak-anak yang sukakan watak superhero ini dan jangan disekat minat dan imaginasi mereka.
Ini kerana perkembangan anak-anak memang unik dan istimewa.Daripada imaginasi tersebut ia mampu membentuk kreativiti yang mampu merangsang perkembangan dan cara mereka berfikir untuk mencapai cita-cita secara realiti.
Bila kita tanya anak kita, “Dah besar nak jadi apa?”, dan mereka menjawab “Ultraman” atau “Superman”, apa reaksi kebiasaan kita sebagai ibubapa?
Biasanya kita akan menjawab, “Tak best lah jadi Ultraman… Jadi doktor lah…” atau yang seumpamanya. Yelah, Ultraman bukannya betul pun… Buat apa nak layan imaginasi budak kan?
Ads
Saya ingin berkongsi kisah dua anak saudara saya, Azmir dan Izwan. Saya agak rapat dengan mereka kerana saya tinggal bersama mereka semasa belajar dan sebelum kahwin. Mereka amat meminati Ultraman dan Superman, sehinggakan semasa konsert tadika dan ada pertandingan kostum, mereka memilih untuk menjadi Ultraman dan Superman. Kostum yang direka khas dari Kuching oleh sedara mara di sana menjadi kebanggaan mereka.
Sebab Kanak-Kanak Suka Superhero
Kenapa kanak-kanak suka dengan “superhero” sebegini dan kenapa perlunya ada imaginasi sedemikian dalam seorang kanak-kanak?
Ads
Bagi mereka, superhero melambangkan kebaikan, seseorang yang membantu menegakkan kebenaran dan menghapuskan kejahatan. Mereka juga melihat melalui superhero tersebut, sebuah dunia di mana “anything is possible”, tiada batasan imaginasi. Oleh itu apabila kita menidakkan imaginasi mereka dengan cuba menggantikan dengan “realiti” (contoh – baik jadi doktor daripada Ultraman), kita menghadkan daya imaginasi dan kreativiti mereka.
Alhamdulillah, lebih 20 tahun setelah mereka berdiri di atas pentas sebagai Ultraman dan Superman, mereka sekarang adalah seorang juruterbang. Azmir,30 bersama Emirates dan Izwan,28 dengan Malaysia Airlines.
Ya, seperti Ultraman dan Superman, mereka pun boleh terbang.
Ads
Biarkan anak berimaginasi.
-Lily Maznah Muas
MW: Semoga perkongsian ini bermanfaat. Jadi buat mak ayah, jangan sekat imaginasi anak-anak. Semoga dengan imaginasi tersebut, ia mendorong ke arah mencapai cita-cita yang lebih tinggi.
Menjadi kelaziman dan amalan kebiasaan bayi perempuan yang baru lahir akan dikhatankan. Namun demikian, baru-baru ini timbulnya kritikan oleh Suruhanjaya Hak Asasi Manusia (Suhakam) berhubung isu berkhatan bayi perempuan di Malaysia sebagai satu amalan budaya.
Menjawab segala persoalan, berkhatan buat bayi perempuan bukanlah sekadar satu amalan budaya, ini penjelasan hukum amalan ini yang dipetik daripada Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan sebagai panduan;
Perbuatan berkhatan bagi wanita sudah menjadi amalan kebiasaan sebahagian masyarakat termasuk masyarakat Arab sejak dahulu kala. Pada zaman Rasulullah SAW, amalan ini berlaku dan Rasulullah SAW mengiktirafnya di samping meletakkan beberapa kaedah. Allah berfirman di dalam al-Quran:
ثُمَّ أَوْحَيْنَا إِلَيْكَ أَنِ اتَّبِعْ مِلَّةَ إِبْرَاهِيمَ حَنِيفًا ۖ وَمَا كَانَ مِنَ الْمُشْرِكِينَ
Maksudnya: Kemudian Kami wahyukan kepadamu (wahai Muhammad): Hendaklah engkau menurut ugama Nabi Ibrahim, yang berdiri teguh di atas jalan yang benar; dan tiadalah ia dari orang-orang musyrik.
Surah al-Nahl, (16:123)
Telah sabit daripada hadis bahawa Nabi Ibrahim melaksanakan khatan seperti mana yang diarahkan oleh Allah. Daripada Abu Hurairah SAW bahawa Rasulullah SAW bersabda:
اخْتَتَنَ إِبْرَاهِيمُ عَلَيْهِ السَّلاَمُ وَهُوَ ابْنُ ثَمَانِينَ سَنَةً بِالقَدُّومِ
Maksudnya: Nabi Ibrahim AS berkhatan menggunakan qaddum (alat seperti beliung, kapak kecil) pada umur beliau 80 tahun.
Hadis riwayat Imam al-Bukhari (no. 3356) dan Imam Muslim (no. 2370) dalam al-Sahihain.
Sabitnya pensyariatan khatan ini juga dikuatkan dengan hadis daripada Humaid bin Bilal, bahawa Rasulullah SAW bersabda:
وَمَسَّ الْخِتَانُ الْخِتَانَ فَقَدْ وَجَبَ الْغُسْلُ
Maksudnya: Dan apabila bertemu dua khitan (kemaluan lelaki dan wanita, ertinya jimak) maka wajiblah mandi.
Hadis riwayat Imam Muslim dalam al-Sahih (no. 349).
Hadis ini menunjukkan bahawa wanita juga berkhatan, dan bukan sahaja lelaki. Dalam mazhab al-Syafie, hukum berkhatan bagi wanita adalah WAJIB mengikut pendapat yang masyhur dan seperti mana yang diputuskan oleh Imam al-Syafie. Imam al-Rafie daripada Syafieyyah ada menyebutkan suatu wajah (pendapat) dalam mazhab Syafie bahawa hukumnya sunat ke atas wanita, tetap pendapat ini dianggap syadz (ganjil).
Imam Ahmad turut menyatakan kewajipannya tetapi Imam Abu Hanifah, Imam Malik dan majoriti ulama menyatakan ianya sunat.
Rujuk Majmu’ Syarh al-Muhazzab (1/300-301) oleh Imam al-Nawawi
Timbul isu dalam kalangan masyarakat bahawa khatan wanita mencacatkan anggota dan tafsiran bahawa khatan wanita itu tidak disyariatkan di dalam Islam. Sebenarnya kami berpendapat isu ini berpunca daripada pengamalan budaya yang bukan Islam dan kejahilan sebahagian orang yang mengendalikan khatan yang melampau sehingga mencacatkan fungsi kemaluan wanita.
Berkata Prof. Dr. Yusuf al-Qaradhawi: “Dan wajib dipastikan tidak berlaku pencacatan oleh mereka yang mengendalikan urusan khatan anak perempuan mereka berdasarkan cara yang datang daripada hadis. Dan tidak boleh dilabelkan perbuatan khatan itu sebagai satu bentuk jenayah yang dilakukan dalam kurun ke 21, melainkan dalam kes-kes yang melanggar had-had yang disepakati dalam Syarak, iaitu al-isti’sal (pemotongan / pengembirian kemaluan), berlebihan dalam memotong, dan dikendalikan oleh orang-orang yang jahil daripada kalangan bidan dan selainnya, dan janganlah ubatan yang digunakan itu memandulkan.”[1]
Berkata Prof. Dr. Wahbah al-Zuhaili: “Berkhatan itu disyariatkan, dan tidak ada pendapat yang boleh menidakkan perkara ini sama ada bagi lelaki mahupun wanita. Yang penting adalah hendaklah ianya disempurnakan oleh doktor yang dipercayai. Jika seorang wanita tidak melakukan khatan, tidak ada dosa ke atasnya kerana itu merupakan haknya dan satu bentuk penghormatan atas qaul yang rajih dan ianya bukanlah wajib dan tidak perlulah kamu mewajibkannya.” [2]
Kami mentarjihkan pendapat bahawa wajib hukumnya berkhatan bagi lelaki dan perempuan. Adapun bahagian yang wajib untuk dibuang ketika berkhatan ialah:
Bagi perempuan disunatkan agar dinipiskan atau dikemaskan sahaja, dan jangan melampau-lampau dalam memotong seperti amalan female genital mutilation yang mana sehingga merosakkan dan mencacatkan klitoris. Bahkan perbuatan seperti itu diharamkan dalam Islam.
Ini berdalilkan hadis daripada Ummu Atiyyah al-Ansariyyah bahawa perlaksanaan khatan berlaku dalam kalangan kaum perempuan di Madinah, lalu Rasulullah SAW berpesan kepada beliau:
لَا تَنْهِكِي فَإِنَّ ذَلِكَ أَحْظَى لِلْمَرْأَةِ، وَأَحَبُّ إِلَى الْبَعْلِ
Maksudnya: “Janganlah engkau potong semuanya, kerana itu menguntungkan bagi wanita dan disukai oleh suami.”
Hadis riwayat Imam Abu Daud dalam Sunan (no. 5271). Beliau mendaifkannya. Ini dipersetujui oleh Syeikh Syuaib al-Arnaut, tetapi disahihkan oleh Syeikh al-Albani.
Rujuk Majmu’ Syarh al-Muhazzab (1/301-302) oleh Imam al-Nawawi.
Begitulah cara mengkhatan lelaki dan wanita yang betul. Hendaklah dalam urusan ini kita bersikap adil, tidak cenderung kepada masyarakat yang menzalimi wanita dan tabiatnya, dan tidak pula cenderung kepada mereka yang memperlekehkan Syariat Islam dan pengamalannya.
Wallahua’lam.
Nota hujung:
[1] http://www.qaradawi.net/new/Articles-4379
[2] http://www.umatia.org/ftawa12.html
Bila anak nak masuk darjah satu, kalutnya mak ayah dah bermula dari sekarang. Dup dap dup dap dalam hati tu memikirkan ‘Pandai tak nanti anak aku berdikari’,
‘Cukup tak nanti keperluan anak’, ‘boleh tak anak ambil baki dengan betul lepas membeli di kantin sekolah’, ‘Hilang tak nanti barang sekolahnya.’
Macam-macam persoalanlah berlegar-legar dalam kepala itu. Jadi sebelum kebimbangan itu jadi sesuatu yang merisaukan, mak ayah perlu ambil langkah bersiap sedia.
Panduan yang dikongsikan Abdul Muiez Ruslee untuk mak ayah persiapkan diri sememangnya cukup berguna dan perlu dihadam kemas-kemas.
Ada beberapa perkara yang perlu ibu bapa siapkan sebelum anak melangkah ke tahun satu.
Yang ini sangat penting. Tunjukkan nilai duit kepada anak. Kalau boleh, buat praktikal di rumah supaya anak tahu berapa perlu dibayar, berapa baki yang perlu diminta dan sebagainya.
Kasut berjenama yang makan harga sampai lebih RM60. Sebab apa? Biasanya kasut sekolah tu hayatnya tak lama.
Sebab hilang. Bila kasut mahal, lepas tu hilang pulak, mulalah mak ayah bikin ribut dalam grup WhatsApp kelas anak.
Sama juga dengan peralatan sekolah seperti pensil warna dan seangkatan dengannya. Cukuplah dengan pensil warna 12 batang. Kalau hilang pun tak ralat.
Tulis nama anak pada beg, kasut, baju, seluar, bekas pensil dan segala harta ismit ulam raja yang anak-anak kita ada.
Kalau hilang juga, tanya elok-elok dalam grup WhatsApp kelas (kalau ada). Dan kalau tak jumpa juga, belilah baru. Kalau tak mampu, jumpa guru besar. Mungkin PIBG boleh bantu.
Ada anak yang pemalu atau takut. Tu yang terlepas dalam kelas tu.
Bisikkan dekat anak setiap hari yang mereka akan mula bersekolah tahun depan. Kalau anak-anak nak pakai kasut sekolah hari-hari pun takpa. Sekadar nak mencetuskan rasa teruja. Tak adalah nanti bila sampai sekolah, menangis sepanjang hari.
Ceritakan dekat anak apa yang akan dia alami di sekolah. Kalau di tadika, itulah cikgunya dari pagi sampai petang. Tapi di sekolah rendah, cikgu-cikgu bertukar mengikut subjek.
Pernah anak saya cakap, “sekolah tak best.” Saya tanya, “kenapa?” Dia jawab, “cikgu ramai. Tukar-tukar pula tu. Penat nak berdiri duduk.”
Suruh juga anak-anak berkawan. Antara sebab anak selalu menangis ialah dia tak jumpa kawan untuk bermain. Kalau jenis mesra alam, senang sikit. Duduk sekejap saja dah boleh ajak kawan sebelah melompat.
Biasanya, minggu pertama sekolah ada minggu transisi. Biasanya juga, sekolah hanya benarkan mak ayah tunggu hari pertama sahaja.
Hari kedua mak ayah dah dilarang untuk menunggu sampai depan pintu kelas. Kecuali ada hal tertentu. Bincanglah dengan cikgu, kalau ada kes-kes tertentu.
Kalau ada yang tak puas hati dengan pihak sekolah, maklumkan terus kepada guru besar. Jangan pula ditular dalam FB. Bayangkan kalau kita bikin masalah. Nanti yang terima akibatnya, anak kita juga. Kita jadi malu, anak-anak pula tak selesa.
Paling penting, suruh anak pergi sekolah. Undang-undang di Malaysia ini, bila anak berumur 7 tahun saja, mereka wajib pergi sekolah. Kalau tak pergi sekolah, satu kesalahan.
Selamat menempuhi alam baru terutamanya ibu bapa yang anak sulung baru masuk tahun satu dan selamat menjadi singa sebab nak kena siapkan anak awal pagi.
Bahagianya jiwa mak ayah bila anak-anak dapat hafal Al Quran. Nak bagi usaha bantu anak menghafal jadi mudah sebenarnya ada cara dan tipnya.
Ini yang dikongsikan Motivator Al Quran, Ustaz Khairul Anuar Basri, apa yang mak ayah boleh buat dalam mendidik anak-anak kecil menghafaz Al Quran.
1. Bagi anak-anak yang sudah tahu membaca Al-Quran, betulkan bacaan mereka mengikut tajwid. Ini sangat penting kerana hafazan yang pertama kali dibuat mengikut tajwid yang betul akan menyebabkan hafazan mereka tepat setiap saat dan tidak perlu usaha untuk memperbetulkannya lagi.
2. Setelah dibetulkan tajwid bacaan mereka, mula menghafal menggunakan teknik yang pelbagai. Mungkin mereka membaca sendiri berulang kali, atau mereka juga boleh dibantu oleh audio bersama-sama.
3. Peruntukkan masa dan target berapa ayat yang mesti dihafaz oleh anak-anak dalam sehari. Ibu bapa boleh memantau secara santai proses menghafaz mereka.
4. Uji hafazan (tasmik) anak-anak setiap kali selesai setiap sesi untuk memastikan mereka berjaya menghabiskan tugasan yang diberi.
5. Sebelum berpindah ke ayat yang baru, uji hafazan mereka yang terdahulu untuk memastikan mereka masih ingat. Ujian ini boleh diselangseli juga ketika perlu.
6. Untuk ulangkaji, gunakan juga CD dan pasang bila mana menaiki kereta. Biasanya, anak-anak secara automatik akan terus membaca bersama kerana mereka telah hafaz.
7. Bagi anak-anak yang belum mahir membaca, boleh gunakan CD sebagai alat bantuan menghafaz. Pastikan CD itu mempunyai bacaan yang standard panjang pendek harakatnya demi menjamin kualiti hafazan anak-anak.
8. Guna kaedah ulangan dan semakan (i’adah) yang sama seperti di atas untuk mengukuhkan hafazan.
9. Kaedah di atas akan lebih berkesan jika anak-anak turut didedahkan dengan pertandingan hafazan. Jadi, galakkan anak-anak untuk menyertainya walaupun bukanlah menjadi target untuk mendapat nombor teratas.
Suami Amyza Aznan reda permegian Andre Mikhail, dia kembali pun pada bulan Ramadan. Dengan emosi yang tenang, itulah yang diluahkan dari hati seorang ayah, Khairil Idzar.