Pada usia 50 tahun, ketika kebanyakan figura hiburan seusianya selesa menikmati kemuncak kerjaya, Krisdayanti memilih untuk melangkah semula ke dunia akademik.
Diva tersohor Indonesia ini kini bergelar pelajar Ijazah Sarjana Muda Sains Pemerintahan di Universitas Terbuka Jakarta, membuktikan bahawa impian dan ilmu tidak pernah mengenal usia.
Kehadirannya di sesi orientasi pelajar baharu baru-baru ini mencuri perhatian. Tanpa sebarang keistimewaan, pelantun lagu Menghitung Hari itu mengenakan jaket rasmi universiti rona kuning, duduk bersahaja di barisan hadapan bersama pensyarah dan rektor.
Ads
Senyumnya yang ikonik disertai semangat baharu, seolah-olah mengingatkan semua bahawa kejayaan tidak hanya diukur pada populariti, tetapi juga pada keberanian memulakan sesuatu yang baik.
“Saya berharap kita semua dapat menamatkan pengajian bersama dan menjadi pelajar yang cemerlang serta profesional,” ucapnya di hadapan ratusan pelajar baharu, sambil menerima tepukan gemuruh.
Menerusi hantaran di Instagram, isteri kepada usahawan Raul Lemos ini mengungkapkan rasa syukur kerana dapat kembali ke dunia akademik.
“Babak baru untuk terus bergerak, InsyaAllah Yasarallahu… tidak ada salahnya memulakan sesuatu yang baik,” tulisnya.
Ads
Dari Panggung Hiburan ke Dunia Akademik
Perjalanan Krisdayanti di dunia seni bermula seawal usia 12 tahun melalui album Biasa Saja. Namun namanya benar-benar meniti di bibir peminat apabila memenangi pertandingan Asia Bagus pada 1992 ketika berusia 17 tahun. Sejak itu, beliau menjadi ikon hiburan yang disegani di rantau ini.
Ads
Kini, di usia emasnya, langkahnya ke bangku kuliah adalah satu pernyataan tegas, kejayaan sebenar adalah apabila kita terus belajar, membina diri dan memberi inspirasi kepada orang lain.
Krisdayanti sekali lagi membuktikan seorang wanita boleh menjadi bintang di pentas, isteri yang setia, ibu yang penyayang, dan pelajar yang bersemangat, semuanya dalam satu masa.
“Biar jasad anak digali, asal hatiku tidak lagi dibebani teka-teki. Aku mahu kebenaran. Demi Zara.”
Sudah 14 hari berlalu sejak pemergian anak perempuannya, namun buat Noraidah Lamat, 45, setiap malam masih bersulam tanya mengapa dan bagaimana anak tunggalnya, Zara Qairina Mahathir, menemui ajal?
Zara, 13 tahun, pelajar Tingkatan Satu di Sekolah Menengah Kebangsaan Agama (SMKA) Tun Datu Mustapha, Papar, dikatakan terjatuh dari tingkat tiga asrama sekolah. Namun dari awal, kata ibunya, terlalu banyak perkara yang tidak terjawab. Terlalu banyak tanda tanya yang menyiksakan jiwa.
Dan kini, ibu dari Sipitang ini membuat keputusan yang berat tetapi perlu mengarahkan peguam untuk memulakan proses menggali semula kubur anaknya bagi membolehkan bedah siasat dilakukan demi menoktahkan segala curiga yang bersarang dalam hatinya sejak hari pertama Zara dijemput Ilahi.
Jenazah Zara dikebumikan pada malam 17 Julai, dalam keadaan tergesa-gesa. Tanpa bedah siasat. Tanpa sebarang cadangan dari mana-mana pihak ketika itu. Hati ibu mana yang tidak resah mengenang semula saat itu?
“Ketika itu saya dalam keadaan sedih dan terkejut. Fikiran bercelaru. Kami mahu uruskan pengebumian segera. Tapi esoknya, kami mula persoalkan… ada sesuatu yang tak kena.”
Sejak itu, cerita demi cerita mula timbul. Ada yang menyebut tentang kemungkinan kes buli. Ada yang menyatakan bahawa insiden itu bukanlah sekadar ‘terjatuh’. Ibu ini mula dihimpit dengan kenyataan yang menyesakkan. Mungkinkah anaknya pergi dalam keadaan yang menyimpan luka, bukan sahaja di tubuh tetapi juga jiwa?
Keputusan untuk membuka semula kubur bukan sesuatu yang mudah. Ia menuntut keberanian. Ia menuntut pengorbanan emosi yang luar biasa. Namun seorang ibu, bila telah ditolak ke penjuru duka, hanya akan bangkit demi satu perkara dan ebenaran untuk anaknya.
Noraidah kini telah melantik dua peguam untuk membantu menjalankan proses undang-undang. Bukan untuk menyalahkan, tetapi untuk mencari jawapan. Kerana jawapan itu bukan sekadar menenangkan hati ibu, tetapi juga membela maruah seorang anak yang sudah tiada.
“Zara anak tunggal saya. Dialah nyawa saya. Saya takkan berhenti selagi tidak tahu apa yang sebenar-benar terjadi.”
Susulan itu, katanya, beliau mahu polis melakukan siasatan telus berhubung kes itu dan pada masa sama, bedah siasat yang pertama terhadap jenazah Zara Qairina perlu dibuat bagi memperincikan punca kecederaan dan kematiannya.
“Pelbagai cerita disebarkan berhubung kematian Zara Qairina dan ia mengguris hati saya. Ia bukan keluar daripada mulut saya, jadi saya mahu semua pihak hentikan spekulasi itu.
Serah kes kepada Bukit Aman
Sementara itu, Polis sudah merakam keterangan 60 saksi berhubung kes kematian Zara Qairina termasuk tiga individu dengan nama ‘Kak Wana’, ‘Kak Dedeng’ dan ‘Tomboi’ iaitu antara nama disebut mempunyai kaitan dengan kes kematiannya.
Pesuruhjaya Polis Sabah, Datuk Jauteh Dikun, berkata siasatan untuk kes itu kini di peringkat akhir yang mana kenyataan kira-kira 60 saksi sudah dirakam polis membabitkan pelajar, ibu bapa dan kakitangan sekolah.
Zara Qairina ditemui pada kira-kira jam 3 pagi 16 Julai lalu, dalam keadaan parah di bawah bangunan asrama sebelum dikejarkan ke Hospital Queen Elizabeth I (HQE I) di Kota Kinabalu untuk rawatan lanjut.
Bagaimanapun, pelajar itu meninggal dunia di hospital keesokan harinya dengan laporan awal mengatakan dia terjatuh dari tingkat tiga asrama sekolah.
Polis tidak menolak kemungkinan unsur buli dalam kes itu, namun menyerahkan kepada Bukit Aman untuk analisis menyeluruh.
Kronologi Kejadian:
1. 16 Julai: Noraidah menerima panggilan telefon daripada warden sekolah memaklumkan Zara Qairina cedera jatuh bangunan, bergegas bersama suaminya ke Papar yang mengambil masa dua jam perjalanan.
2.Setibanya di lobi wad kecemasan HQE1 pada jam 10 pagi, Noraidah panik melihat sudah ramai pegawai jabatan berada di situ termasuk polis dan pengurusan sekolah. Noraidah dimaklumkan kes ini sudah menjadi kes polis dan ketika dibawa masuk ke dalam, melihat badan dan muka Zara Qairina berselirat dengan wayar tetapi wajahnya tidak cedera langsung.
3.Doktor dan kaunselor memaklumkan kepada Noridah jika anak hidup sekalipun, dia takkan sempurna kerana otaknya sudah rosak.
4. Noraidah tidak menafikan anaknya pernah bercerita mengenai gangguan seksual diterimanya daripada seorang pelajar di asrama itu.
5.Arwah Zara Qairina pernah melaporkan kes itu kepada guru kaunseling dan dimaklumkan tindakan diambil jika pelajar terbabit mengulangi kesalahan itu. Bagaimanapun, pelajar itu berhenti mengganggunya.
6. Arwah Zara Qairina seorang yang ceria, dia pelajar yang cerdik hingga dapat masuk ke sekolah asrama penuh dan ramai mengenalinya di Sipitang.
Pusat tuisyen yang sinonim dengan kecemerlangan akademik, PTTI, terus melakar sejarah dengan pelancaran cawangan ketiganya di Shah Alam. Langkah ini menandakan komitmen berterusan PTTI dalam memperluas akses pendidikan berkualiti untuk pelajar Malaysia, khususnya calon Sijil Pelajaran Malaysia (SPM).
Bersempena pembukaan baharu ini, PTTI menyasarkan 500 calon SPM 2025 dari Shah Alam untuk menyertai program bimbingan yang ditawarkan. Tidak terhenti di situ, sasaran lebih besar turut digariskan iaitu melibatkan 12,000 pelajar di seluruh negara, melalui gabungan sesi fizikal di tiga cawangan utama dan platform pembelajaran dalam talian.
Sejak ditubuhkan, ia berjaya melahirkan ribuan pelajar cemerlang, termasuk ratusan pelajar yang memperoleh keputusan straight A. Kejayaan ini berpaksikan pendekatan unik modul berfokus peperiksaan, bimbingan konsisten serta pengisian motivasi yang membina keyakinan diri pelajar.
Menurut Ketua Pegawai Eksekutif PTTI, Siti Farhana Abu Osman atau mesra disapa Cikgu Fana, menegaskan bahawa pembukaan cawangan Shah Alam adalah bukti nyata komitmen PTTI.
“Kami mahu setiap anak bangsa merasai pengalaman pembelajaran yang menyeronokkan tetapi dalam masa sama berkesan. Sasaran ini bukan sekadar angka, tetapi amanah besar yang akan kami laksanakan sebaiknya.”
Majlis pelancaran turut meriah dengan kehadiran MK K-Clique dan Iman Troye selaku duta PTTI. Kehadiran mereka bukan sekadar simbolik, malah turut menyuntik semangat kepada para pelajar.
menurut duta jenama, MK K-Clique, ilmu merupakan kunci masa depan. Dia amat bangga bersama PTTI kerana mereka bukan sekadar mengajar, tetapi membimbing dan memberi semangat. Saya mahu lihat lebih ramai pelajar Malaysia lahir sebagai insan yakin, berdisiplin dan mampu mencipta sejarah.
Sementara itu, Iman Troye yang sudah empat tahun bersama keluarga PTTI turut berkongsi pandangannya.
“Sebagai anak muda, saya faham cabaran belajar sambil mengejar cita-cita. Kehadiran PTTI memberi peluang untuk belajar dengan lebih mudah dan menyeronokkan. Saya yakin PTTI akan terus melahirkan lebih ramai pelajar cemerlang.”
Meneruskan misinya membantu pelajar, PTTI bakal menganjurkan Seminar Shortcut Last Minute SPM secara percuma pada 27 hingga 30 Ogos ini. Program ini terbuka kepada semua calon SPM di Malaysia dan boleh diakses melalui pendaftaran di laman web rasmi.
Seorang wanita yang saban hari menabur bakti sebagai jururawat, meninggalkan dunia ini dalam keadaan yang cukup tragis. Roslinawati Ramli, 33, dari Simpang Renggam, Johor, maut selepas motosikal Yamaha RXZ yang ditungganginya terbabit dalam kemalangan di Kilometer 394, Lebuh Raya Pantai Timur 2 (LPT2), berhampiran Ajil, tengah hari tadi.
Dalam kejadian kira-kira jam 12 tengah hari itu, Roslinawati yang menyertai konvoi 13 motosikal untuk ke acara Himpunan RXZ Members 7.0 di Litar Permotoran Terengganu, Kuala Nerus, mengalami kecederaan parah di kepala dan disahkan meninggal dunia di lokasi.
Menurut Ketua Polis Daerah Hulu Terengganu, Superintenden Sharudin Abdul Wahab, Roslinawati dipercayai bertolak dari rumahnya di Simpang Renggam pada jam 1 pagi bersama rakan konvoi.
“Apabila tiba di lokasi kejadian, motosikal ditunggangnya dikatakan hilang kawalan lalu terjatuh di atas jalan,” katanya.
Pegawai perubatan yang tiba di tempat kejadian mengesahkan mangsa sudah meninggal dunia. Jenazah kemudian dihantar ke Unit Forensik Hospital Hulu Terengganu untuk tindakan lanjut.
Roslinawati bukan sekadar seorang penunggang motosikal tegar, tetapi juga seorang jururawat, insan yang setiap hari berhadapan dengan nyawa dan kesakitan orang lain. Ironinya, kali ini, dirinya pula menjadi mangsa takdir di jalan raya.
Perjalanan jauh yang ditempuh sejak dinihari, dari Johor menuju Terengganu demi memenuhi minatnya terhadap dunia permotoran, berakhir dengan tragedi yang meruntun hati. Hasratnya untuk bersama ribuan ahli RXZ dalam himpunan tahunan itu tidak kesampaian.
Pemergian Roslinawati yang mesra disapa Eyna meninggalkan kesan mendalam, bukan sahaja kepada keluarganya malah rakan-rakan terdekat.
Menerusi perkongsian di TikTok, pengguna akaun Farawaniey87 mendedahkan arwah seorang yang pemurah dan suka berkongsi rezeki dengan orang sekeliling.
“Eyna ini jenis suka belanja kawan, suka berkongsi apa saja yang dia ada. Susah senang, dia tak pernah kedekut. Kehilangan dia benar-benar terasa,” tulisnya.
Sebagai ibu kepada dua anak, arwah dikenali sebagai seorang wanita tabah yang mampu membahagikan kasih sayang antara keluarga, kerjaya, dan minatnya terhadap dunia permotoran.
Di balik tragedi ini, yang paling terasa tentu sekali dua anak kecil Eyna yang kini kehilangan sosok paling berharga dalam hidup mereka, seorang ibu.
Tiada lagi suara lembut yang membangunkan mereka di pagi hari, tiada lagi tangan penuh kasih yang menyuapkan makanan atau menidurkan mereka saat lena. Kehilangan seorang ibu di usia yang masih terlalu muda adalah luka yang sukar digambarkan.
Bagi keluarga terdekat, anak-anak itu kini menjadi amanah untuk terus diberi kasih sayang, agar mereka membesar dengan mengingat ibu mereka sebagai wanita kuat yang penuh cinta.
Roslinawati disahkan meninggal dunia di lokasi akibat kecederaan parah pada bahagian kepala. Mayatnya kemudian dihantar ke Unit Forensik Hospital Hulu Terengganu untuk tindakan lanjut. Kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.