Dunia bercinta dengan perkahwinan memang berbeza, tambah pula masing-masing pikul tanggung jawab yang cukup berat. Nampak mudah tapi itu cuma dalam drama, yang realitinya suami isteri akan telan pahit manis dengan cara berbeza.
Begitu juga yang dilalui Puan Noor Aniza dan suaminya bila dah kahwin dan ada anak-anak, namun nak ‘gemukkan’ balik perasaaan cinta itu dia memilih cara ini…
Bila Dah Bina Perkahwinan
Saya dan suami memang tidak berapa gemar sambut event-event penting. Tarikh penting pelbagai anniversary dan harijadi pun dibiarkan berlalu begitu saja.
Namun, pada tahun ni ada sesuatu yang membuatkan kami bermuhasabah semula.
Dulu selalu dengar ceramah ustazah. Bila dah lama berkahwin, kita jarang spend masa bersama pasangan. Kita terlupa yang sebenarnya peranan kita bukan hanya masak di dapur serta jagakan anak-anak. Manakala suami pula bukan hanya cari nafkah, keluar pagi pulang petang.
Dalam perkahwinan, kita saling memenuhi keperluan emosi masing-masing. Kita mahu berbual mesra sambil berpandangan, kita mahu jalan berpegangan tangan, tersenyum dan ‘rasa sesuatu’ (Kuch kuch hota hai kata SRK). Kita juga mahu lihat pemandangan cantik bersama orang yang kita sayang dan lari dari celahan suara anak-anak.
Allah jadikan perkahwinan ni sangat special. Memenuhi keperluan emosi selain tuntutan nafkah zahir, batin dan untuk dapatkan zuriat.
Kenapa special?
Keperluan emosi ni adalah fitrah kita sebagai manusia. Dan ia dapat dipenuhi melalui jalan perkahwinan. Tahu tak, kita juga boleh penuhi keperluan emosi ni di luar jalan perkahwinan. Orang bercouple, contohnya. Tetap bermesej, berdating, berbual, berpandangan, berpegangan tangan dan sebagainya. TAPI semuanya jadi berdosa dan jatuh hukum haram. Sebaliknya, melalui jalan perkahwinan, semuanya halal dan mendatangkan pahala. Allah redha, timbul pula rasa bahagia. Subhanallah!
Pergi la dating balik dengan pasangan macam masa mula-mula kahwin. Tinggalkan anak-anak pada mak ayah atau pengasuh. Pergi tengok wayang sambil kongsi popcorn, keluar makan tempat mahal sikit, makan suap-suap. Tak pun jalan-jalan tempat cantik sikit sambil selfie banyak-banyak. Eh banyak lagi lah boleh buat bersama!
3 bulan lepas, masa birthday hasben (yang tak pernah pun disambut sejak 8 tahun kahwin) kiteorang pergi celebrate kat atas bukit Cameron. Masuk ladang lavender sambil selfie banyak-banyak. Masuk kedai cenderahati, beli pulak keychain gambar lavender yang boleh tulis nama tu. Tulis cantik-cantik, Aniza ❤ xxx.
Lepas tu ke Bharat Tea Plantation. Kat situ ada jual kek potong dan pelbagai desert. Kalau datang ramai-ramai rasanya takde la nak makan situ kot. Tengok harga pun terpelanting biji mata.
Tapi bila fikirkan special occasion, kiteorang pilih kek mahal pun rasa ok jee..duduk di satu seat hujung sambil tengok ladang teh dan hirup green tea. Makan kek pun cuba bersuap-suap walaupun tak biasa.
Nak turun ladang teh tu pun sambil tarik tangan pasangan. Sebelum ni kalau minta tolong tarikkan tangan nak bangun atau pegang tangan nak lintas jalan maybe tak rasa apa-apa. Disebabkan ni special occasion, rasa special sikit dalam hati.
Balik dari dating ringkas tu, upload gambar dalam ig. Saja la buat kenangan. Ada la komen kawan-kawan. Gula tumpah la, banyak semut la, diabetis teruk la..
Saya senyum aje la. Padahal mereka tak tahu kami baru nak ‘jalan-jalan’ penuhi keperluan emosi lepas 8 tahun kahwin. Huhu!
Bila bermuhasabah, kami sedar…
“Sebenarnya, orang couple dah lama buat benda macam ni. Rugi la bila dah kahwin dan ada hubungan yang halal tapi kita abaikan je apa yang sepatutnya kita boleh buat”
Begitulah..
Lubuk konten tentang inspirasi, rumah tangga dan macam-macam lagi, MINGGUAN WANITA kini di seeNI, download seeNI sekarang!
Ketika keluarga lain sedang kalut membuat persiapan akhir menyambut Aidil Adha pada 10 Ogos 2019 lalu, siapa menduga keluarga kecil ini dikejutkan dengan insiden yang mengubah seluruh kehidupan mereka sekeluarga. Sehari sebelum kejadian, sekitar jam 2 pagi masih terbayang lagi susuk tubuh lelaki yang dipanggil papa; Muhammad Khairul Abdullah (38) tiba-tiba muncul di depan pintu bilik. Dia mengadu mulutnya sukar bergerak dan badannya kebas.
“Tak sampai seminit dia mengongoi, dia rebah dan tidak boleh bergerak. Sebaik mengiringkan dia ke sisi, suami terus memuntahkan segala isi perut. Tanpa berlengah saya terus hubungi ambulan dan maklumkan adik ipar. Dalam situasi mencemaskan itu, saya sempat menyambar beberapa dokumen penting walaupun ketika itu kaki dan tangan menggigil mencari kekuatan.
“Anak kedua kami, meraung ketakutan melihat situasi panik itu. Setibanya ambulan di hospital, suami terus dihantar ke zon merah. Doktor mengesahkan suami diserang strok akibat tekanan darah tinggi. Dalam keadaan kritikal itu, doktor terpaksa komakan suami bagi mengelakkan keadaan lebih serius.
Setelah melalui pengimbasan tomografi berkomputer (CT Scan) ditemukan ketulan darah besar di dalam teras otak, letaknya betul-betul di belakang tengkuk (tempat suami selalu mengadu sakit),”cerita Norashikin Md Nor ketika dihubungi menerusi emel tempoh hari.
Keputusan terbesar pernah dibuat dalam hidup
Bukan mudah untuk kita membuat satu keputusan besar yang impaknya meninggalkan kesan yang bukan kecil. Doktor memaklumkan tiada rawatan atau pembedahan boleh dibuat bagi meredakan kondisi si suami. Jika perpisahan itu, lebih baik…meskipun nyawa terpaksa berpisah dari jasad, Norashikin nekad melepaskan sang suami ‘pergi’ dari terus melihatnya terseksa.
“Tiada rawatan atau pembedahan boleh dibuat. Boleh on-tube untuk dua minggu tetapi pengakhirannya tetap sama. Ketika menandatangani surat keizinan untuk membuka mesin pernafasan itu, fikiran ketika itu kosong sambil mengenangkan anak-anak yang masih kecil. Kemudian suami dimasukkan ke dalam wad dan menggunakan bantuan pernafasan manual yang dipam oleh jururawat bergilir-gilir. Kami kemudian menghubungi ambulan persendirian untuk menguruskan membawa pulang suami ke rumah. Ketika di dalam ambulan itu, air mata saya tidak lagi mengalir. Ketika itu macam-macam perkara berkenaan kehidupan saya dan anak-anak selepas ini bermain di fikiran.
“Setibanya di rumah ibu mertua, saya sempat bisikan ke telinga suami, “abang pergilah…saya redha. Saya akan jaga anak-anak kita sebaik mungkin, abang jangan risau”. Selepas selesai mengajar dia mengucap, suami terus ‘pergi’ dengan linangan air matanya membasahi di pipinya, petanda dia faham pesanan terakhir yang didengari.
Air mata bukan lagi pilihan, kerana ia tidak lagi menenangkan
Seperti yang pernah dikongsikan dalam laman muka buku (facebook) peribadinya, wanita ini menjelaskan air mata bukan lagi pilihan kerana ia tidak lagi menenangkan. Demi meredakan emosi dua puterinya; Khayla (5) dan Keisha (1), Norashikin berjanji dengan dirinya jangan sesekali menumpahkan air matanya di hadapan mereka.
“Saya tekadkan hati dan berjanji untuk tidak lagi menangis di depan anak-anak kerana bimbang mereka ketakutan. Sebaik melihat jenazah papa mereka, kedua-duanya trauma dan tidak mahu mendekati arwah. Khayla masih keliru dan hingga kini memaklumkan yang papanya sakit, papa tidur, papa tak bangun tidur lagi. Ada ketikanya dia minta saya buat video call untuk dia bercakap dengan papanya…katanya rindu nak tengok papa.
“Paling sayu apabila melihat hasil lakarannya yang pastinya berkaitan dengan momen akhirnya bersama papanya. Sebagai contoh lakaran stetoskop yang dilihat digunakan oleh doktor ketika membuat pemeriksaan ke atas papanya. Ada juga lakaran yang berkisar mengenai ambulan, kereta jenazah dan pusara papanya. Saya biarkan dia melakar apa saja yang terlintas di kepalanya, dengan harapan medium itu mampu merawat emosinya.
“Keisha pula masih terlalu kecil untuk memahami. Ada ketikanya dia menangis tak keruan, menunggu waktu petang waktu lazim papanya pulang dari kerja. Kadang deruan enjin motosikal yang melepasi hadapan pagar rumah kami, membuatkan anak-anak ini bertempiaran lari menuju ke pintu rumah… menunggu kemunculan papanya. Sebagai ibu, saya tahu mereka terlalu rindukan arwah papanya. Mereka juga perlu masa untuk membiasakan diri dengan kehidupan baru tanpa papa yang begitu memanjakan mereka,”kongsinya yang dalam proses berpindah ke Melaka, memandangkan sekarang mereka kini masih menetap di Johor.
Kehilangan yang tiada galang gantinya
Mengenang kembali memori tentang suaminya. Menurut Norashikin lagi, arwah merupakan lelaki yang mendahulukan keluarga dalam kehidupannya. Ibunya adalah sosok yang paling dia sayangi. Bekerja menguruskan pemasangan jalur lebar, menjadikan gaji yang diterimanya tidaklah sebesar mana bagi menampung keluarga kecil kami.
“Dia seorang lelaki yang ‘family man’. Apa-apa saja dia buat, keluarga akan diutamakan dahulu. Paling dia sayang ibu dia. Nak pergi ke mana-mana atau nak buat apa-apa aktiviti dia mesti pelawa ibu n adik-beradik join sekali. Pesan arwah lagi, dia bimbang nanti ada yang kecil hati kalau tak diajak.
“Bab menjaga hati orang sekeliling juga salah satu sikap murninya. Kehilangannya yang mengejut membuatkan ramai kenalan, pelanggan yang pernah menggunakan khidmatnya dan ahli keluarga jauh dan dekat masih terkejut mendengar perkhabaran pemergiannya. Itu sebabnya ramai yang terasa dengan kehilangannya secara tiba-tiba.
“Hingga ke hari ini, masih ada lagi client yang hubungi atau mesej nombor telefonnya bagi mendapatkan khidmat nasihatnya. Paling menyentuh hati sempena raya haji baru-baru ini dia dah ambil cuti panjang sebab nak bawa kami holiday, tapi hajatnya tak kesampaian. Gaji dia pun bukannya banyak, tetapi dia tak pernah lokek dengan keluarga dan sedaya upaya nak happykan anak-anak. Kadang-kadang sekadar keluar makan-makan ataupun keluar ambil angin luar sebab dia tau kami asyik terperap kat rumah bila dia keluar kerja. Sejak berhenti kerja beberapa tahun lalu, saya tidak lagi bekerja dan fokus pada keluarga dan anak-anak.
“Seperkara lagi yang pastinya saya rindukan, adalah penilaiannya bak juri profesional terutamanya ketika saya memasak menu baru. Apa saja yang saya masak dia akan makan tanpa banyak soal. Kalau sedap nanti dia minta kita masakkan lagi. Sejujurnya, ketika baru berumah tangga dulu… saya tak pandai memasak. Goreng nugget pun hangus, tetapi sikapnya yang pandai ambil hati isteri membuatkan kita teruja nak masak untuk dia dan anak-anak. Secara tak langsung kita jadi minat untuk memasak. Saya juga bercadang untuk memulakan perniagaan kecil-kecilan dengan memanfaatkan skill memasak yang ada bagi menampung keperluan anak-anak,”ceritanya optimis.
Sebelum menutup bicara Norashikin juga menitipkan luahan bagaimana mengharungi saat perpisahan tak di duga ini.
“Tak menangis bukan bererti tak sayang. Meraung dan meratap bukan menyelesaikan masalah tapi cuma akan membebankan jiwa. Jangan biarkan diri terlalu lama dibalut emosi kesedihan. Pepatah ada juga berkata…ikut hati mati, ikut rasa binasa. Positifkan diri adalah pegangan saya kini. Pastinya rasa sedih itu akan datang dan pergi. Tanpa adanya Khayla dan Keisha, saya tak akan sekuat ini. Sesukar mana pun hari yang mendatang nanti, saya berjanji akan mendidik kedua amanah terbesar Allah ini sebaik mungkin. Doakan kami kuat mengharunginya,”kongsinya menutup bicara.
Lubuk konten tentang inspirasi, rumah tangga dan macam-macam lagi, MINGGUAN WANITA kini di seeNI, download seeNI sekarang!
Celik saja mata waktu pagi, kepala mak-mak terus berkira-kira apa yang patut dilakukan untuk hari ini. Inilah kerja hari-hari yang mak ayah buat. Memikirkan dan mencari rezeki demi membesarkan anak-anak.
Apabila anak sudah berjaya, giliran anak-anak untuk membantu dan membalas jasa mak ayah. Namun, berapa ramai yang mampu berbuat demikian. Kononnya, anak-anak sudah mempunyai keluarga sendiri pula.
Akhirnya, ada mak ayah yang kerja sehinggalah usia lanjut. Sedihnya. Sebagai anak, jangan abaikan tanggungjawab dan ingat apa yang telah mak ayah korbankan semasa kita kecil.
Malah, mak ayah sebenarnya tahu apa yang ada pada anaknya. Perasan tak, mak ayah tidak pernah sekali meminta duit belanja daripada anak-anak. Dia tidak mengharapkan, cuma sebagai anak kenalah fikir tanggungjawab dan balas jasa mereka.
Daripada perkongsian Dr Ahmad Samhan, cukup menyentuh perasaan tatkala berbual bersama pesakitnya yang agak berusia. Bersyukur kerana anak-anaknya mampu membalas jasa mak ayah.
Masih ramai yang perang mulut sebab nak kemas rumah, tambah kalau laki bini sama-sama keluar bekerja mencari rezeki.
Ini ceritanya, mungkin ada yang keliru dan pendam rasa, betul ke semua kerja rumah isteri yang wajib sendirian?
Ok… Ini Jawapannya!
Sebenarnya bukan saja isteri tetapi suami juga perlu menguruskan rumah tangga seperti mengemas, memasak dan lain-lain yang berkaitan.
Renungkan hadis ini…
Diceritakan daripada Al-Aswat bin Yazid katanya yang maksudnya, “Aku bertanya kepada Aisyah: “Apa yang Nabi s.a.w kerjakan di rumah? Aisyah menjawab: “Baginda sentiasa melayani isterinya yakni membantu isterinya membuat kerja-kerja rumah. Maka apabila masuk waktu sembahyang Baginda pun keluar untuk sembahyang (ke masjid).” – hadis riwayat Al-Bukhari. Hadis ini menjadi bukti bahawa kaum suami sewajarnya membantu para isteri melakukan kerja-kerja di rumah dan di dapur.
Bermaksud isteri tidak wajib menyelenggarakan atau mengurus rumah. Isteri juga tidak diwajibkan memasak. Bererti jika isteri tidak uruskan rumah tangga atau tidak memasak, si isteri bukan nusyuz.
Fitrah Seorang Wanita
Namun menjadi fitrah wanita untuk menguruskan rumah tangga, sejak sekian lama, sejak zaman manusia hidup dalam gua lagi tatkala si lelaki keluar berburu maka si wanitanya menunggu bersama anak-anak kemudian apabila si lelaki balik bersama hasil buruan, maka si wanita yang menyediakan makanan daripada hasil buruan tadi. Isu yang jelas, kebanyakan pasangan suami isteri sekarang ni, bukan hanya suami yang keluar mencari rezeki sebaliknya si isteri juga turut keluar mencari wang bagi membantu suami menampung perbelanjaan keluarga.
Kalau Rasulullah s.a.w, seorang kekasih Allah, masih boleh membantu isteri-isteri baginda dengan kerja-kerja di rumah, hebat sangat kah lelaki akhir zaman kini hingga enggan membantu isteri sedangkan isteri dah membantu anda menguruskan pembiayaan nafkah keluarga?
Sama juga dengan memasak, hanya menjadi wajib dilakukan oleh isteri jika disuruh oleh si suami dengan syarat suaminya telah menyediakan segala bahan yang diperlukan atau memberikan wang yang bersesuaian bagi menyediakan hidangan yang disuruh oleh si suami.
Andai disuruh sahaja tanpa menyediakan keperluannya atau tidak memberikan wang yang perlu, si isteri berhak tidak memasak malah boleh juga tidak membeli hidangan untuk si suami kerana tanggungjawab menyediakan makanan bukan tertanggung di bahu isteri sebaliknya dibebankan ke bahu suami.
Diceritakan, seorang sahabat bernama Hakim bin Muawiyyah bin Hidah al-Qusyairi r.a pernah mendengar ayahnya berkata bahawa dia pernah bertanya kepada Rasulullah s.a.w: “Wahai Rasulullah! Apakah hak isteri kami ke atas suami? Rasulullah s.a.w bersabda: Memberinya makan apabila kamu makan, memberinya pakaian apabila kamu berpakaian.” – hadis riwayat Abu Daud.
Jadikanlah rumah tangga itu sebagai tempat berkasih sayang untuk lebih mengeratkan hubungan suami isteri, buat sama-sama dan nimati bersama. Amalkan mesyuarat ahli keluarga untuk membincangkan menu hidangan. Bukan saja membantu memberi cadangan tetapi juga membantu dalam proses penyediaan dan memasak. Dilema isteri atau ibu yang bekerja ialah tidak cukup masa.
Ok, jom selesaikan masalah kemas rumah dengan cara ini…
1. Kalau nak isteri masak, suami jagalah anak kejap. Letak phone jauh-jauh. Isteri kena pantas di dapur, baru semua kerja jadi cepat. Jadi sila buat bahan masak siap-siap letak dalam peti. Senang!
2. Balik daripada kerja petangnya, cuma tambah bahan yang perlu dan didihkan.
3. Tak perlulah nak sediakan hidangan hebat setiap hari. Memadai hidangan yang mudah dan cepat disediakan. Masa hujung minggu, barulah sediakan hidangan kelas lima bintang.
4. Para suami pula jangan cepat sangat mencemuh dan memperlekehkan masakan isteri. Ingat! Isteri anda bukan chef hotel lima bintang. Hargailah kepenatan dan pengorbanannya untuk menyediakan hidangan terbaik buat anda sekeluarga.
Sangat mudah, bukan? Baik suami atau isteri, usahakan menyemarakkan kasih sayang suami isteri dengan bertindak seperti Wonderpets; Apa yang penting, kerjasama!
Lubuk konten tentang inspirasi, rumah tangga dan macam-macam lagi, MINGGUAN WANITA kini di seeNI, download seeNI sekarang!
Fattah sering kongsi rindu anak & isteri, Pekin Ibrahim kongsi "bila masuk waktu dia minta nak solat terus. Sejak semalam kisah perceraian Fattah Amin...