
5 sekeluarga tidur berbumbungkan langit, diuji kehilangan kerja di penghujung Ramadan. Tiada apa yang lebih menyedihkan saat diuji kehilangan pekerjaan, disuruh keluar dari rumah sewa dan akhirnya tidak mampu menyewa mana-mana premis kerana ketiadaan duit.
Inilah situasi dialami sebuah keluarga dengan tiga anak kecil yang terpaksa tidur di dalam kereta dan menjadikan langit sebagai bumbung rumah selepas si ayah hilang pekerjaan. Bukan kerana tidak boleh bekerja tetapi dihukum kerana kesalahan lalu iaitu pernah bergelar banduan sehingga majikan bertindak memberhentikan sebagai pemandu lori.
4 Malam Tidur Di Dalam Kereta Berbumbungkan Langit

Situasi sedih ini dikongsikan di page Majlis Agama Islam Negeri Sembilan (MAINS) yang memaklumkan telah membantu keluarga ini dengan menyediakan rumah transit sementara buat keluarga yang diuji ini.
“Empat malam mereka tidur dalam kereta. Ayah ini sebenarnya bukan orang yang tidak berusaha. Dirinya bekerja dan melakukan dua pekerjaan. Siang memandu lori. Malam membantu di gerai burger. Semuanya demi menyara tiga anak kecil di mana seorang darinya anak istimewa, autisme yang berusia 4 tahun.
“Namun dihukum kerana masa lalunya. Sebaik majikan tahu si ayah bekas banduan, pekerjaan itu terlepas dari tangannya. Pendapatan hilang. Rumah sewa juga tidak mampu diteruskan. Dan akhirnya, kereta menjadi tempat berteduh mereka.
“Dalam bulan Ramadan. Bayangkan seorang bayi tidur dalam kereta selama empat malam. Akhirnya si ayah datang sendiri ke MAINS untuk memohon pertolongan. Tim MAINS (Cawangan Nilai) segera turun menyantuni keluarga ini.
Anak-anak kecil sudah mendapat rumah baru

“Hari ini mereka tidak lagi tidur di dalam kereta. Keluarga ini telah dibawa ke Rumah Transit MAINS sementara waktu. Dengan amanah zakat, MAINS juga akan membantu deposit rumah sewa baharu, bayaran sewa sehingga 6 bulan dan bantuan kewangan segera, supaya keluarga kecil ini boleh berdiri semula.
Kadang-kadang kita tidak nampak. Di sebalik angka zakat yang dibayar, ada sebuah keluarga yang akhirnya mendapat tempat berteduh. Sokongan masyarakat amat penting bagi golongan seperti ini supaya hidup mereka mampu diuruskan dengan sebaiknya lebih-lebih lagi apabila sesebuah keluarga itu terdiri daripada anak-anak kecil yang sudah pasti memerlukan tempat berteduh dan perlindungan yang baik.
Bantuan disampaikan oleh Pegawai MAINS Cawangan Nilai, Pn. Nur Azizah Abd. Aziz dan penolongnya, Pn. Khaleeda Abas.
Lubuk konten tentang inspirasi, rumah tangga dan macam-macam lagi,
MINGGUAN WANITA kini di
download sekarang!




