
Bagi Fazlaili Nuzol Azam, atau lebih mesra disapa Elly, bekerja sebagai 3D designer memberi peluang untuk mengubah idea pelanggan menjadi produk fizikal menggunakan teknologi 3D printing.
Elly merupakan 3D Designer di AA3D Technology. Tugasnya termasuk menghasilkan reka bentuk mengikut permintaan pelanggan sebelum reka bentuk tersebut dicetak menggunakan pencetak 3D.
Menurut Elly, kebanyakan reka bentuk yang dihasilkannya berbentuk karakter dan objek organik. Antara projek yang pernah dihasilkan termasuk karakter Uba Bae untuk ZUS Coffee serta model berinspirasikan Hirono berdasarkan penampilan pelakon Nadhir Nasar.
Baca artikel: Taanusiya Chetty Harumkan Nama Malaysia, Raih Tempat Ketiga Miss World 2026
Proses menghasilkan sesuatu produk bermula dengan reka bentuk digital. Elly menggunakan Blender untuk menghasilkan model sebelum ia melalui proses 3D printing.
Bagi satu projek yang melibatkan enam reka bentuk karakter, Elly berkata proses mereka bentuk mengambil masa kira-kira dua minggu. Selepas itu, proses mencetak dan mengecat mengambil masa sekitar seminggu lagi.
Dalam proses 3D printing, filament yang digunakan akan dicairkan dan dibentuk lapisan demi lapisan sehingga menghasilkan objek fizikal.
Selain projek pelanggan, pasukannya turut menghasilkan pelbagai produk seperti clicker bertemakan kumpulan K-pop serta reka bentuk makanan tradisional Malaysia termasuk kuih bahulu, seri ayu dan koci.
Menurut Elly, antara perkara yang membuatkan dia seronok bekerja dalam bidang 3D printing Malaysia ialah setiap hari membawa projek dan pelanggan yang berbeza.
“Everyday our job is different, our client is different. Everyday is a new challenge for me,” katanya.
Bidang ini juga tidak terhad kepada satu latar belakang sahaja. Elly berkongsi bahawa rakan sekerjanya juga terdiri daripada individu dengan latar belakang seperti kejuruteraan mekanikal, kejuruteraan teknikal dan reka bentuk industri.
Bagi pelanggan yang mempunyai idea tetapi tidak tahu bagaimana mahu menghasilkannya, mereka boleh mendapatkan bantuan untuk menghasilkan reka bentuk sebelum ia dicetak menjadi produk.
Sebagai wanita dalam bidang yang sering dikaitkan dengan kemahiran teknikal, Elly turut mempunyai pesanan buat wanita yang berminat mencuba kerjaya 3D printing tetapi merasakan diri mereka tidak cukup teknikal.
Menurutnya, rasa takut itu perkara biasa. Apa yang lebih penting ialah kesediaan untuk belajar, bertanya dan terus mencuba.
“Takut tu biasa. Tapi yang penting is willingness to learn. As long as rajin nak belajar, rajin bertanya dan push je, just keep going.”
Bagi Elly, kehadiran wanita dalam 3D printing Malaysia membuktikan bidang teknologi tidak terhad kepada satu jantina. Selagi ada kemahuan untuk belajar, wanita juga boleh membina kemahiran dan kerjaya dalam bidang yang semakin berkembang ini.
Baca juga artikel: “Kotor Tak Apa, Janji Duit Halal” – Kisah Pemandu Lori Kontena Wanita Ini Cetus Inspirasi