
Aktivis Rohingya, Noor Azizah dakwa 2000 kanak-kanak ditahan di jeriji besi, tidak diberi hak pendidikan.
Seorang aktivis berbangsa Rohingya, Noor Azizah mengundang kecaman warga net yang disifatkan sebagai tidak menghargai bantuan dan perlindungan yang diberikan negara ini kepada komuniti berkenaan apabila mendakwa 2000 orang kanak-kanak etnik ini ditahan di jeriji pusat tahanan Imigresen dan tidak diberikan peluang belajar di sekolah di usia mereka.
Noor Azizah yang pernah menetap selama lapan tahun setengah di Malaysia sebelum berhijrah ke Perth, Australia membuat dakwaan itu ketika menerima Anugerah Marie Claire Women of the Year Awards bagi kategori Voice of Now 2025.
Menerusi video ucapan yang turut dimuat naik di akaun Instagramnya, @noor.azizah.rohingya, aktivis ini berucap di pentas antarabangsa dengan mendakwa kanak-kanak Rohingya di Malaysia membesar di sebalik jeriji besi iaitu berada di pusat tahanan Imigresen berbanding berada di dalam bilik darjah pada usia mereka.
Kenyataan tersebut mengundang pelbagai reaksi dalam kalangan netizen yang menyifatkan Noor Azizah tidak menghargai perlindungan dan bantuan yang pernah diberikan Malaysia kepada komuniti Rohingya sejak empat dekad lalu iaitu bermula awal 80-an susulan operasi pembantaian ketenteraan Myanmar terhadap etnik berkenaan.
Dalam ucapan berkenaan, Noor mendakwa penderitaan etnik Rohingya tidak berakhir walaupun selepas mereka melarikan diri dari Myanmar.
“Selepas kami melarikan diri dari Myanmar, keganasan terus mengekori kami. Anda mungkin mengenali Malaysia, Indonesia dan Thailand sebagai destinasi percutian untuk anda dan keluarga.
“Di Malaysia hari ini, lebih 2,000 kanak-kanak Rohingya dikurung di pusat tahanan imigresen, membesar di sebalik jeriji besi dan bukannya di dalam bilik darjah.
“Di Indonesia, ucapan kebencian, maklumat palsu dan disinformasi membanjiri media sosial, manakala di Thailand sindiket pemerdagangan manusia memperdagangkan tubuh Rohingya seperti mata wang,” katanya.
Noor yang dilahirkan dalam keluarga pelarian Rohingya turut berkongsi pengalaman hidupnya ketika berada di Malaysia. Menurutnya Noor Azizah, dirinya membesar dalam keadaan serba kekurangan dan hidup tanpa dokumen sah sepanjang menetap di negara ini.
Malah dalam satu perkongsian lain sempena kempen #Black4Rohingya, Noor Azizah turut mendakwa keluarganya pernah bersembunyi di hutan Sabah, menjual makanan bagi meneruskan kehidupan serta hidup dalam ketakutan kerana bimbang ditahan pihak berkuasa.
“Saya bersembunyi di hutan Sabah, menjual makanan bersama keluarga dan hidup dalam ketakutan untuk ditangkap kerana kami tidak mempunyai status sah.
“Kami bertahan melalui kerja keras dan kebaikan hati rakyat Malaysia biasa, bukannya kerana menerima bantuan percuma,” katanya.
Pada masa sama, Noor turut menolak dakwaan yang sering dikaitkan dengan komuniti Rohingya kononnya mereka menerima pelbagai keistimewaan sepanjang berada di negara ini.
“Saya terus melihat dakwaan bahawa Rohingya menerima makanan percuma, rumah percuma dan keistimewaan khas. Tiada apa yang lebih jauh daripada kebenaran,” katanya.
Dirinya turut menggesa masyarakat supaya tidak melihat komuniti Rohingya sebagai musuh serta menganggap mereka sebagai golongan yang melarikan diri daripada konflik dan keganasan.
“Kanak-kanak Rohingya bukan musuh anda. Ibu yang cuba memberi makan kepada anak-anak mereka bukan musuh anda. Mereka yang melarikan diri daripada keganasan bukan musuh anda,” katanya.
Sejak video ucapannya tular di media sosial, rata-rata netizen mempersoalkan tindakannya membangkitkan isu Malaysia di pentas antarabangsa malah ada yang berpendapat beliau seharusnya memberi fokus kepada kekejaman yang dilakukan terhadap etnik Rohingya di Myanmar berbanding mengkritik negara-negara yang menjadi lokasi perlindungan pelarian berkenaan.