Hampir setiap malam anak kedua
Amyza Aznan, Adrian Adam menahan sakit akibat kanser tulang yang dihidapi sejak bulan Ramadan lalu.
Ramai yang tercuit emosi rasa sebal dengan keadaan anak ini, nak-nak dia sudah kehilangan abang sulungnya disebabkan sakit kanser juga. Apa yang ditelan tidak mudah, namun tetap reda dengan ujian yang Allah bungkuskan.
Adrian Adam Menahan Sakit Setiap Malam


Namun menurut Amyza, perkara ini sebenarnya memberi impak besar terhadap emosinya terutama mendengar rintihan kesakitan Adrian yang baru berusia 18 tahun.
“Satu dah pergi (Allahyarham Andre), seorang lagi sakit sama. Sekarang ini, setiap hari dan setiap malam dia cakap sakit. “Saya tak tahu nak cakap dan buat apa. Apa boleh saya buat? Setiap malam sebelum tidur saya akan tanya dan dia jawab sakit.
“Namun dia pula sebelum ini tak mahu cakap kongsi kesakitan itu dengan saya tetapi cakap kepada orang lain,” katanya dalam siaran langsung Instagram semalam.
Katanya, kesakitan tersebut semakin kerap dirasai Adrian sejak minggu lalu. Adrian juga sering menyembunyikan kesakitan yang dialami daripada pengetahuan Amyza.
Minggu lalu, hampir setiap hari, bila sudah tidak tahan sangat kesakitan, menangis.
“Dia anak yang sangat baik tetapi dia pandai tipu mak dia. Bila tanya sama ada dia sakit, jawabnya tidak,” ujarnya.
Berkongsi lanjut, Adrian kini menjalani beberapa rawatan yang menelan kos tinggi.
“Ketika ini, Adrian sedang menjalani rawatan di beberapa tempat, kami tidak fokus pada satu lokasi sahaja. Setiap sesi rawatan sekitar RM900. Itu baru satu tempat dan kami ada pergi ke beberapa lokasi lain. “Dengan teknologi baru ini, kita harap tak perlu menjalani pembedahan dan kanser itu akan hilang begitu sahaja. Begitulah harapan kami.
“Doktor juga beritahu dia perlu menjalani sebanyak 80 sesi rawatan bersamaan dengan empat bulan lagi. Kos rawatan juga mencecah RM53,000, belum lagi sesi lain yang berdaftar,” ujarnya lagi.
Bengkak Di Betis Sebesar Bola Sepak Takraw


Amyza turut memaklumkan keadaan kaki Adrian kini dalam keadaan bengkak dan sukar untuk berjalan.
“Sekarang Adrian ‘foot drop’ (sukar mengangkat kaki) sebab bila bengkak, beri tekanan kepada saraf dan kerana itu tak boleh angkat.
“Bengkaknya sangat besar pada bahagian betis yang sebesar bola takraw, berat dia nak jalan,” kongsinya.
Pada Februari lalu, anak kedua Amyza itu disahkan menghidap kanser tulang dan sedang menjalani rawatan alternatif bagi mendepani penyakit berkenaan.
Prihatin dengan nasib dua beranak itu, pengacara, Datuk Aznil Nawawi berjaya mengumpulkan sumbangan daripada orang ramai berjumlah RM200,000 baru-baru ini bagi membantu membiayai kos perubatan Adrian.
Untuk info, sebelum ini anak sulung Amyza Aznan, Andre Mikhail yang berusia 20 tahun meninggal dunia pada 23 Februari akibat kanser paru-paru.