Anak-anak yang lahir ke dunia ini mempunyai kecenderungan yang pelbagai. Pendek kata semua mereka adalah istimewa. Walau bagaimanapun, keistimewaan anak-anak ini hanya dapat dilihat apabila kita melihat mereka daripada kaca mata dan perspektif yang betul seperti diri mereka.
Untuk mendapatkan itu, kita harus buangkan piawaian standard untuk menilai setiap diri anak kerana mereka semua adalah unik dan memiliki kecenderungan masing-masing yang pelbagai. Jika bukan kita, siapa lagi yang akan memerhatikan dan menemukan kecenderungan serta keistimewaan yang dia miliki kerana mereka adalah amanah buat kita.
Anak-Anak Perlu Difahami
Rakan penjaga yang dihormati, bagi melihat anak dengan adil, kita harus memahami keadaan fitrah diri anak yang dianugerahkan Allah kepada kita. Allah menyatakan manusia itu dijadikan sebaik-baik kejadian.
Malah diperjelaskan lagi melalui hadis Nabi s.a.w bahawasanya anak-anak yang lahir ke dunia ini adalah dalam keadaan fitrah, ibu bapa merekalah yang mencorakkan mereka mengikut apa yang dikehendaki (sama ada yahudi, nasrani atau majusi). Kalam Allah dan Rasul ini harus diberikan pemaknaan yang mendalam dalam konteks mendidik anak-anak. Allah dan Rasul tidak pernah mungkir dalam apa yang diungkapkan. Jadi cara pandang dan persepsi kitalah yang harus diperbetulkan.
Ads
Faktor Persekitaran Pengaruhi Anak-Anak
Mungkin ada yang tertanya, jika anak saya fitrah mengapa dia kuat melawan atau tubuh badannya tidak sempurna? Persoalan yang pertama hakikatnya telahpun diberikan penjelasannya dalam hadis Nabi s.a.w. Persekitaran anaklah yang membentuk perilakunya yang sedemikian.
Fitrahnya anak adalah pada keadaan lahirnya ke dunia, namun dia tidak ada daya pada awalnya untuk memilih apa sahaja yang telah terhidang dalam persekitarannya. Maka dia hanya menerima dan mula menggunakan segala input tersebut untuk membentuk persepsinya terhadap kehidupan.
Analogi mudah, jika kita orang baru di suatu tempat kerja, sudah pasti selain daripada bertanya, kita akan cenderung untuk mengikut sahaja budaya kerja yang sudah sedia diamalkan di satu-satu tempat kerja dan dengan cara itulah kita membina persepsi tentang ketua, rakan sekerja dan tempat bekerja tersebut. Jadi, begitu jugalah keadaannya, anak-anak kita.
Jadi, apa yang perlu dilakukan untuk membetulkan hal ini, adalah membetulkan persekitaran yang berada di sekeliling anak-anak. Begitu juga dengan pendekatan dan cara yang digunakan untuk mendidiknya. Ia harus bersesuaian dengan umur dan kematangan diri anak. Bagi anak yang berada dalam fasa pertama kehidupan iaitu 7 tahun ke bawah, gunakan pendekatan berkasih sayang dan bermain.
Ads
Cara ini membantu mereka untuk belajar dan menerima didikan. Ulangan terhadap sesuatu didikan juga harus dilakukan kerana minda mereka sedang mengalami proses perkembangan. Sabar adalah kata kunci yang utama dalam fasa ini. Manakala untuk fasa kedua iaitu 8-14 tahun, pendekatan disiplin boleh dilakukan.
Ini kerana minda mereka sudah mula memahami perkara-perkara yang agak kompleks jadi teguran, hukuman sudah mampu memberikan pengajaran dalam tujuan untuk mendidik. Seterusnya setelah mencapai fasa yang ketiga iaitu 15 ke atas. Cara yang terbaik adalah cara bersahabat dan memperbanyakkan perbincangan. Jadilah rakannya yang setia dan boleh dipercayai. Idea mereka harus diraikan dan diberikan perhatian.
Bukan Fizikal Anak Jadi Ukuran
Bagi persoalan yang kedua, saya mengambil pendekatan untuk kita melakukan tadabbur terhadap ayat Allah surah at-Tin ayat 4. Iaitu apabila Allah mengatakan kami menjadikan manusia itu sebaik-baik kejadian, hakikatnya Allah tidak mencirikan sebaik-baik kejadian itu secara fizikal, hidungnya begini, tangannya begini dan sebagainya.
Malah dalam ayat Allah yang lain dan banyak dibincangkan adalah sebaik-baik manusia itu adalah orang yang mempunyai taqwa. Justeru, keadaan fitrah dan sebaik-baik kejadian itu adalah satu keadaan diri manusia yang bersih daripada segala sifat terkeji dan jika berjaya dikekalkan fitrah insani yang suci itu, manusia itu akan mencapai takwa, biiznillah. Ia langsung tidak berkait dengan keadaan fizikal seseorang.
Oleh yang demikian, perbaiki cara pandang kita terhadap anak-anak kerana dalam diri mereka ada tersembunyi suatu kehebatan yang perlu disuburkan. Dan saya percaya itulah amanah yang diberikan Allah kepada kita selaku insan-insan yang terpilih sebagai ibu bapa dan penjaga kepada anak-anak kita. Wallahuallam.
Kembalikan kesegaran badan yang letih lesu dengan jamu air rebusan rempah daun sirih. Bagusnya air rebusan rempah daun sirih ini, ia juga boleh jadi ikhtiar untuk anak-anak yang batuk. Tapi usia anak mestilah 5 tahun ke atas.
Wanita ini, Amanda Tan yang lebih mesra dengan gelaran Amoi Jamuberkongsi dengan Mingguan Wanita tatacara membuat jamu air rebusan rempah daun sirih ini.
Bahan Dan Cara Membuat Air Rebusan Rempah Daun Sirih
3 lembar daun sirih
1 batang kulit kayu manis
1/2 sudu teh kecil bunga cengkih
1/2 sudu teh kecil buah pelaga
1 inci halia tua
Ketuk buah pelaga dan bunga cengkih supaya boleh keluar bau dan aromanya.
Masukkan bahan-bahan ke dalam periuk bersih.
Sukat 5 cawan air dan masukkan ke dalam periuk dan masak atas api sederhana sampai mendidih. Lepas mendidih, tutup periuk, tutup api dan diamkan periuk selama 10 minit.Tambahkan madu sebagai pemanis (jika perlu). Gunakan sudu plastik.
Air rebusan rempah daun sirih siap diminum.
Nota : Amalkan sekurang-kurangnya 2 atau 3 kali seminggu. Minum air rebusan selepas makan , bila-bila masa sahaja sebagai air teh .
Syarat Nak Jadikan Ikhtiar Anak Batuk & Kegunaan Mak
√ Ia juga sesuai untuk kanak kanak 5 tahun ke atas jika ada masalah batuk. Boleh beri dua sudu besar atau ikut keperluan badan.
√ Sesuai untuk lelaki dan wanita.
√ Sesuai diambil selepas datang bulan untuk mewangikan kembali badan.
√ Sudu Plastik digunakan untuk mengekalkan khasiat madu.
√ Air rebusan digalakkan minum suam-suam panas supaya melancarkan peredaran darah.
√ Tidak digalakkan menambah ais sebab ais akan menyukarkan proses penghadaman kita.
√ Bila amalkan air rebusan herba, tidak digalakkan minum air kelapa dalam waktu terdekat sebab air kelapa akan menawarkan/meneutralkan khasiat herba.
√ Berjamulah untuk mengekalkan kesihatan badan kita menerusi cara tradisi.
Manfaat Air Rebusan Rempah Daun Sirih
– Merawat batuk
– Rawat sakit tekak dan mulut
– Menghilangkan bau badan
– Mewangikan badan
– Membuang angin badan
– Melegakan urat saraf
– Menyegarkan kembali badan
– Merawat masalah keputihan untuk para wanita
Sumber/Foto: Amanda Tan @ Amoi Jamu
Lubuk konten tentang inspirasi, rumah tangga dan macam-macam lagi, MINGGUAN WANITA kini di seeNI, download seeNI sekarang!
Berbaloi ke mak ayah garang pada anak-anak cuma disebabkan mereka buat silap? Kalau baca di dada akhbar, terlalu banyak kes dera pada anak sampai ada yang jadi punca anak meninggal. Tanpa rasa bersalah, ada sesetengah mak ayah menjerit pada anak-anak yang masih kecil depan orang ramai yang kononnya niat nak menegur.
Wahai mak ayah… berubahlah jika anda betul sayang anak dan untuk renungan bersama, baca perkongsian Ustazah Isfadiah ini…
Tegas dan garang sangatlah ketara bezanya. Dalam kamus istilah tegas bererti jelas, terang dan lantang. Manakala garang pula bermakna menyerang dengan buasnya atau marah-marah dengan bengisnya. Mak Ayah tak ada ler sampai garang gitu sekali kan.. Jom kita tengok 4 perkara pencetus garang.
1. Menjerit-jerit
Lupa nak pelankan volume suara, maklum banyak tenaga yang datang dari emosi sebab rasa macam tidak dipercayai atau dikhianati. Apa pun perasaan kita, kawal sebaik mungkin volume suara. Guna nada professional seperti pembaca berita. Suara diorang serius namun mesra walau sedang membaca berita yang lucu. Ingatkan diri sendiri bahawa Allah tegur kita dalam surah al-Hujurat:2 supaya tidak angkat suara melebihi suara nabi. Begitu juga ingatan Allah dalam surah Luqman:19 tentang suara keldai meringkik.
2. Lupa nak tarik nafas dan senyum
Bila rasa tercabar sikit mak ayah akan cepat tarik muka sepatutnya kena tarik nafas dulu. kita fikir kita yang kena kawal anak sebab anak tak faham, anak degil, anak terpengaruh dengan kawan dan sebagainya. Kita lupa bahawa satu-satunya insan yang kita boleh kawal adalah diri sendiri. Bila tak dapat kawal muka kita jadi bengis, masam kelat, kening berkerut, mata jadi bulat besar, hodoh jadi nya!. Apa yang kita pamerkan itulah yang kita dapat. Anak tengok anak jadi takut terciptalah jurang antara mak ayah dan anak, Imam Ghazali pernah berpesan untuk kita lihat wajah kita sendiri di cermin sebagai kaedah kawal diri ketika rasa nak marah-marah.
3. Lupa niat; nak terang atau nak serang
Mak ayah sering lupa kita adalah pembimbing anak, kita bukan hakim yang kena menghukum anak sepanjang masa. Nabi pun ajar kita untuk bimbing anak selama 3 tahun supaya menguasai ibadah solat, nak jadikan solat sebagai budaya diri, 3 tahun adalah tempoh yang panjang dan dalam tempoh yang panjang itulah kita akan ulang, terang, jelaskan, tunjukkan berulangkali. Lepas 3 tahun yang setiap hari 5 kali proses mengulang menerang berlaku pun tak jalan juga barulah dirotan anak itu. Bila kita lupa peranan kita pada anak, hati mudah jengkel dan bosan, mulalah kita rasa anak ni lembap ke, tak faham-faham ke, kita mula bandingkan dengan anak orang lain ataupun bandingkan diri kita dulu-dulu, masa kecik dulu kita cepat faham, cepat patuh dan cepat taat padahal kita perasan je tu, akhirnya dengan anak cepat je nak serang dan mudahnya jadi garang.
4. Lupa anak kita bukan milik kita
Kita sering lupa bahawa Allahlah yang merancang perjalanan hidup kita. Allah sentiasa melihat dan menilai respon kita pada perancanganNya yang kudus itu. Anak-anak kita adalah milik Allah. Allah pinjamkan pada kita untuk kita urus anak sebagaimana yang dikehendaki oleh pemiliknya. Anak kita bukan juga hamba kita, bukan pula sumber kebanggaan mutlak, tetapi dia adalah jambatan dan jalan untuk meraih redha Allah. Anak -anak merupakan asbab untuk capai keredhaan dan kasih sayang Allah.
Semoga Allah sentiasa ingatkan kita yang pelupa ini.
Lubuk konten tentang inspirasi, rumah tangga dan macam-macam lagi, MINGGUAN WANITA kini di seeNI, download seeNI sekarang!
Memang seronok ada anak ramai berderet apatah lagi beranak ramai pada usia yang masih muda. Namun perlu ingat setiap anak yang lahir, mak ayah perlu sertakan dengan amanah dan tanggungjawab pada anak-anak tersebut. Dijaga, diberi perhatian, kasih sayang serta dibimbing sebaiknya.
Ini yang dikongsikan oleh pelakon Rozlinawaty Ismail,39 atau lebih dikenali sebagi Ozlynn yang juga isteri kepada pelawak dan penyampai radio Era, Johan,36 dalam instagramnya baru-baru ini. Pasangan ini diketahui mempunyai anak yang ramai iaitu 5 orang cahaya mata, Ariq, Sodiq, Haziq, Chantiq dan Moleiq.
Kongsinya;
“NYAWA… selalu jumpa makcik-makcik mesti diorang akan cakap.. bagus muda-muda dah anak berderet.. tapi kalau tanya laki aku jawapan dia;
“Sayang, kalau you pregnant lagi mesti best kan.. sekali dapat girl.. dah cukup dapat 3 laki 3 pompuan..” dalam hati aku.. “Ehh ehhh orang tua nih.. dia ingat aku nih kilang biskut? Tekap dapat tekap dapat..”
“Kalau nak ikutkan 7 orang dah anak kitorang.. 2 dah standby tunggu kitorang.. takde rezeki nak peluk kat sini.. korang suka tak anak ramai.. aku suka.. tapi tanggungjawab kena seiring la..jangan reti beranak jek pastu anak terbiar, pantang betul aku”
“Untuk aku nak beranak ramai ke sikit ke bergantung pada individu.. ada orang cakap anak nih pun rezeki jugak.. iyeee anak rezeki.. So kena jaga.. tanggungjawab kita bukan setakat besarkan, bagi makan pakai..tanggungjawab kita besar, sebab anak-anak nih wujud sebab kita yang nak.. so Allah bagi..jangan diabaikan”
“Nak mendidik kita perlu membimbing, bukan mengarah.Banyak aku belajar.. setiap anak banyak benda baru aku dapat.Dengan anak la aku belajar segalanya. Semakin hari semakin positif dan kami belajar untuk jadi yang lebih baik.”
“Penat?? Yes!! Tapi berbaloi.. aku happy, bersyukur! So saja la nak tanya.. kalau korang la kan.. patut ke aku dengar cakap laki aku suh ngandung lagik.. aku kalau boleh tak mo umur 50.. anak aku masih sekolah lagik..aku suka pikir banyak benda. Macam sempat ke tengok anak kawin.Ntah pape tah kan aku.. ke korang pun sama??
Pelajar tingkatan tiga jatuh asrama kritikal, ibu rayu doa orang ramai anak kembali pulih. Tiada yang lebih menyakitkan daripada melihat darah daging sendiri terbaring...