Mengamalkan gaya hidup yang sihat sememangnya sangat bagus. Apatah lagi buat golongan hawa. Bersenam bukan sekadar akan mendapat bentuk badan yang cantik malah boleh terhindar dari pelbagai penyakit.   

Akui personaliti yang menghiasi ruangan Motivasi Sihat kali ini, Ani Sarah Ja’afar, 34, senaman amat membantu dirinya mengatasi masalah kesedihan, kekecewaan dan tekanan.

“Saya mula serius dan fokus melakukan aktiviti sihat pada bulan Mac 2018, selepas saya kehilangan anak ketiga dalam kandungan. Pada waktu itu saya kehilangan anak lelaki yang dikandung tujuh bulan. Perkara itu merupakan tamparan hebat bagi saya.

“Selepas genap 30 hari berpantang saya melakukan senaman zumba, HIIT, Tabata dirumah dengan menonton video di Youtube. Senaman amat membantu saya mengatasi masalah tekanan, sedih dan kecewa. Malah senaman juga merupakan terapi terbaik untuk saya pulihkan diri saya demi anak-anak dan suami. Suami pula amat membantu dan menyokong saya dari segi emosi,” ungkap ibu yang berasal dari Kuala Lumpur ini.

Aktiviti Kecergasan Rawat Kesedihan & Kekecewaan Lepas Hilang Anak Dalam Kandungan

Keluarkan Aura Negatif

Ani Sarah juga akui mengamalkan gaya hidup sihat amatlah berbaloi. Malah menjadi kewajipan kita sebagai manusia menjaga aset yang dikurniakan oleh Allah SWT.

“Bagi saya bila bersenam saya dapat salurkan tenaga atau aura negatif dalam diri saya keluar. Saya rasa lebih seronok. Senaman amat membantu saya mengatasi masalah stres. Allah telah meminjamkan pada kita semua anggota badan yang cukup sempurna, jadi tugas kita perlu menghargai pinjaman yang Allah berikan. Jaga sebaik-baiknya pinjaman ini bukan melakukan kerosakan pada tubuh badan kita.

Ads

“Saya sememangnya bergiat aktif dalam aktiviti sukan atau apa sahaja aktiviti kecergasan sejak dibangku sekolah. Saya juga gemar melakukan aktiviti kecergasan untuk kepuasan diri sendiri. Tapi ketika melangkah memasuki alam pekerjaan, saya agak kurang melakukan aktiviti kecergasan disebabkan kekangan masa.

“Selepas melahirkan anak pertama pada 2015, saya mula melakukan aktiviti kecergasan dan pemakanan sihat. Saya banyak membaca artikel-artikel berkaitan diet kalori, cara pengiraan DCR, BMR, Pengiraan Denyutan Jantung dan sebagainya. Semua maklumat saya cara sendiri melalui pencarian di internet. Senaman pula saya hanya bergantung melalui Youtube. Antaranya zumba, tabata, HIIT dan sebagainya asalkan saya berpeluh. Selepas melahirkan anak pertama, tercetus idea untuk kekal sihat demi anak. Supaya saya cukup stamina untuk bermain, melompat, menari dan sebagainya untuk anak-anak saya,” terang Ani Sarah yang akan bersenam sekurang-kurangnya lima kali seminggu.

Aktiviti Kecergasan Rawat Kesedihan & Kekecewaan Lepas Hilang Anak Dalam Kandungan Aktiviti Kecergasan Rawat Kesedihan & Kekecewaan Lepas Hilang Anak Dalam Kandungan

Dapatkan Nasihat Doktor

Ads

Bergelar suri rumah, wanita ini telah berjaya mendaki beberapa buah bukit sekitar Kelantan iaitu Bukit Panau dan Bukit Kudung. Malah Ani Sarah juga ada menyertai beberapa acara larian untuk kategori 3km hingga 12km. Malah dia juga dalam perancangan untuk menyertai larian 21km. Berkongsi tips bagaimana mahu memulakan aktiviti kecergasan, Ani Sarah mencadangkan agar wanita di luar sana mendapatkan nasihat doktor terlebih dahulu.

“Bagi wanita yang ingin memulakan aktiviti kecergasan, saya cadangkan anda mencari maklumat mengenai senaman yang sesuai dengan berat dan fizikal anda terlebih dahulu. Dapatkan nasihat doktor bagi yang ada masalah kesihatan sebelum melakukan apa-apa aktiviti kecergasan.

“Dapatkan juga kasut sesuai yang boleh menyokong berat badan anda dan selesa dipakai. Pilih senaman yang mudah terlebih dahulu bagi yang baru memulakan aktiviti kecergasan. Apabila stamina ada perubahan barulah beralih kepada senaman yg sukar.

“Lakukan aktiviti kecergasan untuk diri sendiri. Sekiranya anda memerlukan kawan, anda digalakkan menyertai mana-mana program kesihatan. Program kesihatan ini amat membantu sesiapa sahaja yang ingin mengurangkn berat badan atau sesiapa yang sukakan aktiviti kecergasan. Program sebegini akan membantu dari segi pemakanan dan senaman,” kongsi Ani Sarah.

Ads

Tidak Alami Masalah Berat Badan

Ani Sarah juga akui sebelum ini dirinya tidak mengalami masalah berat badan namun pada tahun 2018 dia mengalami kesukaran menghilangkan lebihan berat badan selepas bersalin.

“Saya tidak pernah mengalami masalah berat badan atau gemuk. Tapi selepas melahirkan anak ketiga pada bulan Februari tahun 2018, saya mengalami kesukaran menghilangkn lebihan berat badan ketika hamil. Ketika hamil, berat badan saya naik sebanyak 10kg. selepas melahirkan anak ketiga, dalam tempoh sebulan berpantang saya hanya berjaya hilang 4kg sahaja.

“Berat terakhir saya sebelum bersalin ialah 73kg. Selepas berpantang selama 30 hari saya mula melakukan senaman serta  menjaga pemakanan. Saya berjaya hilangkan lebihan berat ketika hamil sebanyak 11kg dlm tempoh  tiga bulan. Pada bulan Ogos 2018 saya menyertai Program Jom Kurus dan berjaya hilang 2.5kg lagi dan berat terakhir saya sekitar 59-60kg,” jujur Ani Sarah.

Akhiri kata-kata dengan tiada rahsia untuk kurus. Ani Sarah berkongsi paling penting semangat dan ilmu.

“Banyakkan membaca artikel-artikel mengenai senaman dan kesihatan untuk dijadikan panduan. Semua maklumat dihujung jari. Jika perlukan kawan sebagai pembakar semangat, carilah kawan-kawan yang positif agar dapat memberikan semangat untuk kekal sihat dan cergas.

“Keluarga juga perlu bagi sokongan sekiranya ada ahli keluarga yang mengalami masalah berat badan dan ingin berubah ke arah yang lebih sihat. Pemakanan memainkan peranan utama untuk kekal sihat dan yang ingin hilangkan berat badan berlebihan. Pilih pemakanan yang sihat, cara masakan yang sihat agar kalori harian badan tidak berlebihan yang menjadi punca kepada berat berlebihan.”

Lubuk konten tentang inspirasi, rumah tangga dan macam-macam lagi,
MINGGUAN WANITA kini di seeNI, download seeNI sekarang!

KLIK DI SEENI