Selepas hampir setahun tak mendapat kehidupan yang menyenangkan, wanita ini mula membaca amalan surah Al Muawwizat yang diajar oleh seorang ustaz. Amalan ini melindungi dirinya daripada perkara-perkara mistik yang menghantui dirinya.
Inilah perkongsian daripada Linda Sein yang boleh diguna pakai untuk semua. Sebabnya memang agak menyeramkan apabila hal-hal mistik sebegini jadi kat diri sendiri.
Ikhtiar Rawat Diri Dengan Surah Al Muawwizat
Dah hampir setahun otak rasa gelong.
Online kejap jer terus rasa nak muntah, rasa nak pitam, menguap malah mengantuk macam baru lepas telan sebotoi ubat batuk cap ibu bapak. Eh!
Pi berubat sana cakap lagu tu, pi berubat sini cakap lagu ni. Kesimpulannya, DENGKI. HASAD. IRI HATI.
Hmmm…
Start dari tu, siang malam kita ni ikut apa kata ustaz. Ikhtiar selagi mampu.
Ads
Dari malam bawak ke siang. Dari tenggelamnya matahari sampai timbulnya bulan. Tidoq tak cukup. Pejam mata dalam keadaan TAKUT.
Aku main hantam baca memacam ayat, ada sampai tahap baca yassin 2 kali teruih. Ish ish penakot yarabbi aku ni. Yerlah walaupun laki aku pak haji yang kerjanya ulang alik Malaysia – Saudi, tapi aku ni bukan lah alim sangat. Ada sesetengah ayat aku taktau pon maksud sebenaqnya.
Ini Yang Dialami Setiap Malam
Tiap malam.
Jam 2:30pagi-3:30pagi.
Kejap-kejap bunyi guli jatuh depan pintu bilik tidoq, kejap-kejap bunyi tapak kaki anak kecik lari-lari kat dapoq. Kejap-kejap bunyik duit syiling berterabur kat bilik baju. Lantai sejenis Vinyl kayu pulak tu. Kompem la bunyi dia jadi sangat menyeramkan. Cisss! (Dok type ni pon meremang oi) Menduga keimanan aku betoi.
Ads
Sampai tahap mata aku yang cantik dan berseri tu dan berubah jadi lebam bak mata si kungfu panda. Geng-geng urat stress pon pakat sepakat membawa berkat mai dok timboi kat kening seropa apa dah aku ni. Aiyo.
Ok.
Maka. Aku pon terus ikhtiar. Dari selatan ke utagha. Dari kolumpoq ke perak, dari perak ke penang. Dari penang ke kedah. Masuk habis Cerok Nun padia aku pon tak besa sampai kampung tu aih.
Ustaz Ajarkan Cara Bina Benteng Pertahanan Diri
Alhamdulillah.
Aku jumpa seorang Ustaz. Mengadu domba. Ustaz tu ajaqkan beberapa amalan.
Ads
Maka.. Berbuih la mulut aku dok amalkan al-muawwizat salah satu amalan BENTENG PETAHANAN DIRI yang Ustaz ajaq.
1. Lunjurkan kaki ke arah Qiblat 2. Mengangkat dua tangan seperti berdoa 3. Baca ayat-ayat Muawwizat sehingga selesai (tidak termasuk membacaSurah Al-Fatihah) 4. Tarik nafas kemudian tiup pada tapak tangan sehingga habis nafas 5.Tarik sikit nafas kemudian tahan nafas sambil hampa menyapu tapak tangankeseluruh anggota badan yang boleh dicapai kecuali anggota sulit. 6. Amalkan sekali sebelum tidoq & selepas solat subuh setiap hari.
Alhamdulillah. Berhasil untuk aku. Walaupun syaitan dan jin tak putus asa dok mai jugak kacau aku dan anak-anak, makanya aku pon nekad takmau dah dok jadi lemah dan tetap tak putus asa untuk ikhtiar lagi dan lagi. Yes. Sebab Allah lebih berkuasa. Aku yakin dengan allah.
Selain tu,ada beberapa lagi gangguan aku dapat. Dan banyak amalan yang Ustaz ajaq aku. InsyaAllah nanti sambung cerita lagi.
Bukan suatu perkara yang mudah menelan sebuah kehilangan. Apatah lagi kehilangan seorang anak. Mendapatkan perkhabaran gembira usai sepurnama melafazkan ijab dan kabul, menambahkan sinar bahagia buat pasangan Siti Nur Baizura Kamaruddin, 28 tahun dan Abu Nain Umar, 29 tahun. Biar pun pasangan ini langsung tidak sangka mendapatkan cahaya mata secepat mungkin, tetapi sudah tertulis rezeki, mereka berdua menerima dengan hati yang terbuka.
Tiada Masalah
Ternyata sepanjang kehamilan Siti NurBaizura atau mesra dengan panggilan Jojo tidak berhadapan dengan masalah kehamilan yang kronik. Seperti ibu-ibu lain, dirinya tidak terlepas daripada fasa alahan di trimester pertama. Dirinya agak lesu dan lelah melalui tiga bulan pertama. Namun tidak lama, memasuki trimester kedua segalanya berjalan seperti biasa.
Begitu juga ketika proses bersalin, segalanya berjalan lancar. Tanggal 24 May 2017, lahirlah puteri yang diberi nama Abu Zea Ophelia seberat 2.3 kilogram. Setelah menjalani proses berpantang, tibalah masanya Jojo kembali bekerja. Biar pun pedih hatinya untuk meninggalkan cahaya mata yang baru berusia dua bulan bersama pengasuh, dia tetap keraskan hati.
Baginya situasi ini pastinya turut dirasai oleh ibu-ibu lain yang terikat dengan kerjaya masing-masing. Lagi pula pengasuh anaknya telah dicari sejak awal lagi, ketika belum melahirkan sebagai persiapan awal. Segalanya bermula tanpa dirancang apabila Jojo yang menjalani rutin pemeriksaan bulanan di Klinik Kesihatan tanpa sengaja berjumpa dengan pengasuhnya.
Selidik
Hanya sekadar berbual kosong, akhirnya janji termateri yang sebaik sahaja bersalin nanti, Jojo akan menghantar anaknya kepada pengasuh tersebut yang tinggal tidak jauh daripada kediaman mereka. Sebelum kembali bekerja, Jojo dan suaminya ada berjumpa beberapa orang pengasuh sebelum memilih untuk menghantar kepada pengasuh tersebut.
“Awal-awal lagi saya dah selidik dengan dia bila dapat tahu dia juga menjaga empat orang anak orang lain. Risau juga sebab semuanya bayi di bawah umur setahun, yang dijaganya seorang diri. Tetapi kami tetap hantar seperti biasa. Tetapi selepas sebulan, mula berlaku beberapa kejadian yang buatkan kami seperti ingin mencari pengasuh lain.
‘Pernah sekali anak saya Opie lebam di bahagian telinga, alasan digigit semut. Ada pula satu ketika, bibir Opie macam ada kesan luka sebab terkena botol susu. Macam-macam telah berlaku dan dalam diam kami usahakan untuk mencari pengasuh lain tetapi ada sahaja halangan. Sebelum kejadian itu berlaku pun, kami sedang menunggu seorang pengasuh lain untuk menjaga anak kami.
‘Hati saya memang risau bila nampak pengasuh ini macam cuai dalam menjaga anak kami dan anak-anak orang lain di bawah jagaan dia. Tetapi kami masih tidak dapat mencari pengasuh lain hinggalah kejadian yang meragut nyawa anak kami berlaku,” ungkap Jojo sebak.
Terima Jasad kaku
Masih segar lagi di ingatan, di satu pagi Jumaat yang hening. Seawal pagi dalam kesibukan bersiap ke tempat kerja, Opie bereaksi seperti biasa. Dia tersenyum apabila dipanggil sambil ralit menonton video kegemarannya di kaca televisyen. Segala telatahnya seperti biasa, seperti hari-hari lain. Jadi ia langsung tidak menimbulkan kemusykilan di hati pasangan suami isteri ini.
Setelah menghantar Opie ke rumah pengasuh, Abu Nain menghantar isterinya ke pejabat. Lewat tengah hari, Jojo mendapat panggilan daripada pengasuh yang Opie asyik menangis sejak pagi, tidak mahu tidur dan tidak mahu minum susu. Dalam masa yang sama pengasuhnya meminta izin untuk menidurkan Opie dalam buaian kerana selama ini bayinya hanya tidur di tilam.
“Saya cuba fahami situasinya, kita tahu kalau bayi asyik menangis pasti kita risau. Lagi pun dia ada jaga anak-anak lain. Jadi saya izinkan dia untuk letakkan anak saya dalam buaian jika itu memudahkan tugasnya. Selepas beberapa jam, saya hubungi dia dan dia katakan Opie makin baik. Jadi saya pun tiadalah banyak bertanya. Tetapi petang itu ketika suami datang jemput untuk pulang kerja, sekali lagi pengasuh saya telefon dan beritahu Opie sudah berada di hospital.
“Ketika itu memang kami tak boleh nak fikir apa, terus ke Hospital Shah Alam. Lihat anak kami di zon merah, hati kami jadi tidak keruan. Saya cuba dapatkan anak saya dan doktor yang berada di situ beritahu anak saya diserang sawan. Doktor sudah beri ubat dan mereka sedang menunggu respons daripada anak kami. Tetapi malangnya anak kami berulang kena sawan ketika itu.
“Jadi doktor ambil keputusan untuk lakukan CT scan dan daripada situlah baru diketahui bahawa ada pendarahan pada otak Opie. Pengasuh yang berada di situ bermati-matian jelaskan yang Opie tidak pernah jatuh,” cerita Jojo satu persatu.
Terdapat Kesan Retak
Komplikasi yang dilalui Opie memerlukan dirinya untuk melalui pembedahan segera dan seterusnya dirinya dirujuk ke Hospital Kuala Lumpur kerana terdapat pakar. Pembedahan ini perlu dilakukan untuk mengeluarkan darah beku yang terdapat pada otak anak mereka.
Selepas tiga jam pembedahan berlangsung, doktor berjumpa pasangan ini dan menyatakan keadaan anak mereka dalam keadaan 50-50. Segalanya bergantung kepada Opie dan juga takdir, sekiranya dia kuat, dia akan pulih, begitu jugalah sebaliknya. Doktor juga terkejut dengan keadaan otak Opie yang seolah-olah menerima tekanan yang amat kuat.
Biar pun pedih untuk menelan kenyataan, Jojo dan Abu Nain berdoa agar keajaiban berlaku. Sejak pembedahan itu sehinggalah di hari terakhirnya, permata hati mereka berdua tidak sedarkan diri dan hanya bergantung kepada mesin bantuan pernafasan dalam berjuang meneruskan hayatnya.
Ketika ditempatkan di dalam Unit rawatan Rapi, Opie berada di ruang khas dan rupa-rupanya kes Opie paling kritikal pada ketika itu. Sedih mengenangkan situasi tatkala berada di wad, apatah lagi melihat jasad kecil yang baru berusia tujuh bulan berselirat wayar. Baik Jojo atau Abu Nain, masing-masing tidak mampu menahan sebak.
“Ada ketika saya bisik pada telinga Opie agar dia terus kuat untuk teruskan hidup. Tetapi ada ketikanya saya juga hampir putus asa apabila berjumpa ramai pakar, mereka pula berbeza pendapat. Kami sendiri keliru, tetapi dalam masa yang sama tidak putus berdoa agar Allah panjangkan umur Opie.
“Malam sebelum Opie pergi, ada ketua pakar berjumpa kami dan memberi pilihan sama ada kami memilih untuk meneruskan agar mesin oksigen dan ubat tidur Opie diteruskan atau tidak. Biar pun berat, kami akhirnya memilih untuk berserah pada takdir yang telah Allah tentukan.
“ Lebih-lebih lagi dengan keadaan Opie yang lemah, jadi bukan mudah untuk dia teruskan hidup,” celah Abu Nain yang akhirnya tidak mampu menahan air mata setelah anaknya pergi buat selamanya pada 14 Januari 2018.
Bukan Mudah Terima Takdir
Sebenarnya amat berat untuk menerima sebuah kehilangan, apatah di saat sedang ralit membesarkan anak yang telah mula berkeletah. Senyumnya, tawanya, tangisannya menjadi setiap momen terindah buat pasangan ini. Berat mata memandang, lagi berat bahu yang memikul.
Jojo sendiri hingga saat ini, dirinya terasa belum mampu untuk menerima segala yang berlaku. Tipulah jika dia mampu melupakan apa yang terjadi. Setiap masa bila terkenang Opie, pasti berjuraian lah air matanya. Begitu juga Abu Nain, kehadiran Opie banyak mengajar dirinya untuk bergelar seorang bapa yang bertanggungjawab, belum puas mengecap nikmat, pinjaman Allah ditarik balik.
Tetapi sebagai manusia biasa, baik Jojo atau Abu Nain sendiri, mereka perlu reda jika ini ujian yang perlu mereka hadapi. Bukan mudah tetapi perlu jua telan biar pedih, biar sakit. Ternyata kejadian yang menimpa kanak-kanak yang senasib Opie amat mengguris perasaan pasangan ini. Semoga pasangan ini dikurniakan kebahagiaan dan kekuatan dalam meneruskan hidup.
Menurut pegawai polis yang mengendalikan kes ini, katanya kecederaan yang dialami Opie mungkin disebabkan oleh kesan benda tumpul. Mereka berdua tidak mampu memberi komen lanjut kerana segalanya masih dalam proses siasatan.
Tetapi hati ibu dan bapa mana yang tidak pedih melihat pesalah yang menyebabkan kematian anak mereka tidak diadili. Dirinya hanya tidak dibenarkan untuk menjaga budak lagi buat masa ini, tetapi dia masih bebas di luar sana. Pasangan ini berharap agar pengasuh mereka mendapat balasan yang setimpal dengan kesalahan yang dilakukan.
Lubuk konten tentang inspirasi, rumah tangga dan macam-macam lagi,
MINGGUAN WANITA kini di
download sekarang!
Sel tahanan penjara selalunya digambarkan dengan suasana biliknya yang sempit,panas, ruang terhad, berkongsi bilik air dan serba serbi kurang.Sungguh tak dapat dibayangkan apabila sel tahanan penjara bertukar rupa, jadi bertambah selesa dan mewah, bagai menginap di hotel atau tinggal di rumah sendiri!
Rupanya terdapat banduan penjara Indonesia didapati memberi rasuah kepada pegawai penjara di sini untuk hidup mewah dan selesa dalam sel tahanan yang dilengkapi penyaman udara, peti sejuk, ketuhar gelombang mikro, televisyen dan bilik air persendirian, kata pegawai anti rasuah dalam pendedahan skandal rasuah terbaru di negara itu.
Kakitangan penjara disyaki menerima rasuah antara 200 hingga 500 juta rupiah (RM56,896 hingga RM142,240) daripada banduan untuk menaik taraf dan mengubah suai sel tahanan banduan terbabit, selain turut dibekalkan telefon bimbit, malah ada yang dibenarkan meninggalkan penjara buat sementara waktu.
Menurut Suruhanjaya Pencegah Rasuah (KPK) Indonesia,baru-baru ini pihaknya menahan lima suspek yang dikaitkan dengan skandal di Penjara Sukamiskin,Bandung itu, termasuk banduan dan wadar yang menerima wang tunai serta dua kenderaan.
Dalam satu serbuan Ahad lalu, beberapa sel didapati dilengkapi bilik air moden dengan pemanas air, peti ais bersaiz penuh, pembancuh kopi, ketuhar gelombang mikro dan sistem audio rumah.
Berikutan itu, Ketua Pengarah Penjara Indonesia, Budi Utami, berkata;“Kami memohon maaf kepada rakyat Indonesia. Kami amat memohon maaf kerana tidak mampu memaksimumkan sistem pemantauan, ” katanya.
Sementara itu, seorang bekas pegawai agensi percukaian yang kini menjalani hukuman di penjara itu pernah dirakam gambarnya menonton perlawanan tenis di Bali, malah pernah ke luar negara menggunakan pasport palsu sedangkan ketika itu dia sepatutnya berada dalam penjara lain. Banduan lain di Penjara Sukamiskin itu termasuk bekas Ketua Hakim dan bekas Speaker Parlimen, Setya Novanto, yang didapati bersalah April lalu, menerima rasuah jutaan ringgit berkaitan pengeluaran kad pengenalan Indonesia.Namun, kedua-dua mereka bukan antara yang ditahan dalam serbuan Ahad lalu.
Hakikatnya ia adalah rahsia yang diketahui umum bahawa banduan Indonesia yang kaya dan berpengaruh boleh membeli kemewahan dalam penjara. Tahun lalu, kerajaan memberi amaran akan memenjarakan pegawai penjara yang mengambil rasuah daripada banduan.
Dalam satu kes, sel seorang ahli perniagaan wanita yang dipenjarakan kerana rasuah dilengkapi tilam spring, sofa, peti sejuk, televisyen dan pendingin hawa, selain bilik karaoke.
Tak sangka sampai tahap begini, kemewahan dan keselesaan duduk dalam penjara yang diberikan.Kalau begitu, apa bezanya dengan tinggal di hotel atau duduk dirumah sendiri? Macam-macam hal.
Kadang ada sesetengah mak ayah ralit sangat tayang aksi anak kecil di laman media sosial. Tengok yang LIKE dan komen pun meriah, lagilah mood nak kongsi gambar dan video anak di internet makin mencanak-canak.
Ya, tak salah nak berkongsi kebahagiaan tetapi kita takut dalam ramai-ramai kawan media sosial itu, terselit golongan ‘bahaya’. Nak-nak pula kalau ada yang simpan gambar anak yang seksi atau tak cukup pakaian itu dijadikan koleksi untuk ‘berseronok’.
Sebolehnya mak ayah patut berjaga-jaga atau lebih mudah cuba rebungkan perkongsian Parent Connect Consultancy, Puan Noor Afidah Abu Bakar berkait dengan hobi share gambar dan video anak di laman media sosial. Ini sebenranya lebih mendatangkan kebaikan atau keburukan? Jemput baca…
Jagalah aib anak-anak sendiri di media sosial. Janganlah dimuatnaik video atau gambar yang memalukan. Anak kecil tidak dapat mempertahankan dirinya. Anak kecil tidak tahu kisahnya telah disebarkan. Anak kecil tidak tahu ramai yang mentertawakan dia. Anak kecil tidak tahu ada yang mengeji dia hanya kerana berperangai seperti anak kecil.
Adakah yang mengeji itu sempurna kelakuannya ketika kecil dulu?
Sedarlah yang kita beruntung zaman ibubapa kita dulu tiada media sosial.
Anak kecil tidak tahu ramai yang hendak ‘memberi penampar’ kepada dia kerana mereka tidak tahu cerita sebenar apa yang berlaku.
Kasihan kamu hai anak.
Wahai ibubapa…
Anak kecil itu akan terus diejek, dimalukan dan dibuli kerana keghairahan orang dewasa mengongsi kisahnya. Kasihanilah dia. Dia tidak tahu apa-apa.
Anak kecil itu bukan saja diejek oleh rakan sebaya, anak kecil itu juga diejek oleh orang dewasa yang akalnya tidak sempurna.
Kasihanilah dia.
“Satu hari nanti anak kecil akan mendapat tahu juga yang dia telah dimalukan di internet.
Satu hari nanti mungkin dia tertekan dengan aibnya yang telah dibuka.
Satu hari nanti mungkin renggang hubungan kerana aibnya tidak dijaga.”
Atau mungkin satu hari nanti perangainya tetap tidak berubah kerana dia popular dengan perangainya yang sebegitu. Dia popular kerana ibubapa sendiri yang mempopularkan dia walaupun perangainya masih memerlukan bimbingan.
Wahai ibubapa…
Apa yang kita muatnaik di internet akan terus kekal di internet sampai bila-bila. Kita boleh padamkan dari media sosial kita, tetapi ramai yang tidak padamkan. Ramai yang telah kongsikan. Ramai yang muat turun dan menyimpannya. Mungkin mereka berniat baik, namun mungkin juga ada yang berniat tidak baik terhadap kita, keluarga kita dan anak-anak kita. Mungkin ia akan digunakan oleh mereka nanti untuk terus membuka aib kita.
Pohonlah perlindungan daripada Allah SWT. Allah akan terus menutup aib kita selagi kita berusaha menutupnya. Kita manusia yang sentiasa berbuat silap.
Anak-anak adalah cerminan diri kita sendiri. Jika kita membuka aib anak di media sosial untuk disebarkan, kita sebenarnya membuka pekung di dada kita sendiri.
Lubuk konten tentang inspirasi, rumah tangga dan macam-macam lagi,
MINGGUAN WANITA kini di
download sekarang!