Sejak beberapa hari lalu berlaku peningkatan jumlah kenderaan dilebuhraya dalam usaha pulang ke kampung walaupun kerajaan tidak membenarkan perkara ini berlaku.
Rata-rata mereka seolah-olah tidak memikirkan soal kesihatan dan keselamatan masing-masing apabila tekad ambil keputusan untuk balik beraya di kampung halaman bersama keluarga di desa.
Buat masa sekarang, memang rata-rata beremosi kerana tak dapat balik beraya. Tetapi mak, ayah perlu ingat bahawa hampir 3000 kenderaan diarah berpatah balik.
Mahukah mak, ayah bazirkan masa, wang dan tenaga hanya kerana mengikut perasaan. Sementara itu, Menteri Besar Kelantan bimbang perantau pulang menggunakan jalan tikus untuk pulang ke kampung halaman.
3000 Kenderaan Diarah Berpatah Balik
Jumlah kenderaan yang diarah berpatah balik kerana cuba melakukan perjalanan rentas negeri untuk pulang ke kampung tanpa alasan munasabah semalam, meningkat sekali ganda berbanding kelmarin.
Lebih 3,000 kenderaan dikesan cuba menghala ke kampung halaman semalam, berbanding 1,633 kenderaan kelmarin, sekali gus melanggar Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB).
Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, memaklumkan sebanyak 3,212 kenderaan yang cuba merentas negeri atas alasan mahu pulang ke kampung untuk berhari raya, diarah berpatah balik oleh polis, semalam.
“Kelmarin ada lebih 1,000 kenderaan cuba rentas negeri dan jumlah itu sudah kita anggap tinggi, namun semalam meningkat lagi sehingga lebih 3,000. “Ini bermakna jumlah mereka yang berminat balik ke kampung masih ramai dengan cuba melepaskan diri daripada sekatan jalan raya.
“Namun, polis akan bertindak tegas dan tidak akan benarkan sesiapa merentasi negeri untuk pulang ke kampung sempena Aidilfitri, kecuali atas kes kecemasan seperti kematian dan kebenaran perlu diperoleh dari balai polis berhampiran,” katanya.
Sekatan Dibuat Bagi Memantau Pematuhan PKPB
Beliau berkata demikian pada sidang media selepas menghadiri mesyuarat khas menteri mengenai pelaksanaan PKPB di Putrajaya, hari ini.
Ads
Mengulas lanjut, Ismail Sabri memaklumkan, Polis Diraja Malaysia (PDRM) sudah mengeluarkan kompaun kepada 51 individu setakat semalam atas kesalahan melanggar prosedur operasi standard (SOP) PKPB.
“Semalam, PDRM juga menahan 44 individu atas kesalahan melanggar SOP, dengan 40 individu direman dan empat individu dijamin,” katanya. Ismail Sabri yang juga Menteri Pertahanan, memaklumkan PDRM melaksanakan 216 sekatan jalan raya rentas sempadan negeri, semalam, dan memeriksa 318,082 kenderaan.
Selain itu, sebanyak 77,537 pemeriksaan dibuat semalam bagi memantau dan menguatkuasa pematuhan PKPB di seluruh negara, membabitkan 4,883 pasar raya, 4,572 restoran, 697 penjaja, 1,260 kilang serta 3,878 bank.
“Pemeriksaan juga dibuat di 1,108 terminal pengangkutan darat, 208 terminal pengangkutan air dan 107 terminal pengangkutan udara, dan memeriksa 32,670 kenderaan persendirian, 2,369 kenderaan awam dan 461 kapal.
“Turut diperiksa adalah 2,814 pasar awam, 3,894 tempat ibadah, 1,546 tempat riadah dan 462 tapak binaan,” katanya.
Menteri Besar Bimbang Perantau Ikut Jalan Tikus
Manakala menurut laporan Sinar Harian, Kerajaan Kelantan melahirkan kebimbangan dengan perantau yang ‘curi-curi’ balik ke negeri ini menggunakan laluan tikus semasa pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB).
Ads
Menteri Besar Kelantan, Datuk Ahmad Yakob berkata, perbuatan tersebut sebenarnya berisiko kerana ahli keluarga mahupun sanak-saudara akan terdedah dengan bahaya jangkitan wabak koronavirus (Covid-19).
Menurutnya, berdasarkan maklumat yang diterima terdapat mereka yang merentas negeri dengan cara tidak betul semata-mata mahu balik menyambut Hari Raya Aidilfitri bersama keluarga di kampung.
“Mereka menggunakan jalan-jalan tertentu. Cara mana kita pun tidak tahu. Sedar-sedar mereka sudah ada di Kelantan.
“Saya nak nasihatkan, sebab ini berkaitan dengan kepentingan awam. Wabak Covid-19 masih tidak ada vaksin lagi,” katanya kepada media hari ini.
Minta Perantau Tidak Balik Ke Kelantan
Terdahulu, beliau mempengerusikan Mesyuarat Majlis Keselamatan Negeri Kelantan Bilangan 12 di Kompleks Kota Darulnaim yang turut dihadiri Ketua Polis Kelantan, Datuk Hasanuddin Hassan dan Pengarah Kesihatan Kelantan, Datuk Dr Zaini Hussin.
Ahmad mengharapkan supaya kumpulan yang masih berada di luar Kelantan kekal tinggal di sana dan tidak sesekali merentas negeri tanpa kebenaran kerana ia adalah langkah terbaik untuk putuskan rantaian penyebaran Covid-19.
Katanya juga, dalam kegembiraan menyambut Aidilfitri rakyat diingatkan untuk terus mematuhi prosedur operasi standard (SOP) ditetapkan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) terutamanya penjarakan sosial.
“Sebagaimana dilaporkan, sebahagian besar rakyat kita masih tidak mematuhi arahan tersebut. Kita sendiri dapat melihat virus ini masih belum reda lagi, bukan sahaja dalam negara, tetapi di peringkat dunia. Jadi semua kena patuh dengan arahan,” katanya.
Sementara itu, mengulas mengenai kebenaran jumlah jemaah menunaikan solat Aidilfitri dan solat berjemaah di negeri ini, beliau berkata pihaknya masih belum membuat keputusan terbaharu lagi.
“Ketepatan masih sama dengan yang sebelum ini. Kita masih menunggu keputusan dan ketetapan baharu dari Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Kelantan,” katanya.
Sumber: Berita Harian/ Sinar Harian
MW: Mak, ayah harus bersabar kerana keadaan Covid-19 belum pulih sepenuhnya. Jangan terlalu ikutkan emosi hingga membahayakan nyawa sendiri dan juga keluarga. Walaupun kita semua beraya dalam normal baharu tetapi patuhilah sop yang telah ditetapkan.
Lubuk konten tentang inspirasi, rumah tangga dan macam-macam lagi, MINGGUAN WANITA kini di seeNI, download seeNI sekarang!
Melewati 15 hari ustazah kesayangan ramai, Allahyarham Ustazah Shadiya Abbas meninggalkan alam yang fana ini. Biar pun sedang berehat di alam abadi, masih ada lagi yang bertanyakan tentang hukum fiqh di whatsApp mahu PM facebook arwah isteri ustaz MK Azman.
Begitulah baik budi ustazah, tetap diingati ramai orang yang pernah mendapat sentuhan didikannya. Bukan saja anak muridnya sama terkesan, malah suami arwah, Ustaz MK Azman juga mengibaratkan Allahyarham isteri ibarat gurunya.
Sebagai isteri, Allahyarham sentiasa mengingatkan suami mahupun anak-anak tentang doa. Malah ketika keluarga ini terlibat dalam kemalangan kereta dua tahun dulu pun arwah ustazah membaca doa malah memulakan doanya dengan lafaz asma alhusna. Terang ustaz, insyaAllah mustajab doanya.
Allahyarham Ustazah Shadiya ini seorang yang menghafal banyak doa. Dan diamalkannya. Kongsi Ustaz lagi, pada malam terakhirnya bersama ustazah pun, isterinya itu sempat memintanya membaca doa sebelum ke hospital.
Doa ni almarhumah bidadari saya Shadiya Abbas praktiskan ketika mengalami kemalangan pada tarikh ini (11.4) 2 tahun yang lalu. Selepas kemalangan, terdetik di hati untuk membacakan doa dan beliau memulakan doa dengan ayat di bawah. Beliau memohon kepada Allah agar kami semua selamat dan dipanjangkan umur. Alhamdulillah kami semua selamat. Doa ini terus diajar oleh almarhumah kepada jemaah masjid dan surau. Ustazah Asni Mansor mengabadikan doa ini dalam satu potret yang dilukis sendiri, kini menjadi hiasan indah di rumah kami. Mulai doa kalian dengan lafaz asma alhusna, insya allah mustajab doa. Semoga ia memberi manfaat kepada semua..
Dia Guruku, Punyai Khazanah Doa Yang Ma’thur
Ada anak muridnya yang berasa ingin tahu lalu bertanya mengapa dia menggelar isterinya sebagai guru. Akui ustaz,
Saya merujuk dahulu pada beliau apa yang perlu saya ajarkan pada jemaah masjid atau surau sebelum saya menyampai kuliah atau ceramah. Dia yang ajarkan cara penyampaian dan pengkritik tetap saya dalam aspek penyampaian ilmu agama.
Dia guru saya sebab dia mempunyai khazanah doa-doa yang ma’thur. Dia hafal banyak doa dan dia amalkan. Seringkali dia akan ajarkan saya dan ingatkan saya supaya amal. Bukan saja pd saya, juga pada anak-anak. Sebab tu biasa penutup kuliahnya dia akan ajarkan doa² kepada jemaah untuk diamalkan.
Tanpa Bayaran Tetap Bersemangat Mengajar
Dia guru saya sebab penyampaiannya sentiasa segar walaupun pada waktu petang. Dia akan turun bersama-sama saya ataupun berseorangan untuk mengajar penghuni-penghuni Pusat Bina Diri JKM Sungai Buloh. Dia bersemangat untuk mengajar walaupun tanpa bayaran kerana baginya adalah amal jariah. Jika saya datang berseorangan ke sana, pasti ada ibu-ibu di sana bertanyakan tentang ustazah Shadiya. Ramai yang menyatakan rasa rindu. Kata mereka ustazah mengajar best.. Allahu.. Aku yakin mereka belum tahu ustazah yang menjadi kerinduan mereka sudah tiada.
Orang kuat Emkays Future Training & Consultancy yang saya tubuhkan adalah Ustazah. Dialah yang kerap menyampaikan ilmu biarpun dia keletihan. Ada sahaja perkara yang dia nak kongsikan. Tiada lagi guru, mungkin tiada lagi.
Arwah Isteri Sempat Berpesan Supaya Baca Doa
Dia guru yang sering menegur salah silap saya samada sikap, perasaan dan ibadah saya. Naik kenderaan pasti dia akan ingatkan saya dan anak-anak baca doa.. Malah malam terakhir saya bersama beliau ke hospital pun dia sempat berpesan supaya baca doa. Saya sakit, dia ajarkan doa untuk saya baca dan amalkan. Alhamdulillah mustajab doa yang dibaca.
Sebab itulah saya menggelar dia sebagai GURU. Nanti anak muridmu ini akan menyusul bersamamu wahai GURUKU.
Begitulah bakti seorang isteri yang benar-benar ikhlas mengerjakan amanahnya. Sehingga ke akhir hayat pun tetap mendapat kasih sayang yang tak berbelah bagi daripada suami dan anak-anak.
MW : Marilah ambil teladan dari secebis kisah arwah ustazah. Semoga, Allah menjadikan hati-hati ini sentiasa tenang berdepan setiap ujianNya. Al Fatihah.. di doakan semoga Allahyarham Ustazah Shadiya Abbas ditempatkan di taman-taman syurga di samping orang-orang yang soleh.
Tiada lagi gurauan daripada suami yang gemar berseloroh apabila mangsa terlibat dalam kemalangan traktor terbalik ke tebing sungai. Traktor tersebut yang dipandunya sendiri terjatuh ke curam tebing sungai.
Sudah tentu isteri dan anak-anak paling merasai kehilangan Mohamad Rizalman Mohamad Nawawi yang gemar bergurau. Semoga Allah mengampunkan dosa-dosa arwah dan menempatkannya di kalangan para solihin. Insyallah.
Tiada Lagi Gurauan Suami
“Tiada lagi gurauan dia yang suka berseloroh dengan saya dan anak-anak, malah malam tadi (semalam) dia banyak berdiam diri,” luah Nur Izyan Suhaila Mohamad, 44.
Dia adalah isteri kepada Mohamad Rizalman Mohamad Nawawi, 42, yang maut selepas parah di kepala apabila traktor dipandunya terjatuh ke curam tebing sungai di Kampung Sakar, Tendong di Pasir Mas pada 11 pagi hari ini.
Nur Izyan berkata, dia mendapat berita kemalangan menimpa suami selepas didatangi rakan mangsa ke tempat dia bekerja di sebuah pasar raya di bandar Pasir Mas, sebelum menghubungi keluarga yang lain.
“Sebaik mendengar berita itu, kaki saya menjadi kaku dan mengambil keputusan untuk tidak ke lokasi kejadian sebaliknya terus dibawa ahli keluarga ke hospital.
“Ketika itu, saya bagaikan bermimpi apabila sudah diberitahu bahawa suami sudah tiada.
“Kali terakhir bersembang dengannya pada awal pagi tadi (hari ini), sekitar jam 7 pagi apabila saya mengejutnya bangun untuk memberitahu mahu menghantar anak-anak ke sekolah dan rumah pengasuh.
“Biasanya setiap pagi kami sempat bersarapan bersama tetapi dia tidur semula selepas solat Subuh.
“Saya sangkakan, dia letih kerana memang setiap hari melakukan kerja berat memandangkan dia memang bekerja sebagai pemandu traktor dengan Lembaga Kemajuan Pertanian Kemubu (KADA),” katanya ketika ditemui di pekarangan Unit Jabatan Forensik Hospital Pasir Mas (HPM).
Nur Izyan yang juga ibu kepada tiga cahaya mata berusia tiga hingga 14 tahun berkata, suaminya adalah seorang yang sangat peramah malah disayangi anak saudara dan adik-beradik yang lain kerana sikapnya yang suka bergurau dan baik hati.
“Jika diikutkan, dia memang mahir mengendalikan traktor kerana sudah lebih 10 tahun melakukan kerja itu, namun saya reda dengan apa yang berlaku kerana sudah menjadi ketentuan Illahi.
“Kini, saya hanya mampu berdoa semoga segala urusan pengebumian dapat dijalankan segera selain diberi kekuatan untuk meneruskan hidup.
“Insya-Allah arwah dikebumikan malam ini di Tanah Perkuburan Islam Syafie, Kampung Bechah di Tendong sebaik segala urusan bedah siasat selesai,” katanya.
Traktor Terbalik Ke Tebing Sungai
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Pasir Mas Asisten Komisioner Mohamad Roy Suhaimi Sarif mengesahkan ada menerima laporan mengenai kejadian terbabit.
“Siasatan awal mendapati, kejadian berlaku apabila mangsa yang membawa traktor dari Kampung Tendong menghala ke Tal Tujuh berhenti untuk memberi laluan kepada sebuah lori tetapi tayar kenderaan itu jatuh ke dalam curam menyebabkan traktor ini terbalik ke tebing sungai.
“Mangsa didapati meninggal dunia di lokasi dan kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Aktan Pengangkutan Jalan 1987,” katanya.
MW: Sudah tiba ajalnya, walaupun berpengalaman hampir 10 tahun dalam mengemudi traktor. MW merakamkan takziah kepada keluarga mangsa dan berharap isteri serta keluarganya tabah menghadapi ujian ini. Al-Fatihah.
Kalau pun anak itu nakal dan kurang pandai dalam mata subjek tertentu di sekolah, janganlah dikritik sikap anak depan mak ayahnya sampai anak yang mendengar itu kecil hati. Sebab budaya kritik perbuatan anak ini adalah perkara yang tak sihat, secara tak langsung tindakan ini boleh bunuh jiwa anak-anak.
Ya, ada sesetengah cikgu percaya kalau mereka “tunjuk keras”, anak murid akan lebih dengar cakap dan bijak berdikari. Namun sebenarnya cara itu kurang tepat sebab anak-anak ini perlukan perhatian dan kasih sayang.
Sekali pun anak itu nakal, tegurlah dengar cara yang boleh naikkan semangatnya. Andai nak lebih dekat ikuti perkongsian Menteri Pendidikan yang baru iaitu Dr Maszlee Malik.
Jangan Dibunuh Jiwa Anak-Anak
Pada setiap kali hari laporan murid di kebanyakan sekolah-sekolah di Malaysia, seringkali banyak drama yang berlaku. Kebanyakan guru-guru mengambil peluang untuk melepaskan geram terhadap murid kepada ibubapa. Bagi anak-anak murid yang cemerlang dan baik, mereka beruntung, bergunung pujian diberikan. Nasib tidak seperti itu bagi murid-murid di kelas corot ataupun mereka yang hyper aktif atau di dalam bahasa lainnya, yang nakal.
Saya masih lagi teringat peristiwa hampir 27 tahun yang lalu apabila ibu saudara saya yang membela saya menghadiri hari laporan di sekolah Maktab Sultan Abu Bakar (English College) sebagai penjaga saya. Di hadapan saya, guru kelas mengatakan, “Maszlee ni memang pandai, tetapi dia nakal, banyak cakap dan berjiwa rebelious…”. Bukan sekadar itu sahaja, disebutkan juga kelemahan saya di dalam matematik, Geografi dan kegemaran saya hanya untuk melukis walaupun ketika guru sedang mengajar.
Apa yang menimpa saya itu jugalah selalu menimpa murid-murid lain di kebanyakan sekolah-sekolah di Malaysia.
“Anak anda malas, anak encik suka buat bising, anak puan malas membaca, anak pakcik lemah matematik, anak makcik tak membuat kerja rumah…”
Dan seribu satu lagi komen negatif kehadapan ibubapa atau penjaga di hadapan anak-anak mereka. Ibubapa Melayu pulak suka bersikap dramatik dan emosional. Bukan hendak mencermin diri, malah meletakkan segala kesalahan ke atas anak-anak. Maka berlakulah babak-babak drama swasta di hari laporan.
Ada yang berjujuran air mata, “Sampai hati kau buat mak macam ini, mak habiskan duit untuk kau belajar….tapi kau jadi syaitan…”, “Hah dengar tu kata cikgu!”, “Kau memang degil, tak dengar cakap mak!” dan bermacam lagi gaya yang sebenarnya hanya helah bela diri tidak mahu menyalahkan diri sendiri dan meletakkan kesalahan kepada orang lain.
Jika para bapa pula, ada yang terlebih emosi dan menunjukkan egonya dengan memukul anaknya di hadapn guru yang melaporkan hanya kerana mendapat E ataupun kerana anaknya dikenakan tindakan disiplin di atas kesalahan yang dilakukan berdasarkan laporan-laporan negatif sang guru. Pada waktu itu cikgu menarik nafas lega, ibu bapa dapat melepaskan amarah…dan anak-anak tersiksa tanpa mendapatkan sebarang panduan apakah yang patut dilakukan untuk melalui hari-hari ke depan! Apa yang pasti, tertanam di dalam jiwa mereka, bahawa mereka adalah makhluk yang tidak berguna dan tiada secebis kebaikan mahupun harapan untuk mereka menjadi lebih baik…
Hal seumpama ini merupakan satu jenayah dan antara dosa besar untuk dilakukan di negara-negara maju. Adalah tidak berintegriti bagi seorang guru untuk memberikan komen negatif anak-anak kepada ibubapa mereka dengan kehadiran anak-anak itu. Menjadi satu sikap tidak bertanggungjawab juga untuk ibubapa memarahi apatah lagi memukul anak-anak di hadapan guru. Bagi mereka, itu merupakan sikap tidak bertamadun dan jauh sekali menyelesaikan masalah. Komen negatif guru di hadapan murid dan ibubapa hanya akan menyebabkan murid-murid hilang keyakinan diri, hilang punca dan tidak akan dapat menghargai dirinya sendiri. Sikap tersebut juga menunjukkan kegagalan guru untuk mendidik dan melihat bakat atau kebaikan dan sudut positif di dalam jiwa murid-murid. Seolah-olah pandangan mata mereka hanya kepada perkara-perkara negatif semata-mata. Ini bukannya sikap masyarakat yang maju dan masyarakat yang menang. Ini merupakan sikap orang kalah dan jiwanya lemah. Hanya kelemahan, kesalahan dan juga sudut negatif sahaja yang mereka nampak.
Di negara-negara maju, mentaliti kelas pertama mengajarkan para guru untuk bertanggungjawab untuk mencungkil kehebatan terpendam anak-anak murid. Guru juga berperanan untuk memberikan keyakinan kepada ibubapa bahawa anak mereka istimewa, dan mereka juga hebat. Maka, kerana mereka hebat dan anak-anak mereka itu istimewa, mereka perlu menggandakan usaha untuk memperbaiki satu dua kelemahan di dalam diri anak-anak mereka. Pokok pangkalnya, mereka mampu dan anak-anak mereka mampu untuk menjadi orang hebat. Tiada anak-anak murid yang tidak hebat pada mata guru-guru di engara-negara maju. Tiada ibubapa yang gagal pada mulut guru-guru negara maju. Maka, anak-anak murid, lemah manapun akademik mereka, nakal mana pun mereka, mereka akan diberikan harapan dan diberikan kepercayaan bahawa mereka istimewa di mata guru dan ibubapa.
Tak Perlu Rendahkan Pelajar
Saya teringat lagi pertama kali menghadiri hari laporan murid di UK. Buku rekod murid tidak dihiasi dengan keputusan peperiksaan, kerana tiada peperiksaan untuk murid-murid sekolah rendah kecuali peperiksaan SAT di penghujung darjah enam sahaja. Keduanya, perkataan pertama yang diungkapkan oleh para guru kepada para penjaga ialah, “You son is such an excellent student”, atau “Your daughter is undoubtedly outstanding”, dan juga kadangkala, “Your child is a very hardworking student”…seterusnya guru akan menceritakan segala yang positif mengenai anak-anak walaupun anak-anak tersebut mempunyai 1001 masalah. Apabila sampai kepada kelemahan murid pula, para guru tidak akan sekali-kali mengatakan bahawa ‘Anak kamu lemah dalam…”, atau “anak kamu malas…”, sebaliknya para guru akan mengatakan, “Pada agakan saya, anak anda akan menjadi cemerlang di dalam pelajaran sekian jika…”, ataupun “Anak anda ada potensi untuk menjadi pakar matematik jika dia berikan tumpuan yang lebih untuk menghafal sifir…”, dan lain-lain kritikan konstruktif tanpa merendahkan para pelajar. Apa yang lebih utama, semua laporan itu tidak dilakukan di hadapan para pelajar. Ianya dianggap sebagai tidak membantu para pelajar itu sendiri…
Walau bagaimanapun kita tidak boleh menyalahkan guru-guru kita sepenuhnya. Para guru dibebankan dengan kerja-kerja yang tidak masuk akal. Guru-guru tidak diberikan ruang rehat yang secukupnya di sekolah. Waktu mengajar mereka terlalu beban apatah lagi ditambah dengan 1001 kerja-kerja pejabat yang hanya dilakukan untuk menaikkan nama pengetua dan menteri pelajaran. Guru-guru di Malaysia hanya dijadikan alat untuk menghasilkan murid-murid yang cemerlang di dalam menjawab periksa untuk mendapatkan sebanyak mungkin A di dalam peperiksaan mereka, hatta semenjak anak-anak berada di dalam darjah satu lagi!
Maka, jika di peringkat pembentukan awal syakhsiyah anak-anak di peringkat sekolah rendah dan menengah rendah lagi anak-anak sudah tidak dibina self-esteem mereka, maka apabila mereka memasuki dunia kampus, mereka hanya akan menjadi pelajar-pelajar yang average ataupun pelajar-pelajar yang pasif. Di tambah pula dengan kekangan yang pelbagai di dalam menganjurkan program-program yang membina minda dan membuka ufuk pemikiran…sistem pendidikan kita hanya melahirkan siswa dan siswi yang menjadi robot untuk pasaran pekerjaan. Jarang di dapati siswa-siswi yang berfikiran kritis, analitikal dan juga inovatif. Jika adapun, hanya seorang dua, dan amat sedikit jumlah mereka.
Sesuatu perlu dilakukan untuk merubah minda dan jiwa masyarakat kita untuk benar-benar menjadi masyarakat berminda kelas dunia. Ia harus bermula dari peringkat sekolah lagi. Ia perlu dilakukan sedari rumah lagi. Ia perlu disemaikan terlebih dahulu di dalam jiwa guru-guru yang mendidik di dalam bilik darjah dan juga ibubapa yang mencorakkan pemikiran dan minda anak-anak di rumah…
“Your worth consists in what you are and not in what you have.” Thomas A. Edison
Lubuk konten tentang inspirasi, rumah tangga dan macam-macam lagi, MINGGUAN WANITA kini di seeNI, download seeNI sekarang!
Ibu dan anak kecil ditemui hampir reput dalam rumah, sudah bercerai dengan bekas suami. Bau busuk dari sebuah rumah berkunci menemukan sesuatu mengejutkan iaitu...