
Di sebalik sebuah perniagaan kecil, ada kisah besar tentang keberanian, ketabahan dan impian untuk mengubah kehidupan.
Sempena Hari Kebangsaan ke-69, Bank Simpanan Nasional (BSN) meneruskan kempen “Cerita Mereka, Jiwa Malaysia” dengan menghimpunkan kisah 69 usahawan mikro daripada pelbagai latar belakang dan budaya di seluruh negara.
Kempen yang berlangsung sepanjang bulan Ogos itu diteruskan menerusi penganjuran Karnival BSN Mikro MADANI di Wisma BSN.
Bagi ramai usahawan mikro, perniagaan bukan sekadar sumber pendapatan. Ia menjadi jalan untuk menyara keluarga, membina kehidupan dan pada masa sama memberi manfaat kepada komuniti sekeliling.
Menurut Menteri Kewangan II, Senator Datuk Seri Amir Hamzah Azizan, usahawan mikro merupakan antara nadi penting dalam pembangunan ekonomi negara.
Melalui pelbagai sokongan dan inisiatif kerajaan, golongan ini berpeluang membina perniagaan yang lebih mampan serta membuka lebih banyak peluang kepada masyarakat.
Sebanyak 69 kisah usahawan mikro dipilih sebagai sebahagian daripada inisiatif ini bagi menggambarkan kepelbagaian landskap perniagaan kecil di Malaysia.
Baca juga: Merdeka 2026: Nikmati Sajian 14 Negeri Di cirKLe. makan² The Campus Ampang
Karnival BSN Mikro MADANI turut memberi ruang kepada usahawan mikro untuk mempamerkan produk dan memperkenalkan perniagaan mereka kepada lebih ramai pengunjung.
Selain peluang berniaga, pengunjung turut berpeluang menyertai pelbagai pameran dan aktiviti sepanjang karnival.
BSN juga meneruskan usaha memperkukuh pembangunan usahawan melalui program literasi kewangan, khususnya untuk usahawan OKU di bawah program MyOKU Preneur serta usahawan desa.
Menariknya, hampir 5,000 cup sleeve edisi khas bertemakan batik turut dihasilkan bagi menyokong kempen ini.
Rekaan tersebut diinspirasikan daripada motif batik dan melibatkan sentuhan kreatif pelajar Sekolah Menengah Pendidikan Khas Vokasional Shah Alam, Sekolah Angkat MADANI BSN 2025.
Inisiatif ini bukan sahaja menghubungkan dunia keusahawanan dan kreativiti, malah membuka ruang kepada pelajar untuk berkongsi bakat dan hasil usaha mereka dengan masyarakat.
Kempen ini membawa mesej bahawa setiap usahawan mikro mempunyai perjalanan tersendiri.
Ada yang bermula kecil-kecilan dari rumah. Ada yang membina perniagaan demi keluarga. Namun di sebalik setiap usaha, tersimpan semangat untuk terus bangkit dan membina masa depan.
Mungkin inilah jiwa sebenar Malaysia, apabila kejayaan seseorang turut membawa manfaat kepada komuniti di sekelilingnya.
Baca juga artikel: Kisah Emily Koshy, Wanita India Pertama Dalam Pasukan Polis Malaysia