Macam mana sibuk pun membuat persiapan raya, jangan sampai terlupa nak hadam adab berhari raya ketika syawal nanti, terutama bab menziarahi rumah orang.
Nah, sebelum sibuk sambung membuat persiapan raya yang lain, jemput baca ya.
Adab Berhari Raya
Antara adab-adab pada hari raya ialah:
1. Mandi, memakai bau-bauan dan memakai pakaian yang baru. Sebagaimana yang dilakukan oleh Nabi SAW dan para sahabatnya iaitu Ibn Umar dan Ali bin Abi Thalib dan lain-lain. Said bin al-Musayyib berkata: “Sunat-sunat hari raya ada tiga: “Berjalan ke tempat solat, makan sebelum keluar dan mandi.”
2. Sunat bersegera ke masjid pada pagi hari raya. Bagi imam solat hari raya, sunat datang akhir iaitu ketika hendak memulakan solat hari raya sebagaimana yang dilakukan oleh Rasulullah SAW.
3. Sunat makan sedikit makanan sebelum pergi bersolat Aidilfitri, manakala Aidiladha pula tidak disunatkan makan dan minum sehingga selesai solat.
4. Sunat pergi ke masjid dengan berjalan kaki dan balik semula melalui jalan yang lain. Hal ini berdasarkan hadis, daripada jabir R.A, katanya:
Maksudnya: “Nabi SAW melalui jalan yang berlainan ketika pergi dan balik pada hari raya.” Riwayat al-Bukhari (943)
5. Sunat saling mengucapkan tahniah dan doa antara satu sama lain. Ini berdasarkan hadis Wasilah yang diriwayatkan oleh al-Bukhari. Aku bertemu Rasulullah SAW pada pagi hari raya, seraya mengucapkan kepada Baginda:
Semoga Allah menerima daripada kami dan daripada kamu, lalu Baginda menjawab: Ya, semoga Allah menerima daripada kami dan daripada kamu.
6. Selepas matahari terbit, makruh bagi imam bersolat sunat sebelum solat hari raya, manakala tidak makruh bagi orang lain melakukannya. Ini berdasarkan hadis, daripada Ibn Abbas R.Anhuma:
Maksudnya: “Nabi SAW keluar pada hari Aidilfitri, lalu Baginda bersolat hari raya sebanyak dua rakaat dan tidak melakukan solat yang lain sama ada sebelum atau selepasnya.” Riwayat al-Bukhari (945)
Kesilapan Adab Pada Hari Raya
Namun ada juga beberapa kesilapan adab yang menyalahi sunnah Rasulullah SAW ketika kita rancak menyambut hari raya. Antara adab tersebut ialah:
1. Tidak melakukan solat hari raya dan tidak pergi ke tempat solat, sebaliknya hanya berada di rumah.
2. Banyak menonton rancangan televisyen sehingga tiada dalam kamusnya untuk menziarahi sanak saudara. Hal ini semakin membarah kerana tarikan rancangan yang begitu menarik lagi melalaikan.
3. Tidak menutup aurat atau berpakaian yang menjolok mata tanpa mengikut syariat Islam.
4. Memasang lagu-lagu dan nyanyian hari raya yang kurang sopan dan berlebih-lebihan dalam berhibur atas nama hari raya. Alangkah baiknya jika digantikan dengan alunan zikir, nasyid dan nyanyian sopan yang tidak keterlaluan.
5. Pergi beraya di rumah rakan-rakan dalam tempoh masa yang amat panjang sehingga mengganggu tuan rumah.
6. Mengkritik makanan yang dihidangkan atau membandingkan kelazatan makanan antara satu rumah dengan rumah yang lain.
7. Meminta duit secara berlebih-lebihan sehingga perasaan tuan rumah tertekan dan tidak selesa.
8. Bersalam-salaman antara lelaki dan perempuan yang bukan mahram atau berkumpul setempat sehingga timbul perasaan kurang selesa pada golongan yang beragama.
9. Pergi beraya di rumah seseorang sehingga lupa untuk menunaikan solat fardu dan melambatkan solat pada waktunya.
10. Lupa menziarahi golongan fakir miskin dan anak yatim, tetapi matlamatnya lebih kepada rumah bangsawan dan hartawan.
11. Merayakan hari raya sehingga sebulan dan tidak lagi mampu untuk menunaikan puasa sunat 6 hari dalam bulan Syawal.
12. Kurang bersedekah dan memberi bantuan kepada fakir miskin, anak yatim serta mereka yang berada dalam kedaifan.
13. Berlebih-lebihan dalam berpakaian sehingga menampakkan kemewahan yang melampau hingga membawa perasaan takbur, riak dan sombong.
14. Berkumpul secara beramai-ramai tanpa faedah dan tidak menghiraukan orang lain.
15. Terlupa untuk menziarahi pesakit di hospital atau mereka yang mengharapkan bantuan sebaliknya kita menyibukkan diri dengan kegembiraan yang melampau bersama rakan taulan yang sihat.
Kenyataan Mufti Wilayah
Ini sebagai pelengkap pada adab-adab berhari raya. Antaranya:
1. Tunaikanlah zakat fitrah dan pastikannya dilakukan pada malam hari raya ataupun pagi hari raya sebelum solat raya. Inilah sunnah yang diajar oleh Rasulullah SAW. Zakat fitrah hukumnya adalah wajib.
2. Bersihkan hati kita dahulu dari sebarang akhlak dan sifat mazmumah seperti dendam kesumat, hasad dengki dan lain-lain.
3. Hiasilah dengan akhlak mahmudah seperti ikhlas, jujur, warak, amanah, rendah diri dan sentiasa berharap kepada-Nya.
4. Dengan terbenamnya matahari dan masuknya satu (1) Syawal, maka mulalah dengan doa, munajat kepada-Nya.
5. Begitu juga hiasilah pada malam tersebut dengan gemaan takbir kerana patuh kepada perintah Ilahi.
6. Zahirkan rasa syukur atas pelbagai nikmat kurniaan Ilahi sehingga mukhayyam tarbawi yang kita lalui dapat dilaksanakan dengan jayanya.
7. Sebelum meminta maaf, maafkanlah semua orang agar kemaafan yang kita pinta dari hati yang benar-benar bersih.
8. Hidupkanlah malam hari raya dan paginya dengan zikrullah dan juga acara ibadat untuk menambahkan lagi pahala kita.
9. Gunakanlah kesempatan yang ada semasa di kampung atau desa untuk mengeratkan lagi tali silaturrahim dan hubungan ukhuwwah sesama keluarga, jiran tetangga dan sahabat handai.
Apa pun, semoga amalan yang kita lakukan diterima Allah.
∞
Sifir mudah dalam hidup, hidup ikut kemampuan diri bukannya mengukur hidup kita dengan orang lain. Tak perlulah membandingkan hidup mak ayah dengan orang lain, sedangkan kita sendiri tidak duduk dalam “kasut” mereka.
Sebaiknya, belajarlah dan banyakkan bersyukur dengan setiap rezeki yang kita perolehi. Jangan sekali berlawan atau mengikut cara hidup orang sehingga kita terbeban hutang.
Ikuti perkongsian Nurul Haslinda ini dan fahami sebaiknya untuk kita belajar bersyukur:
Jangan berlawan dan bandingkan hidup kita dengan orang lain.
Bila kita tengok orang lain beli itu dan ini, kita pun kalut nak beli juga. Tengok orang tukar kereta baru kita pun hendak tukar kereta juga hinggakan ia membebankan kita.
Nak tukar boleh, tak salah tapi tengok atas kemampuan kita. Jangan tengok orang kita hendak lawan dan lebih dari orang lain padahal kita tak mampu sehinggakan kita terpaksa berhutang menyebabkan kita terbeban.
Sanggup Berhutang & Susahkan Orang
Yang paling teruk jika kita berhutang dengan orang lain sehinggakan menyusahkan orang yang memberi hutang kepada kita kerana kita buat-buat lupa nak bayar.
Lagi satu kita tengok orang lain selalu bercuti dalam atau luar negara. Kita pun nak sama. Itupun boleh tak kisah juga, tetapi tengok atas bajet kita.
Kalau tak mampu mahal, kita bercutilah ikut kemampuan kita yang penting ianya seronok dan memuaskan hati keluarga kita. Tak salah kita nak dapat semua itu tapi jangan sampai membebankan kita.
Malah sanggup berhutang dengan orang untuk memenuhi kehendak kita yang melampau-lampau. Sudah itu bila janji nak bayar tetapi tak bayar juga. Ada juga yang berjanji nak pinjam kejap saja, tapi bila tiba masa membayar terus hilang, tukar nombor telefon dan sebagainya.
Kita Yang Berhutang, Salahkan Pula Orang Lain
Asal hendak pinjam 3 hari jadi bertahun-tahun. Bahkan menjadikan si pemberi pinjam itu musuh pula. Itulah berlagak sangat hendak berlawan dengan orang sedangkan awak tak mampu.
Kita hidup ini kena banyak bersyukur. Syukur dengan apa yang ada. Jangan berlawan-lawan dengan orang. Biarlah orang itu nak beli apa pun, nak pakai apa pun kerana itu adalah kemampuan dia.
Kita kalau mampu boleh saja beli ikut bajet kita tak perlu mahal-mahal yang boleh menyusahkan kita. Kita semua berhak untuk ‘reward’ diri kita tapi tak perlu berlawan dengan orang dan niat untuk menunjuk.
Tuhan Pun Marah Si Penghutang
Tuhan pun marah dengan orang yang riak dan takbur. Maka ukurlah baju dibadan sendiri janganlah berlebih-lebih sehingga menjejaskan ekonomi kita. Satu lagi, kalau meminjam dan janji nak bayar, bayarlah cepat.
Kalau tak mampu nak bayar, jangan meminjam. Kerana kalau kita tak bayar hutang kita, mati nanti roh kita akan tergantung dan di dunia ini pula kita telah menyusahkan orang yang memberi kita pinjam.
Kasihan pada yang beri pinjam, dia bagi pinjam sebab kita janji nak bayar balik dalam masa terdekat tetapi kita tidak tunaikan. Kita tak tahu mungkin orang yang bagi pinjam duit itu sangat memerlukan duit.
Bila Berhutang Belajar Tanggungjawab
Jadi bertanggungjawablah kalau sudah tahu berhutang perlu ingat kena bayar. Jadi tak perlu nak ikut-ikut orang atau berlawan dengan orang kalau sampai meminjam.
Ada buat cara ada, tidak ada buat cara tidak ada wang. Doa banyak-banyak moga Allah bagi kita rezeki. Oleh itu, tak perlulah berlawan-lawan dengan orang lain. Ikutlah kemampuan kita kerana bila kita susah bukan ada yang menolong.
Bebas Hutang Hidup Lebih Tenang
Orang nak beli apa ke? Nak menunjuk ke? Biarlah. Abaikan. Itu rezeki dia dan dia mampu. Rezeki kita, insyallah ada juga nanti. Jika kita hidup dalam kesederhanaan, jiwa kita juga akan tenang malah kita juga bebas dari hutang.
Betul tak? Semoga Allah beri kita rezeki yang berkat, cukup dan dapat melangsaikan hutang-hutang kita. Ingat… Jangan berlawan-lawan atau membandingkan hidup kita dengan orang lain. Rezeki masing-masing.
Allah sudah tetapkan rezeki kita. Hendak rezeki lebih kenalah rajin usaha kalau gitu-gitu saja jangan pula berlagak melebihi kemampuan sendiri.
Jika meminjam dengan orang kena cepat-cepat bayar supaya ianya tidak menjadi beban dan permusuhan dengan pemberi hutang itu. Sedangkan hutang dengan bank pun kita takut dan bayar jadi hutang dengan orang pun kita kena paksa diri bayar walaupun sikit-sikit dan ansuran.
Baru hidup kita pun tenang. Sesungguhnya yang baik itu datangnya dari Allah dan yang tidak baik itu datang daripada kelemahan kita sendiri.
MW: Hidup adalah pilihan. Jika mak, ayah memilih untuk mengikut orang hingga sanggup berhutang, terserah. Tetapi mana mungkin hidup tenang bila berhutang keliling pinggang. Renung-renungkan.
Sumber: Nurul Haslinda
∞
Dahsyat sangatkah jadi orang perempuan ini? Asyik mengadu penat. Orang lelaki yang baik dia takkan mengeluh apatah lagi mengherdik isteri yang meluah rasa penat. Suami yang baik akan peluk dan usahakan cara sampai isteri penat rasa bahagia.
Bila mana Shaza Baharuddin berkongsi 6 cara yang suami boleh buat untuk bahagiakan isteri. Jangan sampai tunggu isteri rasa penat pun sebenarnya. Waktu isteri tak stress pun, suami dah boleh jalankan peranan.
Rupanya 6 Cara Ini Boleh Redakan Tekanan Isteri
Setiap isteri pasti merasa tertekan apatah lagi bagi mereka yang bekerjaya. Begitu juga dengan suri rumah yang terpaksa membuat pelbagai kerja seawal membuka mata sehinggalah ketika masuk tidur. Bak kata orang, kerja suri rumah tidak pernah habis.
Shaza juga tak terkecuali. Segala rasa yang dialami itu dicoretkan dalam bukunya yang menceritakan kisah-kisah geram dengan kerenah suami namun di sebaliknya ada pengajaran yang tersirat. Namun perlu diingati, suami tetap perlu dihormati. Stress ala-ala manja sahajakan.
Bila isteri tertekan, apa yang perlu suami lakukan? Ada pelbagai cara suami boleh meredakan tekanan isteri, antaranya ialah :
1. Bawalah Isteri Berjalan-jalan
Sekali seminggu apa salahnya. Pergi ke tasik, tengok wayang, bawa pergi berkelah, kalau tiada bajet ajak ke pasar malam pun sudah menggembirakan hati isteri. Jika ada duit lebih, setiap dua bulan duduklah di hotel, bak kata orang berhoneymoon.
2. Ke Taman Dengan Anak-anak, Benarkan Isteri Layan Hobinya
Jika berkesempatan suami bawalah anak-anak ke taman pada waktu petang. Main bola dengan anak-anak. Temani anak-anak perempuan bermain buaian. Berikan masa untuk isteri berehat, ‘me time’. Biarkan si isteri melayan perasaan menonton drama di waktu petang.
3. Bawa Berbincang Dengan Suami Apabila Ada Isu
Jangan biarkan isteri memendam rasa. Tadahkan telinga mendengar celoteh dan bebelan isteri tentang kenakalan anak-anak. Tetapi, janganlah pula ikut sama membawang dengan isteri.
4. Tolong Kerja-kerja Isteri
Cuci pinggan, jaga anak, kemas meja dan sebagainya. Musim hujan ni apa kata tawarkan diri pergi ke kedai dobi untuk membasuh baju. Ala, buatlah apa-apa kerja di rumah pun, isteri pasti suka.
5. Mohon Pada Suami Jangan Bawa Masalah Kerja Ke Rumah
Rumah adalah tempat berehat. Ceriakan isteri. Biar dia gembira dengan kepulangan suami. Sentiasa bergurau dengan isteri, buat lawak walaupun punchline hampeh.
6. Berilah Isteri Rehat Seminggu Sekali
Bagi isteri off day untuk sehari. Bawa dan belanja isteri makan di luar. Tanyalah selera isteri.
Sebenarnya banyak cara seorang suami boleh membahagiakan isterinya. Hargailah pasangan ketika mereka masih ada. Kita berkahwin untuk bahagia, bukannya untuk menderita.
Kena bijak menangani tekanan.
Sumber/Foto : Shaza Baharuddin
∞
Kalau hari minggu memang mak terutamanya tak ada masa untuk rehat. Ada sahaja kerja rumah yang hendak dibereskan. Ini belum lagi termasuk nak sediakan makanan, jaga anak, buatkan susu anak dan macam-macam lagi.
Ada pun rehat mak-mak, bila anak sedang tidur. Tapi, masa anak tidurlah, macam-macam mak nak buat sebab sebelum ini hanya uruskan anak. Itulah mungkin rutin sehari-hari mak ini. Bayangkan bagaimana pula ayah yang jaga anak. Mesti nampak mudah sajakan. Maklumlah, adanya anak lebih dengar cakap ayah berbanding mak.
Ini belum lagi, kalau mak-mak yang bekerja dan terpaksa tinggalkan anak-anak pada ayah. Macam manalah yer. Rasanya hati mak-mak pun tak tenang bila ingatkan suami dan anak-anak di rumah.
Walau bagaimanapun, tak perlulah nak marahkan anak bila anak lasak atau buat perangai macam-macam. Semua ini sebab dia perlukan perhatian daripada mak ayah. Kena ingat, mak ayah yang bekerja, hanya ada masa berapa jam sahaja untuk bersama anak pada malam hari.
Perkongsian daripada Dr. Redza Zainol ini, ada benarnya. Bila anak-anak dijaga oleh ayah kerana mak perlu ‘outstation’ atau keluar atas urusan kerja. Mahunya tidak keruan ayahnya melihat telatah anak yang tak reti duduk diam.
Baca Artikel Menarik Lain Di Sini: Karenah Isteri Susah Nak Dijangka. TAPI Boleh Jadi Mudah Kalau Suami Tahu Caranya
JANGAN Anggap Kerja Rumah URUSAN Perempuan, Anak Lelaki Perlu Diajar Supaya Jadi Kebiasaan
Info Lebih Menarik DI SINI
Tidak Dapat Rehat
Penatnya jaga 3 orang budak ni seorang diri. Isteri ada urusan, maka tinggal saya seorang diri menjaga mereka.
Tak habis-habis ada aja benda yang mereka minta dari saya. Dah makan, nak ke tandas pula. Disambung dengan minum. Lepas tu nak main sama-sama.
Mula-mula saya geram juga. Kenapa anak saya tak reti nak bagi saya rehat. Dah lewat malam barulah saya dapat rehat dan makan.
Saya pun duk tanya isteri macam mana dia buat selama ni. Dia cuma gelak. Sampai hati betul.
Dia kata gini pada saya.
“Anak tak pandai nak bagi rehat pada mak ayah. Pilihan untuk beri rehat pada mak ayah tak wujud dalam diri mereka.
Selagi boleh, mereka akan buat apa saja untuk dapatkan perhatian kita.
Mereka akan ikut kita ke mana saja. Mereka akan selalu panggil kita. Kalau kita tak menyahut, dia akan cari kita sampai dapat.”
Guna Ayat Ini
Jadi isteri saya selalu amalkan ayat-ayat ni supaya dia tetap dapat jaga diri dia juga.
“Mama tak nak main kejar-kejar sekarang, tapi mama boleh bacakan buku atau main Lego dengan adik lepas ni.”
“Jom kita dengar lagu ni lagi sekali, lepas tu kita dengar lagu lain pula.”
“Mak akan terus buatkan telur goreng adik tu lepas mama makan malam ya.”
“Mama tahu kita nak pergi taman petang ni, tapi mama dah penat sangat.”
Jaga Diri Sendiri
Sebaik mana kita jaga anak, sebaik itu juga kita kena jaga diri kita sendiri.
Ada peluang, cepat-cepat duduk rehat, tarik nafas dan kosongkan fikiran.
Jaga diri kita tak bermaksud kita pentingkan diri tapi bila diri kita terjaga, barulah kita boleh memberi dengan lebih banyak pada anak-anak.
MW: Sibuk jaga anak sekali pun, diri kita tetap kena ambil masa untuk rehat dan jaga diri.
Sumber: Dr Redza Zainol
∞