Penjagaan Diri

4 Panduan Memilih Pad Bersalin Yang Selesa & Selamat Digunakan

Share

Memilih pad bersalin atau tuala wanita bersalin yang sesuai mungkin kelihatan seperti perkara kecil, namun ia memainkan peranan penting dalam memastikan keselesaan dan kebersihan ibu sepanjang tempoh berpantang.

Selepas melahirkan bayi, tubuh wanita akan mengalami proses pemulihan termasuk pengeluaran darah nifas yang boleh berlanjutan selama beberapa minggu. Oleh sebab itu, penggunaan pad bersalin yang mempunyai daya serapan tinggi amat penting bagi mengurangkan risiko kebocoran, menjaga kebersihan serta membantu ibu bergerak dengan lebih selesa.

Berbeza dengan tuala wanita biasa, pad bersalin direka khas untuk menyerap aliran darah nifas yang lebih banyak. Ia biasanya lebih panjang, lebih lebar dan lebih tebal, selain mempunyai beberapa lapisan tambahan untuk meningkatkan tahap serapan.

Ada juga produk yang dipadankan dengan seluar dalam pakai buang bagi memberikan perlindungan tambahan, terutama ketika ibu sedang berehat atau tidur.

Jika anda masih keliru memilih produk yang sesuai, berikut empat perkara penting yang perlu diberi perhatian sebelum membeli tuala wanita bersalin.

1. Pilih saiz yang sesuai

Perkara pertama yang perlu dipertimbangkan ialah saiz.

Sepanjang tempoh awal selepas melahirkan bayi, aliran darah nifas biasanya lebih banyak berbanding hari-hari berikutnya. Oleh itu, ibu disarankan memilih pad bersalin yang lebih besar supaya mampu memberikan perlindungan maksimum.

Pastikan saiz pad sesuai dengan bentuk badan agar tidak terlalu longgar atau terlalu ketat ketika dipakai. Pemakaian yang selesa membantu ibu bergerak dengan lebih yakin sepanjang tempoh berpantang.

2. Utamakan daya serapan tinggi

Daya serapan merupakan faktor paling penting ketika memilih pad bersalin.

Produk yang mempunyai penyerapan tinggi mampu menyerap darah nifas dengan lebih baik sekali gus mengurangkan risiko kebocoran, terutama ketika ibu sedang tidur atau berehat dalam tempoh yang lama.

Maternity pad sememangnya direka khas untuk menampung aliran darah selepas bersalin yang lebih banyak berbanding haid biasa.

Oleh itu, memilih produk dengan kapasiti serapan yang tinggi akan memberikan keselesaan sepanjang hari.

3. Pastikan bahan mesra kulit

Kulit di bahagian intim wanita selepas bersalin biasanya lebih sensitif. Justeru, pilih pad bersalin yang diperbuat daripada bahan lembut serta mesra kulit.

Sebaik-baiknya, elakkan produk yang mengandungi pewangi, klorin, agen peluntur, bahan tambahan pendarfluor, paraben atau lateks kerana ia berpotensi menyebabkan iritasi kepada sesetengah individu.

Produk yang bebas bahan kimia dan alergen lazimnya lebih selamat serta memberikan keselesaan optimum sepanjang tempoh pemulihan.

4. Baca ulasan sebelum membeli

Sebelum membuat keputusan, luangkan sedikit masa untuk membaca ulasan pengguna.

Pengalaman ibu lain boleh membantu anda mengenal pasti kelebihan dan kekurangan sesuatu jenama pad bersalin.

Ada produk yang terkenal kerana daya serapan tinggi, manakala ada juga yang menjadi pilihan kerana lebih nipis, lembut dan selesa dipakai.

Jika pertama kali membeli maternity pad, anda boleh mencuba beberapa jenama berbeza bagi mengetahui produk yang paling sesuai dengan keperluan diri.

Jangan lupa sediakan lebih awal

Ramai pakar turut menyarankan agar ibu menyediakan pad bersalin lebih awal sebelum tarikh jangkaan bersalin.

Dengan cara ini, ibu tidak perlu tergesa-gesa membeli keperluan selepas melahirkan bayi.

Selain maternity pad, anda juga boleh menyediakan seluar dalam pakai buang, pelapik katil kalis air serta pakaian yang longgar dan selesa bagi memudahkan proses pemulihan.

Tempoh berpantang adalah fasa penting untuk ibu mendapatkan rehat secukupnya sambil menyesuaikan diri dengan kehadiran cahaya mata.

Pemilihan pad bersalin yang tepat bukan sahaja membantu menjaga kebersihan diri, malah memberikan keselesaan sepanjang proses pemulihan selepas melahirkan bayi.

Walaupun terdapat pelbagai pilihan di pasaran, utamakan produk yang mempunyai daya serapan tinggi, diperbuat daripada bahan mesra kulit dan sesuai dengan keperluan tubuh anda.

Sumber: Hello Doktor

Published by
Farhana Syahirah