Kesihatan

8 Jenis Ulam Paling Popular Di Malaysia, Kaya Khasiat & Baik Untuk Kesihatan

Share

Bagi masyarakat Melayu, ulam bukan sekadar pelengkap hidangan malah menjadi sebahagian daripada warisan pemakanan yang diamalkan sejak turun-temurun. Sama ada dimakan bersama sambal belacan, budu atau cencalok, ulam sentiasa mempunyai tempat istimewa di hati pencinta makanan kampung.

Menariknya, ramai tidak menyedari bahawa ulam sebenarnya kaya dengan pelbagai nutrien dan sebatian semula jadi yang boleh memberikan manfaat kepada kesihatan tubuh.

Malah, beberapa kajian mendapati banyak jenis ulam mengandungi antioksidan yang tinggi, selain mempunyai potensi membantu mengawal gula dalam darah, tekanan darah dan mengurangkan keradangan.

Jika selama ini anda hanya mengenali petai dan pegaga, berikut lapan jenis ulam popular yang wajar dimasukkan dalam menu harian.

1. Ulam Raja, Raja Segala Ulam

Ulam raja atau nama saintifiknya Cosmos caudatus sememangnya antara ulam yang paling popular di Malaysia.

Kajian mendapati tumbuhan ini mempunyai kandungan antioksidan yang sangat tinggi berbanding beberapa jenis buah-buahan seperti epal, tomato dan oren.

Selain itu, ulam raja juga dikaitkan dengan manfaat antikeradangan, antimikrob dan membantu mengekalkan kesihatan tulang.

Bagi wanita terutama yang menghampiri fasa menopaus, pengambilan ulam ini dikatakan berpotensi membantu mengurangkan risiko osteoporosis.

2. Sambung Nyawa

Nama sambung nyawa sahaja sudah cukup menarik perhatian.

Tumbuhan yang dikenali sebagai Gynura procumbens ini sering dijadikan ulam oleh masyarakat tempatan kerana dipercayai mempunyai pelbagai manfaat kesihatan.

Antara khasiat yang sering dikaitkan dengannya ialah membantu mengawal tekanan darah, kandungan gula dalam darah serta mempunyai sifat antioksidan dan antikeradangan.

Tidak hairanlah ia sering menjadi pilihan mereka yang mengamalkan gaya hidup sihat.

3. Daun Selom

Daun selom merupakan antara ulam yang sangat sinonim dengan masakan kampung.

Selain dimakan mentah, daun selom juga lazim dijadikan urap iaitu campuran kelapa parut, cili api dan belacan yang ditumbuk halus.

Kajian menunjukkan daun selom mempunyai sifat antioksidan dan berpotensi membantu melindungi fungsi hati serta memori.

Rasanya yang segar menjadikan ulam ini sesuai dimakan bersama ikan bakar dan sambal belacan.

4. Cekur

Ramai mengenali cekur sebagai bahan dalam masakan, namun daunnya juga boleh dijadikan ulam.

Cekur atau Kaempferia galanga mempunyai sifat antiradang, antioksidan dan antimikrob.

Dalam amalan tradisional, daun cekur sering digunakan untuk membantu meredakan masalah seperti sakit perut, pening kepala dan sakit sendi.

Aromanya yang unik membuatkan ulam ini mempunyai peminat tersendiri.

5. Pegaga, Rahsia Awet Muda

Antara ulam paling terkenal dalam kalangan wanita ialah pegaga.

Tumbuhan ini sering dikaitkan dengan petua awet muda dan penjagaan kulit secara semula jadi.

Kajian moden turut mendapati pegaga membantu merangsang penghasilan kolagen dan elastin yang penting untuk kesihatan kulit serta proses penyembuhan luka.

Sebab itu, ekstrak pegaga kini banyak digunakan dalam produk penjagaan kulit terkenal di seluruh dunia.

6. Daun Kaduk

Daun kaduk mempunyai bentuk yang hampir menyerupai daun sireh tetapi tumbuh menjalar di atas tanah.

Ulam ini mempunyai rasa sedikit pahit dan payau, namun kaya dengan khasiat tersendiri.

Dalam perubatan tradisional Melayu, daun kaduk dipercayai membantu mengurangkan masalah sembelit, sakit gigi, demam serta sakit tulang.

Ia juga sering dimakan bersama nasi panas dan sambal bagi menambah selera makan.

7. Petai

Petai sememangnya antara ulam yang paling digemari rakyat Malaysia walaupun mempunyai bau yang agak kuat.

Selain memberikan rasa unik dalam masakan, petai juga mengandungi antioksidan yang tinggi serta berpotensi membantu mengawal kandungan gula dalam darah dan tekanan darah.

Dalam perubatan tradisional Melayu, petai turut dipercayai membantu membersihkan buah pinggang dan meningkatkan tenaga tubuh.

Namun begitu, pengambilannya perlu sederhana kerana boleh menyebabkan nafas dan air kencing berbau kuat.

8. Jering

Selain petai, jering juga terkenal sebagai ulam yang mempunyai aroma tersendiri.

Kajian mendapati jering mengandungi sebatian unik yang berpotensi memberi kesan positif terhadap kawalan gula dalam darah.

Walau bagaimanapun, pengambilan jering secara berlebihan tidak digalakkan kerana boleh memberi kesan kepada kesihatan buah pinggang dan organ lain.

Seperti makanan lain, konsep kesederhanaan adalah yang terbaik.

Jangan Pandang Rendah Khasiat Ulam

Hakikatnya, terdapat puluhan jenis ulam yang menjadi sebahagian daripada warisan makanan masyarakat Melayu termasuk kacang botol, pucuk betik, rebung buluh dan peria katak.

Walaupun kelihatan sederhana, ulam-ulaman sebenarnya menyimpan pelbagai khasiat yang baik untuk tubuh jika diamalkan sebagai sebahagian daripada diet seimbang.

Jadi, jika selama ini anda kurang gemar makan ulam-ulaman, mungkin sudah tiba masanya untuk memberi peluang kepada makanan tradisional ini berada semula di atas meja makan keluarga.

Sumber: Hello Doktor

Published by
Farhana Syahirah