Air Mata Terakhir Zara Qairina, Bersumpah Wallahi & Nafi Mencuri Sebelum Temui Ajal

Share

Air mata  terakhir Zara Qairina, bersumpah & nafi mencuri sebelum temui ajal. Inkues kematian  pelajar, Zara Qairina membuka kisah memilukan apabila arwah dilaporkan menitiskan air mata, bersumpah dan menafikan tuduhan mencuri hanya beberapa jam sebelum ditemui tidak sedarkan diri di bawah  asrama Sekolah Menengah Kebangsaan Agama (SMKA) Tun Datu Mustapha, Papar 16 Julai lalu.

Menurut keterangan saksi, malam sebelum tragedi, Zara Qairina dilihat dalam keadaan menangis sambil mengulang sumpah “Wallahi, aku tidak mencuri bah, bodoh” sebelum dilihat keluar bilik menuju ke tandas, detik terakhir kelibatnya disaksikan rakan-rakan seasrama.

Ketua warden, Azhari Abd Sagap, 31 yang juga guru Bahasa Arab, memberitahu Mahkamah Koroner,  insiden bermula selepas seorang pelajar  tingkatan satu membuat laporan kehilangan barang pada 16 Julai lalu.

“Pada malam itu (sebelum Zara Qairina ditemukan tidak sedarkan diri), seorang pelajar Tingkatan 1 membuat aduan kepada ketua asrama bahawa dia kehilangan barang-barangnya.

“Hasil pemeriksaan pelajar yang menggeledah lokar dan beg Zara Qarina menemukan menemukan pin Jalur Gemilang milik ketua asrama.

Sekali lagi, Zara Qairina menafikan mengambilnya.

“Selepas itu, Zara meninggalkan bilik sambil menangis dan menjerit, “aku tidak mencuri bah, bodoh”. Saya diberitahu perkara ini oleh seorang pelajar Tingkatan 1.

“Selepas itu, Zara dipanggil oleh ketua asrama dan ditanya sama ada dia mencuri barang-barang itu. Dia menafikannya dan bersumpah ‘wallahi’. Dia kemudian keluar dari bilik dalam keadaan menangis dan menuju ke tandas. Itu adalah kali terakhir pelajar-pelajar melihatnya,” katanya kepada Koroner Amir Shah Amir Hassan,” katanya.

Saksi kelapan inkues ini memaklumkan, lima pelajar turut membuat pengakuan bertulis mengenai kejadian itu dan kenyataan mereka diserahkan bagi tujuan siasatan.

Ketua warden asrama itu berkata, dokumen itu ditulis selepas dia mengarahkan warden asrama untuk menyiasat perkara itu pada 16 Julai, susulan Zara Qairina dihantar ke Hospital Queen Elizabeth selepas ditemukan terjatuh di asrama sekolah berkenaan.

Pada prosiding yang berlangsung 12 September lalu, saksi keenam inkues, Linah Mansoding @ Jaliha, 60, mendedahkan ada cakap-cakap dalam kalangan pelajar mengenai Zara Qairina yang dituduh mencuri daripada seorang pelajar lain, yang dirujuk sebagai A.

Pengawal keselamatan sekolah itu dipetik berkata, pelajar A memberitahunya dia kehilangan dompet dan salah seorang warden menyusuli dakwaan itu dengan bercakap dengan dua pelajar berkenaan, dan menemubual pelajar lain secara individu.

“Ketika Zara Qairina didakwa mencuri, pelajar Tingkatan Empat memanggil dan menyoalnya,” kata Linah pada prosiding itu.

Zara Qairina tinggal di Asrama Qurratu Ayun bersama 11 pelajar lain dari Tingkatan Satu Fatimah. Malam kejadian, dia dilaporkan keluar dari bilik asrama selepas menafikan tuduhan, sebelum ditemui tidak sedarkan diri dan disahkan meninggal dunia di hospital. Sumber :- Harian Metro.

 

 

Published by
Almaswa Haji Che Ros