
Penyanyi bersuara merdu, Amira Othman, 32, bakal melangkah ke gerbang pernikahan pada Ahad ini bersama lelaki pilihan hatinya, pelakon popular Fattah Amin.
Dalam debaran menjelang hari bahagia, Amira menyifatkan Fattah sebagai seorang lelaki yang baik, namun dalam masa yang sama, dia mengharapkan kesediaan suaminya itu untuk bertolak ansur dan bertoleransi sepanjang melayari bahtera rumah tangga.
“Bagi saya, Fattah memang seorang lelaki yang baik, seorang anak yang baik. Saya yakin jika dia seorang yang baik, apa saja boleh dibawa berbincang tanpa perlu marah-marah atau emosi. Itu kunci keharmonian.”
Doa Menjadi Sandaran
Tidak mahu terburu-buru membuat andaian, Amira akui dirinya masih belum melalui fasa perkahwinan, justeru lebih berhati-hati dalam menuturkan kata. Baginya, doa orang sekeliling adalah kekuatan terbesar saat ini.
“Alhamdulillah, ketika ini saya masih membuat persiapan. Saya mohon doa daripada semua agar segala urusan dipermudahkan. Mungkin semua ini adalah berkat doa kalian.”
Amira dan Fattah turut mengumumkan tarikh penyatuan mereka pada majlis sidang media pelancaran single duet baharu Rasa & Takdir, nyanyian Amira bersama adiknya, Irfan Haris, di Imperial Lexis, semalam. Pengumuman itu sekali gus menamatkan spekulasi hubungan mereka yang hangat diperkatakan sejak hujung tahun lalu.
View this post on Instagram
Menyambut Harapan
Lebih istimewa, Amira menegaskan dirinya enggan menjadikan pengalaman lalu sebagai beban yang membantutkan langkah ke fasa baharu.
“Tak adil kalau kita biarkan trauma menghalang perjalanan hidup. Saya percaya pada takdir. Allah sebaik-baik perancang. Perkahwinan ini pasti ada turun naik, tetapi itulah perjalanan menuju syurga.”
Lagu Rasa & Takdir, Sebuah Simbolik
Menariknya, pelancaran single duet bersama Irfan seakan bertepatan dengan perjalanan hidup Amira sendiri. Lagu yang tertangguh sejak 2023 itu akhirnya diluncurkan pada waktu yang dirasakan paling sesuai.
“Kadang-kadang kita rancang, tapi tak jadi. Mungkin inilah masa terbaik. Lagu ini seolah-olah mengingatkan kami bahawa hidup ini aturan Tuhan. Kita rancang lain, Dia aturkan yang lebih baik.”
Menuju Hari Bahagia
Di sebalik senyuman dan cahaya bahagia yang jelas terpancar, Amira hanya mengharapkan agar rumah tangga yang bakal dibina bersama Fattah dipenuhi rahmat dan keberkatan.
Baginya, cinta bukan sekadar rasa, tetapi juga takdir. Dan dalam takdir itu, wujud doa, usaha, dan pengharapan.
Follow kami di TELEGRAM, INSTAGRAM, TIKTOK, FACEBOOK, TWITTER dan YOUTUBE
MINGGUAN WANITA kini di seeNI, download seeNI sekarang!
KLIK DI SEENI