Timbalan Presiden PKR, Nurul Izzah Anwar, menzahirkan rasa hiba dan simpati mendalam terhadap keluarga pelajar berusia 16 tahun yang maut ditikam di sekolahnya baru-baru ini. Beliau hadir menziarahi keluarga mangsa bagi menyampaikan ucapan takziah secara peribadi, mewakili keluarganya dan seluruh warga PKR.
Dalam catatan di Facebook, Nurul Izzah menulis dengan penuh emosi bahawa tragedi yang menimpa pelajar berusia 16 tahun itu bukan sekadar satu kes jenayah, tetapi satu panggilan kesedaran buat semua ibu bapa dan masyarakat agar lebih mendengar, memahami dan menyelami dunia anak-anak zaman kini.
“Namamu tidak sepatutnya terpapar di muka depan akhbar dengan cara begini. Pemergianmu bukan sekadar satu tragedi, tetapi satu panggilan untuk kita semua agar lebih peka, lebih mendengar dan lebih memahami dunia anak-anak kita,” tulisnya penuh makna.
Nurul Izzah turut berkongsi rasa kagum melihat kekuatan ibu mangsa yang tabah menghadapi kehilangan yang tidak terbayang oleh mana-mana jiwa seorang ibu.
“Kadang-kadang, ada perit yang tidak terucap, ada kosong yang tidak terisi. Tiada kata yang mampu mengungkap derita yang sedang dilalui. Namun melihat sendiri kekuatan ibunya berdepan keperitan ini membuatkan saya lebih bersemangat untuk mendesak keadilan demi keselamatan anak-anak kita,” katanya.
Beliau juga mengaitkan tragedi ini dengan beberapa kes lain melibatkan remaja dan kanak-kanak, termasuk kes arwah Zara Qairina, sebagai bukti jelas bahawa masalah sosial dan emosi dalam kalangan anak muda semakin mendesak untuk ditangani.
“Daripada kes arwah Zara Qairina, kepada kes pemerkosaan yang mencemaskan .mangsa dan pelaku semuanya adalah kanak-kanak. Ini menuntut perubahan drastik dan holistik sebelum lebih ramai lagi menjadi mangsa,” tegasnya.
Sebagai seorang ibu yang juga pernah kehilangan anak, Nurul Izzah turut menitipkan doa buat keluarga mangsa agar terus kuat menghadapi ujian berat ini.
“Sebagai seorang ibu, saya tahu pedihnya kehilangan itu tiada pengganti. Walau tiada apa yang mampu mengubati luka, saya berdoa semoga kebenaran yang akan terbongkar kelak menjadi pelukan yang menenangkan hati yang sedang terluka.”
Suasana di Nirvana Centre Kuala Lumpur bertukar hiba apabila rakan-rakan sekolah mendiang Yap Shing Xuen, pelajar perempuan berusia 16 tahun yang maut dalam insiden tikaman di sebuah sekolah menengah di Bandar Utama, Petaling Jaya, hadir memberikan penghormatan terakhir.
Guru-guru dan pelajar dari sekolah mendiang dilihat hadir bersama ahli keluarga, memberikan penghormatan penuh emosi kepada mendiang.
Mendiang disifatkan sebagai pelajar ceria dan disenangi, menjadikan pemergiannya satu kehilangan besar kepada komuniti sekolah.
Follow kami di TELEGRAM, INSTAGRAM, TIKTOK, FACEBOOK, TWITTER dan YOUTUBE