Buat mak-mak yang selalu beli roti, tapi kadang kala tak perasan roti dah nak tamat tempoh atau tak tau nak buat apa, boleh buat macam ni. Hanya perlu letak inti, celup telur dan serbuk roti, kemudian goreng. Cukup mudah dan ringkas, tapi rasanya sangat sedap.
Boleh cuba resipi yang dikongsikan oleh Puan Suriaty Abd Talib ini sebagai panduan;
“Roti nak dekat-dekat expired dah sebenarnya. Ada la 4 keping lagi..taktau nk masak apa pagi ni tuk cik myka, terlintas plak nak buat roti inti teloq ni”
“Mak mak boleh la try kalau ada roti-roti lebih kat rumah tu Insya Allah anak-anak dengan mak-mak sekali dok makan.”
Bahan-Bahan:
Roti (Sila la leperkan dengan cara apa sekalipun)
tepi-tepi roti tu potong tapi jangan buang tau
crab stick (sosej pun boleh)
telur rebus
telur sebiji untuk salut roti
serbuk roti
Cara Membuat:
1.Susun atas roti tu satu persatu ikut suka kita nak susun macam mana.
Ads
2.Selepas itu kepitkan roti tu. Cik Su gam pakai teloq tu ja. Sapu tepi-tepi tu pastu penyek guna jari.
3.Salut dalam telur.
4.Kemudian, salut dalam serbuk roti pulak.
5.Gini la rupanya.
Ads
6.Bahagian tepi-tepi roti tu jangan dibuang. Celup sekali dalam telur tu.
7.Selepas itu salut dengan serbuk roti. Ok siap.
8. Goreng dalam minyak yang penuh, tapi api jangan kuat sangat takut hitam pulak roti tu kepanasan.
Ads
Semoga perkongsian ini bermanfaat, Selamat Mencuba!
MW: Jadi jika ada roti lebih kat rumah tu, lagi-lagi dah nak dekat tamat tempoh, mak-mak bolehlah cuba resipi yang dikongsikan ini. Senang, ringkas dan mudah. Anak-anak pun mesti suka.
Masakan cina terkenal dengan teknik masakan sihat seperti kukus,rebus dan panggang. Bagi mak-mak yang suka masakan cina boleh cuba resipi Ayam Asap Teh yang dikongsikan oleh Dr Kamarul Ariffin Nor Sadanini.
Menurut perkongsian beliau, resipi ini dipelajari ketika dengan kawannya ketika zaman belajar. Agak unik nama resipi dan cara penyediaan Ayam Asap Teh ini, namun yang pastinya rasanya cukup sedap, secukup rasa masin, manis dan penuh beraroma.
“Zaman student dulu, saya ada belajar masakan cina daripada coursemate saya. Resepi yang saya paling aneh dia ajar adalah Ayam Asap Teh. Pelik sikit nama dia, tapi sedap.”
½ ekor ayam
½ sudu teh lada hitam
1 sudu minyak bijan
2 sudu sos tiram
2 sudu kicap pekat
2 sudu madu
2 ulas bawang putih
2 inci halia
Garam secukup rasa
3 uncang teh (black tea)
3 sudu beras
3 sudu gula perang
1.Halia dan bawang putih cincang atau potong halus. Campurkan dengan kicap pekat, sos tiram, madu, lada hitam dan minyak bijan.
2.Bersihkan ayam. Saya suka guna bahagian ini, tapi kena masak lama sedikit kerana paha tu lambat masak. Jika nak cepat masak, gunakan bahagian dada.
3.Ambil separuh campuran sos tadi, dan gaul dengan ayam. Kemudian perap. Lagi lama lagi sedap.
4.Ni saya panaskan air untuk kukus ayam. Saya pakai api besar.
5.Letak ayam, atas pengukus. Letak halia dan bawang putih atas ayam tu. Biar rasa dia padu.
6.Tutup! Kukus ayam bahagian paha 30-40 minit. Jika bahagian dada, 20-30 minit sudah cukup. Jika was-was, masaklah lama-lama, atau rebus.
7.OK, dah 40 minit! Ini hasilnya! Angkat ayam dari pengukus. Sabar, belum siap lagi.
8.Air kukusan ni dah jadi chiken broth! Jangan buang! Letak dalam mangkuk. Sedap broth ni!
9.Tadi ada separuh lagi campuran sos tu, kan? Sapukan rata pada ayam yang dah dikukus.
10.Dah cantik, kan? Belum siap, belum siap! Letak tepi dulu ayam ni.
11.Sekarang kita nak perasap ayam. Ambil aluminum foil, dan buat mangkuk macam ni.
12.Letak beras, teh, dah gula perang dalam aluminium foil dan campurkan. Bahan-bahan ni yang akan beri aroma yang menyelerakan nanti pada ayam kita.
*terlebih pula beras saya
13.Letak dalam kuali dan hidupkan api besar, sampai dia berasap. Dah berasap, letak ayam dan jaring pengukus kita tadi, atas ni.
14.Tutup! Biarkan 5 minit, kemudian sederhanakan api dan sambung perasap lagi 10-15 minit. Lagi lama lagi sedap aromanya.
15.Tada! Sekarang dah cantik, dan beraroma teh!
16.Sapu lagi satu lapisan sos. Rehatkan ayam dan biarkan sos ni mengering.
17.Broth ayam tadi boleh campur dengan lebihan sos campuran. Nanti waktu makan ayam boleh buat penambah rasa.
18.OK, ini hasil bahan perasap yang dah terbakar. Buang sahaja, memang bukan untuk makan. Fungsi kita guna beras ni untuk sebarkan haba dengan serata pada teh dan gula.
19.Bila ayam dah turun suhunya dan kering, baru potong ayam! Kalau potong masa panas, nanti isi jadi kering. Tengok tu! Kulit berkilat, tapi isi pun juicy lagi.
20.Menggiurkan tak? Makan dengan nasi ayam sedap ni! Kalau beri orang makan, mesti orang tertanya-tanya aroma apa yang kita bubuh pada ayam ni. Aroma dia memang membangkitkan selera.
21.Nah lagi! Lihat gambar ni, boleh bayangkan tak, masin dan manis kulitnya, serta betapa lembut isinya?
MW: Semoga perkongsian ini bermanfaat terutamanya bagi mak-mak yang nak mencuba kelaianan, dengan masakan cina. Pastinya lebih sihat, sedap dan penuh beraroma. Selamat Mencuba!
Melangkah masuk ke dalam restoran EATZ@Hong Kong penulis berasa bagaikan berada di Hong Kong. Penggemar makanan oriental ala Hong Kong kini tidak lagi sukar untuk menjejaki hidangan yang terkenal di kalangan masyarakat Kantonis, di Malaysia.
Dengan wujudnya cawangan pertama EATZ @Hong Kong yang mula beroperasi sejak Ogos lalu, lebih 100 Menu yang popular di kalangan masyarakat Kantonis Hong Kong dari zaman 50-an sekitar era British kolonial hingga era milenial pastinya menambat hati penggemar makanan ini.
Premis yang terletak di The Gardens Mall, Mid Valley ini juga menyediakan masakan Kantonis ala Hong Kong yang HALAL di Malaysia.
“Setiap individu mempunyai tafsiran tersendiri tentang masakan Hong Kong. Ada yang mengatakan ‘Egg Tart’, sementara yang lain mengatakan ‘Polo Bun’. Ada pula yang kata ‘Cheese Baked Rice’dan sememangnya apa yang mereka katakan itu semua adalah betul.
“Ini kerana, Hong Kong sejak dibawah zaman jajahan British sekitar tahun 50-an telah menyaksikan asimilasi budaya, termasuklah perubahan dalam Menu masakan harian mereka. Jadi, tidak menghairankan jika elemen ala British kita lihat terselit di mana-mana kafe atau kedai kopi sekitar Hong Kong dahulu kala” ujar Valerie Choo, Pengarah Urusan Simply Awesome Sdn Bhd, syarikat yang bertanggungjawab merekabentuk dan mentadbir restoran EATZ @ Hong Kong.
Menu Hong Kong Klasik dan Kontemporari
Diterajui oleh Ketua Chef, Kak Noor, anak kelahiran Terengganu, dengan lebih 10 kakitangan muda mahir di dapur, kemahiran kulinari pasukan ini mencakupi lebih 100 Menu terbaik Hong Kong. Apa yang pasti, menu tersebut sememangnya diakui tersenarai di dalam kategori kegemaran pelanggan.
Mendapatkan khidmat penasihat khas yang juga Chef Kreatif, Johnny Wong yang berasal dan membesar di Hong Kong, terhasillah pelbagai menu yang juga merupakan ‘signature dish’ seperti, CheeseBaked Chicken Cutlet with Rice, Satay Beef Rice, Curry Seafood Rice dan Australian Beef Striploin.
Juga hidangan ringan seperti Ms Souffle dan Egg Tart yang lazimnya menjadi pilihan utama masyarakat British dahulu. Tidak dilupakan hidangan klasik yang terkenal di kalangan masyarakat Hong Kong seperti Smoked Duck with Pumpkin Rice, Polo Bun with Truffle Scrambled Egg, Hong Kong Milk Tea, Hong Kong Ying Yong dan pemanis mulut Osmanthus Jelly & Red Bean Rice Pudding.
Antara menu yang disajikan..
Kekalkan Keaslian
Bagi mengekalkan keaslian dan kesahihan yang menepati piawaian rasa, Chef Kreatif Johnny memastikan pasukannya mendapat bimbingan intensif selama dua bulan sebelum EATZ @Hong Kong memulakan operasi. Amat mementingkan kualiti, Chef Kreatif Johnny turut memastikan bahawa bahan-bahan yang digunakan adalah daripada yang terbaik, segar, premium dan yang paling penting diiktiraf HALAL oleh pihak berkuasa tempatan mahupun luar negara.
“Bahan-bahan segar adalah kunci kepada proses pengeluaran kesemua Menu di EATZ @ Hong Kong sementara penggunaan dan pemilihan bahan mentah yang diiktiraf HALAL merupakan tarikan utama kepada pengunjung yang beragama Islam, mengetahui kesukaran mereka untuk mendapatkan masakan Kantonis ala Hong Kong yang HALAL di Malaysia”, tambah Valerie Choo lagi.
Dekorasi dengan lukisan pemandangan di Hong Kong..
Lubuk konten tentang inspirasi, rumah tangga dan macam-macam lagi,
MINGGUAN WANITA kini di
download sekarang!
Masakan lauk pauk kampung, cukup dekat dihati masyarakat Melayu. Datanglah makanan fusion, barat mahupun hidangan Korea…pastinya makan nasi berlaukkan lauk kampung mampu membuatkan sesiapa yang sedang berdiet, fikir lebih dari dua kali untuk menolak pelawaan makan bermenukan juadah lazat ini. Weekend ni nak masak apa? MW kongsikan resepi makan tengah hari ilham menarik untuk anda cuba.
AYAM MASAK ASAM KAMPUNG
BAHAN-BAHAN:
• 500 gram ayam | potong kecil & cuci bersih
• 1/2 cawan air asam jawa
• 1 labu bawang besar | hiris
• 3 ulas bawang putih |titik
• 3 cm halia | hiris nipis
• 6-8 biji cili padi | titik
• 1 biji tomato | potong dadu besar
• 2 sudu makan sos tiram
• Garam dan gula secukup rasa
• Sedikit serbuk kunyit
• Air secukupnya
• Minyak masak untuk menggoreng dan menumis
CARA MEMBUAT:
1. Ayam yang telah dibersihkan, gaul dengan garam dan serbuk kunyit. Ketepikan.
2. Panaskan minyak, goreng ayam 3/4 masak, angkat dan ketepikan.
3. Keluarkan minyak, tinggal sedikit untuk menumis.
4. Tumiskan hirisan bawang besar, bawang putih, cili padi dan halia hingga wangi.
5. Masukkan air asam jawa, apabila mendidih, masukkan ayam yang telah digoreng tafi.
6. Kemudian perasakan dengan sos tiram, masukkan potongan tomato, garam dan sedikit gula.
7. Biarkan mereneh 2-3 minit, baru tutup api dan sedia dihidangkan.
KERABU PERUT BERSANTAN
BAHAN-BAHAN:
• 500 gram perut | rebus hingga empuk dan hiris nipis
• 2 sudu makan kerisik
• 1 cawan santan
• 2 batang kacang panjang | hiris halus
• 1 biji bawang besar | belah dua dan hiris nipis
• 4 tangkai daun kesum | buang tangkai & mayang halus
• 10 biji cili padi hijau | hiris halus
• 2 biji cili merah – hiris
• 2 sudu teh serbuk lada hitam
• 1 biji limau nipis | ambil jus sahaja
• Garam dan gula secukup rasa
CARA MEMBUAT:
1. Masukkan hirisan perut yang telah direbus dalam mangkuk bersama hirisan bawang besar, cili padi, cili merah, daun kesum bunga kantan dan kacang panjang. Gaul rata.
2. Bancuh kerisik dengan santan, tuangkan dalam mangkuk berisi campuran perut.
3. Perasakan dengan garam, gula dan perahan jus limau nipis.
4. Gaul rata dan tambah santan jika perlu.
5. Setelah cukup rasa, kerabu sedia dihidangkan.
KETAM TUMIS KANTAN
BAHAN-BAHAN:
• 3 ekor ketam saiz sederhana | bersihkan , potong dua
• 1 kuntum bunga kantan | hriis serong
• 1sudu teh jus limau kasturi
• 1 sudu makan sos tiram
• Garam dan gula secukup rasa
• Minyak masak secukupnya |untuk menggoreng dan menumis
BAHAN KISAR:
• 1 biji bawang besar
• 3 ulas bawang merah
• 3 ulas bawang putih
• 2cm halia
• 1 batang serai
• 2 biji cili merah
• 10 biji cili padi
CARA MEMASAK:
1. Gaulkan ketam yang telah dicuci dengan garam halus dan serbuk kunyit.
2. Panaskan minyak, goreng sekejap hingga warna ketam bertukar kemerahan.
3. Angkat dan ketepikan.
4. Keluarkan minyak goreng ketam, tinggalkan sedikit untuk menumis.
5. Tumiskan bahan kisar hingga wangi.
6. Masukkan pula sos tiram, jus limau kasturi, garam dan gula secukup rasa.
7. Kecilkan api, masukkan ketam dan taburkan hirisan bunga kantan.
8. Gaul rata dan tutup api. Ketam sedia dihidangkan.
GULAI LEMAK CILI PADI UDANG & PERIA
BAHAN-BAHAN:
• 500 gram udang | bersihkan dan tos
• 500 ml santan
• 1/2 biji peria gambas | buang biji , hiris serong
• 1 keping asam gelugur
• 2 batang serai titik
• 1/2 helai daun kunyit | hiris
• Garam dan gula secukup rasa
BAHAN KISAR:
• 3 cm kunyit hidup
• 10 biji cili padi
• 3 ulas bawang merah
• Hirisan halia
CARA MEMBUAT:
1. Masukkan santan dalam periuk bersama bahan kisar. Kacau rata.
2. Renehkan atas api sederhana.
3. Apabila mendidih, masukkan peria, udang, serai dan asam gelugur.
4. Biarkan mereneh lebih kurang lima minit atau hingga udang masak dan peria empuk.
5. Perasakan dengan garam dan gula secukup rasa.
6. Akhir sekali sebelum tutup api masukkan hirisan daun kunyit.
7. Gulai udang sedia dihidangkan
Lubuk konten tentang inspirasi, rumah tangga dan macam-macam lagi,
MINGGUAN WANITA kini di
download sekarang!