Amyza Aznan Kongsi Anak Hidap Kanser Paru-paru – “Dia Masih Mampu Tersenyum… Tak Pernah Merungut. Suka Makan Disuap”

Share

Pelakon Amyza Aznan, 51, berkongsi kisah penuh sebak apabila anak lelakinya, Andre Mikhail Khairul, 19, disahkan menghidap kanser paru-paru tahap tiga sejak Januari lalu. Meskipun diuji hebat, Amyza Aznan tetap tabah dan positif melihat semangat anaknya yang tidak pernah berputus asa.

Perkembangan Terkini Rawatan Anak Amyza Aznan

Menurut Amyza Aznan, Andre kini telah menyelesaikan dua pusingan rawatan kemoterapi melibatkan lapan sesi secara keseluruhan di Hospital Kuala Lumpur (HKL).

“Sekarang kami masih menunggu keputusan imbasan Computed Tomography (CT) scan untuk menentukan langkah rawatan seterusnya. Kalau tumor itu sudah mengecil dan boleh buat pembedahan, doktor akan teruskan dengan pembedahan. Baru-baru ini, sementara menunggu keputusan CT Scan, HKL hantar Andre semula ke Hospital Ampang untuk konsultasi bagi prosedur seterusnya,” katanya.

Prosedur Transplant Darah Dan Risiko Rawatan

Tambah Amyza Aznan, sebelum pembedahan boleh dilakukan, pihak hospital mencadangkan agar Andre menjalani prosedur transplant darah pada tulang belakang bagi memastikan keselamatan pesakit semasa rawatan susulan.

“Doktor beritahu prosedur itu penting untuk melindungi saraf dan cecair di belakang tulang agar rawatan selepas ini tidak merosakkan bahagian berkenaan. Ada beberapa lagi pemeriksaan tambahan termasuk ujian jantung di Institut Jantung Negara (IJN). Buat masa ini, kami belum membuat keputusan sama ada mahu meneruskan transplant darah itu atau tidak kerana risikonya agak besar. Antara risikonya termasuk jangkitan kuman dan nauzubillah himinzalik, kes paling serius boleh membawa maut,” jelasnya.

Perkembangan Positif Dan Doa Orang Ramai

Selepas dua kitaran rawatan, perkembangan positif mula kelihatan apabila tumor Andre mengecil daripada 18 sentimeter kepada 14 sentimeter, manakala bacaan penanda tumor menurun daripada 70,000 kepada 50,000.

“Doktor terkejut sebab pada awalnya mereka seperti sudah hilang harapan. Tetapi, saya percaya inilah kuasa doa yang tidak pernah putus daripada semua orang,” kata Amyza Aznan penuh kesyukuran.

Ketabahan Seorang Ibu

Walaupun berdepan ujian berat, Amyza Aznan bersyukur kerana anaknya masih kuat dan bersemangat menghadapi rawatan. Baginya, semangat Andre menjadi sumber kekuatan utama.

“Dia masih mampu tersenyum… Tak pernah merungut. Cuma bila kena cucuk atau masuk air garam, dia akan cakap sakit sikit. Selain itu, dia tetap kuat,” luahnya sebak.

Dalam masa yang sama, pelakon drama Rindu Kasih ini mengakui bukan mudah mengimbangi tanggungjawab antara kerjaya dan penjagaan anak. Namun, dia bersyukur kerana ada insan sekeliling yang membantu.

“Saya bersyukur ada kawan perempuan Andre yang banyak membantu jaga dia di hospital. Kalau tidak, memang saya tak terkejar. Nampaklah Andre lebih sensitif sedikit, macam manja dan suka makan disuap. Ada satu masa tu, saya datang melawat dia tapi pelik sebab dia tak banyak cakap. Rupanya merajuk sebab saya tak suap dia makan hari sebelumnya,” kongsi Amyza Aznan sambil tersenyum.

Profesional Dalam Kerjaya

Walaupun hatinya risau terhadap anak, Amyza Aznan

tetap profesional apabila berada di set penggambaran. Dia sentiasa berpegang pada prinsip untuk tidak membawa emosi peribadi ke tempat kerja.

“Saya selalu pesan pada diri, semua orang ada masalah. Apabila pergi kerja, letak masalah di tepi. Tak perlu bawa emosi ke tempat kerja atau minta orang faham keadaan kita. Di set penggambaran, saya tetap profesional dan berikan yang terbaik,” katanya tegas.

Doa dan Harapan Amyza Aznan Buat Anak

Sebagai seorang ibu, Amyza Aznan hanya mengharapkan kesembuhan buat anak tersayang dan memohon doa agar Andre terus kuat berjuang melawan penyakitnya.

“Sebagai seorang ibu, saya cuma hendak Andre sihat, panjang umur dan kuat melawan sakitnya. Dialah nyawa saya. Kalau anak demam pun kita dah tak senang duduk, inikan pula sakit seteruk ini,” katanya sebak.

Walaupun fokus utama kini adalah menjaga anak, Amyza Aznan sudah mula kembali aktif dalam dunia seni selepas melihat keadaan Andre semakin stabil.

“Saya mula ambil kerja balik bila tengok dia sudah kuat dan boleh urus diri. Minggu depan saya akan mula penggambaran drama arahan Heykal Hanifah dan satu lagi naskhah untuk Media Prima Berhad (MPB) arahan Amor Rizan,” katanya menutup bicara penuh ketabahan.

Sumber: Berita Harian dan Instagram Amyzaaznankaaia

Artikel lain: Anak Derita Sakit Kanser, Amyza Aznan Maklum Anak Mengadu Sesak Nafas  Lebih Selesa Tidur Dalam Keadaan Duduk

Didie Alias Datang Beri Kata-kata Semangat Pada Amyza Aznan, Rai Hari Jadi Ke-19 Andre Di Wad

 

Follow kami di TELEGRAM, INSTAGRAM, TIKTOK, FACEBOOK, TWITTER dan YOUTUBE 

 

Published by
Has