Lumrahnya lelaki dan wanita saling melengkapi.Namun adakalanya perbezaan sifat dan corak pemikiran diantara suami isteri boleh mewujudkan salah faham dan masalah didalam rumahtangga. Seringkali perkara yang dianggap kecil buat suami, menjadi isu besar oleh isteri. Sebagai salah satu contoh mengingati tarikh-tarikh penting seperti hari jadi, ulang tahun perkahwinan dan sebagainya.
Untuk memperjelaskan perkara ini, jemput baca penerangan oleh Dr Zubaidi Hj Ahmad ini.
Mengapa Lelaki Tidak Ingat Tarikh Perkahwinan?
“Doktor ingat tarikh perkahwinan?” saya ditanya oleh petugas di kaunter pendaftaran sarjana di UTM beberapa minggu lepas.
Saya diam. Rasa malu. Tersengih.
“Errr… boleh saya minta talian hayat. Saya nak call isteri saya”
Saya bukan lelaki yang tidak peduli pada perkahwinan. Cuma saya tidak dapat mengingati tarikhnya.
Di waktu yang lain, ketika saya memeriksa seorang kanak-kanak yang demam kuat. Saya mahu memberikan ubat. Dosnya harus diberikan mengikut umur dan berat badan kanak-kanak itu.
“Berapa umur anak encik ni. Ingat tarikh lahirnya?” saya menyoal bapa yang membawa kanak-kanak ini.
Kaum bapa bukan tidak sayang anak. Tetapi nombor pada tarikh-tarikh itu agak sukar diingat. Entah mengapa.
“Mengapalah suami saya sukar mengingati tarikh lahir anak, tarikh perkahwinan dan tarikh-tarikh penting..” keluh seorang isteri.
Saya termenung panjang. Walaupun wanita ini mengeluh tentang sikap suaminya, namun ia terkena batang hidung saya. Apakah juga saya juga jenis suami yang tidak peduli?
Memahami Perbezaan Sifat Lelaki Dan Wanita
Sifat Lelaki/ Suami
Lelaki adalah makhluk Allah yang diciptakan dengan perasaan tanggungjawab untuk mencari rezeki, melindungi keluarga dan menyelesaikan masalah mereka. Untuk tujuan itu mereka dikurniakan kekuatan fizikal.
Fikiran mereka lebih fokus memastikan isteri dan anak-anak tidak kelaparan di rumah. Mereka memikirkan bagaimana isteri dan anak-anak dapat tinggal di rumah yang selamat. Mereka bertanggungjawab terhadap masalah yang diadukan dan sentiasa berfikiran ‘mahu menyelesaikan masalah’.
Ads
Mereka akan memastikan stok makanan mesti mencukupi di rumah, atau sekurang-kurangnya telah memberikan wang secukupnya untuk perbelanjaan rumah pada isteri. Namun mereka tidak bersedia untuk memikirkan bagaimana makanan itu akan dihidangkan di meja makan.
Oleh itu, jangan tanyakan perkara yang terperinci hal di dalam rumah. Jangan kecil hati jika mereka tidak mengetahuinya, termasuk menu masakan pada hari ini.
“Abang nak makan apa hari ini?”
“Masaklah apa-apa…”
Otak lelaki tidak mampu memikir secara terperinci hal-hal di dalam rumah. Fokus mereka hanya untuk memastikan hal di dalam rumah dalam keadaan selamat dan anak isteri mereka tidak kelaparan.
Sifat Wanita/ Isteri
Sementara itu, wanita atau isteri pula, Allah jadikan dengan struktur fizikal dan emosi yang berbeza. Mereka berfungsi sebagai pengasuh anak dan menjaga hal-hal di dalam rumah tangga. Fokus mereka memastikan rumah sentiasa bersih dan kebajikan anak-anak terbela.
Mereka akan memastikan setiap perkara dalam rumah disimpan dan dijaga dengan selamat. Wanita akan tahu di mana diletakkan stokin suami yang dicampak oleh suami ketika sampai di rumah semalam. Wanita boleh menghidu bau rokok pada baju suami, hanya kerana suami duduk bersembang bersama-sama teman yang merokok.
Setiap perincian diingati. Tarikh bila anak harus menaghadiri appoinment doktor, tarikh bila anak harus mendaftarkan diri ke sekolah dan pelbagai tarikh lagi. Ini kelebihan yang Allah berikan, agar wanita dapat menjaga kebajikan rumah tangga dengan baik.
Sayangnya perbezaan sifat antara lelaki dan wanita, suami dan isteri tidak dapat difahami dengan baik. Oleh itu wujudlah salah faham di antara suami dan isteri. Di sinilah bermulanya masalah salah faham dalam perkahwinan.
Ads
“Doktor, semasa suami mengurat saya dulu, semua yang saya suka diingat. Sampai nombor kad pengenalan saya dia ingat. Cuba tanya dia sekarang. Tarikh lahir saya pun dia sudah lupa..”
Lelaki mungkin tidak dapat mengingati tarikh lahir isterinya, tidak bermakna dia sudah tidak menyayangi isterinya. Lelaki harus memberikan fokus kepada perkara yang ‘lebih penting’ dan ‘lebih besar’.
Apabila lelaki sedang memikat seorang wanita, dia semestinya cuba membuktikan bahawa dia adalah lelaki yang boleh diharapkan menjadi ketua keluarga.
Oleh itu, apa sahaja prasyarat bagi sebuah perkenalan akan ditunaikan bagi membuktikan bahawa dia adalah lelaki yang mampu membuatkan wanita itu bahagia. Lelaki akan memberikan perhatian sepenuhnya kepada wanita yang dihajati. Fokus diberikan kepada usaha untuk memiliki.
Namun setelah bernikah, lelaki yang telah bergelar suami mempunyai set pemikiran yang berlainan. Dia harus memastikan isteri dan keluarga yang telah dibina berada dalam keadaan selamat dan bahagia.
Lelaki bergelar suami akan memberikan fokus bagaimana isterinya tidak kelaparan di rumah, berada dalam rumah yang selamat dan terus berfikir bagaimana memberikan kebahagian fizikal dan material pada isterinya.
Lelaki yang tidak mendapat tauladan dari ibubapanya, tentu sahaja menganggap bahawa memberikan kebahagian fizikal dan material telah mencukupi bagi sebuah keluarga. Mereka tidak terfikir bahawa sebuah keluarga harus juga diberikan nilai emosi dan spiritual.
“Apa yang awak mahu lagi? Tak cukup ke saya berikan duit setiap bulan?” itu adalah dialog yang sering diberikan.
Itulah naluri seorang lelaki. Ramai suami yang beranggapan bahawa tugas mereka hanya di luar rumah dan akan berakhir apabila mereka memasuki pintu rumah. Di rumah, segalanya diserahkan kepada isteri.
Ads
“Doktor, saya bukan tak suka menyambut hari harijadi isteri saya. Ini bukan ulang tahun yang ke sepuluh, tapi dah masuk ke 50. Saya rasa kalau saya bekerja lagi berfaedah” alasan seorang suami yang lupa tarikh lahir isterinya.
Ramai isteri yang kecewa dan memendam rasa. Bukan kerana suami tidak hadir jamuan pada tarikh yang bersejarah, tapi mereka kesal dan kecewa dengan sikap suami yang seolah-olah tidak memperdulikan mereka lagi.
Jadi di mana penyelesaiannya? Perlukan isteri bersabar dan memendam rasa sehingga suatu hari ada seorang lelaki lain yang mengambil berat terhadap dirinya lalu jatuh hati?
Sekali lagi jika kita memeriksa sikap lelaki yang bergelar suami, kebanyakannya ‘terlepas pandang’ terhadap perkara-perkara yang mereka anggap kecil, tetapi ia adalah suatu isu yang besar bagi isteri.
Fokus Pada Perkara Lebih Penting
Mereka bukan tidak peduli pada keluarga tetapi mereka lebih fokus kepada perkara yang mereka anggap lebih penting. Jadi jika ada perkara-perkara yang ’kecil tetapi penting’ harus diberi perhatian, beritahulah suami berulang-ulang kali.
Jangan rasa jemu memberitahu suami kerana mempunyai masalah sikap yang sama. Jika perlu, letakkan notis di papan kenyataan, kirimkan sms atau mengingatkan beliau setiap kali mahu ke tempat kerja.
Beritahu suami bahawa perkara itu penting dan sebagai isteri mahu perkara itu diingati.
Jadi jangan memendam rasa dan merasakan suami tdak menyayangi. Bantu para suami mengingati hal-hal itu. Ia lebih baik berbanding memendam rasa dan berburuk sangka pada suami.
Wallahu a’lam.
#sedangkanlidahlagitergigitdrzubaidi
Susunan: Dr Zubaidi Hj Ahmad (080312)
MW: Semoga perkongsian ini bermanfaat dan menjadi panduan buat setiap pasangan suami isteri dalam meraikan setiap perbezaan fikiran dan sifat.
Bulan Ramadan merupakan bulan yang penuh keberkatan, juga memberi limpahan rezeki yang tidak dijangka. Alhamdulillah, siapa sangka pada usia 60 tahun, penyanyi lagenda rock Suhaimi bin Abdul Rahman atau lebih dikenali Amy (Search) bakal menimang cahaya mata yang keenam. Lebih istimewa ia merupakan antara doa yang dimakbulkan, apabila hasrat penyanyi ini untuk menambah seorang lagi cahaya mata tatkala berusia 60 tahun bakal menjadi kenyataan.
Menerusi posting terbaru dilaman instagram, Amy mengumumkan berita gembira isterinya, Norhasniza Hassan, 37, atau Nourish disahkan hamil dan kini sedang mengandung sebulan.
Amy juga meluahkan rasa kesyukuran apabila doanya menimang anak pada usia 60 tahun dimakbulkan tuhan.
“Isteri aku mengandung sebulan yeah! Aku selalu doa apabila aku berumur 60 tahun, nak seorang anak lagi.
“Anda semua (peminat) doakan aku berjaya. Saya cintakan awak sayang @qasander,” luahnya dalam entri berkenaan.
Menerusi perkongsian itu, vokalis kumpulan Search yang memiliki seorang cucu ini memuatnaik video Norish menjalani pemeriksaan doktor dan sedang melakukan ujian ultra bunyi kandungan anak mereka bagi mengesahkan kandungan itu.
Sebelum itu, penyanyi lagu Fantasia Bulan Madu ini juga turut berkongsi video menunjukkan dua batang alat uji kehamilan menunjukkan tanda positif di Instagramnya.
Amy dan Norish mendirikan rumah tangga pada Oktober 2003 dan ia merupakan perkahwinan keempat bagi penyanyi rock ini. Pasangan bahagia ini dikurniakan tiga cahayamata iaitu Alexander Zulkarnain 14, Sania Samara, 13 dan Qaqa At-Tameemi, 9. Manakala menerusi perkahwinan terdahulu Amy memilki dua anak iaitu Nabila Huda,32 dan Irisha Myra,21 serta seorang cucu Keisha Laila,8.
Tahniah buat Amy Search dan isteri yang bakal terima kehadiran ‘orang baru’. Semoga kandungan sihat sempurna dan dipermudahkan segala urusan sepanjang proses kehamilan.
Keterujaan bersama anak-anak perlu dikawal agar tidak keterlaluan, kadangkala tanpa sedar kaum isteri sibuk layan anak-anak sampai suami rasa tersisih dan tak ada masa untuknya. Padahal semua itu langsung tak dirancang, bukan buat-buat sibuk tetapi tak cukup kaki tangan nak semua kerja dalam satu masa.
Ini antara alasan yang akhirnya menjejaskan hubungan suami isteri.
Ya, tidak salah dan sewajarnya ibu memberikan perhatian kepada anak-anak. Apatah lagi sewaktu anak-anak masih kecil dan bergantung sepenuhnya kepada ibu.
Namun kita perlu bijak untuk mengehadkan waktu-waktu tertentu melayan suami. Bagi anda yang masih keliru dengan masalah ini, boleh rujuk tip ini…
1. Bonding Time
Bermainlah dengan anak bersama-sama suami agar masa tersebut dapat dirasai oleh kedua-dua anak dan suami.
2. Cuba Nikmati Hobi Suami
Kadang-kadang kita rasakan tidak adil jika suami marah kita bercakap tentang anak-anak, sedangkan anak adalah milik bersama yang perlu diberi perhatian. Namun sebenarnya kena rancang supaya ada waktu kita bercakap tentang anak, ada waktu bercakap tentang hubungan kita dengan suami juga, ada waktu untuk membelai anak-anak dan ada waktu untuk bermanja dengan suami. Layanlah juga suami bercakap tentang hobinya, malah berilah sokongan tentang kerjayanya.
3. Jagalah Penampilan Biar Puan Malas
Menjadi ibu yang selekeh dengan baju lusuh mungkin tidak salah, malah memudahkan kita menyusukan anak-anak tetapi suami kita adalah lelaki yang fitrahnya suka pada wanita cantik, bergaya pakaian dan menarik.
4. Toleransi
Elakkan daripada ketiadaan masa untuk bersama suami, apatah lagi suami telah pun begitu lama bersabar sepanjang waktu pantang kita. Memang diyakini suami akan memahami dan boleh bertoleransi, tetapi jangan sampai dia terasa kehilangan langsung.
5. Bahagikan Masa Seeloknya
Ada benarnya juga sesetengah suami mengadu, seolah-olah kehidupan isteri seharian hanya untuk anak semata-mata. Bagi adil, bahagikan masa kita bersama anak, wujudkan juga masa suami bersama anak dan masa kita bersama suami. Jangan sesekali kita gunakan alasan anak untuk tidak bersama suami.
6. Bila Suami Sebut Terus Buat
Jangan biarkan sesuatu permintaan suami diulang lebih dua kali. Ini kerana permintaan yang diulang bermaksud serius dan penting untuk diberi perhatian, sekiranya diulang lebih tiga kali atau suami mulai berdiam selepas mengulang beberapa kali, mungkin bermakna dia berjauh hati atau terasa tidak diendahkan.
7. Layan Anak Jangan Sampai Abaikan Suami
Sayangilah anak, tetapi hormatilah suami. Uruskan anak, tetapi jangan lupa jaga penampilan cantik untuk suami. Elakkan tidur bersama anak, kerana suami juga memerlukan kita sebagai temannya. Hormati fitrah suami, mudah-mudahan suami juga mudah bertoleransi untuk kebahagiaan kita.
Tip Cipta Masa Bersama
Kadang-kadang ada mak-mak bukan tak nak buat tetapi sebab tak sempat akibatnya terlepas pandang. Namun sibuk macam mana pun, eloklah mak-mak curi masa keluar bersama dan buat aktiviti yang suami rasa anda masih melayan dirinya dengan cukup bagus…
1. Mak-mak bekerja atau tidak, boleh bangun awal dan subuh berjemaah dan mengaji bersama dengan anak-anak.
2. Terus fikir menu nak masak apa dan keluar bersama-sama cari lauk basah.
3. Lepas itu mak-mak boleh ajak suami tolong di dapur, dan nak mudah lagi pasang tv untuk anak-anak atau biarkan anak bermain di dapur bersama. Dia nak tuang mainan di situ pun, usah dilarang. Selamat pun selamat.
4. Jika ada duit lebih, mak-mak boleh ajak keluar kejap dan mungkin boleh curi-curi belikan sesuatu untuk suami. Lagi elok sesuatu yang suami suka. Eh, kalau dia suka makan kek, sepotong kek pun dah cukup! Itu contoh…
5. Kena curi masa kemas rumah rumah hujung minggu, ini elok ajak buat bersama-sama. Nak ubah perabot atau cat dinding pun silakan. Janji suami isteri sama-sama sibuk dan penat. Hah, tak adalah kes membebel penat buat kerja sorang-sorang.
Nampak tak? Senang ke payah nak buat suami itu rasa sibuk dan dekat di hati. Ini hasilnya penat tetapi bahagia. Confirm!
Lubuk konten tentang inspirasi, rumah tangga dan macam-macam lagi,
MINGGUAN WANITA kini di
download sekarang!
Memegang ‘title’ seorang ibu tunggal bukanlah mudah. Apatah lagi dalam membesarkan anak-anak. Seboleh-bolehnya segala ruang kasih sayang diisi agar anak-anak tidak merasa kekurangan malah turut menyemai nilai-nilai positif agar mereka dapat jadikan panduan serta pedoman bila besar nanti.
Terharu membaca luahan hati dan nukilan oleh Yang Mulia Isteri Tunku Mahkota Johor, Che’ Puan Datin Paduka Khaleeda Bustamam, 25 ini kepada bonda tersayang. Rupanya YM Che Puan Khaleeda dibesarkan oleh mama tersayang, Aziyah Abdul Aziz yang merupakan seorang ibu tunggal. Nilai-nilai positif dan murni yang disemai oleh bondanya ternyata membentuk peribadi mulia puteri raja kesayangan bangsa Johor ini.
YM Che Puan Khaleeda menulis luahan Bahasa Inggeris tersebut didalam Instagramnya.
“Mama saya antara salah seorang wanita paling kuat dalam kehidupan saya. Saya benar-benar rasa bersyukur dibesarkan olehnya, diajar nilai sebenar kehidupan bahawasanya dunia ini hanyalah tempat sementara buat kita”.
“Sentiasa mengingati Allah SWT, jangan peduli perkara material dan mengejar dunia. Menghormati setiap orang dan setiap benda hidup serta menjaga alam semulajadi dan haiwan. Sentiasa mendoakan orang yang berkata mahupun melakukan perkara jahat pada diri saya dan paling penting untuk selalu tersenyum setiap hari”.
“Kepada semua ibu tunggal di luar sana, rasa hormat saya pada anda semua melebihi segala-galanya. Saya dibesarkan oleh ibu saya yang juga merupakan seorang ibu tunggal. Saya telah melihat kepayahan dan kecekalan yang dia tempuhi namun tiada sedikit pun keluhan yang keluar dari mulutnya yang manis”.
“Saya berdoa semoga kegigihan dan kesabaran yang ada pada dirinya sesuatu yang saya boleh miliki suatu hari nanti. Saya menulis ini bukan kerana ucapan Hari Jadinya tetapi untuk mengingatkan diri kita agar limpahkanlah kasih sayang buat ibu kita dengan penuh rasa cinta, ambil berat dan menghormatinya selagi mereka masih ada. Ini kerana terdapat mereka yang tidak berpeluang untuk mengenali ibu mereka sendiri. Alfatihah buat mereka yang ibunya telah berada di syurga sekarang”.
“Saya juga menulis perkara ini kerana sekarang saya memahami kasih sayang seorang ibu dan ia cintanya yang tiada berpenghujung. I Love You With All My Heart, My Sweet Darling Mama♥️”
Terdahulu, DYAM Tunku Ismail dan YM Che’ Puan Datin Paduka Khaleeda telah mendirikan rumahtangga pada 24 Oktober 2014. Pasangan diraja ini dikurniakan sepasang cahayamata YAM Tunku Khalsom Aminah Sofiah,2 dan YAM Tunku Iskandar Abdul Jalil Abu Bakar Ibrahim,1.
Mingguan Wanita menjunjung kasih dan sangat bersetuju dengan pesanan oleh YM Che Puan Khaleeda ini.Semoga para ibu tunggal memperolehi inspirasi dengan catatan ini. Buat para pembaca pula, hargailah ibu yang masih ada dan luahkanlah kasih sayang serta perhatian buat ibu tersayang.
Pelakon Amyza Aznan berkongsi kisah anaknya yang menghidap kanser paru-paru tahap tiga. Walaupun diuji hebat, Amyza kekal kuat dan bersyukur melihat anaknya masih tersenyum serta tidak pernah merungut.